Isnin, Januari 12, 2009

Hanya parti bertanding dibenar kempen - Polis (PRK Kuala Terengganu)

Parti politik yang tidak terlibat dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak dibenarkan berkempen termasuk memasang bendera dan kain rentang milik parti tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, hanya Pas, Barisan Nasional (BN) dan calon Bebas dibenarkan mengadakan pelbagai aktiviti seperti memasang bendera atau kain rentang dan mengadakan ceramah di bawah Akta Pilihan Raya.

''Bagaimanapun, parti-parti politik yang tidak terlibat secara langsung dalam pilihan raya kecil ini boleh membantu berkempen dengan terlibat sama dalam ceramah-ceramah yang diadakan oleh Pas, BN atau calon Bebas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa polis cuba mensabotaj usaha parti itu untuk berkempen.

Mohd. Shukri berkata, polis telah menerima sebanyak 40 permohonan permit ceramah sejak hari penamaan calon pada 6 Januari lalu iaitu BN (10), Pas (26) dan PKR (empat).

''Setakat ini, polis telah meluluskan kesemua permohonan permit kecuali yang dibuat oleh PKR kerana parti itu tidak terlibat dalam pilihan raya kecil," ujarnya.

Beliau mengingatkan parti-parti yang ingin mengadakan ceramah atau perhimpunan supaya membuat permohonan permit 24 jam sebelum mengadakan majlis.

''Bagaimanapun atas budi bicara polis, kami masih meluluskan permohonan permit kepada parti yang membuat permohonan kurang daripada tiga jam sebelum ceramah itu bermula," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kadar jenayah menurun di Kuala Terengganu sejak enam hari lalu dengan hanya sekitar lima hingga enam kes jenayah dilaporkan sehari.

- Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.