Ahad, Januari 23, 2022

Syura Badron kembali bergelar isteri

 

Selepas lapan tahun bergelar ibu tunggal, Syura Badron, 36, kini menjadi isteri kepada Muhd Farizat Ismail, 28, pada majlis akad nikah yang dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) di Masjid As-Salam, Puchong Perdana, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Majlis akad nikah itu dihadiri 30 ahli keluarga dan kenalan terdekat pasangan mempelai.

Pada majlis itu, penyanyi dan bekas juara musim kedua program realiti, Master Chef Selebriti itu menerima mas kahwin berupa jongkong emas seberat 1.5 gram.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menerima wang hantaran yang dipersembahkan dalam bentuk set barang kemas yang dirahsiakan nilai.

Syura turut menyerahkan lima dulang hantaran berbalas jumlah sama daripada pihak lelaki.

"Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan. Saya bernikah dengan lelaki bujang dan orang kebanyakan. Dia menjalankan perniagaan makanan kecil-kecilan.

"Kami berkenalan sejak lima tahun lalu. Dalam tempoh itu, dia menjadi penyokong dan pengkritik saya. 

"Ketika saya menceburi perniagaan produk kecantikan kulit, Charmant, dia banyak membantu dan memberi tunjuk ajar," katanya kepada BH Online.

Syura yang popular dengan lagu berentak irama Malaysia seperti Nazam Berkasih dan Bakawali bersyukur kerana tiga anaknya merestui perkahwinan itu.

"Mereka menangis kegembiraan ketika saya sah bergelar isteri tadi. Sebagai anak yang kian membesar, mereka faham pergelutan saya dalam meneruskan kelangsungan hidup.

"Namun, apa terjadi, saya tetap menjaga tiga amanah ini dengan baik. Malah, mereka serasi dengan suami selama ini," katanya.

Sementara itu, teman baik Syura, Lan Solo dan isteri, Shila Razlan masing-masing berkongsi berita gembira mengenai pernikahan penyanyi itu di Instagram (IG).

Sebelum ini, Syura menikahi Mohd Fadhly Md Yassin pada 16 April 2006. Bagaimanapun, mereka berpisah pada Ogos 2015.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nurul Dania Irdani, 15, Nurul Qaisara Sofia, 13, dan Muhammad Irfan Aryan, 11.

Sumber dari Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts