Ahad, Januari 23, 2022

Aliff Aziz juara Gegar Vaganza 8

 

Pertarungan pentas akhir musim kelapan Gegar Vaganza (GV8) menyaksikan Aliff Aziz muncul juara dalam program realiti yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Mempersembahkan tiga tugasan merangkumi solo, duet dan 'battle', Aliff menumpaskan lima peserta lain dan meraih hadiah wang tunai RM100,000.

Bagi lagu solo, penyanyi kelahiran Singapura ini menyampaikan lagu Sampai Syurga yang pernah dipopularkan Faizal Tahir.

Segmen duet pula menyaksikan penyanyi bervokal mantap itu berpadu suara dengan Hafiz Suip mendendangkan lagu Dealova. Aliff kemudian dipertemukan dengan Aweera untuk menyanyikan lagu Bangun dalam segmen 'battle'. 

Persembahan penuh bertenaga dan konsisten yang ditunjukkan suami kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah ini mencuri tumpuan penonton dan mendapat komen positif juri.

Pada konsert akhir itu, Nikki Palikat menduduki tempat kedua dan memenangi wang tunai RM50,000.

Nikki mempertaruhkan lagu solo berjudul Terasing dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, single Mengapa yang disampaikan secara duet bersama Idayu dan Gangnam Style untuk segmen 'battle' bersama Suki Low.

Suki menduduki tempat ketiga dengan memenangi hadiah wang tunai RM30,000. Tempat keempat diraih Adibah Noor yang membawa pulang wang tunai RM20,000.

Biarpun berada pada kedudukan kelima dan keenam, Azan Scan dan Aweera masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong.

Azan Scan membawa pulang hadiah wang tunai RM15, 000 manakala Aweera beroleh RM10,000.

Pentas akhir GV8 diadili juri tetap, Datuk Ramli MS; bintang legenda Indonesia, Hetty Koes Endang; pensyarah dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat serta penyanyi hip-hop tersohor, Joe Flizzow sebagai juri undangan.

Program realiti nyanyian dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse selama 10 minggu itu turut disertai kumpulan Shidee, Nico G, Datuk Fazley Yaakob, Upiak, Bandi Amuk, Saiful Apek & Yassin (SA.YA) dan Ani Mayuni.

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts