Komentar - Tangani isu pemberhentian pekerja dengan bijak

Dari awal lagi dunia diramal berhadapan dengan kemelesetan ekonomi pada 2009. Skandal kewangan dan krisis yang dihadapi institusi kewangan dan perbankan Amerika Syarikat serta Eropah telah mengheret bersama ekonomi dunia ke kancah masalah.

Kesannya turut dirasai di Malaysia, apabila syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di negara ini mula berkira-kira untuk mengecilkan operasi mereka.

Permintaan global yang semakin berkurang ekoran krisis ekonomi tersebut menyebabkan pengilang terutamanya, terpaksa mengecilkan saiz perniagaan mereka. Apabila saiz perniagaan dikecilkan ia pasti akan membabitkan pengurangan jumlah pekerja.

Berdasarkan ramalan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), kira-kira 200,000 pekerja di Malaysia bakal dihentikan pada tahun ini.

Angka ini jauh lebih besar berbanding hanya 85,000 pekerja dihentikan ketika negara berdepan dengan krisis kewangan 1998.

Ini merupakan faktor di luar kawalan semua pihak. Ia merupakan masalah global yang terpaksa ditelan walaupun pahit.

Namun ia bukan bermakna kita hanya sekadar melahirkan rasa simpati atas nasib 200,000 pekerja yang bakal diberhentikan itu tanpa perlu berbuat apa-apa.

Masalah ini sudah diramal akan berlaku sejak tahun lepas. Oleh itu pihak terbabit terutama Kementerian Sumber Manusia sepatutnya sudah mempunyai pelan dan perancangan untuk mengatasi masalah ini.

Mereka juga sepatutnya sudah belajar daripada pengalaman 1998 tentang bagaimana untuk menangani masalah pemberhentian pekerja ekoran krisis kewangan.

Ia tidak boleh dilakukan secara bidan terjun atau ad-hoc. Budaya bila ada masalah baru mahu cari penyelesaian, hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Sepatutnya pihak kementerian sudah mempunyai mekanisme-mekanisme tertentu untuk membendung perkara ini atau sekurang-kurangnya untuk menempatkan mereka yang diberhentikan itu di sektor lain.

Pada masa sama, pihak kementerian perlu pastikan bahawa tindakan majikan membuang pekerja itu adalah tulen.

Jangan biarkan mereka mengambil kesempatan guna alasan krisis ekonomi untuk membuang pekerja tempatan. Tetapi pada masa sama masih menggaji pekerja asing kerana upah murah.

Perkara ini perlu dipastikan tidak berlaku. Ini kerana ada kecenderungan di kalangan majikan yang lebih mengutamakan pekerja asing berbanding rakyat tempatan.

Selain itu, pihak kementerian juga perlu mengenal pasti sektor yang boleh menyerap pekerja-pekerja yang diberhentikan ini.

Bayangkan kesan sosial kepada negara jika 200,000 yang bakal diberhentikan itu gagal mendapat pekerjaan lain.

Sudah tentu ia akan menyumbang kepada masalah pengangguran yang serius. Kesan sampingannya ialah lahirnya pelbagai gejala sosial lain seperti jenayah dan masalah rumah tangga.

Oleh itu, kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia perlu membuat persediaan rapi bagi menghadapi masalah pemberhentian pekerja ini.

Kenal pasti sektor yang boleh menyerap mereka atau serapkan mereka ke dalam program latihan semula.

Dengan itu apabila ekonomi kembali pulih, mereka mempunyai kemahiran untuk memasuki pasaran pekerjaan.

Pengurangan pekerja asing dalam sektor pekerjaan di negara ini juga merupakan satu alternatif yang boleh dilihat oleh pihak kementerian dalam menghadapi kemelut ini.

Dalam keadaan gawat, pekerja tempatan perlu diutamakan. Jika boleh, gantung sementara kemasukan pekerja asing. Dengan itu ruang yang kosong itu dapat diisi oleh pekerja tempatan yang diberhentikan.

Yang penting Kementerian Sumber Manusia mesti bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain untuk mencari jalan agar masalah ini tidak menjadi barah yang tidak dapat diubati.

Ini merupakan krisis global. Sudah tentu tidak dapat mengelak daripada menerima tempiasnya.

Namun sesuatu perlu dilakukan supaya kesannya dapat dikurangkan dan tidak menjadi masalah serius kepada negara. Komentar - Tangani isu pemberhentian pekerja dengan bijak

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.