Memaparkan catatan dengan label hukum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hukum. Papar semua catatan

Isnin, Februari 27, 2023

Haram hukum cas telefon dalam masjid


Penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, hukum mengecas telefon dalam masjid adalah haram melainkan ia telah diwakafkan oleh pihak masjid.

Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI menjawab persoalan tersebut ketika mengadakan ceramah di Masjid Al- Mubarakah, Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi.

Jelasnya, hukum tersebut adalah haram kerana masjid tidak boleh disamakan seperti rumah sendiri kerana kebanyakan barang telah diwakafkan.

“Jika kita yang bayar bil elektrik masjid, kita boleh cas telefon. Contohnya, bayar RM2,000 setiap bulan. Tetapi kalau orang lain yang bayarkan, tidak boleh.

“Melainkan ada soket disediakan khas ditulis sebagai wakaf cas telefon percuma. Kerana harta itu dikira harta sabil atau wakaf.

“Paling kerap buat dosa, apabila ahli jawatankuasa masjid bawa barang-barang masjid balik rumah. Contohnya pinjam karpet, bawa balik sebab anak ingin kahwin,” katanya.

Tambahnya lagi, menurut riwayat Imam Nawawi, haram hukumnya jika orang ramai mengambil wuduk di mesin penapis air di masjid kerana telah diwakafkan untuk diminum sahaja. 

Sabtu, Januari 14, 2023

Hati-hati rakam gambar di Tanah Suci, bimbang makruh


Sejak kebelakangan ini, timbul isu dalam kalangan pengguna aplikasi TikTok berhubung tindakan segelintir pihak yang menjadikan ibadah umrah sebagai kandungan media sosial.
Situasi itu menjentik rasa kurang senang segelintir pengguna yang mempersoalkan adakah keberadaan mereka di Tanah Suci berpandukan niat sebenar untuk beribadah.
Pensyarah Fiqh Fatwa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar ­Ariff Mohd. Kashim ketika dihubungi menjelaskan secara terperinci tentang situasi itu.
Menurut beliau, meskipun ibadah melakukan umrah merupakan ibadah yang bersifat sunat, tetapi kita perlu memperbetulkan niat sewaktu pemergian ke Tanah Suci.
“Teknologi moden pada hari ini mewujudkan Kaabah ada di mana-mana. Maksudnya, kita boleh merakam gambar dan vi­deo di Tanah Suci kemudiannya berkongsi dalam media sosial.
“Hukumnya (perbuatan) harus sebab bagus dapat bagi orang yang tidak berkemampuan berpeluang melihat Kaabah dan kawasan di sana,” katanya.
Sebagai contoh, jemaah boleh merakam gambar atau video ketika di Tanah Suci atas sebab untuk memaklumkan dirinya melakukan umrah yang diwakilkan bagi seseorang yang sudah me­ninggal dunia.
Begitu juga jika seseorang itu menjadikan suasana ibadah umrah atau haji sebagai bahan promosi yang digunakan untuk agensi melibatkan pengurusan jemaah di Tanah Suci.
Bagaimanapun, jelas Izhar ­Ariff, hukum tersebut boleh bertukar menjadi makruh sekiranya seseorang itu ada perasaan ingin menunjuk-nunjuk.
“Cuma hukum tersebut boleh jadi makruh kalau ada perasaan nak buat umrah semata-mata untuk menunjukkan dia ada duit.
“Daripada makruh, boleh jadi hukumnya jatuh haram sekiranya melakukan ibadah umrah untuk riak dan takbur. Contoh­nya bangga ambil pakej mahal dan makanan makanan mewah sebab niat itu sudah tidak betul,” ujarnya.
Izhar ­Ariff memberitahu, tiada masalah sekiranya seseorang itu menggunakan media sosial seperti membuat siaran langsung (live) untuk membaca doa yang dikirim orang lain asalkan perkara tersebut membawa kebaikan.
Cuma harus diingatkan, tidak kira apa sekalipun, adab ketika mengerjakan umrah dan haji perlu dititikberatkan setiap masa.
“Guna kesempatan berada di Tanah Suci untuk fokus sepenuhnya dengan beribadat berbanding melakukan hal-hal duniawi seperti leka dengan telefon bimbit.
“Adab sangatlah penting dan harus dijaga sepanjang me­nunaikan umrah atau haji. Ini tidak, ada yang pergi ke sana tidak menjaga adab dalam pemakaian ­misalnya.
“Tidak kurang juga ada yang menghabiskan masa bermain te­lefon. Padahal kita harus manfaat masa dengan buat banyak ibadat seperti ziarah dan tawaf.
“Apabila buat sesuatu perkara yang bercanggah dengan agama atau melalaikan, itulah yang perlu kita elakkan kerana perbuatan tersebut sangatlah merugikan diri sendiri,” katanya.
Sumber : Kosmo!

Khamis, Jun 09, 2022

Umat Islam tak boleh sambut Bon odori

 


Penyertaan orang Islam dalam Festival Bon Odori boleh membawa kepada syirik.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata umat Islam tidak patut menyertai acara itu bagi memelihara kesucian pegangan agama,

"Acara ini mengingati roh atau semangat nenek-moyang yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik. Orang Islam mesti selalu menjaga kesucian kepercayaan mereka.

"Mengingati roh nenek-moyang dengan menari, menyembah semangat mereka dan sebagainya tidak digalakkan dalam Islam. Ini boleh membawa dosa syirik kepada Allah," katanya

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad meminta orang Islam tidak menghadiri pesta itu.

Idris berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati program itu mempunyai unsur agama lain dan orang Islam dinasihatkan tidak menyertai program terbabit.

Sumber : BERNAMA

Rabu, Oktober 05, 2016

Suami-Isteri Dilarang Kongsi Aksi Intim - Mufti Kelantan



Pasangan suami-isteri yang ingin menggambarkan kasih sayang masing-masing ditegah berkongsi keintiman mereka dengan khalayak kerana perbuatan itu dilarang oleh ajaran Islam.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata setiap perbuatan yang ingin menggambarkan kasih sayang antara suami-isteri perlu dilakukan di tempat yang sesuai.

"Dalam Islam ada adab, setiap langkah, kata-kata dan perbuatan ada tempat yang sesuai. Walaupun seseorang itu suami-isteri tapi setiap perbuatan mereka perlu ada batasan jika mahu menunjukkan kasih sayang.

"Akhlak seseorang dalam Islam tidak diizinkan untuk bercumbu-cumbuan di tempat awam. Jika ingin bercium ada tempat privasi dan ia tidak perlu dipertontonkan kepada umum, " ujarnya.

Bagaimanapun, Mohamad Shukri menambah, pasangan suami isteri digalakkan untuk melahirkan rasa cinta sesama pasangan namun perlu dilakukan di tempat yang sesuai seperti di rumah.

Katanya, hal tersebut bagi mengelakkan daripada sebarang perkara yang boleh mengundang kepada fitnah.

Tanpa merujuk kepada mana-mana individu Mohamad Shukri berkata, semua pihak harus mengambil maklum perkara itu tidak kiralah mereka golongan artis ataupun orang biasa.

Terdahulu adegan bercium pasangan selebriti Rozita Che Wan dan suaminya Zain Saidin yang dimuat naik di laman Instagram milik aktres itu ketika bercuti di Greece mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Foto bercium yang dimuat naik pada Selasa itu mendapat lebih 11,000 like dan 1,184 komen.

Rata-rata netizen menganggap gambar kasih sayang tersebut tidak sesuai dikongsi kepada umum namun ada juga yang menyokong.

Selain pasangan berkenaan, pengacara Awal Ashaari turut melakukan perkara yang sama apabila memuat naik gambar bercium bersama isterinya Scha Alyahya di sebuah tempat peranginan di Langkawi ketika menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka Ahad lalu.

Awal yang kurang senang dengan komen netizen memberitahu perkara itu tidak menjadi masalah kerana Scha merupakan isterinya yang sah.

"Dia isteri saya yang halal. Ada Masalah?" tulisnya.

Bagaimanapun, selepas itu Awal meletakkan komen pada mode privasi.

- mSTAR

Jumaat, Jun 24, 2016

Hukum suntikan vaksin adalah harus - Mufti Wilayah



Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan hukum suntikan vaksin sebagai harus sama ada untuk merawat penyakit ataupun bersifat pencegahan daripada dijangkiti penyakit.

Menurutnya, ia selaras dengan pendapat ramai tokoh ulama namun ia perlu menepati beberapa kriteria.

“Pertama, berlakunya keperluan yang mendesak dan kedua, testimoni telah mengatakan ia dapat memberikan kesan yang baik.

“Ketika, elakkan bahan yang bersifat najis kecuali jika dalam keadaan terpaksa dan keempat, sifat sebagai pengawalan daripada penyakit adalah telah terbukti.

“Akhir sekali, tiada kesan sampingan dan mudarat yang lebih besar berlaku kepada mereka yang disuntik dengan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan meninggal dunia, seorang kritikal manakala lima lagi adik-beradiknya dikuarantin di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dipercayai akibat dijangkiti bakteria difteria.

Sebelumnya pula, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia akibat dijangkiti bakteria difteria di Melaka.

Dalam pada itu, Zulkifli mengajak orang ramai merujuk sesuatu isu itu dengan pakarnya.

“Marilah kita sama-sama menginsafi diri kita dengan merujuk setiap sesuatu itu kepada pakarnya.

“Jika ia berkaitan dengan soal kesihatan maka sudah tentulah yang paling berautoriti terhadapnya adalah Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar mereka,” katanya.

- Sinar Harian

Jumaat, Disember 12, 2008

Hukum Melihat Gambar-Gambar Porno (Lucah)




Hukum melihat gambar-gambar porno adalah haram, berdosa dan tidak bersyukur kepada Allah s.w.t. terhadap nikmat mata. Memelihara pandangan, penglihatan merupakan suatu yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran secara jelas dalam surah al-Nur yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat dalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (al-Nur: 30) Ayat ini diturunkan bagi mendidik umat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. daripada melihat ke arah wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Tegahan dalam ayat ini adalah larangan daripada melihat ke arah perempuan yang mendedahkan aurat semata-mata. Apatah lagi sekiranya melihat gambar-gambar porno. Adapun kesan daripada melihat perkara-perkara porno akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan beberapa masalah, di antaranya ialah; *Terangsang untuk melakukan perbuatan buruk atau perbuatan yang terkutuk, mungkin juga akan membawa seseorang itu untuk melakukan zina. Sebab jelas dalam ayat di atas kaitan mata dengan kehormatan iaitu kemaluan. Mata yang boleh melihat merupakan kurniaan Allah s.w.t. dan kehebatan mata ini tidak ubah seperti kamera digital melihat merakam dan menyimpannya dalam memori ingatan minda. Akhirnya gambar-gambar porno yang dilihat akan mengganggu fikiran serta mendesak untuk melakukan perbuatan yang terkutuk. Perkara ini juga akan menyebabkan seseorang itu terdedah untuk melakukan jenayah sumbang mahram, mencabul atau merogol. Banyak lagi perkara negatif berkemungkinan berlaku. Di antaranya; lMerosakkan hati - hati yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. adalah untuk menginggatinya dengan berzikir serta berfikir perkara-perkara yang baik untuk dirinya dan untuk kebaikan orang lain. Para salafu soleh telah berkata: “Pandangan ke arah perkara-perkara yang ditegah adalah panahan daripada panahan syaitan” (ibn Kathir, jld:3, hlm: 283). *Hilangnya nur, cahaya kebaikan di wajah seseorang yang suka melihat gambar-gambar porno. *Ibadatnya juga terganggu, mungkin tidak dapat memfokuskan diri dalam melakukan solat dan amalan-amalan yang lain. Kesimpulannya ialah, seseorang yang suka melihat gambar-gambar porno dengan melayari laman web yang menyajikannya akan berhadapan dengan gangguan emosi yang tidak stabil. Hal ini akan menyebabkan seseorang itu merosot kualiti hidupnya, sama ada dalam urusan agama mahupun dalam urusan kerjaya. Wallahua'lam

Recent Posts