Rabu, Disember 09, 2020

Honda CR-V baharu catat lebih 1,700 tempahan


 

Honda Malaysia menerima lebih 1,700 unit tempahan untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) CR-V Baharu dengan peningkatan 180 peratus selepas sebulan ia diperkenalkan ke dalam pasaran.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Ishiyama berkata, model 1.5 TC-P 2WD adalah paling laris dengan menyumbang 46 peratus jumlah tempahan keseluruhan.

"Wilayah tengah mencatatkan jumlah tempahan tertinggi sebanyak 45 peratus tempahan manakala selatan dan utara masing-masing dengan 20 dan 19 peratus.

"Daripada jumlah itu 30 peratus memilih warna Olive Metalik Gelap sebagai pilihan popular dan setakat ini sebanyak 1,300 unit CR-V baharu sudah diserahkan kepada pembeli," katanya dalam kenyataan hari ini.

CR-V yang turut membawa maksud 'Comfortable Runabout Vehicle' adalah model pemasangan tempatan (CKD) pertama yang diperkenalkan oleh Honda Malaysia pada 2003.

Ia juga model pertama Honda di negara ini yang menerima sistem keselamatan termaju Honda Sensing sebelum dipasang pada model-model lain selepas itu.

Sesuai sebagai kenderaan SUV serba guna ia juga kini dilengkapi Honda LaneWatch, prestasi dinamik dengan pilihan sistem pacuan empat roda (4WD) selain ruang dalaman yang luas serta selesa dengan kapasiti but 522 liter sehingga 1,084 liter sebaik kerusi belakang dijatuhkan.

Model ini tampil dengan gril kemasan hitam serta lampu hadapan signatur Honda dan bampar hadapan dengan gaya sayap baharu 'fascia' krom.

Bahagian belakang tampil dengan krom gelap, lampu belakang 'smoke', bampar dengan ekzos berkembar dan rim aloi 18 inci dwi-tona rekaan terkini.

Selain pintu but dengan kuasa elektrik, CR-V Baharu juga didatangkan dengan Penghidup Enjin Kawalan Jauh membolehkan pemiliknya menghidupkan enjin dan pendingin hawa dari luar tanpa perlu membuka kunci kenderaan.

"Tempoh pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini adalah tempoh terbaik pembeli mendapatkan model Honda CR-V Baharu pada harga yang menarik serta tempahan boleh dilakukan di kesemua pengedar sah Honda di seluruh negara yang turut mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk kesihatan dan keselamatan pelanggan," katanya.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Perak Metalik Lunar, Merah Mutiara Passion, Steel Metalik Modern, Olive Metalik Gelap dan Putih Mutiara Platinum.

Untuk pasaran Malaysia, Honda CR-V ditawarkan dengan tiga varian pada harga RM139,912 (2.0L 2WD), RM157,615 (1.5L TC-P 2WD) dan RM162,910 (1.5 TC-P 4WD) (semua harga atas jalan tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan).

Sumber : Harian Metro

 

FDA dedah 6 maut ujian percubaan vaksin Pfizer/BioNTech

 

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) mendedahkan enam orang meninggal dunia dalam fasa percubaan vaksin Pfizer/BioNTech COVID-19, hanya beberapa jam selepas Britain menjadi negara pertama dunia menggunakan vaksin itu.

Bagaimanapun, FDA menjelaskan, kes kematian itu tidak menimbulkan isu keselamatan atau persoalan baharu mengenai keberkesanan vaksin kerana ia berlaku ke atas populasi umum pada kadar yang sama.

Laporan setebal 53 muka surat itu yang dikeluarkan FDA hari ini adalah analisis terperinci pertama berkenaan percubaan vaksin oleh Pfizer dan BioNTech, pada November dengan 95 peratus keberkesanan mencegah jangkitan COVID-19.

Dokumen itu mendedahkan dua mangsa meninggal dunia ketika menerima dos percubaan vaksin itu, manakala empat lagi maut ketika berada di peringkat plasebo. 

"Semua mangsa yang meninggal dunia mewakili kadar populasi umum dan peringkat kumpulan umur di mana ia berlaku pada kadar sama," kata laporan itu.

Ia mengesahkan vaksin itu seperti dilaporkan oleh Pfizer, sekurang-kurangnya 95 peratus keberkesanan dalam masa tujuh hari selepas suntikan kedua, menurut laporan agensi berita antarabangsa, thenewdaily.com

Data terbabit menunjukkan vaksin berkenaan hanya 52 peratus berkesan selepas dos pertama.

Laporan itu merumuskan keberkesanan data memenuhi jangkaan FDA bagi kebenaran kegunaan kecemasan.

Bagaimanapun data itu masih tidak mencukupi untuk merumuskan sejauh mana vaksin itu selamat untuk kanak-kanak di bawah usia 16 tahun, wanita hamil dan individu yang mempunyai gangguan sistem imun.

Hujung minggu ini, panel saintis bebas akan menilai laporan FDA sebelum mengesyorkan sama ada mereka yang berusia 16 tahun ke atas disyorkan menerima vaksin terbabit.

FDA mengatakan keputusan itu menunjukkan titik keberkesanan yang sama antara kumpulan umur, jantina, kaum dan etnik dan peserta dengan komorbiditi perubatan yang berkaitan dengan risiko tinggi COVID-19.

Sumber : Berita Harian

 

Maybank Islamic perkenal akaun pelaburan baharu

 

Maybank Islamic Bhd melancarkan akaun pelaburan tertutup Multi-Asset Investment-i (MAIA) dengan sasaran meraih pelaburan RM250 juta menerusi produk yang julung kali seumpamanya ditawarkan bank komersial.

MAIA ditawarkan kepada pelanggan yang bermatlamat memaksimumkan pulangan dengan pelaburan dalam portfolio pelbagai aset pembiayaan bank dan pasaran sekuriti patuh Syariah.

Sebanyak 50 peratus pelaburan MAIA akan dibuat ke dalam aset pembiayaan Maybank Islamic yang menguntungkan dan stabil seperti gadai janji, sewa beli serta pembiayaan unit amanah.

MAIA memberi peluang kepada pelabur yang ingin meneroka peluang pelaburan pada jangka masa sederhana hingga panjang yang baharu dan akaun ini terbuka kepada individu serta pelabur institusi dengan pelaburan minimum sebanyak RM10,000.

Maybank Islamic Asset Management (MIAM) dilantik sebagai Pengurus Pelaburan Luar akan melaburkan baki 50 peratus dalam ekuiti patuh Syariah dan Amanah Pelaburan Hartanah (REITs).

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata bank menyasarkan potensi pulangan yang lebih tinggi sebanyak 4.25 peratus setahun untuk penempatan selama tiga tahun, menjadikan MAIA satu pelaburan yang menarik memandangkan persekitaran kadar faedah agak rendah sekarang.

"Kami percaya MAIA dapat memenuhi keperluan pelabur yang mencari pilihan pelaburan patuh Syariah yang bertujuan untuk mengekalkan modal sambil menghasilkan pulangan yang stabil dan

relatif lebih tinggi," katanya.

Mohamed Rafique berkata, pelancaran MAIA adalah tonggak bagi Maybank Islamic yang menjadi institusi perbankan Islam pertama mewujudkan produk pelaburan yang menawarkan peluang kepada pelabur untuk melabur bukan hanya pada aset pembiayaan bank yang kukuh, tetapi juga sekuriti patuh Syariah.

"Dengan ketidaktentuan ekonomi semasa akibat penyebaran COVID-19, Maybank Islamic menyasarkan untuk membantu pelanggannya untuk mengembangkan pelaburan mereka.

"Ia terutama yang mencari pulangan pendapatan berpotensi dan pertumbuhan modal dengan melabur dalam portfolio pembiayaan bank Islam terbesar di Malaysia serta dana yang terdiri daripada portfolio sekuriti patuh Syariah," katanya.

Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013, institusi kewangan Islam dibenarkan menjadi perantara pelaburan.

Maybank Islamic adalah yang pertama merealisasikannya dengan pelancaran produk Akaun Pelaburannya (IA) pada tahun 2015.

Di bawah produk IA, MAIA adalah inovasi kedua produk pelaburan untuk bank.

Sumber : Berita Harian

 

Halang naik pangkat dan tukar, punca penjawat awam 'takut' lapor rasuah

 

Halangan kenaikan pangkat, pertukaran dan gangguan dalam jadual pekerjaan, antara tekanan diberikan kepada penjawat awam yang melaporkan aktiviti rasuah dalam jabatan dan agensi kerajaan. Tekanan ini mengakibatkan ramai penjawat awam hari ini 'takut' untuk melaporkan aktiviti rasuah itu kepada pihak atasan apatah lagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ekoran bimbang karier mereka tergugat. 

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata tekanan itu juga menjadi punca mengapa laporan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam sendiri rendah.

"Ada dalam kalangan ketua perkhidmatan akan memberi tekanan kepada penjawat awam antaranya membabitkan kenaikan pangkat, kesusahan dalam bentuk jadual kerja, skop tugas dan pertukaran menyusahkan.

"Perkara-perkara inilah yang berlaku menyebabkan ramai penjawat awam enggan melaporkan kesalahan rasuah berikutan kesukaran yang akan dialami mereka pada masa hadapan," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan SPRM mendedahkan hanya 0.01 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata angka itu masih rendah dalam usaha sifar rasuah dalam perkhidmatan awam dapat direalisasikan.

Shamshun berkata, walaupun insentif disediakan kepada penjawat awam melaporkan kes rasuah, data suruhanjaya itu menunjukkan hanya 343 penjawat awam tampil memberi maklumat antara 2012 hingga tahun lepas.

Sumber : Berita Harian

 

Murid Malaysia catat skor tertinggi Matematik, Sains global

 

Malaysia melakar sejarah apabila buat julung kali meraih skor aras tertinggi dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pada 2019.

Kementerian Pendidikan berkata, ia menunjukkan peningkatan murid negara ini bagi mata pelajaran Matematik dengan memperoleh skor lebih 700 iaitu melebihi aras tertinggi 625.

Uniknya TIMSS tahun lalu memperkenalkan pentaksiran berasaskan komputer, eTIMSS dan pentadbiran kajian secara paperTIMSS sebagai sebahagian proses transisi perbandingan.

“Seramai 65 murid eTIMSS dan 25 murid paperTIMSS catat skor lebih 700 malah pencapaian individu tertinggi eTIMSS ialah 764 dan paperTIMSS ialah 799,” katanya menerusi kenyataan.

Murid Malaysia peroleh aras tertinggi paperTIMSS bagi subjek ini ialah enam peratus dan eTIMSS pula empat peratus, naik tiga peratus bagi paperTIMSS dan satu peratus eTIMSS.

TIMSS dikendalikan International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) ditubuhkan pada 1958 berpusat di Amsterdam, Belanda dengan disertai lebih 60 negara.

Ia menilai pencapaian murid tingkatan dua dan pentadbiran itu dilaksanakan dari 16 Oktober hingga 1 November 2018 melibatkan 1,560 murid bagi paperTIMSS dan 8,077 bagi eTIMSS.

“Bagi mata pelajaran Sains, buat julung kali seramai 13 murid paperTIMSS dan 23 murid eTIMSS memperoleh skor lebih 700 sejak Malaysia menyertai kajian TIMSS pada 1999,” katanya.

Dari segi peratusan, murid Malaysia raih aras tertinggi itu ialah tiga peratus bagi eTIMSS dan empat peratus bagi paperTIMSS, peningkatan hampir setara berbanding TIMSS pada 2015.

Hasil dapatan kajian global itu akan jadi panduan rangka strategi penambahbaikan pelbagai program dan inisiatif kementerian tersebut dengan mengambil kira pencapaian semasa murid.

Ia melibatkan pelbagai aras, kaedah dan teknik penyampaian guru dalam bilik darjah malah usaha itu dibuat secara holistik dengan kerjasama semua pihak berkepentingan di negara ini.

Laporan antarabangsa TIMSS itu boleh dimuat turun menerusi https://www.iea.nl/studies/iea/tmss manakala laporan kebangsaan TIMSS melalui laman sesawang rasmi kementerian iaitu https://www.moe.gov.my

Sumber : Utusan

Ketinggian sebenar Gunung Everest

 

Puncak tertinggi dunia mendapat bacaan ukuran baharu selepas China dan Nepal akhirnya mencapai persetujuan berkenaan ketinggian tepat Gunung Everest selepas pertikaian selama beberapa dekad.

Ketinggian yang dipersetujui adalah 8,848.86 meter (29,031 kaki), 86 sentimeter (2.8 kaki) lebih tinggi berbanding ukuran yang dinyatakan Nepal, dan lebih empat meter dari angka yang dinyatakan China sebelum ini.

Perbezaan itu berlaku kerana China mengukur dasar batu di puncak dan ia tidak termasuk salji dan ais yang meliputi bahagian atas gunung.

Nepal memutuskan untuk melakukan tinjauan yang pertama seumpamanya selepas cadangan bahawa pergerakan plat tektonik termasuk gempa besar pada tahun 2015 mungkin mempengaruhi ketinggian Gunung Everest.

Sumber : Harian Metro

Daftar niaga di Malaysiabiz

 

Portal Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat (MalaysiaBiz) berfungsi sebagai pusat sehenti bagi membolehkan usahawan setempat melakukan urusan permohonan pendaftaran perniagaan secara dalam talian ketika pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, portal yang dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dan SME Corp. Malaysia itu susulan kerajaan menyedari kepentingan platform digital dalam bidang perniagaan dan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, portal MalaysiaBiz menjadi pemudah cara dalam urusan perniagaan setempat.

Katanya, secara tidak langsung ia juga menyokong agenda kerajaan digital.

"Portal ini berfungsi sebagai one stop center dengan menyediakan sebuah portal setempat bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen atas talian secara efisien.

"MalaysiaBiz bertujuan mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga bagi meningkatkan daya saing negara serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat.

"Saya yakin objektif portal ini akan dapat tercapai dan sekali gus mendukung agenda kerajaan digital. Insya-Allah," katanya ketika melancarkan portal MalaysiaBiz secara dalam talian, semalam

Ucapan perasmian Muhyiddin disiarkan secara maya melalui Facebook.

Muhyiddin berkata, kerajaan mengambil pendekatan secara inklusif dan menyeluruh dalam usaha menjamin kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat, dalam mendepani kesan ekonomi pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara.

Beliau berkata, antara pendekatan diambil termasuk usaha memperkasa agenda pendigitalan yang juga antara teras dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Katanya, proses digitalisasi akan terus dipergiat dengan penumpuan terhadap pembangunan ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19.

Muhyiddin berkata, antaranya, kerajaan menyasarkan 40 peratus pendigitalan penyampaian perkhidmatan End-to-end iaitu E2E sepenuhnya menjelang akhir tahun ini berbanding 20.2 peratus tahun lalu.

"Sasaran ini juga diperkasakan dengan penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang saya sendiri pengerusikan bagi memastikan pembangunan ekonomi digital yang mampan untuk manfaat semua seiring dengan potensi teknologi 4IR di negara kita," katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, beliau menyedari PKS menyumbang kepada ekonomi negara dan penyediaan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, tahun lalu, PKS menyumbang sebanyak 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 38.3 peratus pada 2018 manakala sebanyak 45 peratus daripada KDNK disasarkan menjelang tahun 2025 dan 50 peratus pada tahun 2030.

"Oleh sebab itu, langkah untuk menjana pertumbuhan PKS akan terus diberi keutamaan melihat kepada trend pembelian dalam talian pada hari ini yang menunjukkan potensi PKS untuk berkembang secara pesat," katanya. 

Sumber : Harian Metro

 

Khamis, Disember 03, 2020

Syarat ketat bagi pemilikan senjata api walau untuk jaga tanaman

 

Hanya individu yang benar-benar memerlukan dan berkelayakan sahaja akan diluluskan pemilikan lesen dan permit senjata api.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kelulusan senjata api sama ada pistol atau senapang patah secara beli baharu atau pindah milik dipertimbangkan dengan berhati-hati dan ketat kerana ia peralatan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai garis panduan yang komprehensif bagi menimbang setiap permohonan lesen atau permit senjata api. 

"Bagi permohonan senjata api untuk tujuan membasmi musuh tanaman, pemohon hendaklah memenuhi antaranya melepasi tapisan keselamatan, memiliki tahap kesihatan yang baik, bergantung hidup kepada hasil pertanian dan mempunyai tanah pertanian sendiri.

"Selain itu, pemohon menetap di kawasan berkenaan dan mengalami kerosakan hasil tanaman yang serius," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) adakah kementerian akan memberikan sedikit kelonggaran syarat permohonan lesen senjata api kepada pemilik tanaman yang ingin memiliki lesen bagi menguruskan musuh tanaman.

Katanya, bagi pemilik kebun yang tidak memiliki atau tidak dipertimbangkan lesen atau permit senjata api, sekiranya mereka mempunyai masalah ancaman musuh tanaman, pihaknya mencadangkan supaya mereka mendapatkan bantuan Jabatan Perhilitan atau anggota RELA setempat untuk membantu mengatasi masalah ancaman terbabit.

Sumber : Berita Harian

 

 

Tiada hasrat naikkan usia persaraan

 

Kerajaan tidak berhasrat untuk meningkatkan usia persaraan seperti yang dicadangkan oleh Bank Dunia semalam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata pelbagai faktor perlu dikaji terlebih dahulu jika mahu meningkatkan usia persaraan sehingga umur 65 tahun.

"Kita kena kaji laporan dan asas (tingkatkan usia persaraan) serta lihat isu sosial yang ada sekarang ini. Kena lihat juga jangkaan umur serta daripada segi demografi negara. 

"Walaupun ini cadangan Bank Dunia tapi kita perlu lihat terlebih dahulu sebelum melaksanakannya," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohd Khairul Adib berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menolak pelaksanaan cadangan berkenaan pada masa akan datang sekiranya ada keperluan berbuat demikian.

"Jika ada keperluan untuk berbuat demikian dan lihat pada segi demografi pengangguran pada masa itu, mungkin kita boleh laksanakan.

"Kita kini sangat sensitif dengan kedudukan kewangan negara dan buat masa ini belum ada perbincangan rasmi mengenai hal itu dan kita belum mahu laksanakan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Malaysia perlu meneliti semula dasar had usia persaraan berikutan statusnya sebagai negara mempunyai masyarakat berusia atau menua.

Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad dilaporkan berkata, aspek demografi Malaysia berganjak ke era dengan kadar kesuburan dan kematian rendah berbanding paras lebih tinggi sebelum ini.

Buat masa ini, Malaysia menetapkan had umur persaraan ditetapkan pada usia 60 tahun. 

Sumber : Berita Harian

 

Fasa kedua BPN 2.0 dibayar Januari 2021

 

Pembayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) fasa kedua berserta bayaran kepada permohonan baharu dan rayuan yang lulus akan dilaksanakan menjelang Januari 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BPN 2.0 memperuntukkan dana berjumlah RM7 bilion bertujuan meringankan beban 7.5 juta penerima isi rumah berpendapatan rendah (B40) serta 3.1 juta isi rumah berpendapatan sederhana (M40) melalui pemberian bantuan tunai secara one-off.

Beliau berkata, setakat ini pembayaran fasa pertama berjumlah RM4.5 bilion telah berjaya disalurkan kepada lebih 9.86 juta penerima merangkumi 7 juta penerima B40 dan 2.86 juta penerima daripada kategori M40.

“Bagi penerima BPN 2.0 yang tidak mempunyai akaun bank, penunaian telah mula disediakan di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober 2020.

“Tempoh permohonan baharu serta rayuan BPN 2.0 pula telah berakhir pada 15 November 2020 dengan pembayaran fasa kedua beserta bayaran kepada permohonan baharu dan rayuan yang lulus akan dibuat dalam bulan Januari 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana ke-31 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin).

Dalam pada itu, bagi Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0, Tengku Zafrul berkata, pemohon boleh menyemak status permohonan bermula 27 November lalu manakala pembayaran bermula pada 30 November.

Katanya, sebanyak 304,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) layak bakal menerima bantuan one-off berjumlah RM3,000 dengan bayaran keseluruhan sebanyak RM912 juta.

“Secara keseluruhannya, hampir 850,000 PMKS telah menerima GKP dan GKP 2.0 dengan jumlah keseluruhan RM2.55 bilion.

“Bagi mereka yang gagal permohonan, tempoh rayuan GKP 2.0 akan dibuka dari 7 hingga 21 Disember 2020 dengan rayuan boleh dibuat secara dalam talian di https://gkp.hasil.gov.my,” katanya.

Sumber : Utusan

Rabu, Disember 02, 2020

KWSP i-Sinar: Boleh mohon bermula 21 Disember 2020

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kemudahan i-Sinar kini dibuka kepada semua ahli KWSP yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 dengan permohonan dalam talian bermula 21 Disember 2020.

Pengurus dana persaraan itu berkata, kriteria kelayakan bagi Kategori 1 membabitkan ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Katanya, kriteria bagi Kategori 1 itu adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas 1 Mac 2020.

"Bagi kategori ini tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.

"Pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021," katanya dalam satu kenyataan.

KWSP berkata, bagi Kategori 2 pula, ia adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas 1 Mac 2020, yang mana pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

"Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa.

"Jika dokumen tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan. Bagi kategori ini, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021," katanya.

KWSP berkata, untuk memastikan permohonan dipertimbangkan dengan terperinci, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat.

Katanya, pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.

Mengenai jumlah kelayakan i-Sinar, KWSP berkata, ia tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini seperti ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Ia berkata, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai baki lebih RM100,000 dalam Akaun 1, pengurus dana persaraan itu berkata, mereka boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1.

Katanya, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Bagi memastikan kelancaran proses permohonan, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC) di kios atau kaunter KWSP, dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

 

Recent Posts