Rabu, Ogos 19, 2020

Bukan niat nak tular - Guru



Guru yang terbabit dalam video tular ‘ayah saya masak ketum’ berkata, bukan niatnya ingin menularkan video tersebut kepada orang awam.

Jelasnya, video tersebut diambil kerana ingin dihantar kepada ibu murid berkenaan.

“Saya tak menyangka murid itu memberi jawapan sebegitu ketika saya mengendalikan sesi jawab lisan dalam kelas itu.

“Atas dasar prihatin seorang guru, saya menghantar video itu kepada ibu murid berkenaan dengan niat memaklumkan kepada ayahnya supaya lebih berhati-hati agar anaknya tidak terjebak dengan gejala minum ketum,” katanya yang tidak mahu mendedahkan namanya kepada ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Katanya, dia menghantar video itu kepada ibu murid pada waktu pagi semalam selepas tamat kelas pendidikan jasmani dan kesihatan.

“Pada pukul 11 malam, ibu tersebut memberitahu saya video itu telah menjadi tular di laman sosial. Saya sedikit terkejut apabila diberitahu ibu murid itu,” tambah cikgu itu.

Jelas guru itu, perkara itu telah pun diselesaikan pagi tadi setelah dia berjumpa dengan pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan.

“Saya minta semua yang menularkan video supaya memadamkanya kerana ia memberi aib kepada murid berkenaan,” katanya.

Sumber : Kosmo!


NUTP pandang serius penyebaran video


Penyebaran video membabitkan kanak-kanak sekolah yang mengaku bapanya pandai memasak air ketum seperti mana yang tular di media sosial hari ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia dikatakan dilakukan oleh seorang guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang, berkata beliau sudah melihat hantaran yang tular di media sosial itu pagi ini dan masih belum mengetahui punca sebenar bagaimana video berkenaan boleh tular.

Menurutnya, perkara itu di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan dan NUTP memandang serius kerana membabitkan kanak-kanak bawah umur.

"Perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana boleh mencemarkan maruah keluarga dan kanak-kanak terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebuah video membabitkan kanak-kanak sekolah tular hari ini memaparkan soalan seorang guru wanita bertanya bapa siapa pandai memasak, sebelum seorang kanak-kanak mengangkat tangan dan menjawab bapanya pandai memasak air ketum.

Amiruddin berkata, pihaknya akan menunggu maklumat lengkap berkenaan video yang tular itu sama ada ia dilakukan oleh guru itu atau pihak lain.

Tambahnya, sekiranya perkara itu dilakukan oleh guru terbabit, ia adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana membabitkan hal ehwal murid dan pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan bagi membuat siasatan.

Katanya, guru seharusnya berhati-hati dengan kecanggihan teknologi masa kini supaya tidak melakukan perkara di luar batasan yang boleh menjejaskan institusi perguruan.

"Buat masa ini kita menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk membuat siasatan dan motif sebenar ia ditularkan," katanya

Sumber : Berita Harian


Sabtu, Ogos 15, 2020

Khamis, Ogos 06, 2020

Di mana wajib pakai pelitup muka?



Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan senarai bagi menjelaskan lokasi orang ramai wajib memakai pelitup muka untuk membendung penularan COVID-19.

Lokasi yang disenaraikan oleh MKN ialah masjid dan surau; rumah ibadat bukan Islam; majlis sosial; pengangkutan awam; zoo; bas serta van sekolah; lokasi sukan dan rekreasi (ketika tidak melakukan aktiviti) dan premis kesihatan iaitu klinik dan hospital.

Lokasi lain ialah pasar awam serta pasar tani; pawagam serta acara secara langsung; salun kecantikan serta rambut; spa, pusat kecantikan serta pusat refleksologi dan pusat hiburan keluarga.

MKN juga menyenaraikan lokasi peruncitan termasuk kedai dobi, kedai, restoran, kompleks beli-belah, pasar raya, bengkel dan stesen minyak.

Orang ramai boleh memperoleh maklumat berkaitan menerusi www.mkn.gov.my


Awesome TV HD saluran baharu di platform MYTV





Semenjak peralihan peralihan sistem penyiaran televisyen (“TV”) dari analog ke digital pada November 2019 yang lalu, MYTV terus berusaha keras untuk meningkatkan mutu perkhidmatan digital TV di Malaysia dengan memastikan kandungan multimedia dan interaktif di platform TV digital myFreeview adalah terkini, relevan dan menarik kepada penonton. Kerjasama antara MYTV dan myFreeview telah berjaya membawa saluran TV digital percuma kepada penonton di seluruh negara.

Terkini, myFreeview bakal memperkenalkan satu lagi saluran terbaharu iaitu “Awesome TV HD” yang akan bersiaran 24 jam sehari secara rasmi pada 3 Ogos 2020 melalui saluran 112. Kepelbagaian kategori program yang disediakan Awesome TV HD seperti Riuh Famili dan Keringat Selebriti pastinya akan menarik minat kesemua peringkat golongan di Malaysia dan secara tidak langsung memeriahkan lagi siaran yang sedia ada di myFreeview.

Ketua Pegawai Eksekutif MYTV Broadcasting Sdn Bhd, En. Mazlan Mahdi berkata, “Peningkatan positif jumlah penonton myFreeview, khususnya dalam tempoh PKP mutakhir ini, adalah amat menggalakkan. Sejumlah 5.3 juta penonton siaran myFreeview kini berpeluang untuk menikmati kepelbagaian perkhidmatan TV digital myFreeview yang disediakan MYTV dan kami menjangkakan peningkatan ini akan berterusan, selari dengan pembangungan kandungan multimedia dan interaktif di antara MYTV, badan penyiar dan rakan pemain industri yang lain. Ini adalah komitmen kami untuk terus kekal relevan di dalam bidang penyiaran televisyen negara. Kami yakin Awesome TV juga akan turut serta dalam inisiatif pembangunan perkhidmatan TV digital myFreeview pada masa hadapandan kami mengharapkan mereka juga akan mengambil kesempatan atas kepelbagaian perkhidmatan yang platform myFreeview sediakan”.

Melalui siaran TV digital myFreeview, penonton boleh mengakses pelbagai saluran TV dan radio melalui TV1, TV2, TVOkey, Berita RTM, RTM HD Sports, TV3, ntv7, 8TV, TV9, Drama Sangat, CJ Wow Shop, TV Al Hijrah, Bernama dan Astro Go Shop. Dengan penambahan saluran Awesome TV HD, jumlah saluran TV digital myFreeview adalah sebanyak 16 saluran TV dengan 8 daripadanya adalah dalam format definisi tinggi atau High Definition dan 6 saluran radio. Bagi menyambut seruan Kerajaan dalam menggalakkan rakyat agar kekal berada di rumah dalam tempoh PKP, MYTV komited untuk memastikan kualiti siaran myFreeview tidak terjejas disamping memastikan liputan siarannya adalah di peringkat optimum.

Untuk menikmati siaran TV digital myFreeview secara percuma, pengguna hanya perlu mendapatkan dekoder DVB-T2 atau TV berintegrasi digital (IDTV) di kedai-kedai elektrik berhampiran atau layari www.mytvbroadcasting.my

013 979 0000

Rabu, Ogos 05, 2020

Baja ammonia nitrat 2,750 tan didakwa punca letupan Beirut



Letupan dahsyat petang semalam yang menggegarkan ibu kota Beirut, Lubnan dan mengakibatkan ribuan cedera, didakwa berpunca daripada 2,750 tan baja ammonia nitrat yang disimpan bertahun-tahun di kawasan gudang pelabuhan itu.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab, berkata baja kimia untuk pertanian itu adalah punca letupan yang membawa malapetaka kepada penduduk ibu kota yang setakat ini sudah mengorbankan lebih 70 orang.

"Siasatan menyeluruh sedang dilakukan begitu juga mengesan individu yang bertanggungjawab.

"Mereka yang didapati bersalah sehingga terjadinya malapetaka ini akan menerima balasan," katanya.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sehingga kini 73 penduduk terkorban, manakala 3,700 lagi cedera dalam insiden berkenaan.

Ketua Keselamatan Awamnya, Abbas Ibrahim pula berkata, bahan mudah meletup itu sudah dirampas beberapa tahun lalu dan disimpan di gudang berkenaan yang terletak berdekatan dengan lokasi tumpuan orang ramai bagi aktiviti membeli belah dan berhibur pada waktu malam.

Majlis Pertahanan Lubnan turut mengisytiharkan Beirut sebagai zon bencana dan turut merayu negara sekutunya untuk menghulurkan bantuan dalam menangani malapetaka itu.

Kebanyakan negara dunia merakamkan ucapan takziah termasuk negara Teluk manakala Amerika Syarikat (AS) turut menawarkan penghantaran bantuan.

Keadaan hospital di ibu kota itu yang sedang bergelut untuk merawat pesakit COVID-19 bertambah sesak dengan individu tercedera akibat letupan.

Tragedi itu turut memberi kesan kepada ekonomi negara itu yang sedia terjejas.

Ekonomi Lubnan bertambah buruk sejak beberapa bulan lalu akibat kejatuhan mata wang sehingga kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup dengan kadar kemiskinan dan pengangguran terus meningkat.

- AFP

Bayaran balik PTPTN ditangguh hingga 31 Disember 2020



Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober ini.

Langkah itu diambil seiring pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar bagi mereka yang terkesan dengan penularan COVID-19.

Menteri Pengajian tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata penangguhan terbabit membabitkan jumlah bayaran balik kira-kira RM375 juta.

"Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion.

"Semua peminjam PTPTN akan diberikan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.

"Sekiranya ada peminjam ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi segelintir peminjam PTPTN yang terkesan akibat kehilangan punca pendapatan susulan penularan wabak itu.

"Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN," katanya.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN menerusi talian di 03 - 2193 3000 yang beroperasiIsnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau layari portal rasmi, www.ptptn.gov.my.

Pada 29 Julai lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada rakyat yang hilang pekerjaan dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Muhyiddin dipetik berkata, lanjutan moratorium akan diberikan untuk tempoh tiga bulan.


Selasa, Ogos 04, 2020

Khamis, Julai 23, 2020

Jumaat, Julai 17, 2020

Bahaya dadah NPS

 

Kewujudan 'new psychoactive substance' atau bahan psikoaktif baharu (NPS) dikhuatiri menjadi alternatif dalam aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang kerana belum dikategorikan dalam dadah berjadual.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata setakat ini, terdapat lebih 950 jenis dadah disyaki mengandungi NPS dilaporkan berada dalam pasaran seluruh dunia.

"Bagaimanapun hanya 44 jenis daripadanya yang diwartakan dalam undang-undang negara menerusi Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

"Ini adalah satu cabaran besar yang dihadapi semua elemen pasukan penguatkuasaan negara dalam membanteras aktiviti penyeludupan, pemerosesan, pengedaran dan penagihan dadah di negara kita," katanya ketika ditemui di Bukit Aman, baru-baru ini.

Katanya, NPS dikhuatiri menjadi dadah alternatif pada masa ini atau akan datang kerana ada sesetengah NPS belum dikategorikan sebagai dadah jadual dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

NPS adalah kandungan bahan yang disalah guna bertujuan meniru ubat-ubat terkawal yang boleh menimbulkan kemudaratan kesihatan.

Kandungan utama dalam NPS adalah campuran pelbagai bahan kimia yang diubahsuai menjadi dadah tiruan.

Dalam pada itu, katanya seramai 70,803 individu ditahan membabitkan pelbagai kesalahan dadah seperti membekal, memiliki dan positif ujian saringan air kencing sejak Januari hingga Jun lalu.

"Dalam tempoh yang sama, kita merampas RM201 juta pelbagai jenis dadah dan melumpuhkan 91 sindiket dadah di seluruh negara.

"Selain itu, sebanyak sembilan makmal dadah haram turut dibongkar sepanjang tahun ini sehingga Jun lalu membabitkan 36 tangkapan individu.

"Sepanjang tahun ini juga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sudah membuka 27,291 kertas siasatan dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 21,929 atau 80 peratus sudah dituduh," katanya.

Beliau juga berkata, nilai harta yang disita berkait dengan kegiatan dadah adalah sebanyak RM420 juta manakala RM1.3 juta lagi dilucuthak membabitkan pelbagai harta.

PDRM juga mendapati trend tangkapan membabitkan penyalahgunaan dadah dalam parti-parti liar semakin meningkat iaitu seramai 664 individu sepanjang Januari hingga Jun lalu.

Sumber : Berita Harian

 

 

Rabu, Julai 01, 2020

Pengajaran dalam talian kurang berkesan



Kementerian Pendidikan mendapati pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan belajar dari rumah kurang berkesan, berbanding secara bersemuka.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata kementerian juga sedar terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian.

"Kaedah 'home-based learning' sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, murid dan ibu bapa.

"Selain itu, ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad.

"Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan 'home-based learning' agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Mohd Radzi berkata, jika situasi itu berterusan, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti.

"Ini akan memberi kesan kepada minat dan motivasi murid untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran.

"Hubungan murid dengan sekolah juga akan terkesan kerana mereka terasing dari suasana persekolahan untuk satu tempoh yang panjang," katanya.

Beliau berkata, kementerian yakin murid, ibu bapa dan guru menyedari betapa perlunya sekolah dibuka semula bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat.