Memaparkan catatan dengan label vaksin covid19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label vaksin covid19. Papar semua catatan

Isnin, Mac 22, 2021

Pendaftaran penerima vaksin COVID-19 semakin perlahan

 

Jumlah individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera mencecah 6,084,588 setakat 21 Mac 2021.

Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini, jumlah itu meliputi 25.1 peratus daripada 24.3 juta populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas, yang disasarkan menerima vaksin COVID-19 menjelang suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, kadar pendaftaran penerima vaksin COVID-19 semakin perlahan dengan ketara, apabila hanya mencatatkan peningkatan 9.9 peratus atau 550,474 individu dalam tempoh tujuh hari lalu, daripada 5,534,114 pada 14 Mac, kepada 6,084,588 semalam.

Ia adalah perbezaan ketara berbanding peningkatan pendaftaran lebih 69 peratus atau 2,226,703 antara 7 Mac (3,224,641) hingga 13 Mac (5,451,344).

Ini menimbulkan persoalan mengenai tempoh masa yang diperlukan untuk semua 24.3 juta populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas, mendaftar sebagai penerima vaksin itu.

Data dikongsi Dr Noor Hisham itu menunjukkan, penduduk di Sabah dan Kelantan adalah yang paling rendah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi MySejahtera.

Sejak pendaftaran dibuka pada 23 Februari lalu, hanya 9.4 peratus atau 274,438 daripada jumlah keseluruhan penduduk Sabah yang mendaftar sebagai penerima vaksin, manakala Kelantan mencatatkan 13.1 peratus atau 161,627 penduduk.

Putrajaya pula kekal tertinggi dengan 74.3 peratus atau 42,291 daripada jumlah keseluruhan penduduknya sudah mendaftar sebagai penerima vaksin, disusuli Kuala Lumpur (36.6 peratus/541,489), Selangor (36.2 peratus/1,752,233) dan Pulau Pinang (31.7 peratus/439,427).

Selain itu, Negeri Sembilan (29.2 peratus/247,803), Labuan (28.3 peratus/20,507), Melaka (27.4 peratus/191,823), Johor (27.3 peratus/775,342), Sarawak (23 peratus/475,788) dan Perak (22 peratus/424,758).

Perlis pula mencatatkan 20.4 peratus (38,425) diikuti Kedah (19.4 peratus/309,921), Pahang (19.2 peratus/236,414) dan Terengganu (18.1 peratus/152,322).

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menyasarkan untuk memvaksin kira-kira 80 peratus populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas menjelang suku pertama tahun depan, bagi mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19.

Malaysia kini berada dalam fasa pertama program berkenaan, yang menyasar untuk memvaksin kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hinga April depan.

Fasa 2 imunisasi, yang bakal membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan, untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Februari 21, 2021

Kumpulan pertama vaksin COVID-19 tiba di Malaysia

 


Pesawat Malaysia Airlines MH604 dihiasi Jalur Gemilang yang membawa kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi tadi.

Vaksin Pfizer-BioNTech itu diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium, dengan penerbangan membawa vaksin itu berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle, Jerman.

Ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sejumlah 312,390 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia pagi tadi akan di hantar ke 16 pusat simpanan vaksin di seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sejumlah vaksin juga dijangka tiba di Johor dari Singapura pada jam 2 petang ini menggunakan jalan darat.

"Sementara di Pulau Pinang dihantar melalui pesawat dan tiba pada jam 6 petang. Bagi Sabah dan Sarawak kita akan tentukan tarikh penghantarannya dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, sehingga kini, sebanyak 54 lokasi dijadikan pusat simpanan vaksin Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk empat di Johor, Selangor (enam), masing-masing dua di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta satu di Putrajaya.

"Jumlah keseluruhan 54 lokasi itu termasuk juga di Sabah dan Sarawak. Pusat simpanan ini akan mengagihkan (vaksin) ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.

Vaksin Pfizer-BioNTech diturunkan dari pesawat, kemudian dibawa ke pusat penyimpanan sementara bagi tujuan diedar ke fasiliti kesihatan milik KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Perjalanan vaksin bermula dari kilang Pfizer di Belgium semalam, diuruskan sendiri oleh Pfizer dan DHL Express melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin itu kemudian berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Sumber : Berita Harian

 

 

Selasa, Februari 16, 2021

Kerajaan sedia Buku Panduan dan Talian khas jawab isu vaksinasi COVID-19

 

 


 

Kerajaan akan menyediakan Buku Panduan dan Talian Khas Program Imunisasi COVID-19 yang bertanggungjawab menjawab sebarang persoalan berkaitan program berkenaan.

Menurut dokumen Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang diterbitkan hari ini, talian itu antara strategi advokasi dan khidmat sokongan bagi membantu masyarakat mengetahui serta memahami perincian serta maklumat mengenai program itu.

Katanya, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan membabitkan pelbagai pihak, merangkumi usaha advokasi dan khidmat sokongan serta proses vaksinasi di seluruh negara.

"Maklumat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan boleh diperoleh di laman sesawang rasmi http://vaksincovid.gov.my dan akaun media sosial rasmi, bagi memastikan maklumat serta perkembangan terkini program ini mudah diakses masyarakat," kata dokumen yang diterbitkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Selain menguar-uarkan maklumat menerusi talian khas, laman sesawang dan media sosial, usaha advokasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan turut memanfaatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi capaian komuniti setempat.

Ia berikutan peranan kerajaan negeri dan PBT dalam pelaksanaan program imunisasi itu penting sebagai penghubung kepada komuniti setempat.

"Antara peranan PBT adalah membina keyakinan masyarakat setempat terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin serta membantu urusan logistik di pusat vaksinasi bergerak mengikut keperluan masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut, dokumen itu menjelaskan, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama secara bersepadu dengan pasukan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), anggota keselamatan, kementerian serta agensi kerajaan lain, sektor swasta dan sukarelawan bagi melaksanakan program imunisasi itu.

Selain petugas kesihatan KKM, program imunisasi itu akan turut dibantu petugas kesihatan yang sudah bersara, pelajar perubatan, pergigian dan pelatih jururawat, selain petugas perubatan di sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

Malah, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan juga disokong pelbagai anggota sokongan bukan perubatan bagi memastikan orang awam mendapat perkhidmatan sebaiknya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Ini termasuk badan berkanun, NGO dan pasukan sokongan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta ribuan sukarelawan bukan perubatan lain yang berperanan membantu orang awam bagi saringan dan pendaftaran di PPV.

"Pendaftaran bagi sukarelawan akan dimaklumkan menerusi laman sesawang http://vaksincovid.gov.my dan akaun media sosial JKJAV," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Rabu, Disember 09, 2020

FDA dedah 6 maut ujian percubaan vaksin Pfizer/BioNTech

 

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) mendedahkan enam orang meninggal dunia dalam fasa percubaan vaksin Pfizer/BioNTech COVID-19, hanya beberapa jam selepas Britain menjadi negara pertama dunia menggunakan vaksin itu.

Bagaimanapun, FDA menjelaskan, kes kematian itu tidak menimbulkan isu keselamatan atau persoalan baharu mengenai keberkesanan vaksin kerana ia berlaku ke atas populasi umum pada kadar yang sama.

Laporan setebal 53 muka surat itu yang dikeluarkan FDA hari ini adalah analisis terperinci pertama berkenaan percubaan vaksin oleh Pfizer dan BioNTech, pada November dengan 95 peratus keberkesanan mencegah jangkitan COVID-19.

Dokumen itu mendedahkan dua mangsa meninggal dunia ketika menerima dos percubaan vaksin itu, manakala empat lagi maut ketika berada di peringkat plasebo. 

"Semua mangsa yang meninggal dunia mewakili kadar populasi umum dan peringkat kumpulan umur di mana ia berlaku pada kadar sama," kata laporan itu.

Ia mengesahkan vaksin itu seperti dilaporkan oleh Pfizer, sekurang-kurangnya 95 peratus keberkesanan dalam masa tujuh hari selepas suntikan kedua, menurut laporan agensi berita antarabangsa, thenewdaily.com

Data terbabit menunjukkan vaksin berkenaan hanya 52 peratus berkesan selepas dos pertama.

Laporan itu merumuskan keberkesanan data memenuhi jangkaan FDA bagi kebenaran kegunaan kecemasan.

Bagaimanapun data itu masih tidak mencukupi untuk merumuskan sejauh mana vaksin itu selamat untuk kanak-kanak di bawah usia 16 tahun, wanita hamil dan individu yang mempunyai gangguan sistem imun.

Hujung minggu ini, panel saintis bebas akan menilai laporan FDA sebelum mengesyorkan sama ada mereka yang berusia 16 tahun ke atas disyorkan menerima vaksin terbabit.

FDA mengatakan keputusan itu menunjukkan titik keberkesanan yang sama antara kumpulan umur, jantina, kaum dan etnik dan peserta dengan komorbiditi perubatan yang berkaitan dengan risiko tinggi COVID-19.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts