Memaparkan catatan dengan label azizan osman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label azizan osman. Papar semua catatan

Sabtu, Jun 19, 2021

Azizan Osman muncul pemegang saham utama MPay

 

Mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman kini antara pemegang saham utama ManagePay Systems Bhd (MPay) selepas memperolehi 5.762 peratus kepentingan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MPay berkata Azizan kini mempunyai pegangan langsung berjumlah 44 juta unit saham dalam syarikat itu.

Dalam masa sama, katanya, Macquarie Bank dari Australia menghantar Notis Langganan dan Jumlah Pembayaran bagi 10 juta unit saham pada harga 21.4 sen seunit semalam.

"Mpay memperuntukkan dan mengeluarkan penempatan saham bagi Macquarie Bank hari ini dan dijangka akan disenarai pada 22 Jun ini," katanya.

Azizan adalah seorang mentor usahawan yang mana hasil bimbingan dan latihan dijalankan bersama sekitar 700 usahawan pelbagai industri tahun lalu berjaya mencatatkan peningkatan jualan kepada RM2.2 bilion berbanding sekitar RM900 juta pada 2019.

Mpay pula adalah penyedia pembayaran elektronik 'end-to-end' bagi bank dan institusi kewangan, peruncit serta pemegang kad yang beroperasi di negara ini.

Syarikat ini berada dalam Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran melebihi RM120 juta.

Pada Julai tahun lalu, Mpay dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memberitahu bahawa anak syarikatnya, ManagePay Services Sdn Bhd mengadakan usaha sama dengan syarikat khusus untuk menubuhkan sebuah syarikat yang akan menjadi bank digital dengan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

MPay bekerjasama dengan Passion Venture Capital Pte Ltd (PVC) yang berpangkalan di Singapura untuk memohon lesen dan mengendalikan perbankan digital di Malaysia.

Di bawah syarikat usaha sama itu, MPay akan memiliki 51 peratus kepentingan sementara 49 peratus selebihnya akan dipegang oleh PVC.

Sumber : Berita Harian

 

 

Jumaat, Oktober 07, 2016

Azizan Osman Dapat 'Doktor' Luar Negara



Syarikat Richworks International Sdn Bhd mendakwa penceramah popular, Azizan Osman menjadi mangsa pihak tertentu berhubung kontroversi anugerah ijazah doktor kehormat (PhD) membabitkan tiga universiti di negara ini.

Sebaliknya menurut kenyataan Richworks yang diasaskan Azizan, beliau merupakan pemegang PhD dari sebuah universiti di Amerika Syarikat dan bakal menerima satu lagi anugerah kedoktoran dari universiti di United Kingdom.

"Dr Azizan Osman memegang kelulusan Doktor Sains (Metafizik) dari Gordon University, Bradenton, Florida, Amerika Syarikat sejak 2009.

"Sepanjang empat tahun yang lalu, Dr Azizan telah memenuhi semua syarat-syarat untuk Doktor Falsafah (Psikologi) dari Universiti Hertfordshire, United Kingdom. Konvokesyen beliau di Universiti Hertfordshire dijangka berlangsung dalam masa yang terdekat," kata syarikat itu pada Khamis.

Untuk rekod, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) masing-masing menafikan pernah memberi pengiktirafan peringkat PhD kepada Azizan.

Menjelaskan mengenai dakwaan kononnya Azizan menjadi mangsa keadaan, Richwoks berkata: "Dr Azizan Osman telah malangnya disasarkan dan diperdayakan oleh pihak-pihak yang bukan wakil universiti tersebut (UM)."

Menurut Richworks, laporan polis mengenainya sudah dibuat.

"Semasa proses siasatan dalaman yang kami telah jalankan baru-baru ini, kami menjumpai beberapa kelemahan serius berkenaan prosedur-prosedur operasi kami.

"Malangnya, kelemahan ini telah menyebabkan penggunaan ijazah kedoktoran dari IUKL dan UKM sebagai rujukan kepada Dr Azizan Osman yang tidak pernah beliau akui," katanya.

Richworks, yang ditubuhkan pada 2008, merupakan sebuah syarikat penganjuran seminar berkaitan pembangunan kemuncak prestasi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta pembelian barangan dalam talian.

- mSTAR

Sabtu, Oktober 01, 2016

Kontroversi PhD: Azizan Osman 'Kunci Mulut'



Penceramah motivasi popular, Azizan Osman masih berdiam diri mengenai kontroversi kelayakan akademiknya selepas Universiti Malaya (UM) menafikan menganugerahkan ijazah doktor kehormat kepadanya.

Sehingga kini Azizan gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.

Sebaliknya, firma yang diasaskan Azizan - Richworks Group of Companies tampil menyatakan kekesalan berhubung kontroversi berkenaan.

"Merujuk kepada kenyataan  Universiti Malaya, kami ingin memaklumkan bahawa kami mengambil perkara ini secara serius.

"Kami juga telah memohon untuk penjelasan lanjut dan sebaik sahaja proses ini berakhir, kami akan memaklumkan secara umum. Kami kesal di atas kesulitan yang mungkin berlaku," demikian menurut syarikat itu menerusi kenyataan pada Khamis malam.

Menurut syarikat itu lagi, pihak mereka akan menangani perkara berkenaan dengan sebaik mungkin.

Sebelum ini UM menafikan pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Azizan.

Ia susulan kekecohan yang dibangkitkan netizen sebelum ini mengenai kelayakan akademik Azizan apabila beliau sendiri mendakwa telah dianugerahkan gelaran doktor kehormat oleh UM di atas "kerja keras, dedikasi, sumbangan dalam pembangunan usahawan di Malaysia, terutamanya bumiputera".

- mSTAR

IUKL Tidak Pernah Beri Anugerah Ijazah Sarjana, PHD Kepada Azizan


Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) menjelaskan universiti itu tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kepada pengasas syarikat Richworks International Sdn Bhd Azizan Osman.

 "IUKL ingin mengesahkan bahawa Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan PhD tidak dianugerahkan kepada Encik Azizan Osman seperti yang didakwa di media sosial," menurut universiti itu dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.

Menurut kenyataan itu adalah diharap kenyataan tersebut menyelesaikan kekeliruan berikutan dakwaan itu.

Pada Khamis, Universiti Malaya (UM) turut memaklumkan tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Azizan.  

UM dalam kenyataan semalam memberi penjelasan berhubung status gelaran berkenaan yang didakwa dianugerahkan oleh universiti berkenaan kepada Azizan sepertimana dibangkitkan dalam laman media sosial.

Richworks, yang ditubuhkan pada 2008, merupakan sebuah syarikat penganjuran seminar berkaitan pembangunan kemuncak prestasi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta pembelian barangan dalam talian.  

Sementara itu, Richworks dalam kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi Azizan, berkata syarikat itu kesal atas kesulitan tersebut dan akan menangani perkara itu sebaik mungkin.  

Azizan juga adalah pengasas, pengerusi eksekutif dan pengarah urusan kumpulan syarikat Richworks.

- Bernama

Khamis, September 29, 2016

UM Nafi Beri PhD Kepada Azizan Osman



Penceramah motivasi popular, Azizan Osman tidak pernah dianugerahkan ijazah doktor kehormat daripada Universiti Malaya (UM), kata universiti itu.

"Pihak universiti dengan ini menegaskan bahawa kami tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Encik Azizan Osman.

"Semoga penjelasan ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul dikalangan masyarakat berkaitan dakwaan tersebut," kata UM menerusi kenyataan pada Khamis.

Netizen sebelum ini mempersoalkan mengenai kelayakan akademik Azizan apabila beliau sendiri mendakwa telah dianugerahkan gelaran doktor kehormat oleh UM di atas "kerja keras, dedikasi, sumbangan dalam pembangunan usahawan di Malaysia, terutamanya bumiputera".

Laman web Azizan (azizanosman.com) merujuk beliau sebagai "Dr Azizan Osman" kerana mempunyai PhD dalam bidang pengurusan dari sebuah universiti tempatan.

Sementara itu, laman web firmanya - Richworks Group of Companies menyatakan bahawa beliau adalah pemegang PhD Kehormat dalam bidang keusahawanan daripada UM.

The Star cuba untuk menghubungi Azizan untuk penjelasan.

- mSTAR

Recent Posts