S&P Global Ratings (S&P) mengesahkan semula penarafan kredit
kedaulatan mata wang asing dan mata wang tempatan jangka panjang
Malaysia pada 'A-' dan 'A' dengan tinjauan negatif.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata
pengesahan itu membuktikan kedudukan luaran negara yang kukuh,
fleksibiliti dasar monetari, rekod menyokong pertumbuhan ekonomi mampan
dan ketahanan ekonomi pada masa yang tidak menentu yang diiktiraf.
Beliau berkata, ia menunjukkan keyakinan S&P terhadap Malaysia di
tengah-tengah tekanan penilaian kredit yang belum pernah terjadi
sebelumnya di peringkat global, yang mana kira-kira 20 peratus daripada
semua penarafan hutang dengan prospek negatif pada akhir 2020 telah
diturunkan oleh tiga agensi penarafan kredit utama setakat ini.
Katanya, hampir 18 bulan berlakunya pandemik COVID-19, prospek
pertumbuhan global tetap tidak menentu dengan varian COVID-19 baharu
telah menyebabkan peningkatan semula kes dan pelaksanaan semula langkah
membendung dan penangguhan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial
oleh kerajaan di seluruh dunia.
"Rantau Asia, khususnya, telah menghadapi pelbagai cabaran seperti
peningkatan jumlah kes jangkitan dan jumlah kematian yang lebih tinggi,
diburukkan lagi ketidaksamaan vaksin, yang mana akses kepada vaksin
dikuasai oleh ekonomi maju.
"Oleh itu, pemulihan pertumbuhan dijangka berbeza di seluruh negara
dan sektor, mencerminkan variasi dalam cabaran yang berkaitan dengan
pandemik dan juga tahap sokongan fiskal," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam menangani cabaran, Tengku Zafrul berkata, Malaysia telah
mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (NRP) merangkumi empat fasa yang akan
membolehkan negara keluar dari pandemik COVID-19.
Beliau berkata, berpandukan paras ambang berdasarkan purata kes
baharu COVID-19 harian, kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU)
dan peratusan penduduk yang divaksin sepenuhnya, NRP akan membolehkan
penduduk, perniagaan dan pelabur untuk merancang dengan sewajarnya
ketika Malaysia bergerak dari satu fasa ke fasa yang lain.
Katanya, keadaan itu akan memberikan kepastian dan kejelasan terutama
dari segi membuka semula sektor ekonomi dan sosial sebaik saja paras
ambang itu dicapai.
"S&P telah menekankan bahawa sejak pelaksanaan fasa pertama pada 1
Jun 2021, kes telah stabil sejak dua minggu sebelumnya, dan pemulihan
ekonomi Malaysia akan beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini,
berdasarkan pendekatan pembukaan semula secara berhati-hati oleh
kerajaan.
"Setakat ini, Malaysia berjaya mengurangkan purata kes harian dari
paras tertinggi 8,000 kepada sekitar 5,000 sehari, sambil mengekalkan
nisbah kes kematian kurang dari 0.6 peratus dan disokong oleh kadar
pemulihan lebih 85 peratus," katanya.
Tengku Zafrul berkata, dalam memperkukuhkan prospek pertumbuhan,
kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan dan bantuan bernilai RM380
bilion sejak pandemik melanda, dan belanjawan tahunan bernilai RM322.5
bilion untuk 2021.
Beliau berkata, daripada langkah di bawah Belanjawan 2021 dan pakej
rangsangan, sekurang-kurangnya RM300 bilion masih berterusan, dan
dijangka menyokong pemulihan ekonomi, terutama pada fasa NRP yang
berlainan.
"Setakat ini, pemantauan ketat oleh Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi
Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Kementerian Kewangan
menunjukkan RM200 bilion telah disalurkan daripada pakej rangsangan
ekonomi dan bantuan yang memanfaatkan lebih 20 juta orang dan 2.4 juta
perniagaan sejak Mac 2020.
"Dalam jangka masa sederhana, kerajaan tetap teguh dalam meneruskan
pembaharuan struktur yang berterusan untuk meningkatkan potensi
pertumbuhan ekonomi. Ini merangkumi pelaksanaan Aspirasi Pelaburan
Nasional untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menjana
pekerjaan berkemahiran tinggi dan gaji lebih baik," katanya.
Walaupun terdapat risiko pertumbuhan yang lebih tinggi disebabkan
oleh langkah membendung pandemik baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata,
kesan kecil terhadap ekonomi dijangkakan berkurangan kerana Malaysia
bergerak melalui setiap fasa NRP, terutamanya dengan lebih banyak sektor
ekonomi dan sosial dibuka semula, dan pelbagai sektor telah
menyesuaikan diri dengan baik untuk beroperasi dari jarak jauh menerusi
teknologi digital.
Justeru, beliau berkata, kesan keseluruhan terhadap ekonomi dijangka
kurang teruk berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang
dilaksanakan pada Mac 2020.
Melangkah ke hadapan, katanya, ekonomi Malaysia dijangka pulih secara
beransur-ansur berikutan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang
semakin meningkat, dan paras ambang NRP dipenuhi untuk pembukaan semula
yang lebih meluas aktiviti ekonomi dan sosial.
"Setakat ini, Malaysia telah memberi secara purata 160,000 dos setiap
hari, yang mana dijangkakan meningkat kepada 400,000 dos setiap hari
pada Ogos 2021.
"Pada kadar ini, 60 peratus penduduk dijangka mendapat vaksin
sepenuhnya pada akhir Oktober tahun ini. Faktor lain yang mendorong
pemulihan ekonomi Malaysia termasuk peningkatan permintaan luaran dari
rakan dagang utama, bersama dengan ekonomi yang pelbagai dan pelaksanaan
projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi," katanya.
Tengku Zafrul juga menjelaskan S&P juga mengakui bahawa sektor
pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia yang matang berada
pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada lonjakan
permintaan global dan kitaran meningkat teknologi global, menyokong
eksport untuk satu hingga dua tahun akan datang.
Beliau berkata, dasar kerajaan dalam mendorong digitalisasi dan
penggunaan teknologi juga dijangka meningkatkan prospek dan ketahanan
ekonomi jangka panjang Malaysia.
Selain itu, katanya, Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 - 2025) akan
menyediakan rangka tindakan untuk pertumbuhan yang mampan, bertujuan
memperkukuhkan keterangkuman sosio-ekonomi, dan kelestarian alam
sekitar.
Sumber : Berita Harian