1.7 juta borang cukai menerusi e-Filing

KUALA LUMPUR 30 April - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima lebih 1.7 juta borang cukai menerusi sistem e-Filing sehingga pukul 6.30 petang ini dan ia secara tidak langsung membantu kerajaan menjimatkan RM11.9 juta berbanding jika dilakukan secara konvensional.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Mohd. Shukor Mahfar, ini kerana bagi setiap penyerahan borang cukai secara konvensional, kerajaan perlu membayar RM7 untuk kos pencetakan dan penghantaran melalui pos kepada pembayar cukai.

Katanya, kaedah secara konvensional bukan sahaja membazirkan kos, malah ia memakan masa kerana pegawai perlu menyemak dan mengesahkan maklumat dalam borang berkenaan.

Justeru jelasnya, pihaknya sentiasa menggalakkan pembayar cukai menggunakan sistem e-Filing untuk mengemukakan borang cukai kerana ia cepat, tepat dan berkesan.

"Kita mendapati jumlah pembayar cukai menggunakan perkhidmatan e-Filing telah meningkat sebanyak 14 peratus dengan lebih 1.7 juta orang menggunakan kaedah ini tahun ini berbanding 1.4 juta orang tahun lalu walaupun belum pukul 12 tengah malam.

"Keadaan ini menunjukkan pembayar cukai terutama generasi Y yang fasih dalam komputer dan Internet menggunakan perkhidmatan e-Filing yang jimat masa dan berkesan. Saya yakin jumlah ini akan meningkat 10 peratus setiap tahun," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Duta di sini hari ini.

Mohd. Shukor berkata, walaupun hari ini merupakan hari terakhir bagi pembayar cukai mengemukakan borang cukai pendapatan, namun, pejabat LHDN di seluruh negara lengang kerana mungkin mereka tidak perlu tergesa-gesa memandangkan hari ini cuti hujung minggu.

Dalam pada itu beliau memberitahu, dalam tempoh 1 hingga 31 Mac lalu, LHDN telah menerima sebanyak 207,005 borang cukai melalui perkhidmatan e-Filing.

"Daripada jumlah berkenaan, terdapat 147,601 pembayar cukai yang mempunyai amaun cukai terlebih bayar dan layak untuk dibayar balik. Sehingga Selasa lalu, kita telah berjaya memulangkan semua baki cukai terlebih bayar kepada 135,777 orang dan sebanyak 11,224 kes masih dalam peringkat pemprosesan," katanya.

Terdapat lima juta orang di negara ini didaftarkan sebagai pembayar cukai pada tahun ini dengan 20 peratus merupakan pembayar individu dan 80 peratus adalah syarikat atau perniagaan.

- UTUSAN 1.7 juta borang cukai menerusi e-Filing

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.