Isnin, Januari 24, 2022

Kerajaan beri jaminan tiada lagi PKP, sekatan balik beraya

 

Kerajaan memberi jaminan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini seperti didakwa pihak tertentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sektor ekonomi dan sosial serta pergerakan merentas negeri sudah dibenarkan kembali seperti biasa dan jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit saja.

Katanya, walaupun penularan COVID-19 dan peningkatan kes membabitkan varian Omicron masih direkodkan di negara ini, namun ia tidak bermakna penutupan sepenuhnya aktiviti rentas negeri dan daerah akan dilakukan kerajaan.

"Pengumuman mengenai pendirian kerajaan berhubung perkara itu sudah dibuat sebelum ini dan hanya pelaksanaan PKPD akan dilakukan di kawasan melaporkan peningkatan kes positif COVID-19 membimbangkan.

"Kita tidak akan menutup lagi sempadan negeri dan daerah dan kita juga tidak buat PKP seluruh negara.

"Ekonomi kita akan buka seperti biasa, ada orang kata ekonomi akan ditutup dan itu tidak betul.

"Saya beri jaminan kita tidak akan menutup lagi negara dari segi perniagaan dan sebagainya, bebas seperti sekarang sektor ekonomi kita dibuka seperti biasa, termasuk pergerakan rakyat seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama petugas KEMAS Daerah Bera.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, sebarang keputusan untuk melaksanakan PKPD akan dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita fokus kepada 'targeted area' saja, katakan di Bera satu kawasan FELDA terkena, FELDA Sebertak sebagai contoh, kalau di situ ada peningkatan kes kita 'lockdown' atau PKPD di situ saja dan kawasan berhampiran tidak terbabit.

"Jadi, jangan bimbang dah ada orang buat spekulasi kononnya sambutan Aidilfitri nanti tak boleh balik (kampung), jangan risau kita akan pastikan perkara ini tidak akan berlaku, tidak ada lagi PKP seluruh negara," katanya.

- Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.