Memaparkan catatan dengan label Nur Shakinah Naim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nur Shakinah Naim. Papar semua catatan

Sabtu, Oktober 01, 2016

Pelajar Hilang Di Paris Dijumpai



Ibu kepada pelajar Malaysia yang hilang di Paris baru-baru ini memaklumkan beliau sudah berhubung secara terus dengan anaknya Nur Sakinah Naim, 19, melalui telefon dan WhatsApp.

Bagaimanapun Nur Halizah Ahmad, 43, berkata beliau masih belum mengetahui kejadian sebenar yang berlaku sehingga menyebabkan penuntut Universitaire de Technologie (IUT), Rouen, Normandy itu menghilangkan diri selama beberapa hari.

"Tak tahulah nak kata apa. Saya pun tidak jumpa dia lagi, jadi saya tak mahu tanya macam-macam takut dia tertekan. Dia cuma beritahu dia sihat," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Masjid, Tikam Batu dekat sini, Jumaat.

Nur Shakinah Naim, 19, dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dan kembali ke kediamannya di Paris semalam. Khabar gembira itu disampaikan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berkunjung ke rumah keluarga itu di sini, Khamis.

Terdahulu Umno Bahagian Sungai Petani yang diwakili Naibnya, Mohd Rodhi Rejab menyampaikan tiket penerbangan pergi-balik ke Perancis kepada Nur Halizah dan suaminya Naim Awang, 46, yang mereka dijadual berlepas ke Paris Ahad ini.

Mohd Rodhi berkata pembiayaan termasuk kos penginapan, makan dan minum yang ditaja sepenuhnya Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad yang akan turut mengiringi mereka ke Perancis.

Pasangan tersebut akan bertolak ke Kuala Lumpur esok sebelum menaiki penerbangan pada pukul 2.10 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Paris pada 1.30 petang (waktu tempatan).

Sementara itu Naim berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan sehingga  membolehkan beliau dan isterinya bakal bertemu anak mereka di Paris dan  seterusnya mengetahui lebih lanjut perkara yang menimpa anaknya.

"Sama ada kami akan membawa Nur Shakinah pulang bersama atau tidak, itu saya belum dapat membuat sebarang keputusan kerana kami perlu berbincang dulu.

"Saya memang mahu dia balik ke sini terlebih dahulu untuk tenangkan fikirannya," katanya.

- Bernama

Rabu, September 28, 2016

Pelajar Nur Shakinah Naim Hilang di Paris



Kedutaan Malaysia di Paris terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa Rouen berkaitan kes seorang pelajar Malaysia, Nur Shakinah Naim, yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Perancis.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata Kementerian Luar telah menerima laporan rasmi tentang kes kehilangan pelajar itu.

Menurut kenyataan itu, pelajar terbabit hilang dari kediamannya sekitar tengah hari pada 25 September, dan perkara ini telah dilaporkan oleh rakan serumahnya kepada pejabat kedutaan Malaysia pada malam sama.

Sebaik sahaja menerima laporan itu, seorang wakil kedutaan berlepas ke Rouen, Normandy, untuk menyelaraskan prkara itu dan melaporkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan.

"Ini dilakukan pada hari sama, dan usaha sedang dijalankan dengan bantuan agensi tempatan untuk mengesan pelajar itu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan Wisma Putra turut menyebut bahawa pejabat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di kedutaan itu mengesahkan bahawa Nur Shakinah, 19, adalah pelajar kejuruteraan di Universitaire de Technologie, Rouen, Normandy, dan merupakan pelajar tajaan JPA.

Ibu bapa Norshakinah Naim yang hilang di Rouen, kira-kira 140 kilometer (km) dari Paris pada sambutan hari lahirnya enam hari lalu akan berlepas ke Perancis untuk membantu operasi mencari anak perempuannya itu.

Bapa pelajar berusia 19 tahun itu, Naim Awang, 46, berkata mereka akan membawa Nurshakinah pulang ke tanah air sebaik sahaja dia ditemui supaya dia boleh menyambung pengajiannya di dalam negara.

Beliau percaya anak perempuannya itu tidak selesa belajar di Perancis kerana dia berdepan beberapa masalah dalam menguasai bahasa tersebut sebaik tiba di sana.

Kedutaan Malaysia dimaklumkan mengenai berita kehilangan Nurshakinah oleh rakan sebiliknya yang menyedari dia hilang selepas telefon bimbitnya dijumpai di bilik sewa kediaman mereka sejak Jumaat.

Naim berkata kali terakhir Norshakinah berhubung dengan keluarganya adalah pada hari lahirnya dan berbual dengan ibunya, Nor Halizah Ahmad.

Katanya, dia berbual seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.

"Malah dia kedengaran ceria dan tidak kelihatan mempunyai masalah. Dia adalah anak yang baik dan cemerlang dalam pelajaran," katanya.

Naim berkata mereka sekeluarga cuba menghubungi Norshakinah pada Sabtu tetapi telefon bimbitnya tidak dijawab rakan sebiliknya yang memaklumkan dia tidak pulang ke rumah sewa.

"Sebagai bapa, saya perlu mencarinya.

"Saya dan isteri akan berlepas ke Paris pada Sabtu. Kami amat berterima kasih kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad yang menaja tiket penerbangan kami," katanya yang bekerja sebagai petani di Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat sini, Rabu.

Naim berkata Norshakinah pulang ke tanah air dari Paris bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga pada Julai lalu dan bergembira bersama-sama keluarga.

"Norshakinah ada beritahu kami bahawa dia okay di sana, tidak seperti kali pertama dia tiba di Paris," kata bapa enam anak itu.

Anak kedua daripada enam beradik itu yang merupakan lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Pekula, Tikam Batu memperoleh 10A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2014.


- Bernama

Recent Posts