Rabu, Oktober 05, 2016

Suami-Isteri Dilarang Kongsi Aksi Intim - Mufti Kelantan



Pasangan suami-isteri yang ingin menggambarkan kasih sayang masing-masing ditegah berkongsi keintiman mereka dengan khalayak kerana perbuatan itu dilarang oleh ajaran Islam.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata setiap perbuatan yang ingin menggambarkan kasih sayang antara suami-isteri perlu dilakukan di tempat yang sesuai.

"Dalam Islam ada adab, setiap langkah, kata-kata dan perbuatan ada tempat yang sesuai. Walaupun seseorang itu suami-isteri tapi setiap perbuatan mereka perlu ada batasan jika mahu menunjukkan kasih sayang.

"Akhlak seseorang dalam Islam tidak diizinkan untuk bercumbu-cumbuan di tempat awam. Jika ingin bercium ada tempat privasi dan ia tidak perlu dipertontonkan kepada umum, " ujarnya.

Bagaimanapun, Mohamad Shukri menambah, pasangan suami isteri digalakkan untuk melahirkan rasa cinta sesama pasangan namun perlu dilakukan di tempat yang sesuai seperti di rumah.

Katanya, hal tersebut bagi mengelakkan daripada sebarang perkara yang boleh mengundang kepada fitnah.

Tanpa merujuk kepada mana-mana individu Mohamad Shukri berkata, semua pihak harus mengambil maklum perkara itu tidak kiralah mereka golongan artis ataupun orang biasa.

Terdahulu adegan bercium pasangan selebriti Rozita Che Wan dan suaminya Zain Saidin yang dimuat naik di laman Instagram milik aktres itu ketika bercuti di Greece mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Foto bercium yang dimuat naik pada Selasa itu mendapat lebih 11,000 like dan 1,184 komen.

Rata-rata netizen menganggap gambar kasih sayang tersebut tidak sesuai dikongsi kepada umum namun ada juga yang menyokong.

Selain pasangan berkenaan, pengacara Awal Ashaari turut melakukan perkara yang sama apabila memuat naik gambar bercium bersama isterinya Scha Alyahya di sebuah tempat peranginan di Langkawi ketika menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka Ahad lalu.

Awal yang kurang senang dengan komen netizen memberitahu perkara itu tidak menjadi masalah kerana Scha merupakan isterinya yang sah.

"Dia isteri saya yang halal. Ada Masalah?" tulisnya.

Bagaimanapun, selepas itu Awal meletakkan komen pada mode privasi.

- mSTAR

Selasa, Oktober 04, 2016

Helikopter TUDM Terhempas Di Sekolah Tawau



Sebuah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama 14 orang penumpang terhempas di atas bumbung bangunan sebuah sekolah di Tawau, Sabah pada pagi Selasa.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada kira-kira pukul 9.11 pagi di Sekolah Menengah Balung.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marcus mengesahkan kejadian itu namun berkata pihaknya masih mengumpul maklumat.

"Ia masih tidak jelas mengenai insiden itu buat masa ini, belum diketahui mengenai berapa ramai yang cedera," katanya.

Difahamkan pelajar dan beberapa kakitangan tentera udara mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu tetapi butirannya masih samar.

Helikopter itu dilaporkan dalam perjalanan ke Semporna sebelum berlepas dari lapangan terbang Tawau ketika juruterbang hilang kawalan ke atas pesawat.

- Bernama

Cincin, Ikan Masin, Durian Antara Barangan Ditinggalkan Di KLIA



Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, antara yang paling sibuk di rantau ini mengumpulkan pelbagai barangan aneh tinggalan pelancong dalam dan luar negara secara tidak sengaja.

Antara yang ditemui adalah dron, patung, cincin bertunang, ikan masin, durian dan topi juruterbang British Airways.

Kami yang berpeluang meninjau bilik hilang dan temui di KLIA juga mendapati barangan lain yang turut ditinggalkan mereka yang pelupa ini adalah komuter riba, pasport, dompet, basikal, set televisyen, periuk nasi, malahan pakaian dalam.

"Pernah sekali, warga Bangladesh lelaki menemui kami dan memaklumkan rakannya hilang.

"Saya juga pernah menemui beg plastik berisi anak patung yang digunakan untuk ilmu sihir," kata kakitangan bahagian itu, Nur Afidah Zahari, 27.

Secara purata, kira-kira 1,700 barangan merangkumi beg hingga barang kemas ditinggalkan dalam tempoh setahun di lapangan terbang itu dan daripada jumlah itu, hanya 26 peratus dituntut semula.

Bagaimanapun, umumnya majoriti barangan yang ditinggalkan adalah beg, telefon bimbit dan peralatan elektrik.

"Malahan, ada yang tinggalkan barangan yang mudah rosak seperti daging, ikan masin dan durian," kata Nur Afidah sambil menambah barangan itu akan disimpan untuk tempoh tiga hari sebelum dilupuskan.

Kami juga melihat adanya dua cincin pertunangan Cartier yang masih disimpan kemas dalam kotak yang ditinggalkan pasangan yang trasit di KLIA.

Selain itu, cincin emas, jam mewah, rantai leher, subang dan wang tunai turut ditinggalkan.

Semua barangan berharga disimpan di lokasi selamat di tingkat tiga KLIA dan tidak dibenarkan dirakam gambarnya.

Bilik itu juga menempatkan beberapa naskhah al-Quran, air zam zam, arak dan rokok, selain tongkat, kerusi roda, tripod kamera dan beg berjenama.

Di bahagian lain dalam bilik sama pula adanya kotak yang diisi pasport, MyKad, kad kredit, lesen memandu, dompet dan cermin mata.

Pusat Hilang dan Temui yang dikendalikan empat pegawai itu menerima kira-kira 10 panggilan sehari memaklumkan mengenai penemuan barangan yang ditinggalkan orang ramai di kawasan KLIA.

Kata Nur Afidah, ada pihak yang tampil menuntut barangan di situ tetapi permintaan mereka terpaksa ditolak kerana gagal menunjukkan bukti pemilikan seperti resit.

Pengurus Besar Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Arif Jaafar berkata, kebiasaannya apabila mengesan ada barangan ditinggalkan di kawasan lapangan terbang ia akan dipantau untuk kira-kira 20 minit.

"Jika tiada siapa yang datang mengambilnya, kami akan membawanya untuk diimbas bagi mengesan kandungan berbahaya sebelum ia direkodkan," katanya.

Katanya, barangan itu akan disimpan selama sebulan dan jika tiada yang menuntut ia akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau Jabatan Alam Sekitar untuk dilupuskan.

"Mungkin anda merasakan sayang untuk berbuat demikian, tetapi kami perlu mematuhi peraturan. Kami tidak boleh ambil barang orang dengan sewenang-wenangnya walaupun ia boleh didermakan kepada pihak kebajikan atau digunakan lagi.

"Kami memang ada hasrat itu tetapi peraturan tidak membenarkan ia dilakukan sedemikian. Mungkin ada pihak yang boleh mencadangkan perkara ini supaya peraturan itu diubah dan idea itu memang dialu-alukan," katanya.

KLIA mengendalikan 22.9 juta penumpang di terminalnya tahun lalu. Setakat ini ada 819 barangan hilang di bilik khas itu.

Pusat Hilang dan Temui boleh dihubungi di talian 03-8776 4312 atau alamat emel CARE@malaysiaairports.com.my

-mSTAR

Nama Artis dan Watak Drama Jadi Pilihan Nama Anak



Pelbagai watak menerusi drama Melayu yang ditayangkan di saluran televisyen setiap hari ternyata memberi kesan kepada penonton apabila ada yang mendaftarkan kelahiran anak mereka berdasarkan nama watak atau pelakon popular.

Ada kalanya ia bagaikan trend apabila permohonan yang diterima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seiring dengan nama selebriti  yang menjadi perhatian dan sebutan ramai.

Menceritakan pengalaman mereka, petugas-petugas di kaunter JPN kepada mStar Online berkata, ada anak yang didaftarkan dengan nama Anas Mikael sempena drama bersiri Tuan Anas Mikael, lakonan Aaron Aziz.

Drama bersiri adaptasi novel yang ditayangkan di Astro Ria akhir tahun lalu turut memberi tempias kepada gandingan utamanya, Zara Zya sebagai idea untuk ibu bapa mendaftarkan kelahiran anak mereka sempena nama pelakon itu.

Antara watak lain yang menjadi pilihan untuk mendaftarkan kelahiran ialah Mukhriz, menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz di slot Akasia di TV3, baru-baru ini.

“Bukan sahaja drama yang ditayangkan baru-baru ini, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah ada drama-drama lain yang turut mempengaruhi nama kelahiran.

“Contohnya, drama Vanila Coklat lakonan Izara Aishah dan Aiman Hakim Ridza. Nama dua pelakon ini turut menjadi pilihan untuk pendaftaran kelahiran,” ujar petugas yang merujuk kepada drama komedi romantik yang ditayangkan di TV3 pada 2011.

Mengulas perkara itu, Ketua Pengarah JPN, Mohd Yazid Ramli berkata, pemilihan nama anak bergantung kepada keputusan ibu bapa semasa mendaftarkan kelahiran.

Katanya, JPN mengeluarkan garis panduan mengenai prosedur menamakan kanak-kanak pada 2006 seperti penggunaan nama yang tidak sesuai dan dilarang.

“Selagi nama-nama itu bukan yang dilarang atau tidak sesuai, kita benarkan. Ada juga nama-nama yang menarik dan popular itu membawa maksud baik, jadi kita galakkan  asal tidak beri kesulitan kepada si anak seperti namanya terlalu panjang atau boleh mengaibkan,” kata Mohd Yazid kepada mStar Online.

Bagaimanapun, secara umum, pilihan nama-nama watak dan pelakon untuk bayi yang baru dilahirkan adalah bermusim, mengikut drama popular yang sedang ditayangkan ketika itu.

Seperti ‘Tundukkan Playboy Itu’ yang ditayangkan awal tahun ini, watak Harraz Naufal dan Nurin Arissa, masing-masing dimainkan oleh pelakon Hafidz Roshdi dan Uqasha Senrose turut menjadi pilihan.

Begitu juga Nur Kasih, drama lakonan Tiz Zaqyah dan Remy Izhak yang pernah menjadi sebutan sewaktu tayangannya pada 2009.

Selain Izara dan Aaron, nama pelakon Mia Ahmad juga menjadi pilihan untuk pendaftaran kelahiran menerusi beberapa drama bersiri popular lakonannya seperti  Mr Boss Miss Stalker (2016) dan Hati Perempuan (2015).

Dalam pada itu, salah seorang kakitangan JPN, Rashidah Md Rashid berkata, nama-nama popular adalah kebiasaan yang sering diajukan pemohon semasa bertugas di kaunter pendaftaran kelahiran.

“JPN tetap memberi perkhidmatan walaupun kadang-kadang permintaan memberikan nama anak adalah luar dari kebiasaan disebabkan keterujaan pelanggan terutama yang pertama kali mendapat cahaya mata.

“Pada masa sama, JPN bertanggungjawab mendapatkan pengesahan untuk pendaftaran kelahiran bagi mengelak sebarang kesilapan,” katanya yang berkhidmat di JPN sejak 11 tahun lalu.

Beliau turut berkongsi pengalamannya semasa mendapatkan pengesahan ejaan nama anak daripada seorang bapa yang merujuk kepada nama pelakon Aaron Aziz.

“Saya tanya, betul ke ejaan nama ada dua A, dia jawab ya ikut ejaan nama Aaron Aziz. Isteri saya suka watak dalam drama yang dimainkan pelakon itu.

“Bukan Aaron Aziz saja, contoh macam Mia Ahmad, ada yang kata nama itu diberi dengan harapan anak mereka nanti cantik macam Mia Ahmad,” ujar Rashidah.

- mSTAR

Bayi lahir di Restoran Marrybrown



Seorang wanita sedang mengandung hanya dijangka akan melahirkan anak keduanya itu hujung bulan ini.

Namun jangkaan itu meleset apabila dia terpaksa melahirkan anaknya itu di restoran makanan segera Marrybrown di Sungai Petani, Kedah.

Ketika kejadian, Nur Haslina Abdul Halim, 29, suaminya Mohd Lufti Hussein dan anak lelaki mereka sedang makan di restoran Marrybrown di Amanjaya Mall di sini apabila air ketubannya pecah.

Dia bernasib baik apabila pengurus Marrybrown Aman Jaya, Shahrizal Daud, 43, yang juga ibu kepada lapan orang anak cepat bertindak mengawal keadaan.

Dia segera menghubungi Hospital Sultan Abdul Halim yang terletak berdekatan sementara kakitangan wanitanya membantu Nur Haslinah ketika kejadian pada kira-kira pukul 10.40 malam pada Ahad lalu.

Lebih bernasib baik apabila seorang jururawat swasta yang secara kebetulan berada di lokasi kejadian tampil menghulurkan bantuan sebelum ketibaan kakitangan perubatan dari hospital.

Pada kira-kira pukul 11.10 malam, bayi perempuan seberat 2.59kg selamat dilahirkan.

Mohd Lufti, ketika ditemui di wad bersalin hospital itu pada Isnin berkata, dia bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar.

Ibu bapa kepada bayi yang dilahirkan di restoran makanan segera Marrybrown itu menamakan anak mereka, Nur Dayana yang bermaksud cahaya dan berani.

"Kami berada di pusat membeli-belah itu untuk membeli beberapa barangan bayi dan turun ke Marrybrown untuk makan.

"Semasa makan Nur Haslinah berkata dia berasa tidak selesa dan saya telah merancang untuk menghantarnya ke hospital. Tetapi nampaknya anak perempuan saya ini begitu tidak sabar dan saya berterima kasih atas bantuan semua pihak.

"Isteri saya dan anak saya boleh pulang ke rumah (hari ini)," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Marrybrown, Datuk Joshua Liew, 37, turut teruja apabila dia dimaklumkan mengenai berita kelahiran itu.

"Memandangkan Mohd Lufti berasal dari Johor, Marrybrown Johor akan menganjurkan sambutan besar-besaran untuk menyambut 'Bary Marrybrown' apabila dia kembali ke Johor untuk bertemu saudara-mara," katanya.

Tambah beliau bayi itu juga akan menikmati majlis hari jadi percuma bersama rakan-rakan dan saudara-maranya di mana-mana cawangan Marrybrown sehingga dia berusia 12 tahun.

"Ia adalah satu rahmat untuk kami (Marrybrown) kerana ibu saya, Datin Nancy Liew yang juga pengasas kami dilahirkan pada 2 Oktober," katanya.

- mSTAR

Isnin, Oktober 03, 2016

Benzoil Peroksida Dalam Tepung Gandum Selamat



Penggunaan bahan benzoil peroksida dalam tepung gandum tidak memudaratkan kesihatan pengguna, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya badan penilai antarabangsa, Suruhanjaya Codex Alimentarius (CAC), mengesahkan bahawa bahan itu selamat digunakan.

CAC ditubuhkan di bawah jawatankuasa bersama terdiri daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Jawatankuasa Pakar Mengenai Aditif Makanan (JECFA).

Menurutnya, CAC membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum tidak melebihi 75 miligram (mg)/kilogram (kg) dengan mengambil kira pengambilan makanan berasaskan tepung gandum secara kerap.

Di samping itu, penambahan benzoil peroksida dalam tepung gandum juga dibenarkan di Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat manakala Australia New Zealand Food Standards Code membenarkan ia digunakan dalam semua makanan," katanya kepada Bernama, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai kesan buruk bahan tersebut kepada kesihatan pengguna sehingga menyebabkan barah.

Benzoil peroksida merupakan sejenis bahan pengawet yang dibenarkan dalam pelbagai makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 (PPM 1985) dan dalam tepung gandum jumlahnya tidak melebihi 50mg/kg.

Dr Noor Hisham berkata JECFA telah menjalankan kajian dan mengesahkan bahawa benzoil peroksida selamat untuk digunakan dalam makanan mengikut jumlah tertentu.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kesihatan pengguna sekiranya terdapat bukti saintifik terkini daripada CAC dan JECFA yang membuktikan mana-mana bahan dalam makanan adalah berbahaya kepada kesihatan.

Bagaimanapun, bukti-bukti saintifik terkini tidak menyokong dakwaan bahawa benzoil peroksida adalah berbahaya kepada kesihatan, katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Nooraini Mohd Othman menegaskan benzoil peroksida bukanlah karsinogenik yang boleh menyebabkan barah.

- Bernama

Sabtu, Oktober 01, 2016

Adakah Miliki Ijazah Kedua Mudah Dapat Kerja?



Oleh Ahmad Abd Hamid

Ijazah kedua untuk lebih mudah dapat kerja? Adakah ini satu saranan berteraskan kajian sahih dan berdasarkan realiti keperluan pasaran tenaga kerja atau adakah ia sekadar satu pandangan rambang dan teori semata-mata?

Namun inilah saranan yang dilontarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Beliau mahu para pelajar pusat pengajian tinggi berusaha memiliki ijazah kedua bagi menambah nilai kebolehpasaran dalam menghadapi saingan memasuki pasaran pekerjaan.

Saranan ini nampak mudah iaitu dengan memiliki dua ijzah (double degree) seseorang boleh lebih mudah mendapat kerja. Mungkin dari segi teori pandangan ini munasabah kerana mereka yang memiliki ‘ilmu tambahan’ dianggap mempunyai kelebihan untuk berjaya.
Namun jika sekali pun teori ini boleh diterima pakai, ia mungkin tidak akan bertahan untuk satu jangka masa yang lama. Ini kerana apabila lulusan pusat pengajian tinggi mengambil ijazah kedua dan terbukti mereka mudah menembusi pasaran kerja, maka semakin ramai akan mengambil ijazah kedua.

Apabila jumlahnya semakin ramai maka persaingan mencari kerja kembali menjadi sengit, apatah lagi jika peluang pekerjaan itu sendiri tidak berkembang. Maka masalah mencari kerja berbangkit semula. Adakah ketika ini kita akan menggesa pelajar mengambil ijazah ketiga pula?

Prosesnya juga bukan mudah bagi pelajar. Menamatkan ijazah pertama mengambil masa tiga atau empat tahun (perubatan lima tahun). Bermakna jangka masa yang sama perlu diambil untuk menamatkan ijazah kedua. Jangka masa yang lama ini pasti mencabar, khususnya bagi mereka yang benar-benar memerlukan kerja untuk menyara diri dan keluarga.

Untuk mengambil ijazah kedua, bidang apa pula yang harus diambil? Haruskah pelajar mengambil bidang menurut gerak hati sendiri atau dipimpin dalam menentukan bidang apa yang perlu diambil? Perlu diingat keperluan pasaran kerja juga sentiasa berubah. 

Mengambil ijazah kedua yang lain daripada bidang ijazah pertama juga bukan mudah. Misalnya pelajar yang beroleh ijazah pertama dalam bidang sastera tentulah menghadapi masalah jika hendak mengambil ijazah kedua dalam bidang kewangan atau sains. Begitu juga seterusnya.

Pandangan ini bukan bertujuan untuk tidak menggalakkan pelajar mengambil ijazah kedua. Tetapi jika tujuannya semata-mata untuk mudah memasuki pasaran kerja ia masih boleh diperdebatkan. Ini kerana, dari segi realiti, penyelesaian masalah mencari kerja bukanlah semudah dengan hanya memiliki dua ijazah, hatta dengan ijazah lanjutan sekalipun. 

Setiap tahun, ribuan lulusan dihasilkan oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Jumlah yang semakin ramai tahun demi tahun ini menyaksikan jumlah yang ramai juga memburu peluang pekerjaan yang sedikit. Ramai lulusan universiti yang masih menganggur setelah beberapa tahun tamat pengajian. 

Ini bukan seperti zaman tahun 60-an atau lewat 70-an di mana lulusan universiti tidak ramai dan peluang pekerjaan menanti mereka. Ramai pelajar universiti ditawarkan kerja sekalipun masih belum menamatkan pengajian.

Bukan pula tanggungjawab IPTA atau IPTS menyediakan peluang pekerjaan kepada para graduan mereka. Mereka sekadar menyiapkan pelajar dengan ilmu. Namun IPTA atau IPTS tetap bertanggungjawab menyediakan pelajar dengan pendidikan yang sesuai, iaitu menyediakan kursus-kursus yang selari dengan keperluan semasa. Ini mesti diawasi dan dipantau oleh pihak berwajib.

Penawaran kerja umumnya terletak di bahu sektor awam dan swasta, dua sumber utama penawar kerja. Jika ada pun yang memilih untuk bekerja sendiri, jumlahnya adalah kecil dalam konteks negara kita. 

Namun, dengan semakin ramai pencari pekerjaan, peluang di kedua-dua sektor awam dan swasta semakin menguncup. Kerana itulah gejala pengangguran kian lama kian serius yang memerlukan perhatian serius pula untuk mengatasinya.

Penyelesaiannya bukan semudah dengan hanya memiliki ijazah kedua. Sebaliknya, usaha mesti dibuat untuk memastikan sektor awam dan swasta terus berkembang bagi membolehkan kedua-duanya menyediakan peluang pekerjaan yang berterusan.

Bagi membolehkan kedua-dua sekor ini berkembang, ekonomi perlu berkembang pesat. Selain perkembangan melalui sektor dalaman, sektor luaran seperti pelaburan asing mesti sentiasa dipertingkat. 

Pelaburan asing penting dalam membantu menggerakkan ekonomi negara. Bersama-sama, ia membolehkan kerajaan melaksanakan projek-projek yang mencetuskan pekerjaan, begitu juga di sektor swasta.

Oleh itu, usaha menarik pelaburan asing mesti sentiasa berterusan. Jangan berpuas hati dengan apa yang ada. Lebih sedih jika kita hanya memejam mata membiarkan pelabur-pelabur asing yang sudah lama bertapak di negera ini memindahkan operasi ke negara lain dan meninggalkan ramai pekerja tempatan menjadi penganggur. 

Jangan biarkan ini berterusan.

Langkah kerajaan menaikkan had umur persaraan kepada 60 tahun juga dilihat sebagai satu faktor yang mengekang peluang mendapat kerja. Dengan umur persaraan ditingkatkan, peluang untuk tenaga kerja baru memasuki pasaran pada masa yang sama juga terhad. Begitu juga  peluang untuk naik pangkat.

Dalam keadaan ini pun CUEPACS mencadangkan umur persaraan kakitangan kerajaan dinaikkan kepada 62 tahun. Cadangan ini tidak sepatutunya dilayan. Lupakan sahaja kerana ia hanya akan menutup peluang anak-anak muda memasuki sektor awam.

Sekarang sudah menjadi perkara biasa jika seorang bakal guru yang telah tamat pengajian belum dapat penempatan (posting). Malah bidang kedoktoran yang dianggap berprestij  pun menghadapi masalah penempatan pelajar untuk menjalani latihan (houseman). Semuanya kerana peluang yang makin terhad.

Difahamkan, lulusan daripada peringkat pertengahan (Diploma) yang menekankan kepada pendidikan berteraskan kemahiran, didapati lebih mudah mendapat kerja. Ini kerana aspek kemahiran dianggap memenuhi citarasa keperluan pasaran kerja. Jika ini benar, barangkali aspek ini perlu diutamakan dalam sitem pendidikan.

Pusat pengajian tinggi juga mesti memberi pendidikan daripada aspek sahsiah dan keterampilan diri, bukan akademik semata-mata. Telah terbukti ramai pelajar yang cemerlang ketika di kampus tetapi gugup dan gagap apabila hadir temu duga kerja sekaligus mengagalkan mereka memasuki pasaran kerja.

Aspek ini penting kerana dalam mengintai peluang pekerjaan, selain ilmu yang ditimba di pusat-pusat pengajian tinggi, para lulusan mestilah mempersiapkan diri dengan keterampilan yang menyakinkan majikan dan dan mampu memikat hati bakal majikan.

Ingat, semua calon pada dasarnya berkelulusan sama. Yang mmbezakan antara mereka ialah  keyakinan diri dan keterampilan yang menyakinkan. Biasanya hanya mereka yang nampak ada ‘kelainan’ dengan personaliti menarik, mantap dan tegas akan mempunyai peluang lebih cerah diterima majikan. Janganlah terlalu bimbang jika tidak ada ijazah kedua.

Pelajar Hilang Di Paris Dijumpai



Ibu kepada pelajar Malaysia yang hilang di Paris baru-baru ini memaklumkan beliau sudah berhubung secara terus dengan anaknya Nur Sakinah Naim, 19, melalui telefon dan WhatsApp.

Bagaimanapun Nur Halizah Ahmad, 43, berkata beliau masih belum mengetahui kejadian sebenar yang berlaku sehingga menyebabkan penuntut Universitaire de Technologie (IUT), Rouen, Normandy itu menghilangkan diri selama beberapa hari.

"Tak tahulah nak kata apa. Saya pun tidak jumpa dia lagi, jadi saya tak mahu tanya macam-macam takut dia tertekan. Dia cuma beritahu dia sihat," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Masjid, Tikam Batu dekat sini, Jumaat.

Nur Shakinah Naim, 19, dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dan kembali ke kediamannya di Paris semalam. Khabar gembira itu disampaikan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berkunjung ke rumah keluarga itu di sini, Khamis.

Terdahulu Umno Bahagian Sungai Petani yang diwakili Naibnya, Mohd Rodhi Rejab menyampaikan tiket penerbangan pergi-balik ke Perancis kepada Nur Halizah dan suaminya Naim Awang, 46, yang mereka dijadual berlepas ke Paris Ahad ini.

Mohd Rodhi berkata pembiayaan termasuk kos penginapan, makan dan minum yang ditaja sepenuhnya Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad yang akan turut mengiringi mereka ke Perancis.

Pasangan tersebut akan bertolak ke Kuala Lumpur esok sebelum menaiki penerbangan pada pukul 2.10 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Paris pada 1.30 petang (waktu tempatan).

Sementara itu Naim berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan sehingga  membolehkan beliau dan isterinya bakal bertemu anak mereka di Paris dan  seterusnya mengetahui lebih lanjut perkara yang menimpa anaknya.

"Sama ada kami akan membawa Nur Shakinah pulang bersama atau tidak, itu saya belum dapat membuat sebarang keputusan kerana kami perlu berbincang dulu.

"Saya memang mahu dia balik ke sini terlebih dahulu untuk tenangkan fikirannya," katanya.

- Bernama

Persepsi Buruk Rakyat Faktor Ranking Ekonomi Malaysia Turun



Persepsi buruk yang diberikan oleh rakyat Malaysia dipercayai menjadi punca ranking negara ini menurun dalam Laporan Kompetitif Global Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Malaysia turun enam anak tangga pada kedudukan ke-25, jauh ketinggalan di belakang negara jiran, Singapura yang menduduki senarai kedua.

Laporan tersebut dirumuskan berdasarkan tinjauan umum yang melibatkan 70 peratus daripada laporan manakala maklumat kerajaan hanya meliputi 30 peratus.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, jumlah peratusan tersebut antara faktor ranking Malaysia menurun.

"Sebanyak 70 peratus markah dalam tinjauan itu berdasarkan persepsi. Saya terpaksa katakan bahawa di Singapura, mereka mendapat markah tinggi kerana rakyatnya memberi komen yang bagus tentang negara mereka.

"Kita perlu mendidik rakyat berbuat demikian apabila menerima tinjauan tersebut," katanya di sini pada Khamis.

Selain itu, Ka Chuan menyeru rakyat Malaysia untuk berkata benar tanpa dipengaruhi emosi memandangkan penurunan ranking dalam WEF akan menggugat minat pelabur asing ke negara ini.

Berdasarkan laporan WEF, Malaysia perlu mengatasi isu pentadbiran kerajaan, rasuah, kesihatan dan pendidikan utama kepada rakyat.

Malaysia turut mengalami penurunan paling buruk dalam bidang kesihatan dan pendidikan utama apabila turut sebanyak 20 tangga ke senarai ke-44 pada 2016 berbanding tangga ke-24 sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, Ka Chuan berkata, satu mesyuarat melibatkan beberapa kementerian akan diadakan pada Jumaat depan untuk membincangkan kandungan laporan itu dan merancang perubahan bagi menaikkan semula ranking Malaysia.

- mSTAR

Kontroversi PhD: Azizan Osman 'Kunci Mulut'



Penceramah motivasi popular, Azizan Osman masih berdiam diri mengenai kontroversi kelayakan akademiknya selepas Universiti Malaya (UM) menafikan menganugerahkan ijazah doktor kehormat kepadanya.

Sehingga kini Azizan gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.

Sebaliknya, firma yang diasaskan Azizan - Richworks Group of Companies tampil menyatakan kekesalan berhubung kontroversi berkenaan.

"Merujuk kepada kenyataan  Universiti Malaya, kami ingin memaklumkan bahawa kami mengambil perkara ini secara serius.

"Kami juga telah memohon untuk penjelasan lanjut dan sebaik sahaja proses ini berakhir, kami akan memaklumkan secara umum. Kami kesal di atas kesulitan yang mungkin berlaku," demikian menurut syarikat itu menerusi kenyataan pada Khamis malam.

Menurut syarikat itu lagi, pihak mereka akan menangani perkara berkenaan dengan sebaik mungkin.

Sebelum ini UM menafikan pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Azizan.

Ia susulan kekecohan yang dibangkitkan netizen sebelum ini mengenai kelayakan akademik Azizan apabila beliau sendiri mendakwa telah dianugerahkan gelaran doktor kehormat oleh UM di atas "kerja keras, dedikasi, sumbangan dalam pembangunan usahawan di Malaysia, terutamanya bumiputera".

- mSTAR

IUKL Tidak Pernah Beri Anugerah Ijazah Sarjana, PHD Kepada Azizan


Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) menjelaskan universiti itu tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kepada pengasas syarikat Richworks International Sdn Bhd Azizan Osman.

 "IUKL ingin mengesahkan bahawa Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan PhD tidak dianugerahkan kepada Encik Azizan Osman seperti yang didakwa di media sosial," menurut universiti itu dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.

Menurut kenyataan itu adalah diharap kenyataan tersebut menyelesaikan kekeliruan berikutan dakwaan itu.

Pada Khamis, Universiti Malaya (UM) turut memaklumkan tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Azizan.  

UM dalam kenyataan semalam memberi penjelasan berhubung status gelaran berkenaan yang didakwa dianugerahkan oleh universiti berkenaan kepada Azizan sepertimana dibangkitkan dalam laman media sosial.

Richworks, yang ditubuhkan pada 2008, merupakan sebuah syarikat penganjuran seminar berkaitan pembangunan kemuncak prestasi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta pembelian barangan dalam talian.  

Sementara itu, Richworks dalam kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi Azizan, berkata syarikat itu kesal atas kesulitan tersebut dan akan menangani perkara itu sebaik mungkin.  

Azizan juga adalah pengasas, pengerusi eksekutif dan pengarah urusan kumpulan syarikat Richworks.

- Bernama

Recent Posts