Ahad, Mac 24, 2024

Serangan lelaki bersenjata di Moscow menyebabkan 62 terbunuh


Seorang wartawan AFP melihat pegawai polis bersama anjing pengesan sedang memeriksa kenderaan yang diletakkan di sebelah bangunan itu.

Kumpulan Daesh, dalam satu kenyataan, mengakui pejuangnya menyerang 'sebuah perhimpunan besar' di pinggir Moscow dan 'berundur ke pangkalan mereka dengan selamat'.

Perkhidmatan keselamatan yang dipetik Interfax berkata, antara dua dan lima orang 'memakai seragam taktikal dan membawa senjata automatik', melepaskan tembakan ke arah pengawal di pintu masuk dan kemudian mula menembak ke arah penonton.

"Orang ramai yang berada dalam dewan itu menundukkan badan untuk melindungi diri mereka daripada tembakan selama 15 atau 20 minit," kata wartawan RIA Novosti.

Tambah beliau, pada awalnya berlaku rempuhan apabila penonton berpusu-pusu mencari jalan keluar, disusuli orang ramai yang mula merangkak keluar apabila keadaan selamat.

Kementerian perkhidmatan kecemasan melalui Telegramnya, berkata kira-kira 100 orang melarikan diri melalui ruang bawah tanah teater, manakala yang lain mencari perlindungan di atas bumbung.

Bagaimanapun, kira-kira satu pertiga daripada kompleks itu terbakar, lapor wartawan media Russia.

Tiga helikopter terbabit dalam usaha memadam kebakaran dengan melepaskan air di dewan konsert gergasi yang boleh memuatkan beberapa ribu orang itu dan sebelum ini menjadi tuan rumah kepada persembahan artis antarabangsa terkemuka.

Tragedi kali ini adalah yang terburuk di Russia sejak kumpulan pengganas menjadikan lebih 1,000 orang termasuk ratusan kanak-kanak, sebagai tebusan di Beslan pada 2004.

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali, berkata pihaknya sudah memberi amaran yang secukupnya kepada Russia supaya berwaspada terhadap serangan seumpamanya.

Katanya, Kedutaan AS pada 8 Mac lalu memberi amaran kepada Russia bahawa 'pengganas' membuat perancangan segera untuk menyerang Moscow, beberapa jam selepas pasukan keselamatan Russia menggagalkan serangan kumpulan Daesh terhadap sebuah pusat ibadat Yahudi.

Jurucakap kementerian luar Russia, Maria Zakharova berkata, ia adalah 'serangan pengganas paling berdarah'.

"Seluruh masyarakat antarabangsa mesti mengutuk jenayah keji ini," katanya di Telegram.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyifatkan serangan itu 'mengerikan', namun menegaskan tiada tanda yang menunjukkan ia ada kaitan dengan konflik di Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Kyiv 'tiada kaitan' dengan serangan itu, manakala perisikan tenteranya menyifatkan punca serangan itu sebagai 'provokasi' Russia dan mendakwa wujud peranan perkhidmatan khas Moscow di sebalik kejadian itu.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," kata Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, yang membatalkan semua acara awam di bandar ini pada hujung minggu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), Perancis, Sepanyol dan Itali menyertai beberapa negara lain dalam mengutuk serangan itu, dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengecam 'tindakan keganasan yang menjijikkan'.

Agensi berita TASS berkata, SOBR, pasukan polis khas dan skuad anti rusuhan OMON sudah dihantar ke Dewan Bandaraya Crocus untuk menjalankan siasatan. -

Sumber : AFP

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts