Memaparkan catatan dengan label gegar vaganza. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label gegar vaganza. Papar semua catatan

Isnin, November 28, 2022

Jaclyn Victor juara Gegar Vaganza 9

 


Jaclyn Victor diangkat sebagai juara program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Mempersembahkan dua tugasan merangkumi solo dan 'battle', Jaclyn menumpaskan lima finalis lain dan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000.

Bagi lagu solo, Jaclyn menyampaikan lagu It's All Coming Back To Me Now dendang asal Celine Dion dan This Is Me (Keala Settle).

Segmen 'battle' pula menyaksikan Jaclyn berentap dengan kumpulan VE menyampaikan lagu The Real Slim Shady (Eminem) dan Sang Saka Biru (Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Alyph).

Sementara itu, Bob Yusof menduduki tempat kedua, sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000.

Bob mempertaruhkan lagu solo berjudul Rahasia Perempuan yang dipopularkan Ari Lasso dan Sejati (Wings).

Bob juga bertarung dengan Hazrul Nizam untuk segmen 'battle' menerusi Ice Ice Baby (Vanilla Ice) dan Swipe (Alyph).

Shila Amzah pula hanya selesa menduduki tempat ketiga dan memenangi hadiah wang tunai RM30,000.

Tempat keempat diraih Tomok yang membawa pulang wang tunai RM20,000.

Seterusnya, kumpulan VE dan Hazrul Nizam dinobatkan sebagai pemenang tempat kelima dan keenam.

Kumpulan VE membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, manakala Hazrul Nizam beroleh RM10,000.

Pentas akhir GV9 diadili juri tetap, Datuk Ramli MS; penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang; pensyarah dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat serta penyanyi dan komposer, Edry Abdul Halim sebagai juri undangan.

GV9 dihoskan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein selama 11 minggu itu turut disertai Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan, Tom, Asheed, Fuad Rahman dan Roy Kapilla.

Sementara itu, pentas akhir GV9 turut diserikan dengan persembahan Ramlah Ram dan Amelina.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Januari 23, 2022

Aliff Aziz juara Gegar Vaganza 8

 

Pertarungan pentas akhir musim kelapan Gegar Vaganza (GV8) menyaksikan Aliff Aziz muncul juara dalam program realiti yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Mempersembahkan tiga tugasan merangkumi solo, duet dan 'battle', Aliff menumpaskan lima peserta lain dan meraih hadiah wang tunai RM100,000.

Bagi lagu solo, penyanyi kelahiran Singapura ini menyampaikan lagu Sampai Syurga yang pernah dipopularkan Faizal Tahir.

Segmen duet pula menyaksikan penyanyi bervokal mantap itu berpadu suara dengan Hafiz Suip mendendangkan lagu Dealova. Aliff kemudian dipertemukan dengan Aweera untuk menyanyikan lagu Bangun dalam segmen 'battle'. 

Persembahan penuh bertenaga dan konsisten yang ditunjukkan suami kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah ini mencuri tumpuan penonton dan mendapat komen positif juri.

Pada konsert akhir itu, Nikki Palikat menduduki tempat kedua dan memenangi wang tunai RM50,000.

Nikki mempertaruhkan lagu solo berjudul Terasing dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, single Mengapa yang disampaikan secara duet bersama Idayu dan Gangnam Style untuk segmen 'battle' bersama Suki Low.

Suki menduduki tempat ketiga dengan memenangi hadiah wang tunai RM30,000. Tempat keempat diraih Adibah Noor yang membawa pulang wang tunai RM20,000.

Biarpun berada pada kedudukan kelima dan keenam, Azan Scan dan Aweera masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong.

Azan Scan membawa pulang hadiah wang tunai RM15, 000 manakala Aweera beroleh RM10,000.

Pentas akhir GV8 diadili juri tetap, Datuk Ramli MS; bintang legenda Indonesia, Hetty Koes Endang; pensyarah dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat serta penyanyi hip-hop tersohor, Joe Flizzow sebagai juri undangan.

Program realiti nyanyian dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse selama 10 minggu itu turut disertai kumpulan Shidee, Nico G, Datuk Fazley Yaakob, Upiak, Bandi Amuk, Saiful Apek & Yassin (SA.YA) dan Ani Mayuni.