Khamis, Mac 21, 2024

Mahkamah kekalkan hukuman pembunuh pelajar tahfiz yang dibakar hidup-hidup

 


Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu kejadian kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, dekat sini, tujuh tahun lalu adalah jenayah terancang sehingga mengorbankan nyawa 23 anak tahfiz yang ditemui rentung sehingga tidak dapat dicam pihak bomba.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling berhujah, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu adalah mangsa kekejaman yang sangat serius kerana dibakar hidup-hidup, manakala sebahagiannya lemas akibat asap.

Katanya, keterangan menunjukkan dua tong gas masing-masing seberat 14 kilogram (kg) diletakkan di depan pintu bilik asrama adalah satu-satunya jalan keluar, sebelum melepaskan gas ketika penghuni-penghuninya sedang nyenyak tidur.

"Pelakunya memilih untuk meletakkan kedua-dua tong gas di tingkat dua, bukan di bahagian halaman tingkat bawah kerana menyedari aras berkenaan menempatkan bilik asrama.

"Perbuatan pelaku adalah satu jenayah terancang yang mengorbankan penghuni pusat tahfiz itu dalam satu malam," katanya ketika berhujah dalam rayuan seorang pemuda berusia 22 tahun yang disabitkan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu.

Lelaki berkenaan merayu perintah dan sabitan ditahan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong diketepikan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir pemuda itu dan dia kekal ditahan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam penghujahannya, Mei Ling memohon perintah itu dikekalkan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam serta kepentingan keluarga yang menghantar anak-anak mereka berusia antara enam dan 16 tahun ke pusat tahfiz berkenaan.

Beliau turut menggambarkan rentetan kejadian berhubung penemuan mayat semua mangsa dalam keadaan rentung dan mengekot sambil berpelukan kerana dibakar hidup-hidup, serta tidak boleh keluar dan hanya menunggu untuk diselamatkan.

Katanya, keadaan mayat mangsa sangat menyayat hati sehingga menggagalkan usaha pengecaman oleh pihak bomba dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terpaksa dilakukan.

"Ketika pihak bomba tiba, tiada lagi bunyi teriakan... yang tinggal hanya suasana sepi yang menyeramkan," katanya.

Terdahulu, Mei Ling berhujah, pihak pendakwaan mengemukakan keterangan ikut keadaan yang kukuh bahawa pemuda itu bertanggungjawab menyebabkan kebakaran itu.

Hujah beliau, perayu adalah pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran dan perbuatan itu dilihat oleh dua saksi penting pendakwaan iaitu SP68 dan SP69.

Katanya, tiada asas bahawa kedua-dua saksi itu berniat memerangkap perayu dengan memberi keterangan sedemikian kerana mereka bersahabat baik.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili perayu berhujah, keterangan ikut keadaan dikemukakan pihak pendakwaan tidak cukup kuat untuk mensabitkan anak guamnya terhadap kesalahan itu.

Hujah Haijan, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan anak guamnya yang membawa botol mineral mengandungi petrol ke tingkat dua asrama itu.

Malah, beliau berkata, ketika berbual di kedai makan berdekatan tempat kejadian, semua saksi mengesahkan tiada perbualan untuk membakar tahfiz dibuat.

"Mereka hanya berbual untuk main 'snuker' dan tiada niat untuk membakar, kecuali timbul perkataan 'belilah petrol' daripada seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti.

"Seorang saksi pakar forensik juga menyatakan kebakaran mula berlaku pada jam 5.25 pagi sedangkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) menunjukkan anak guam saya beredar daripada kawasan itu pada jam 4.48 atau 4.49 pagi," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts