Memaparkan catatan dengan label ewallet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ewallet. Papar semua catatan

Isnin, Februari 05, 2024

Tambah nilai TNG eWallet guna kad kredit dikenakan caj 1 peratus mulai 23 Februari 2024


TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) akan mengenakan caj satu peratus untuk semua tambah nilai Touch n Go eWallet (TNG eWallet) menggunakan kad kredit mulai 23 Februari 2024.

Bagi tambah nilai melalui kad debit dan DuitNow, TNGD memaklumkan bahawa urus niaga itu kekal percuma tanpa sebarang caj.

Ketua Pegawai Operasi TNGD, Alan Ni, berkata langkah itu diambil bagi mengekang pengeluaran wang melampau menggunakan kad kredit ke akaun bank.

Selain itu, katanya, ia bagi mengurangkan kos besar kad kredit yang ditanggung oleh TNGD selama ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pengguna TNG eWallet untuk menggunakan DuitNow untuk membuat tambah nilai kerana ia menggunakan proses pemindahan dana antara bank.

"Sebagai institusi kewangan terbesar yang menguruskan lebih 20 juta pengguna yang disahkan e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), kita mesti mencari keseimbangan antara kemudahan, keselamatan dan kemampanan kos jangka panjang syarikat.

"Untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna, kami masih membenarkan kad kredit sebagai satu daripada saluran tambah nilai tetapi kami juga menggesa pengguna untuk menambah nilai eWallet mereka melalui DuitNow atau kad debit, yang kedua-duanya adalah percuma.

"Apabila membuka akaun eWallet, pengguna diberikan nombor akaun DuitNow sama seperti akaun bank. Anda boleh menemui nombor akaun DuitNow ini pada bahagian profil eWallet," katanya.

Pada Oktober tahun lalu, TNGD pernah menurunkan had tambah nilai kad kredit percuma kepada RM1,000 sebulan berbanding RM5,000 sebelumnya.

Dengan langkah itu, TNGD menjelaskan , ia sebagai cara mengekang pengeluaran kad kredit ke akaun bank.

Sumber : Berita Harian

Isnin, Disember 04, 2023

Kredit Tunai RM100 eMADANI melalui eWallet MAE, Setel, Shopee dan Touch & Go

 


Apakah inisiatif eMADANI?

  • Program eMADANI merupakan satu inisiatif Kerajaan yang telah diumumkan di bawah kerangka ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’.
  • Program ini bertujuan untuk meningkatkan penggunaan transaksi tanpa tunai di samping meringankan beban kewangan rakyat.
  • Program ini dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat Malaysia, melalui tawaran kredit eMADANI bernilai RM100 yang boleh digunakan bagi pembelian fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih.
  • Pada masa yang sama, penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian akan turut menawarkan inisiatif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback), diskaun, mata ganjaran (reward points) dan ‘coins’.  

Siapakah yang layak menerima kredit eMADANI ini?

Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia; dan
  2. Mencapai umur 21 tahun ke atas pada tahun 2023; dan
  3. Merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada  7 November 2023 ATAU mempunyai pendapatan berjumlah RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 15 Julai 2023. 
     

Anda juga perlu memenuhi langkah verifikasi identiti secara elektronik  ‘Know-Your-Customer’ (eKYC) dengan penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan anda sebelum permohonan kredit eMADANI boleh dibuat. 

Bilakah program ini akan bermula dan berakhir? Adakah kredit eMADANI dan insentif yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan e-dompet mempunyai tarikh luput?

  • Permohonan kredit eMADANI hanya boleh dibuat sekali bagi setiap pemohon yang layak, mulai jam 8.00 pagi, 4 Disember 2023 hingga 11.59 malam, 20 Februari 2024.
  • Setelah kredit berjaya dipohon, ia perlu dibelanjakan selewat-lewatnya pada 11.59 malam, 29 Februari 2024. Selepas tarikh akhir ini, baki kredit eMADANI yang tidak digunakan akan luput secara automatik daripada e-dompet pemohon.
  • Insentif yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan e-dompet bergantung kepada polisi masing-masing. Sila rujuk pengumuman kempen penyedia perkhidmatan e-dompet tersebut untuk maklumat lanjut.

Di manakah saya boleh membuat tuntutan kredit eMADANI ini?

Penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat dalam program ini ialah:

  1. MAE;
  2. Setel;
  3. ShopeePay; dan
  4. Touch ‘n Go eWallet.

Bagaimana saya boleh memohon kredit eMADANI?

Proses verifikasi bagi pengguna baharu dan sedia ada boleh dilakukan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat.

Langkah 1: Muat turun aplikasi e-dompet terlibat di Apple App StoreGoogle Play Store atau Huawei AppGallery.

Langkah 2: Bagi pengguna baharu atau sedia ada, ikuti arahan yang disediakan dalam aplikasi  e-dompet tersebut.

Langkah 3: Penyedia perkhidmatan e-dompet akan membuat verifikasi identiti anda secara elektronik 'Know-Your-Customer' (eKYC).

Langkah 4: Pada aplikasi e-dompet pilihan anda, sila masukkan maklumat yang diperlukan di halaman tuntutan eMADANI dan tekan “Hantar”.

Langkah 5: Anda akan dimaklumkan sekiranya tuntutan berjaya.

Penerima yang layak hanya boleh menuntut kredit eMADANI daripada satu (1) penyedia perkhidmatan e-dompet sahaja. Sila rujuk aplikasi e-dompet masing-masing untuk maklumat lanjut mengenai penebusan kredit eMADANI.


Apakah yang boleh saya beli menggunakan kredit eMADANI tersebut?

Anda boleh menggunakan kredit RM100 eMADANI untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit/perniagaan melalui e-dompet pilihan anda, KECUALI:

  1. Pemindahan 'peer-to-peer';
  2. Penebusan tunai;
  3. Bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  4. Bayaran fi berkaitan Kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  5. Bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  6. Pembelian permainan ('games') terintegrasi dengan aplikasi e-dompet;
  7. Bayaran tempat letak kereta dan/atau tol;
  8. Aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet; dan 
  9. Transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian.



Ahad, September 06, 2020

Grab perluas perkhidmatan ke bandar kecil Semenanjung


Penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab akan memperluaskan tiga rangkaian perkhidmatannya, iaitu GrabCar, GrabFood dan GrabMart ke beberapa bandar kecil di Semenanjung Malaysia bulan ini.

Ketua Bahagian Kerajaan dan Hal Ehwal Awam Grab Malaysia, Ebi Azly Abdullah berkata inisiatif itu bertujuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti menjana pendapatan dan memperkasakan sektor ekonomi digital negara.

Antara kawasan terbabit ialah Cameron Highlands di Pahang, Pantai Remis di Perak, Baling di Kedah selain Mersing dan Segamat di Johor, katanya,

"Perkhidmatan GrabCar di Mersing dan Segamat (dijangka) bermula akhir September ini seterusnya khidmat GrabFood dan GrabMart (tanpa tunai dengan GrabPay) dirancang pada suku keempat tahun ini. Di utara Semenanjung, Grab akan mula beroperasi di bandar seperti Cameron Highlands, Pantai Remis dan Baling.

"Ini adalah sebahagian usaha Grab bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam ekonomi digital terutama masyarakat luar bandar yang mana menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan penengah adalah 41 peratus lebih rendah daripada penduduk bandar," katanya yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran DesaMall@Mersing oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, di sini, hari ini.

Ebi Azly berkata, sebagai penyokong ekonomi digital, pihaknya berbangga dapat membawa teknologi berkenaan kepada masyarakat luar bandar dengan menyediakan khidmat solusi yang lebih selamat, boleh dipercayai dan berpatutan.

"Secara tidak langsung, kami mewujudkan lebih banyak peluang meraih pendapatan di seluruh ekosistem perkhidmatan kami merangkumi pengangkutan, makanan dan pasar raya terutama di kawasan luar bandar.

"Dengan pengembangan ini, kami juga berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan rakan kongsi strategik agar aktiviti ekonomi digital di kawasan terlibat terus berkembang maju," katanya.

Beliau berkata, Grab juga memperluas inisiatif 'Pakej Pikul Bersama' bagi ahli pemandu baharu yang menyertai platform itu dengan menyediakan pembayaran balik secara sekali sahaja sehingga RM120 bagi lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan RM70 bagi pemeriksaan permulaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Menurutnya inisiatif itu diwujudkan bagi membantu rakan pemandu melepasi beberapa proses peraturan ketika pertama kali diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan, tahun lepas sekaligus membantu memastikan ekonomi yang lebih adil dan inklusif.

"Grab bermatlamat untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong dan mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan bagi rakyat Malaysia di seluruh negara dengan menyediakan kehidupan lebih baik," katanya.

Ebi Azly berkata, dengan pengenalan perkhidmatan Grab yang lain seperti GrabFood dan GrabMart dalam beberapa bulan akan datang, ia dapat membantu meningkatkan lagi peluang perniagaan dan pendapatan di seluruh negara.

"Justeru, ia akan memberi pendekatan tambahan bagi perniagaan untuk memperluas pangkalan pelanggan mereka dengan memanfaatkan jutaan pengguna Grab ke kawasan bandar dan bandar kecil.

"Grab akan bekerjasama rapat dengan usahawan luar bandar dalam menjayakan kempen dan strategi promosi yang disesuaikan dalam usaha membantu mereka mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Grab adalah aplikasi super terkemuka di Asia Tenggara yang menyediakan perkhidmatan harian dan telah dimuat turun lebih daripada 166 juta pengguna di peranti mudah alih dan memberi akses kepada lebih daripada sembilan juta pemandu, peniaga dan ejen.

Sumber : BERNAMA

Recent Posts