Jangan buat keputusan berasaskan persepsi - Wan Farid (PRK Kuala Terengganu)


Kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu memasuki 'pusingan terakhir' hari ini. Ia bermakna tidak sampai lima hari sahaja lagi, pengundi-pengundi akan keluar menentukan siapakah yang bakal mereka pilih bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Pengundi-pengundi mempunyai tiga pilihan sama ada memilih calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut atau calon bebas, Azharudin Mamat.

Tidak seperti pilihan raya-pilihan raya sebelum ini, kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu yang bermula pada 6 Januari lalu tidak mengetengahkan banyak isu, jika pun ada terutamanya yang dibangkitkan oleh pembangkang ia hanyalah isu lama yang sudah ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Justeru personaliti calon menjadi topik perbualan dan antara yang paling popular ialah persepsi bahawa Wan Ahmad Farid adalah seorang yang sombong dan tidak mesra rakyat.

Persoalannya wajarkah persepsi ini dibiarkan berterusan sedangkan apa yang lebih penting ialah memastikan kesinambungan program-program yang bertujuan bagi memberi kesejahteraan kepada rakyat dapat diteruskan.

Adalah sesuatu yang tidak adil apabila Wan Ahmad Farid 'ditolak' hanya semata-mata kerana persepsi sedangkan beliau sudah mengorbankan segala-galanya termasuk jawatan dalam kerajaan demi untuk menawarkan bakti kepada penduduk Kuala Terengganu.

Jika beliau sombong dan tahu setakat mana hubungannya dengan rakyat di Kuala Terengganu sudah pasti beliau tidak mengambil risiko yang begitu tinggi untuk bertanding.

Oleh itu dalam soal ini, pengundi-pengundi Terengganu perlu membuat pertimbangan dan keputusan yang bijak. Ini kerana dalam Islam sendiri kita tidak digalakkan mempunyai prasangka buruk sesama insan hanya sekadar berasaskan kepada cerita orang.

Seharusnya Wan Ahmad Farid perlu diberi peluang untuk membuktikan siapa dirinya yang sebenar. Pilihan raya kecil ini bukanlah yang terakhir, justeru jika Wan Ahmad Farid dipilih dan gagal memberikan perkhidmatan yang terbaik, pengundi-pengundi berhak menolaknya dalam pilihan raya akan datang.

Tetapi untuk menolak dahulu tanpa memberikannya peluang untuk berbakti sedangkan sepanjang hayatnya beliau tidak pernah menjadi wakil rakyat ia adalah satu tindakan yang sama sekali tidak adil.

Atas sebab itulah, dalam soal ini selain memberi peluang kepada Wan Ahmad Farid membuktikan kemampuannya dan menangkis persepsi buruk terhadap beliau, ia juga bagi memastikan sebarang perancangan kerajaan Barisan Nasional (BN) sama ada di peringkat negeri atau Pusat tidak tergugat.

Kuala Terengganu tradisinya adalah milik BN kecuali pada tahun 1999, oleh itu tradisi tersebut perlu diteruskan apatah lagi BN sudah pasti akan menjaga kawasan berkenaan seperti 'anak emas' berikutan pertarungan sengit bagi mempertahankan kerusi itu.

Begitu juga Wan Ahmad Farid, beliau sudah pasti akan berkhidmat dengan sebaik-baiknya jika terpilih dan membuktikan bahawa beliau bukanlah seperti mana disangkakan oleh banyak pihak.

Oleh itu, soal persepsi tidak harus mempengaruhi keputusan pengundi kerana apa yang lebih penting ialah memastikan segala perancangan bagi meningkatkan hidup rakyat dapat diteruskan.

Pengundi-pengundi tidak harus terpengaruh dengan dakyah- dakyah berasaskan persepsi kerana kalaupun pembangkang menang ia hanya sekadar menambahkan kerusi sedangkan jika BN menang sudah pasti banyak nikmat yang akan mereka perolehi, apatah lagi di Terengganu kerajaan negeri adalah di bawah BN.

Justeru buatlah keputusan yang bijak dan berasaskan kepada fakta serta realiti bukannya persepsi yang belum tentu kebenarannya.

- Utusan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.