UMNO perlu beri perhatian pada isu rakyat

Banyak diperkatakan di dalam media mengenai punca kekalahan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Trengganu. Semuanya ada, daripada masalah membabitkan calon itu sendiri hinggalah kepada masalah dalaman UMNO Bahagian Kuala Trengganu.

Namun bagi saya, puncanya lebih daripada isu parti dan calon itu sendiri. Ia merangkumi semua perkara, termasuk keadaan ekonomi dan tindakan kerajaan negeri Trengganu sendiri selepas pilihan raya Mac lalu.

Pertama, saya amat setuju dengan pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad bahawa masalah utama berpunca daripada pemilihan calon. Beliau dikatakan sombong dan tidak mesra rakyat. Jika benar, maka pucuk pimpinan mestilah bertanggungjawab kerana memilih calon itu.

Bukan mudah menukar persepsi orang ramai dalam masa dua minggu walaupun beliau tersenyum sepanjang berkempen. Pengundi telah lama mengenali calon ini dan sudah tentu membuat keputusan sendiri.

Sejak awal kempen, saya sudah merasai yang BN akan menghadapi kempen yang sukar apatah lagi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri terpaksa meminta pengundi mengundi parti dan bukan calon.

Nada percakapan itu menunjukkan BN mengakui calon tersebut menghadapi masalah persepsi. Betul atau tidak hanya pengundi yang tahu. Di situ sudah ada halangan besar bagi BN menghadapi pilihan raya itu.

Kedua, rakyat melihat kerajaan gagal mengawal harga barang berpunca daripada kenaikan harga minyak pada Jun lalu.

Walaupun harga minyak kini turun lebih rendah daripada harga sebelum kenaikan, harga barangan seperti beras, telur, ayam, ikan dan susu bayi masih lagi tinggi. Rakyat tertekan dan memberikan undi protes.

Ketiga, berita yang dibawa oleh media arus perdana terlampau berat sebelah. Liputan waktu perdana oleh sebuah stesen swasta tertumpu kepada berita calon BN sahaja dan calon parti pembangkang diburuk-burukkan. Ia menjadikan penonton meluat.

Taktik pemberitaan lapuk masih digunakan. Contohnya, sebuah cawangan Pas dibubarkan dan ahlinya masuk UMNO. Seorang wakil menyerahkan borang ahli masuk UMNO kepada Menteri Besar. Ini semua berita memperbodohkan fikiran rakyat.

Media cetak juga mesti dipersalahkan kerana menyiarkan berita berat sebelah dan sedap didengar oleh pucuk pimpinan sahaja.

Keempat, rakyat masih ingat keputusan kerajaan negeri membeli kereta Mercedes Benz untuk Exco selepas pilihan raya lalu.

Rakyat melihat wakil mereka sebagai tidak prihatin dan menggunakan duit rakyat untuk bermegah-megah semasa berkhidmat.

Saya percaya ada pengundi yang memberi undi protes kepada BN pada pilihan raya itu kerana isu tersebut. Kerajaan Selangor dan Perak akan menerima nasib yang sama pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mengandaikan BN mungkin menang jika pengundi luar balik mengundi juga tidak tepat kerana ia adalah andaian yang tiada asas kukuh.

Ia lebih kepada kenyataan untuk menyedapkan hati tetapi akan membunuh parti. Pemimpin akan sentiasa beranggapan bahawa pengundi luar tidak balik dan itu punca kekalahan. Hakikatnya, ada isu lebih penting yang perlu diperbetulkan.

Andaian bahawa pengundi muda tidak menyokong kerajaan juga tidak berasas kerana tiada kajian mengenainya. Pengundi pertengahan umur juga ada yang tidak mengundi BN. UMNO harus memberi perhatian kepada golongan ini.

BN juga mesti berubah daripada sikap memberi bila ada pilihan raya kecil seperti menurap jalan berlubang, memberi basikal kepada murid sekolah dan memperbaiki rumah usang. Ia dilihat sebagai tidak ikhlas dan tujuannya dilihat hanya untuk memancing undi. Perkara seperti itu sepatutnya dilakukan secara berterusan.

Inilah caranya bagi BN mendekati rakyat dan hasilnya akan dinikmati pada pilihan raya umum akan datang. UMNO perlu beri perhatian pada isu rakyat

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.