Memaparkan catatan dengan label mati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mati. Papar semua catatan

Rabu, Februari 21, 2024

Tun Abdul Taib Mahmud meninggal dunia


Bekas Yang di-Pertua Negeri yang juga Ketua Menteri paling lama di Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, meninggal dunia di Kuala Lumpur, pagi ini.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.28 pagi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

Ia disahkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, pagi ini.

Jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum diterbangkan balik ke Kuching, hari ini.

Beliau berkata, penghormatan terakhir terhadap tokoh berusia 87 tahun itu akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Disolatkan di Masjid Negara

Sementara itu, jenazah Taib Mahmud selesai disolatkan di Masjid Negara pada 10.24 pagi.

Solat jenazah dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni itu, turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain serta kira-kira 100 hadirin terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke Sarawak.

Terdahulu, van membawa jenazah Allahyarham tiba di Masjid Negara untuk dimandikan jam 9.11 pagi, selepas selesai urusan di hospital swasta, sebelum dijangka dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, di Subang untuk diterbangkan ke Kuching, Sarawak pada 1 tengah hari.

Jenazah Allahyarham turut diiringi isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan anak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia pada 4.40 pagi tadi selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di hospital berkenaan.

Jenazah dibawa ke Lapangan Terbang Subang

Dari Masjid Negara, jenazah Taib Mahmud sudah dibawa ke Lapangan Terbang Subang, sebentar tadi.

Allahyarham dibawa dengan van jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dari Masjid Negara pada 12.30 tengah hari.

Beberapa kenderaan yang dinaiki ahli keluarga Allahyarham turut mengiringi van jenazah ke lapangan terbang, sebelum jenazah dibawa menaiki penerbangan ke Sarawak pada 1 tengah hari.

Jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak, pada 3.30 petang sebelum dibawa ke kediamannya di Demak Jaya, Sarawak, untuk penghormatan terakhir.

Terdahulu, pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berangkat tiba bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang juga Ketua Menteri Sarawak paling lama.

Turut kelihatan pada majlis penghormatan terakhir bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Upacara penghormatan terakhir turut dijangka diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada esok, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak, selepas solat Zuhur.

Bendera Sarawak separuh tiang

Bendera Sarawak, Ibu Pertiwi dikibar separuh tiang sebagai menghormati pemergian Taib Mahmud.

Semua premis mula menurunkan kibaran bendera sejurus menerima arahan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pagi tadi.

Turut diturunkan, bendera ikonik di Dataran Ibu Pertiwi yang terletak bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Jenazah Taib Mahmud akan ditempatkan di kediamannya di Demak Jaya dan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak jam 8 pagi esok untuk penghormatan terakhir hingga 11.30 pagi.

Jenazah Allahyarham akan disemadikan dalam upacara pengebumian negeri di Tanah Perkuburan Demak Jaya, petang esok.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts