Khamis, Disember 30, 2021

LHDN yakin kutipan cukai akan lebihi sasaran RM132 bilion

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkeyakinan jumlah kutipan cukai tahun ini akan melebihi RM132 bilion yang disasarkan oleh kerajaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Mohd Jaafar Embong berkeyakinan jumlah itu akan terus meningkat menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, pencapaian dicatat LHDN itu dilihat positif berikutan kutipan cukai terus meningkat walaupun negara masih dilanda pandemik COVID-19, selain beberapa negeri berdepan bencana banjir ketika ini.

"Saya tiada statistik terperinci ketika ini, namun (jumlah kutipan cukai semasa) sudah melebihi sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Memang kita ada memberi beberapa kelonggaran kepada pembayar cukai, namun Alhamdulillah, Malaysia ini negara makmur. Tidak semua industri terjejas.

"Setakat ini, sasaran yang diberi kerajaan berjaya dicapai oleh LHDN, dan pembayar cukai masih menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Perincian dari segi jumlah kutipan dan peratusan melebihi sasaran, belum ada kerana perlu tunggu selepas hujung tahun. Namun yang penting, sasaran berjaya dicapai," katanya pada sidang media Program Kasih PRIHATIN-MAIWP di Dewan Komuniti Sentul Perdana, di sini, hari ini.

Awal tahun ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan sasaran kutipan cukai tahun ini adalah RM143.9 bilion, namun ia disemak semula kepada RM132 bilion susulan situasi ekonomi yang masih terkesan dengan impak pandemik COVID-19.

Sementara itu ditanya mengenai kebimbangan pembayar cukai berhubung pindaan undang-undang yang membolehkan LHDN mengakses maklumat akaun bank mereka pula, Mohd Jaafar menegaskan perkara berkenaan tidak perlu dikhuatiri.

"Jangan bimbang kerana kita perlu mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu.

"Kita tidak sewenang-wenang boleh mengakses maklumat akaun bank pembayar cukai dengan sesuka hati. Ia mesti mendapat kebenaran mahkamah. Maknanya, jangan bimbang," katanya.

Awal bulan ini, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kewangan 2021 yang merangkumi cadangan pindaan terhadap Seksyen 106A Akta Cukai Pendapatan.

Pindaan Seksyen 106A itu memberi kuasa kepada LHDN supaya tidak lagi perlu memaklumkan kepada pembayar cukai untuk memohon butiran akaun bank mereka daripada pihak bank bagi tujuan semakan atau penyiasatan.

Terdahulu, Mohd Jaafar merasmikan Program Kasih PRIHATIN-MAIWP yang menyaksikan sejumlah 35,719 asnaf terkesan pandemik, menerima bantuan bawah pelaksanaan inisiatif itu sejak Oktober lalu.

Program itu adalah hasil kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lain, untuk menyalurkan sumbangan berbentuk barang keperluan asas, penjagaan diri dan seumpamanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts