Isnin, Januari 12, 2009

Hudud bukan dasar Pakatan Rakyat

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, isu pelaksanaan hukum hudud di negara ini sepatutnya tidak berbangkit kerana ia tidak termasuk dalam dasar bersama pakatan pembangkang.

Menurutnya perjanjian bersama pakatan itu cukup jelas dan jika isu tersebut ditimbulkan, ia hanyalah satu usaha Barisan Nasional (BN) untuk memecahbelahkan perpaduan pembangkang.

''Jika salah satu pihak (dalam pakatan pembangkang) tidak setuju dalam sesuatu perkara seperti hudud maka ia tidak boleh dilaksanakan... ia mesti dibincangkan lagi.

''Itulah prinsip musyawarah. Sekiranya nak dilaksanakan juga hudud dan dalam pakatan pembangkang ada mana-mana parti tidak setuju, ia tidak boleh dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar di Markas Pas Kuala Ibai di sini hari ini.

Beliau ditanya pendirian DAP dalam soal pelaksanaan hukum hudud seperti diuar- uarkan Pas sebelum ini.

Hadir sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin kanan parti itu.

Sementara itu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata, parti itu sanggup bekerjasama dengan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekiranya Pas dan PKR tidak meneruskan usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud.

“Dalam politik telah dikatakan bahawa tiada musuh atau rakan yang kekal, tetapi prinsip yang kekal perlu dimiliki oleh setiap parti politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Karpal berkata, Pas dan PKR perlu menerima hakikat bahawa hudud tidak pernah termaktub dalam perundangan negara.

“Keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat pelbagai anutan di negara ini tidak boleh digugat dengan percubaan mengubah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Semalam Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganut Kristian tidak perlu gusar sekiranya masyarakat Islam mahukan undang-undang Islam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hudud untuk orang Islam sahaja.

Karpal berkata, hujah tersebut tidak logik. “Apa akan terjadi sekiranya seorang Islam dan bukan Islam menghadapi tuduhan bersama. Yang Muslim memilih dibicarakan menerusi hudud sementara bukan Islam memilih undang-undang sivil. Bagaimana mahkamah akan mengatasi dilema ini,” katanya.

Katanya, Perlembagaan hanya menetapkan satu bentuk undang-undang iaitu undang-undang sivil bagi orang Islam dan bukan Islam.

– Bernama

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts