Memaparkan catatan dengan label akaun pelaburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label akaun pelaburan. Papar semua catatan

Rabu, Disember 09, 2020

Maybank Islamic perkenal akaun pelaburan baharu

 

Maybank Islamic Bhd melancarkan akaun pelaburan tertutup Multi-Asset Investment-i (MAIA) dengan sasaran meraih pelaburan RM250 juta menerusi produk yang julung kali seumpamanya ditawarkan bank komersial.

MAIA ditawarkan kepada pelanggan yang bermatlamat memaksimumkan pulangan dengan pelaburan dalam portfolio pelbagai aset pembiayaan bank dan pasaran sekuriti patuh Syariah.

Sebanyak 50 peratus pelaburan MAIA akan dibuat ke dalam aset pembiayaan Maybank Islamic yang menguntungkan dan stabil seperti gadai janji, sewa beli serta pembiayaan unit amanah.

MAIA memberi peluang kepada pelabur yang ingin meneroka peluang pelaburan pada jangka masa sederhana hingga panjang yang baharu dan akaun ini terbuka kepada individu serta pelabur institusi dengan pelaburan minimum sebanyak RM10,000.

Maybank Islamic Asset Management (MIAM) dilantik sebagai Pengurus Pelaburan Luar akan melaburkan baki 50 peratus dalam ekuiti patuh Syariah dan Amanah Pelaburan Hartanah (REITs).

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata bank menyasarkan potensi pulangan yang lebih tinggi sebanyak 4.25 peratus setahun untuk penempatan selama tiga tahun, menjadikan MAIA satu pelaburan yang menarik memandangkan persekitaran kadar faedah agak rendah sekarang.

"Kami percaya MAIA dapat memenuhi keperluan pelabur yang mencari pilihan pelaburan patuh Syariah yang bertujuan untuk mengekalkan modal sambil menghasilkan pulangan yang stabil dan

relatif lebih tinggi," katanya.

Mohamed Rafique berkata, pelancaran MAIA adalah tonggak bagi Maybank Islamic yang menjadi institusi perbankan Islam pertama mewujudkan produk pelaburan yang menawarkan peluang kepada pelabur untuk melabur bukan hanya pada aset pembiayaan bank yang kukuh, tetapi juga sekuriti patuh Syariah.

"Dengan ketidaktentuan ekonomi semasa akibat penyebaran COVID-19, Maybank Islamic menyasarkan untuk membantu pelanggannya untuk mengembangkan pelaburan mereka.

"Ia terutama yang mencari pulangan pendapatan berpotensi dan pertumbuhan modal dengan melabur dalam portfolio pembiayaan bank Islam terbesar di Malaysia serta dana yang terdiri daripada portfolio sekuriti patuh Syariah," katanya.

Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013, institusi kewangan Islam dibenarkan menjadi perantara pelaburan.

Maybank Islamic adalah yang pertama merealisasikannya dengan pelancaran produk Akaun Pelaburannya (IA) pada tahun 2015.

Di bawah produk IA, MAIA adalah inovasi kedua produk pelaburan untuk bank.

Sumber : Berita Harian

 

Selasa, April 16, 2019

Akaun Al-Awfar Bank Islam tawar ciri, tawaran menarik

 

Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam), menyasarkan saiz dana pelaburan meningkat sebanyak RM800 juta tahun ini, dipacu oleh pelancaran produk Al-Awfar yang dipertingkatkan, termasuk penambahan ciri-ciri baharu dan tawaran menarik untuk pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed, berkata Bank Islam menyasarkan untuk menarik 230,000 pelanggan baharu tahun ini menerusi produk berkenaan, memandangkan Al-Awfar berjaya berbuat demikian sejak bermula pada 2009.

Beliau berkata, sejak 10 tahun produk ini diperkenalkan, Al-Awfar telah melahirkan 23 jutawan dan terus mendapat sambutan menggalakkan sehingga kini.

“Kami mencapai rekod prestasi baik dengan saiz dana berjumlah RM2.45 bilion iaitu membabitkan sebanyak 771,496 akaun. Kami juga memperbaharui struktur hadiah cabutan dan meningkatkan nilai hadiah daripada RM10 juta kepada RM14 juta sempena pengenalan Al-Awfar baharu ini,” katanya kepada media selepas melancarkan Al-Awfar Baharu di sini, hari ini.

Al-Awfar adalah akaun pelaburan berisiko rendah berdasarkan konsep Mudarabah, yang mana dananya dilaburkan dalam portfolio pembiayaan perumahan dan aset tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan yang kukuh.

Ia terbuka kepada individu, entiti perniagaan, persatuan, badan agama, sekolah, universiti, kelab dan pertubuhan.

Hadiah cabutan istimewa setengah tahun berupa kereta Mercedes C200 Vantgarde, Honda Civic, pakej percutian atau umrah dan telefon pintar.

Manakala, cabutan suku tahunan pula terbahagi kepada dua kategori iaitu Jutawan dan Al-Awfar Junior, yang mana pemenang berpeluang memenangi wang tunai RM1 juta dan bagi Al-Awfar Junior pula berpeluang memenangi iMac, Macbook Pro, iPhone dan wang saguhati.

Pada masa sama, Bank Islam masih meneruskan cabutan bulanan kempen Jom Pindah Gaji sehingga Disember 2019.

Pelanggan hanya perlu memindahkan gaji ke Bank Islam untuk layak menyertai cabutan ini yang terbuka kepada kakitangan kerajaan dan semua agensi di bawahnya.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts