Selasa, Mei 03, 2011

Kini Salji Turun Di Malaysia

SHAH ALAM: Orang ramai, bersama-sama 'Dora the Explorer' dan i-City, menyambut kedatangan salji pertama di Snowalk pada 19 Mac lepas apabila teknologi dari Korea Selatan itu dilancarkan sebagai tarikan terbaru di "City of Digital Lights".

Kawasan seluas 4,645 meter persegi di Shah Alam itu cukup sejuk dengan suhu bawah 5 darjah celcius dan yang paling menarik, 'salji' setebal 0.1 meter di situ boleh dimakan.

Pengalaman dengan salji ini, yang pertama di Asia Tenggara, menggunakan teknologi Korea terbaru di mana air tulen bertapis yang dibekukan dijadikan salji yang selamat untuk dimakan.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen baru-baru ini berkata produk pelancongan yang menarik dan inovatif seperti Snowalk sebuah penyejuk untuk menyejukkan air bersih dari suhu bilik ke 15 darjah Celsius, sebuah unit kondenser untuk membekukan dram salji ke -35 darjah Celsius dan akhirnya bilahan mesin salji akan menukarkan ais kepada emping-emping salji yang halus.

Selain menikmati pengalaman salji turun sebenar, Eu berkata pelawat juga dapat menyaksikan lanskap LED sebalik 1,000kg arca-arca ais yang kreatif.

Pekerja dari Harbin, China, yang tersohor sejak bergenerasi lalu dengan kemahiran mengukir ais dan arca ais tahunan sebesar bandar telah dibawa ke Shah Alam untuk mengukir setiap arca dengan tangan.

'Lightscape' Yang Menawan

Dengan teknologi LED yang terkini yang digabungkan dengan elemen tradisional, i-City sememangnya menawarkan pemandangan yang unik dan menawan.

Ia digelar destinasi pelancongan "lightscape" yang pertama di Malaysia. Kata Eu, pelawat dapat bersiar-siar di taman berwarna-warni "empat musim" dengan pelbagai arca menarik. Bandar itu menyediakan prasarana teknologi tinggi yang mempamerkan kecantikan unik lampu digital dikenali sebagai CityPark dan CityWalk.

"Terdapat juga jalan membeli-belah dan taman tema di bandar digital ini untuk pelawat yang ingin merehatkan minda," kata Eu.

Destinasi Santai Bagi Keluarga

Untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai destinasi santai di Lembah Klang yang sesuai untuk keluarga, Pengarah Pemasaran i-City, Monica Ong, berkata i-City telah mengikat perjanjian dengan Nickelodeon untuk menyediakan acara promosi antarabangsa dan bertema.

Kerjasama dengan Nickelodeon itu juga akan menggalakkan lagi pelancongan domestik dan antarabangsa ke i-City yang kini mempunyai hampir 90,000 pelawat setiap minggu.

Nickelodeon meruapakan jenama hiburan terkenal kepada kanak-kanak dan ibu bapa.

"Tahun ini menjanjikan sesuatu yang menarik bagi i-City. Kami telah merancang program promosi dan bertema bertaraf antarabangsa berjumlah AS$5 juta.

- BERNAMA

Hanya 320 penderma organ sejak 1997

KUALA LUMPUR 2 Mei – Hanya 320 daripada 162,624 pengikrar yang mendaftarkan diri untuk melakukan pendermaan organ dari 1997 hingga Mac lalu dapat menunaikan hasrat mereka berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, daripada jumlah tersebut 187 penderma adalah orang Cina, 84 (India) dan 17 (Melayu) dan lain-lain seramai 32 orang.

“Situasi itu berlaku disebabkan oleh halangan daripada ahli keluarga yang tidak membenarkan organ pengikrar penderma organ diambil selepas mereka mati atau meninggal dunia.

“Saya ingin menasihatkan semua rakyat Malaysia yang ingin berikrar sebagai penderma organ supaya memaklum serta memberikan penjelasan kepada ahli keluarga tentang niat murni ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, jumlah 162,624 pengikrar yang mendaftarkan diri untuk menderma organ itu masih lagi kecil iaitu hanya 1.6 peratus daripada kira-kira 28 juta rakyat Malaysia.

Daripada jumlah itu katanya, pengikrar penderma organ dari kalangan orang Cina ialah 91,949, India (39,487), Melayu (26,648 orang) dan lain-lain seramai 4,540 orang.

“Dan daripada jumlah keseluruhan pengikrar penderma organ itu, golongan muda dalam lingkungan umur 21 hingga 30 merupakan golongan yang paling ramai mendaftar iaitu seramai 59,593 orang,” katanya.

Menurutnya, bilangan pengikrar penderma organ orang Melayu juga semakin meningkat di mana dari Januari hingga Mac lalu, jumlah yang sudah mendaftar ialah 2,642 orang berbanding 2,829 orang untuk sepanjang tahun lalu.

“Kita menggunakan pendekatan agama melalui program kesedaran pendermaan organ yang dilaksanakan dengan kerjasama badan-badan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Persatuan Buddha, Persekutuan Kristian dan Persatuan Hindu Sangam,” katanya.

Sementara itu, Lam Thye berkata, buah pinggang merupakan antara organ yang begitu diperlukan kerana terdapat lebih 11,000 pesakit yang kini dalam tempoh menunggu untuk mendapatkan buah pinggang baru.

“Jadi, jalan yang paling sesuai bagi membantu mereka yang memerlukan organ adalah meningkatkan lagi kesedaran dan kesediaan masyarakat terutama ahli keluarga untuk menderma organ,” katanya.

- UTUSAN

Allah SWT penolong hakiki

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Apabila kita katakan adalah dibenarkan memohon syafaat daripada Nabi SAW, ini tidak menafikan kepercayaan kita dengan keyakinan yang kuat dan lazim, tanpa syak dan ragu bahawa asal sesuatu pertolongan, permohonan, doa dan permintaan itu hanyalah kepada Allah SWT.

Pada hakikatnya, Dialah Maha Penolong, Maha Pembantu dan Mengkabulkan sesuatu permintaan.

Prinsip ini ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah; yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia. (Yunus: 106-107)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (daripada dunia) hinggalah hari kiamat. (al-Ahqaf: 5)

Jadi, segala bentuk ibadah semestinya ditujukan kepada Allah sahaja. Tidak harus sesuatu ibadah itu ditujukan kepada selain Allah SWT, dalam apa jua bentuk sekalipun.

Maka tidak ada nazar yang boleh dibuat kecuali kerana Allah; tidak ada doa yang dipanjatkan kecuali kepada Allah; tidak ada sembelihan yang dilakukan kecuali untuk-Nya; tidak boleh memohon pertolongan dan perlindungan kecuali kepada-Nya; tidak ada sumpah kecuali atas nama-Nya; dan tidak boleh bertawakal atau berserah diri, kecuali kepada Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi daripada apa yang disifatkan oleh golongan yang mensyirikkan-Nya.

Kita mempercayai bahawa Allah adalah Pencipta semua hamba-Nya dan segala perbuatan mereka. Tidak ada satu makhluk pun selain Allah; baik yang masih hidup, mahupun yang telah mati, yang mempunyai pengaruh dan kesan dalam penciptaan tersebut.

Maka Pengurus dan Pentadbir sebenar di dalam alam ini hanyalah Allah SWT. Tidak ada satu makhluk pun yang memiliki dan menguasai walau sedikit kecuali jika Allah memberikan milik dan kekuasaan itu kepadanya dan memberikan keizinan kepadanya untuk menguruskannya.

Tidak ada seorang manusia pun yang mampu memiliki suatu manfaat atau mudarat untuk dirinya. Apatah lagi untuk orang lain, begitu juga untuk mematikan dan menghidupkan atau membangkitkan, kecuali atas apa yang dikehendaki oleh Allah mengikut keizinan-Nya.

Justeru, kemampuan memberikan manfaat atau menolak kemudaratan, semuanya itu dibatasi dengan had ini dan diikat dengan ikatan ini (kehendak dan izin daripada Allah).

Penisbahan atau penyandarannya kepada makhluk, hanyalah sebagai tasabbub (penyebab) dan takassub (pengusaha). Bukannya sebagai pencipta atau yang mengadakan, atau yang mempunyai kesan, atau sebab, atau kekuatan.

Penisbahan atau penyandaran ini pada hakikatnya hanyalah penyandaran atau penisbahan majazi (simbolik), atau kiasan belaka, bukan menurut hakikatnya.

Namun demikian, manusia berbeza-beza cara dalam mengungkapkan hakikat perkara ini. Ada di antara mereka yang keterlaluan menggunakan dan menggambarkan ungkapan majazi sehingga terjerumus ke dalam kesamaran lafaz.

Namun, ia berlepas diri daripada lafaz yang samar-samar dan tidak jelas maksudnya itu dan hatinya juga bersih serta berpegang atas tauhid yang sempurna dan menyucikan Allah daripada segala sifat yang tidak layak bagi-Nya.

Ada pula di antara mereka yang berpegang teguh dengan hakikat lafaz secara berlebihan daripada had sederhana. Maka dengan ini, sampai menyusahkan, membingungkan dan mengusutkan pemikiran orang lain untuk mengikut mereka.

Bahkan, mereka membawa orang lain kepada maksud yang tidak sebenarnya dan memaksa mereka melakukan sesuatu yang tidak diingininya. Lebih teruk lagi, mereka menghukum orang lain dengan suatu hukum yang tidak benar, sedangkan mereka membebaskan diri daripada perkara tersebut.

Sepatutnya, mereka ini mengambil sikap pertengahan, bukan sikap yang ekstrem seperti itu. Maka sikap seperti ini lebih menyelamatkan agama dan lebih berhati-hati dalam menjaga kedudukan tauhid. Wallahu a'lam.

- UTUSAN

Lelaki dua kali disambar petir


NEW YORK - Malang datang bertimpa buat seorang lelaki apabila dia disambar petir sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai seminit, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki berkenaan sedang berjoging di sebatang jalan raya di pinggir sebuah bandar di Amerika Syarikat pada 11 April lalu apabila insiden itu dirakam kamera video litar tertutup (CCTV).

Ketika kejadian, mangsa disambar petir dan tersungkur ke tanah. Selepas mengambil nafas dan menenangkan dirinya, dia bangkit semula 15 saat kemudian.

Dia sempat berjalan beberapa meter apabila petir sekali lagi menyambarnya menyebabkan dia rebah ke tanah semula.

Lelaki tersebut yang kelihatan bingung memikirkan tentang apa yang sebenarnya telah berlaku kemudian bangun semula dan meninggalkan tempat kejadian.

Rakaman video luar biasa itu mencetuskan sensasi di YouTube dengan beribu-ribu orang memberitahu, mereka terkejut melihat lelaki itu terselamat dalam kejadian tersebut. - Agensi


Obama umumkan kematian Osama Laden

WASHINGTON - Sebaik sahaja Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dimaklumkan mengenai kematian Osama bin Laden, beliau membuat pengumuman rasmi mengenainya dalam satu ucapan di White House. Berikut adalah ringkasan ucapannya:

"Selamat malam. Malam ini, saya melaporkan kepada rakyat AS dan dunia bahawa AS telah menjalankan operasi yang berjaya membunuh Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda dan pengganas yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beribu-ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

"Kira-kira 10 tahun lalu, satu hari yang cerah pada bulan September telah digelapkan dengan serangan paling buruk dalam sejarah ke atas rakyat Amerika. Imej-imej serangan 9/11 kekal dalam memori kita. Hampir 3,000 nyawa warga AS diragut, sekali gus meninggalkan satu lubang besar di hati kita.

"Pada 11 September 2011, dalam kesedihan, rakyat Amerika bersatu. Kita menghulurkan bantuan kepada jiran dan menawarkan darah kita kepada mereka yang tercedera. Kita menguatkan kembali hubungan antara satu sama lain dan mengukuhkan perasaan cinta terhadap komuniti serta negara.

"Kita juga bersatu dalam usaha melindungi negara dan membawa individu yang bertanggungjawab ke atas serangan ganas ini ke muka pengadilan. Kita segera tahu bahawa serangan 9/11 dilakukan oleh Al-Qaeda, satu organisasi yang diketuai oleh Osama bin Laden yang secara terbuka melancarkan perang ke atas AS. Jadi, kita turut melancarkan perang menentang Al-Qaeda demi melindungi rakyat, rakan dan sekutu kita.

"Namun, Osama bin Laden berjaya mengelak daripada ditangkap dan melarikan diri dari sempadan Afghanistan ke Pakistan. Pada masa yang sama, Al-Qaeda terus beroperasi di sepanjang sempadan tersebut dan menerusi rangkaiannya di seluruh dunia.

"Tidak lama selepas mengambil alih pentadbiran, saya mengarahkan Pengarah CIA, Leon Panetta untuk menjadikan penangkapan atau pembunuhan Osama sebagai keutamaan dalam perang menentang Al-Qaeda. Di samping meneruskan usaha melemahkan rangkaian pengganasnya.

"Hari ini, atas arahan saya, satu pasukan tentera AS telah melancarkan operasi di Abbottabad, Pakistan. Tiada tentera yang tercedera dan AS berjaya membunuh Osama bin Laden dan mengambil mayatnya.

"Kematian Osama adalah pencapaian paling signifikan dalam usaha menumpaskan Al-Qaeda. Namun, itu bukan bermakna usaha kita sudah berakhir. Pastinya Al-Qaeda akan meneruskan serangan. Kita juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa AS tidak dan tidak pernah berperang dengan Islam. Osama bukan pemimpin Islam, tetapi pembunuh ramai orang Islam.

"Jadi, pada malam ini, kita boleh katakan kepada ahli keluarga yang kehilangan mereka yang tersayang akibat keganasan Al-Qaeda: Keadilan telah berjaya ditegakkan.

"Terima kasih. Semoga Tuhan merahmati kamu dan Amerika."

- Agensi

Kerjaya jadi ibadah jika dilakukan ikut garis ditetapkan Islam

Oleh Mohd Ali Muhamad Don

Segelintir masyarakat tidak memahami pekerjaan seharian dinilai sebagai ibadah apabila memenuhi garis panduan ditentukan syariat. Malah di situlah letaknya nilai keunikan Islam sebagai cara hidup jika difahami dengan teliti.

Pernyataan ini sekali gus menafikan pandangan serong yang cuba memisahkan agama dengan kehidupan kerana setiap gerak geri dan tindak tanduk umat Islam dinilai baik ataupun buruknya. Matlamat akhir sesuatu pekerjaan dilakukan mestilah bertujuan memperoleh keredaan Allah.

Justeru, beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mencapai maksud dan tujuan mulia itu antaranya, niat ikhlas ketika bekerja kerana tidak dinafikan setiap orang pasti mengharapkan balasan bersifat duniawi seperti gaji dan ganjaran lain terhadap kerja yang dilakukan.
Saranan Baginda Nabi Muhammad SAW supaya pekerja dibayar upah sebelum kering peluhnya menunjukkan bagaimana Islam sangat mengambil berat persoalan ini. Lebih daripada itu, niat ikhlas ketika bekerja boleh diterjemahkan dengan tidak curi tulang atau melakukan kerja sambil lewa.

Malah ada juga yang bersungguh-sungguh bekerja ketika di depan bos lalu dianggap seorang yang berdedikasi tetapi berubah menjadi munafik apabila di belakangnya. Amalan buruk sebegini dikhuatiri memberi kesan kepada keberkatan gaji diperoleh sekalipun banyak tetapi masih tidak mencukupi.

Memilih pekerjaan yang dibenarkan syariat adalah antara syarat utama sesuatu pekerjaan dinilai ibadah. Aktiviti tidak sihat dan dilarang agama mengundang kemurkaan Allah, jadi bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah.

Tindakan individu yang mengaut keuntungan daripada kesusahan orang lain adalah pekerjaan yang diharamkan. Amalan buruk seperti ini boleh menjejaskan hubungan istimewa seorang Muslim dengan saudaranya yang lain.
Pembabitan masyarakat Islam dalam aktiviti tidak sihat seperti bekerja di premis menjual arak, pusat hiburan dan judi, premis yang menganjurkan maksiat seperti kelab malam dan pusat pelacuran dilarang sama sekali.

Sesibuk mana pun bekerja ia tidak seharusnya menyebabkan seseorang melalaikan tanggungjawab ibadat khususnya solat dan berpuasa di bulan Ramadan. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengqada solat yang sengaja ditinggalkan.

Dalam hal ini, ketua jabatan yang beragama Islam boleh memainkan peranan sentiasa mengingatkan kakitangan bawahan supaya tidak mengabaikan solat lima waktu. Mesyuarat yang diadakan boleh dirancang supaya tidak menyebabkan tertinggal solat fardu.

Dalam konteks lain, suami isteri bekerja perlu memahami mereka bertanggungjawab mengurus rumah tangga dan anak dengan sempurna. Adalah tidak molek isteri hebat di pejabat tetapi suami dan anak berantakan di rumah.

Begitu pula jika suami hanya sibuk dengan perniagaan dan bermain golf selepas waktu pejabat, boleh mengundang implikasi buruk seperti isteri curang dan anak bebas tanpa perhatian ibu bapa.

Ketika bekerja, adab dan pergaulan antara bukan mahram perlu diberi perhatian serius. Elakkan perkara yang boleh mengundang fitnah sehingga merosakkan hubungan suami isteri.

Cara berpakaian segelintir wanita berkerjaya dan hubungan di tempat kerja hendaklah tidak melangkaui sempadan agama dan garis panduan ditetapkan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Wanita adalah aurat, apabila dia keluar maka syaitan akan menyambutnya.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Perbuatan kurang sopan seperti berdua-duaan dalam pejabat dan gurauan melampaui batas perlu dielakkan bagi mengelak tuduhan.

Kejayaan sebenar bekerja bukan bersandarkan gaji atau pangkat. Matlamat utama seharusnya disasarkan adalah al-falah iaitu kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Apa guna gaji dan pendapatan lumayan jika ia tidak mampu membeli syurga penuh kenikmatan.


- BERITA HARIAN

Ahad, Mei 01, 2011

Keputusan Perlawanan Liga Super Malaysia - 29 & 30/04/2011 (Jumaat & Sabtu)

KEPUTUSAN LIGA SUPER - 30/04/2011 (SABTU)

Perlis 1 - 3 Harimau Muda A

Felda United 2 - 2 N.Sembilan

Johor FC 3 - 0 Sabah

T-Team 0 - 0 Pahang

Kelantan 2 - 0 K.Lumpur


KEPUTUSAN LIGA SUPER - 29/04/2011 (JUMAAT)

Terengganu 1 - 1 Selangor

Perak 1 - 3 Kedah

* 5 Teratas - Kelantan (33), Selangor (33), Terengganu (32), Kedah (27), Perak (26)

Sistem ganti PTK bermula 1 Julai

KUALA LUMPUR 30 April – Kerajaan dijangka melaksanakan sistem penilaian baru terhadap penjawat awam menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa Julai ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, sistem itu akan menilai tahap kompetensi golongan itu berdasarkan penguasaan pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku mereka dalam pekerjaan.

“Pada 2 Mei ini, Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) dan CUEPACS akan membuat persidangan bagi membentangkan beberapa cadangan terhadap penambahbaikan sistem penilaian baru itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sempena ulang tahun ke-50 penubuhan Kesatuan Inspektor Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Pemansuhan PTK yang berkuatkuasa 1 Januari lalu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.

Menurut Omar, sistem penilaian baru itu akan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini.

- UTUSAN

1.7 juta borang cukai menerusi e-Filing

KUALA LUMPUR 30 April - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima lebih 1.7 juta borang cukai menerusi sistem e-Filing sehingga pukul 6.30 petang ini dan ia secara tidak langsung membantu kerajaan menjimatkan RM11.9 juta berbanding jika dilakukan secara konvensional.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Mohd. Shukor Mahfar, ini kerana bagi setiap penyerahan borang cukai secara konvensional, kerajaan perlu membayar RM7 untuk kos pencetakan dan penghantaran melalui pos kepada pembayar cukai.

Katanya, kaedah secara konvensional bukan sahaja membazirkan kos, malah ia memakan masa kerana pegawai perlu menyemak dan mengesahkan maklumat dalam borang berkenaan.

Justeru jelasnya, pihaknya sentiasa menggalakkan pembayar cukai menggunakan sistem e-Filing untuk mengemukakan borang cukai kerana ia cepat, tepat dan berkesan.

"Kita mendapati jumlah pembayar cukai menggunakan perkhidmatan e-Filing telah meningkat sebanyak 14 peratus dengan lebih 1.7 juta orang menggunakan kaedah ini tahun ini berbanding 1.4 juta orang tahun lalu walaupun belum pukul 12 tengah malam.

"Keadaan ini menunjukkan pembayar cukai terutama generasi Y yang fasih dalam komputer dan Internet menggunakan perkhidmatan e-Filing yang jimat masa dan berkesan. Saya yakin jumlah ini akan meningkat 10 peratus setiap tahun," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Duta di sini hari ini.

Mohd. Shukor berkata, walaupun hari ini merupakan hari terakhir bagi pembayar cukai mengemukakan borang cukai pendapatan, namun, pejabat LHDN di seluruh negara lengang kerana mungkin mereka tidak perlu tergesa-gesa memandangkan hari ini cuti hujung minggu.

Dalam pada itu beliau memberitahu, dalam tempoh 1 hingga 31 Mac lalu, LHDN telah menerima sebanyak 207,005 borang cukai melalui perkhidmatan e-Filing.

"Daripada jumlah berkenaan, terdapat 147,601 pembayar cukai yang mempunyai amaun cukai terlebih bayar dan layak untuk dibayar balik. Sehingga Selasa lalu, kita telah berjaya memulangkan semua baki cukai terlebih bayar kepada 135,777 orang dan sebanyak 11,224 kes masih dalam peringkat pemprosesan," katanya.

Terdapat lima juta orang di negara ini didaftarkan sebagai pembayar cukai pada tahun ini dengan 20 peratus merupakan pembayar individu dan 80 peratus adalah syarikat atau perniagaan.

- UTUSAN

Persepsi halang pemikiran kritikal

Oleh Dr Kamal Jit Singh
Ketua Pegawai Eksekutif Unik Inovasi Khas Pejabat Perdana Menteri

Tahukah anda bagaimana iklan kereta terpakai secara berani mengisytiharkan bahawa kereta yang mahu dijual itu adalah milik seorang doktor atau wanita? Sudah tentu anda pernah berdepan dengan jurujual yang dengan bangganya mengumumkan produk mereka dari Itali dan tidak dari bahagian lain di dunia?
Kebanyakan kita mungkin pernah melalui pengalaman sama. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kekuatan persepsi. Mari kita selidik contoh daripada iklan kereta tadi. Apa bezanya jika pemilik kereta itu seorang doktor atau penjual daging?
Semuanya berkaitan dengan persepsi. Hanya jurujual kereta terpakai mengetahui mengenainya, tetapi mereka tetap mengeksploitasinya. Jika seorang doktor menasihati kita untuk hidup secara sihat, mereka juga perlu menjaga kesihatan mereka. Jika mereka menjaga kesihatan mereka melebihi orang lain, dengan kata lain mereka juga diandaikan akan turut menjaga kereta mereka dengan penuh ‘kasih sayang’. Inilah yang jurujual kereta terpakai mahu anda percaya.

Tetapi realiti dan persepsi adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Ketika saya percaya ramai doktor menjaga kereta mereka dengan baik, ramai juga doktor yang tidak mengambil kisah mengenai perkara itu.

Kita tidak menafikan ada juga segelintir doktor yang mempunyai tabiat buruk ketika berada di jalan raya. Fakta bahawa doktor dilatih untuk menyembuhkan orang tiada kaitan dengan bagaimana mereka menjaga kereta atau harta yang lain. Mereka adalah manusia biasa, seperti anda dan saya.

Begitu juga dengan pemandu wanita. Persepsi bahawa mereka adalah seorang ibu dan pengasuh yang baik tidak semestinya mereka seorang penjaga kereta yang baik. Oleh itu, membeli kereta terpakai yang pernah dimiliki oleh seorang wanita dijamin dijaga dengan baik, adakah ia fakta atau persepsi?
Saya tahu ramai pemandu wanita yang hanya tahu mengisi minyak ke dalam tangki kereta dan memandunya sehingga ia rosak. Kenyataan bahawa seorang wanita menyelenggara kereta mereka secara rutin mungkin hanya satu ilusi?
Bagaimanapun, inilah yang jurujual kereta terpakai mahu anda percaya. Jika tidak, kenapa mereka bersungguh-sungguh membuat kenyataan seperti itu.

Persepsi adalah satu bentuk kepintaran yang licik tanpa menyatakan keinginannya. Ia umpama seseorang membawa anda ke air, membuatkan anda minum. Tetapi pada masa sama, tindakan untuk meminum air itu seolah-olah adalah keputusan anda sendiri.

Bertanyalah kepada ahli politik yang berpengalaman dan beliau akan memberitahu bahawa satu-satunya realiti adalah apa yang anda lihat. Tetapi bagi kebanyakan orang, realiti itu adalah persepsi mengenai dunia dan kehidupan.

Seorang pereka cipta juga perlu sentiasa waspada bahawa persepsi boleh menghalang proses berfikir secara kritikal. Pereka cipta perlu menjadi seorang pemikir kritikal. Seseorang itu, perlu dapat membezakan antara fakta dan maklumat daripada persepsi dan pendapat.

Contohnya, orang New York dikatakan tidak sopan dan kurang mesra, manakala orang New Zealand lebih mesra dan mempunyai semangat kejiranan yang kuat. Asam laksa terbaik adalah dari Pulau Pinang.

Persepsi dan pendapat sering dilihat sebagai fakta, menjadikan sesuatu penilaian menjadi lebih sukar. Ada kalanya, pelbagai istilah hebat dan menakutkan digunakan seperti firasat atau naluri. Bagaimana anda dapat mencabar seseorang yang mempertahankan hujah serta pandangannya sebagai satu wawasan dan pada masa ia tidak dapat dijelaskan sama ada secara logik atau alasan lain. Apapun sama ada ia satu persepsi atau pendapat, lazimnya memberi penjelasan atau jawapan mudah adalah pendekatan terbaik.

Persepsi umum menjelaskan bahawa ‘kesederhanaan sama seperti merendah diri’ adakah hanya itu? Pereka cipta harus berupaya untuk menjadikan situasi itu mudah, sama seperti munculnya jawapan yang mudah. Ini adalah matlamat utama pemikiran kritikal iaitu untuk sampai ke akar permasalahan.

Ketika syarikat komputer dan telekomunikasi Apple mahu melakukan perubahan, pelbagai cadangan diberikan oleh eksekutif kanannya. Sesetengahnya berpendapat Apple sebagai sebuah syarikat yang unggul wajar bergerak lebih jauh dengan membuat produk yang berbeza daripada syarikat lain bagi sektor pasaran tertentu. Eksekutif lain pula mengatakan Apple sebagai juara perisian canggih boleh menerokai produk baru bagi menyelesaikan masalah yang kompleks.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Apple Inc, Steve Jobs, tidak tertarik dengan persepsi pemasaran seperti itu. Beliau ingin turun padang melihat sendiri permasalahan dan memahami apa yang pelanggan di jalanan mahu. Hasilnya, Apple hari ini berdiri megah sebagai syarikat berasas hiburan lebih daripada sekadar syarikat pengeluar komputer atau pengilang peranti perisian.
Kesederhanaan itu sendiri menjadi asas kepada munculnya iPod. Pelanggan bersetuju dengan pendekatan itu dan kini lebih 30 juta iPod sudah dijual.

Sebagai pereka cipta, anda perlu berani untuk membezakan antara realiti dan persepsi. Adakah anda mempunyai pemahaman yang jelas mengenai siapa anda sebenarnya? Adakah anda sanggup membenarkan persepsi menghalang pandangan anda terhadap realiti? Justeru, dunia mana yang anda tinggal – yang asli atau yang hanya diwarnai oleh persepsi yang dicipta oleh persekitaran anda?

- BERITA HARIAN

Recent Posts