Ahad, Mei 01, 2011

Persepsi halang pemikiran kritikal

Oleh Dr Kamal Jit Singh
Ketua Pegawai Eksekutif Unik Inovasi Khas Pejabat Perdana Menteri

Tahukah anda bagaimana iklan kereta terpakai secara berani mengisytiharkan bahawa kereta yang mahu dijual itu adalah milik seorang doktor atau wanita? Sudah tentu anda pernah berdepan dengan jurujual yang dengan bangganya mengumumkan produk mereka dari Itali dan tidak dari bahagian lain di dunia?
Kebanyakan kita mungkin pernah melalui pengalaman sama. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kekuatan persepsi. Mari kita selidik contoh daripada iklan kereta tadi. Apa bezanya jika pemilik kereta itu seorang doktor atau penjual daging?
Semuanya berkaitan dengan persepsi. Hanya jurujual kereta terpakai mengetahui mengenainya, tetapi mereka tetap mengeksploitasinya. Jika seorang doktor menasihati kita untuk hidup secara sihat, mereka juga perlu menjaga kesihatan mereka. Jika mereka menjaga kesihatan mereka melebihi orang lain, dengan kata lain mereka juga diandaikan akan turut menjaga kereta mereka dengan penuh ‘kasih sayang’. Inilah yang jurujual kereta terpakai mahu anda percaya.

Tetapi realiti dan persepsi adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Ketika saya percaya ramai doktor menjaga kereta mereka dengan baik, ramai juga doktor yang tidak mengambil kisah mengenai perkara itu.

Kita tidak menafikan ada juga segelintir doktor yang mempunyai tabiat buruk ketika berada di jalan raya. Fakta bahawa doktor dilatih untuk menyembuhkan orang tiada kaitan dengan bagaimana mereka menjaga kereta atau harta yang lain. Mereka adalah manusia biasa, seperti anda dan saya.

Begitu juga dengan pemandu wanita. Persepsi bahawa mereka adalah seorang ibu dan pengasuh yang baik tidak semestinya mereka seorang penjaga kereta yang baik. Oleh itu, membeli kereta terpakai yang pernah dimiliki oleh seorang wanita dijamin dijaga dengan baik, adakah ia fakta atau persepsi?
Saya tahu ramai pemandu wanita yang hanya tahu mengisi minyak ke dalam tangki kereta dan memandunya sehingga ia rosak. Kenyataan bahawa seorang wanita menyelenggara kereta mereka secara rutin mungkin hanya satu ilusi?
Bagaimanapun, inilah yang jurujual kereta terpakai mahu anda percaya. Jika tidak, kenapa mereka bersungguh-sungguh membuat kenyataan seperti itu.

Persepsi adalah satu bentuk kepintaran yang licik tanpa menyatakan keinginannya. Ia umpama seseorang membawa anda ke air, membuatkan anda minum. Tetapi pada masa sama, tindakan untuk meminum air itu seolah-olah adalah keputusan anda sendiri.

Bertanyalah kepada ahli politik yang berpengalaman dan beliau akan memberitahu bahawa satu-satunya realiti adalah apa yang anda lihat. Tetapi bagi kebanyakan orang, realiti itu adalah persepsi mengenai dunia dan kehidupan.

Seorang pereka cipta juga perlu sentiasa waspada bahawa persepsi boleh menghalang proses berfikir secara kritikal. Pereka cipta perlu menjadi seorang pemikir kritikal. Seseorang itu, perlu dapat membezakan antara fakta dan maklumat daripada persepsi dan pendapat.

Contohnya, orang New York dikatakan tidak sopan dan kurang mesra, manakala orang New Zealand lebih mesra dan mempunyai semangat kejiranan yang kuat. Asam laksa terbaik adalah dari Pulau Pinang.

Persepsi dan pendapat sering dilihat sebagai fakta, menjadikan sesuatu penilaian menjadi lebih sukar. Ada kalanya, pelbagai istilah hebat dan menakutkan digunakan seperti firasat atau naluri. Bagaimana anda dapat mencabar seseorang yang mempertahankan hujah serta pandangannya sebagai satu wawasan dan pada masa ia tidak dapat dijelaskan sama ada secara logik atau alasan lain. Apapun sama ada ia satu persepsi atau pendapat, lazimnya memberi penjelasan atau jawapan mudah adalah pendekatan terbaik.

Persepsi umum menjelaskan bahawa ‘kesederhanaan sama seperti merendah diri’ adakah hanya itu? Pereka cipta harus berupaya untuk menjadikan situasi itu mudah, sama seperti munculnya jawapan yang mudah. Ini adalah matlamat utama pemikiran kritikal iaitu untuk sampai ke akar permasalahan.

Ketika syarikat komputer dan telekomunikasi Apple mahu melakukan perubahan, pelbagai cadangan diberikan oleh eksekutif kanannya. Sesetengahnya berpendapat Apple sebagai sebuah syarikat yang unggul wajar bergerak lebih jauh dengan membuat produk yang berbeza daripada syarikat lain bagi sektor pasaran tertentu. Eksekutif lain pula mengatakan Apple sebagai juara perisian canggih boleh menerokai produk baru bagi menyelesaikan masalah yang kompleks.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Apple Inc, Steve Jobs, tidak tertarik dengan persepsi pemasaran seperti itu. Beliau ingin turun padang melihat sendiri permasalahan dan memahami apa yang pelanggan di jalanan mahu. Hasilnya, Apple hari ini berdiri megah sebagai syarikat berasas hiburan lebih daripada sekadar syarikat pengeluar komputer atau pengilang peranti perisian.
Kesederhanaan itu sendiri menjadi asas kepada munculnya iPod. Pelanggan bersetuju dengan pendekatan itu dan kini lebih 30 juta iPod sudah dijual.

Sebagai pereka cipta, anda perlu berani untuk membezakan antara realiti dan persepsi. Adakah anda mempunyai pemahaman yang jelas mengenai siapa anda sebenarnya? Adakah anda sanggup membenarkan persepsi menghalang pandangan anda terhadap realiti? Justeru, dunia mana yang anda tinggal – yang asli atau yang hanya diwarnai oleh persepsi yang dicipta oleh persekitaran anda?

- BERITA HARIAN
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts