Selasa, Disember 01, 2009

Calon SPM boleh guna kalkulator ikut spesifikasi

Kementerian Pelajaran ingin merujuk kepada surat pembaca bertajuk 'Calon SPM dihalang guna kalkulator' yang disiarkan pada 24 November 2009 yang lalu.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan kementerian ingin mengucapkan terima kasih dan mengambil maklum mengenai keprihatinan terhadap perkara ini.

LPM dan kementerian ingin menjelaskan bahawa setiap calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibenarkan untuk membawa masuk ke dewan/bilik peperiksaan kalkulator saintifik yang tidak boleh diprogramkan.

Untuk makluman, syarat penggunaan kalkulator adalah seperti dalam syarat yang ada dalam buku peraturan dan panduan peperiksaan SPM 2009.

Spesifikasi am bagi kalkulator yang dibenarkan adalah seperti berikut:

# Mematuhi prinsip pengiraan operasi matematik

# Mempunyai paparan sekurang-kurangnya 8 digit dengan tambahan dengan 2 digit Eksponen

# Tidak boleh diprogramkan

# Boleh menukar unit darjah kepada unit radian dan sebaliknya

# Boleh menukar pecahan kepada perpuluhan dan sebaliknya

# Boleh menyimpan nilai sesuatu nombor (memory)

Oleh yang demikian hanya ciri-ciri yang digariskan ini saja dibenarkan. LPM tidak dapat memperincikan jenis atau jenama kalkulator yang tepat yang boleh dibawa oleh calon ke dalam dewan/bilik peperiksaan kerana terlalu banyak ciri-ciri dan jenis kalkulator yang ada di pasaran.

Bagaimanapun, kalkulator Casio fx570ES dan Casio fx570MS memenuhi spesifikasi di atas dan boleh digunakan untuk peperiksaan. Sehubungan itu, maka diputuskan bahawa calon dibenarkan membawa masuk kalkulator Casio fx570ES atau Casio fx570MS ke dewan/bilik peperiksaan bagi kertas Matematik Tambahan 1 dan 2 yang berlangsung pada Rabu, 25 November lalu.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

- BERITA HARIAN

Status Sekolah Kluster berjaya tingkat pengurusan, pencapaian

Oleh NORLIZA ABDULLAH
lizz@bharian.com.my

Usaha Kementerian Pelajaran mengiktiraf sekolah cemerlang dengan menganugerahkan status Sekolah Kluster berjaya menyuntik semangat pengurusannya meningkatkan pencapaian.

Kesungguhan mereka terbukti, antaranya ada sekolah luar bandar menjalin kerjasama pintar dengan sekolah di bandar bagi memacu kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Ashah Samah, berkata Sekolah Kluster yang menjadi penanda aras kecemerlangan menyeluruh itu memberi suntikan baru kepada pengurusan melakukan yang terbaik.

Sebagai contoh, katanya, Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Limbang, Sarawak mengadakan kerjasama pintar dengan komuniti setempat hingga melonjak kecemerlangannya dalam akademik dan kokurikulum.

Beliau berkata, kesungguhan itu juga membolehkan sekolah berkenaan dianugerahkan Commonwealth Education Good Practice Award 2009.

“Sekolah ini meletakkan penanda aras khusus untuk mencapai kejayaan dengan meningkatkan prestasi akademik dan memperkasakan kokurikulum, selain pembabitan ibu bapa dan masyarakat.

“Kecemerlangan Sekolah Kluster juga terbukti menerusi rangkaian kerjasama akademik peringkat kebangsaan dan antarabangsa, di samping mempunyai kebitaraan dan kejayaan membanggakan.

“Kami kagum dengan kesungguhan pihak pengurusan sekolah terbabit dengan memberi komitmen penuh membabitkan kerjasama semua pihak, termasuk alumni,” katanya kepada Berita Harian.

Ashah berkata, usaha kerajaan meningkatkan kecemerlangan pendidikan dengan mengiktiraf sesebuah sekolah mengikut kebitaraan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Menerusi fasa pertama dan kedua, katanya, masing-masing 30 sekolah diberi status Sekolah Kluster, manakala 60 lagi dalam fasa ketiga.

“Antara syarat pemilihan Sekolah Kluster ialah kecemerlangan dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan kemenjadian murid.

“Kecemerlangan kepemimpinan sekolah, pengurusan pengajaran dan pembelajaran serta program inovasi dan kreativiti yang sudah diterokai oleh sekolah.

“Bagi kecemerlangan budaya sekolah serta kebitaraan (niche areas), ia membabitkan pelbagai aktiviti antaranya pancaragam, orkestra, rugbi dan pasukan beruniform,” katanya.

Ashah berkata, pengukuran pencapaian berbeza mengikut kategori sekolah kerana gred purata sekolah (GPS) untuk Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia dinilai dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Beliau menjelaskan penilaian GPS bagi Sekolah Berasrama Penuh (GPS2.5), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (GPS3.5), Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Harian, masing-masing (GPS4.0).

Pencapaian sekolah dalam tempoh berkenaan juga katanya, mensyaratkan 80 peratus ke atas pelajar lulus semua mata pelajaran dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah atau kelulusannya menunjukkan peningkatan atau GPS pada paras 2.0.

“Dalam memastikan usaha melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dicapai, Sekolah Kluster digalak membantu meningkatkan sekolah lain menerusi pelbagai kaedah.

“Sebagai contoh, sekolah berhampiran diberi peluang menggunakan kemudahan sumber di sekolah berkenaan, selain berkongsi kepakaran untuk dimanfaatkan bersama.

“Kerjasama ini bagi melahirkan pelajar mempunyai minda kelas pertama, sekali gus melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara,” katanya.

- BERITA HARIAN

Singapura pamer helikopter penyerang Apache di LIMA '09


Kelibat helikopter penyerang Apache AH-64D Longbow milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) pada Pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA 09) kali ini menarik perhatian ramai.

Helikopter Apache buatan syarikat Boeing itu merupakan sebahagian daripada delegasi republik itu bersama dua buah pesawat pejuang F-16C/D Fighting Falcon yang menyertai pameran dwitahunan itu buat pertama kali.

Pembabitan helikopter itu menarik perhatian ramai kerana terdapat kemungkinan ini adalah kehadiran pertamanya di ruang udara Malaysia, kerana sebelum ini tidak ada laporan media menyebut tentang penglibatan helikopter itu dalam latihan bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia.

Apache dan sebuah pesawat pejuang Fighting Falcon milik republik terbabit akan terlibat dalam pertunjukan udara setiap hari sepanjang tempoh LIMA berlangsung mulai esok hingga 5 Disember.

Helikopter penyerang dua tempat duduk itu yang dicat serba hitam untuk kelicikan operasinya pada waktu malam, mempunyai reputasi yang menggerunkan berikutan aksinya ketika Perang Teluk Pertama dan Perang Teluk Kedua.

Reputasinya yang menggerunkan di kalangan kawan dan lawan itu bukan sahaja disebabkan kecanggihan teknologinya, tetapi juga terhadap kemampuannya untuk membawa pelbagai jenis sistem persenjataan dan sistem pengesan.

Salah satu sistem persenjataan utamanya adalah, 16 butir peluru berpandu penangkis kereta kebal 'Hellfire' yang mampu memusnahkan sasaran seperti kereta kebal sejauh lapan kilometer serta meriam 'Chain Gun' 30mm.

Selain peluru berpandu, Apache turut berkemampuan untuk membawa pelbagai jenis roket.

Ketika ini, RSAF dengan 20 buah helikopter Apache yang dimilikinya merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengoperasikan helikopter penyerang itu.

- BERNAMA

Letak kereta berbayar di Putrajaya mulai 1 Dis 2009

Perbadanan Putrajaya menguatkuasakan sistem tempat letak kereta berbayar membabitkan kawasan Kompleks Pejabat Kerajaan di Presint 1 dan Presint Diplomatik mulai 1 Disember 2009.

Serentak itu, sebanyak 386 lot tempat letak kereta di sekitar Kompleks Perdana Putra, Laman Perdana, Kompleks B dan Kompleks C di Presint 1 yang sebelum ini digunakan secara percuma akan dikenakan bayaran.

Timbalan Pengarah Perhubungan Awam Perbadanan Putrajaya, Zaharah Selamat berkata, langkah itu untuk memberikan kemudahan kepada para pelawat mendapatkan tempat meletak kereta.

Selain itu, katanya, langkah terbaru itu adalah bagi mengawal orang ramai meletak kereta di merata-rata tempat.

"Penguatkuasaan sistem bayaran itu dijangka dapat mengurangkan masalah kekurangan tempat letak kereta dan kesesakan lalu lintas yang kian meruncing di kawasan Kompleks Pejabat Kerajaan di Putrajaya.

"Pemilik kenderaan dinasihatkan agar meletak kenderaan mereka di kawasan tempat letak kereta berbayar yang ditetapkan bagi mengelak daripada dikompaun atau disaman oleh penguat kuasa trafik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaharah, penguatkuasaan sistem itu juga diperluaskan di kawasan komersial di Presint Diplomatik dengan sebanyak 559 petak meletak kereta disediakan untuk kemudahan orang ramai.

Katanya, kawasan tempat letak kereta berbayar itu beroperasi setiap hari bekerja mulai pukul 8 pagi sehingga 6 petang dengan kadar bayaran sebanyak 50 sen setiap jam bagi petak jenis 'bayar dan pamer' manakala RM1 sejam untuk tempat letak kereta terkawal dan tertutup.

Katanya, bagi memastikan keperluan tempat letak kereta mencukupi, Perbadanan Putrajaya menyediakan kawasan Park & Ride (P&R) di Presint 1 dan di Presint 7 untuk menampung tambahan 3,000 petak tempat letak kereta pada satu-satu masa.

"Kemudahan itu turut dilengkapi dengan perkhidmatan bas Nadi Putra dari kedua-dua kawasan P&R itu ke pejabat-pejabat kerajaan.

"Pihak perbadanan juga bersedia meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas dari kawasan P&R ini jika sambutan pengguna menggalakkan," katanya.

- UTUSAN

Kursus BTN padat ilmu kenegaraan

Oleh ABDUL SAMAD ABDUL HAKIM

Tiba-tiba Biro Tata Negara (BTN) menjadi sasaran kritikan dan tohmahan tidak berasas para pemimpin parti pembangkang. Tuduhan BTN menjadi alat kerajaan dan UMNO mempengaruhi peserta kursus amat keterlaluan.

Tohmahan tanpa maklumat tepat itu amat dikesali kerana BTN pada asasnya medium untuk memberi kesedaran, ilmu serta bimbingan tentang kaedah kehidupan bernegara.

Pertamanya, kursus-kursus anjuran BTN bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi semua bangsa yang memegang tiket warganegara. Tohmahan yang menyatakan BTN adalah pentas politik UMNO amat tersasar. Tuduhan ini hanya bermotifkan politik dan tiada asas kebenaran. Ia lebih bersifat propaganda murahan politik pembangkang untuk mencetuskan isu dan dalam masa yang sama ingin menutup segala kelemahan yang yang ada.

Tidak semua rakyat negara ini berpeluang mengikuti kursus-kursus anjuran BTN. Hasil kajian dan maklum balas menunjukkan peserta yang mengikuti kursus anjuran BTN amat berterima kasih kerana dipilih untuk mengikuti kursus yang berbentuk kenegaraan. Mereka mula sedar akan kepentingan memelihara, menjaga dan memastikan kedaulatan negara.

Peserta kursus didedahkan tentang ancaman-ancaman terhadap keselamatan negara yang langsung tidak disedari. BTN melalui khidmat tenaga fasilitator terlatih telah berjaya membawa kesedaran betapa pentingnya sebuah negara yang yang bebas merdeka seperti yang dinikmati sekarang.

Tugas untuk memastikan kestabilan dan kesejahteraan negara bukan hanya dipikul oleh orang Melayu dan UMNO, tetapi setiap warganegara tidak kira bangsa. BTN menyediakan landasan terbaik untuk memberi keinsafan tentang nilai dan tanggungjawab menjaga keharmonian, kesejahteraan, keamanan dan perpaduan antara kaum.

Sebagai warganegara yang pernah mengikuti kursus anjuran BTN, penulis ingin menarik perhatian semua bahawa pengetahuan kenegaraan sebahagian rakyat Malaysia amat cetek. Misalnya fakta-fakta sejarah yang membawa kepada kemerdekaan tanah air tidak dapat diceritakan oleh peserta kursus. Sedangkan sukatan mata pelajaran Sejarah di sekolah menengah sudah jelas dimasukkan tentang aliran perjuang dan individu yang terlibat.

BTN dengan bantuan tenaga fasilitatornya terpaksa menceritakan satu persatu tentang rentetan dan urutan perjuangan wira negara yang berjuang menuntut kemerdekaan.

Sebagai individu yang memegang tiket warganegara mereka perlu mengetahui serba sedikit tentang sejarah kenegaraan. Tidak ada gunanya jika kita begitu cemerlang dan berjaya mengharungi kehidupan tetapi buta kepada asal usul negara sendiri.

Soal perpaduan kaum begitu diterapkan ketika sesi perbincangan dalam kumpulan. Tidak kira apa pun bangsa, kita perlu akur negara kita didiami oleh pelbagai kaum dan hidup dalam konteks berkongsi segala yang ada. Kita tidak mampu untuk mengecapi kehidupan seperti sekarang jika unsur perpaduan antara kaum diabaikan.

BTN begitu realistik dalam membimbing peserta kursus tentang betapa pentingnya perpaduan. Sejarah kemerdekaan negara dijadikan asas kepada kesedaran itu kerana perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air juga melibatkan para pemimpin Cina dan India.

Peserta kursus diterapkan kaedah terbaik untuk hidup bersama antara kaum di negara ini. Kesan dan implikasi buruk didedahkan jika aspek perpaduan dan kerjasama antara kaum disisihkan. Contohnya peristiwa 13 Mei dikupas dengan bijak oleh fasilitator BTN untuk memberi kesedaran kehidupan harmoni antara kaum.

Banyak lagi unsur atau objektif kenegaraan yang tersirat dalam modul kursus anjuran BTN. Ia padat dengan didikan ilmu kenegaraan yang amat penting difahami oleh rakyat. Ketaatan kepada negara adalah elemen terpenting untuk menerbitkan rasa dan semangat patriotisme bagi usaha bersama ke arah membawa negara ke puncak kejayaan.

Jadi tuduhan BTN menjadi alat kerajaan Barisan Nasional untuk mengindoktrinasikan ideologinya hanyalah mainan politik parti pembangkang yang semakin terdesak dalam cubaan menguatkan kedudukan mereka dalam keadaan sokongan rakyat yang semakin terarah kepada kerajaan Barisan Nasional.

- UTUSAN

Akta BNM 2009 penjaga kestabilan kewangan

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Sejak merdeka, negara kita telah berjaya mengharungi beberapa krisis ekonomi dan kewangan dunia. Dua krisis kewangan terpenting yang dilalui oleh negara ialah krisis kewangan Asia 1997/98 dan krisis kewangan dunia yang melanda pada masa kini.

Kedua-dua krisis ini telah menguji sejauh manakah teguhnya sistem perbankan dan kewangan negara. Jika pada tahun 1997/98, negara berhadapan dengan serangan penyangak mata wang asing, kini setelah 10 tahun berlalu, sekali lagi negara telah terkena tempias krisis kewangan dunia yang disebabkan oleh kerapuhan sistem perbankan dan kewangan dunia.

Atas dasar inilah, negara memerlukan satu sistem perbankan dan kewangan yang benar-benar mampan. Sudah tentu ia harus bermula daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang merupakan "ibu" bagi sistem perbankan dan kewangan Malaysia.

Tanpa mempunyai bank pusat yang benar-benar ampuh, negara akan berhadapan dengan risiko kestabilan kewangan dan ekonomi negara. Ini kerana bank pusat seperti BNM mempunyai peranan yang amat besar dalam sesebuah negara sebagai penggalak kepada kestabilan kewangan agar pembangunan ekonomi negara lebih kondusif, progresif, kukuh dan mampan.

Oleh itu, berkuat kuasa pada 25 November 2009, Akta Bank Negara Malaysia 2009 telah mengambil alih peranan Akta Bank Negara Malaysia 1958 yang telah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara selama 51 tahun.

Pengenalan akta baru ini amatlah wajar sama sekali dan tepat pada masanya dalam memenuhi persaingan ekonomi yang lebih kompetitif di era liberalisasi dan globalisasi.

Tanpa mempunyai akta yang terkini bersesuaian dengan senario ekonomi, kewangan dan perbankan semasa, Malaysia akan ketinggalan jauh ke belakang berbanding dengan negara-negara lain di dunia. Kerangka utama Akta baru ini menekan pada kepentingan tadbir urus BNM. Sejajar dengan ini, tiga Jawatankuasa Lembaga hendaklah ditubuhkan.

Pertama, Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga yang berperanan untuk mengesyorkan senarai anggota bagi Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Penafsir dan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM.

Jawatankuasa-jawatankuasa ini juga bertindak untuk memeriksa dan mengesyorkan belanjawan dan rancangan operasi BNM kepada Lembaga Pengarah BNM untuk tujuan kelulusan.

Rancangan operasi yang bakal dilaksanakan mestilah benar-benar ampuh, maka peranan Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga amatlah besar sama sekali untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan operasi BNM.

Kedua, Jawatankuasa Audit Lembaga bertindak untuk memastikan integriti akaun dan kewangan BNM agar tiada sebarang permasalahan kewangan sebelum diaudit oleh Ketua Audit Negara.

Bukan itu sahaja, jawatankuasa ini berperanan untuk memastikan keberkesanan sistem kawalan dalaman BNM dengan melaksanakan fungsi audit dalaman.

Sistem kawalan dalaman yang mantap merupakan "kunci" kepada pengukuhan operasi BNM dan ini seharusnya seiring dengan pelaksanaan fungsi audit dalaman yang bertindak sebagai "pemantau" dan "pengawas" kepada sebarang ketidakcekapan dan keberkesanan operasi BNM.

Jika ini dapat dilaksanakan pada tahap paling memuaskan, sudah tentu segala undang-undang dan pengawalseliaan dapat dipatuhi sepenuhnya.

Ketiga, bertepatan dengan kepentingan pengurusan risiko dewasa ini, maka, sudah tentu perkara ini mewajarkan BNM menubuhkan Jawatankuasa Risiko Lembaga untuk membantu Lembaga Pengarah secara kolektif dalam pengawasannya mengenai pengurusan risiko perusahaan BNM.

Selain daripada tadbir urus, satu lagi komponen yang amat menarik tentang Akta baru ini ialah dalam memperkukuhkan sistem kewangan Islam di Malaysia.

Melaluinya, BNM boleh menubuhkan Majlis Penasihat Syariah yang berperanan untuk menentukan dan mengeluarkan keputusan mengenai hukum Syarak berkaitan dengan sebarang perkara kewangan.

Keanggotaan Majlis Penasihat Syariah mestilah terdiri daripada kalangan pakar-pakar Syariah, kewangan, perbankan dan undang-undang. Merekalah akan dilantik sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Menteri setelah berunding dengan BNM.

Semua institusi kewangan Islam dan BNM hendaklah merujuk kepada Majlis ini mengenai sebarang perkara berkaitan dengan kewangan Islam agar sistem perbankan dan kewangan Islam benar-benar dilaksanakan berlandaskan Syariah.

Secara langsung, Akta baru ini sebenarnya telah mengiktiraf peranan BNM dalam mempromosikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.

Bagi memastikan daya tahan sistem perbankan dan kewangan negara, BNM mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang langkah yang perlu untuk mengelak dan mengurangkan risiko kepada kestabilan kewangan negara terutamanya berkaitan dengan risiko modal dan kecairan sebarang institusi kewangan.

Institusi kewangan yang mempunyai masalah berkaitan dengan aspek ini akan dibantu oleh BNM. Ini mencerminkan BNM bukan sahaja badan pengawas perbankan dan kewangan negara tetapi juga sebagai pelindung kepada institusi-institusi kewangan negara.

Sememangnya, akta baru ini digubal untuk menjadi penampan kepada sebarang risiko kestabilan kewangan dan krisis kewangan yang mungkin melanda negara pada suatu masa nanti.

- UTUSAN

Jurang akademik lelaki dan perempuan

Datuk DR ZALIZAN MOHD
Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Perbezaan pencapaian antara jantina mula diberi perhatian pada 1970-an apabila pencapaian rendah pelajar perempuan diketengahkan manakala sejak pertengahan 1990-an pencapaian rendah pelajar lelaki mula diperkatakan.

Trend perbezaan pencapaian antara pelajar lelaki dan perempuan itu berterusan hingga kini dan menjadi fenomena menyeluruh serta masih relevan untuk dikaji.

Keputusan peperiksaan awam peringkat kebangsaan 1996 hingga 2007 menunjukkan secara keseluruhannya pelajar perempuan mempunyai pencapaian lebih baik berbanding pelajar lelaki dalam hampir semua mata pelajaran bagi peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah.

Manakala bagi Sijil Pelajaran Malaysia, pelajar perempuan mengatasi lelaki dalam kebanyakan mata pelajaran misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Jurang perbezaan pencapaian akademik pelajar lelaki dan perempuan di peringkat persekolahan memberi impak kepada enrolmen pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan ia terbukti apabila jumlah kemasukan pelajar perempuan di IPTA seluruh negara secara umumnya melebihi 70 peratus kebelakangan ini.

Prestasi akademik yang kurang memberangsangkan di peringkat persekolahan menafikan peluang pelajar lelaki melanjutkan pengajian ke IPTA, dan fenomena ini bakal memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosioekonomi negara.

Mereka juga terdedah kepada masalah sosial dan potensi mereka keluar daripada sistem persekolahan lebih awal daripada yang sepatutnya juga menjadi lebih tinggi.

Senario ini memberikan cabaran kepada pendidik dan sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar lelaki di peringkat persekolahan. Faktor yang boleh mengurangkan jurang perbezaan pencapaian pelajar perlu diberi tumpuan dan kajian mendalam.

Hasil kajian saya bersama Nor Aniza Ahmad serta Manisah Mohd Ali mengenai Trend Pencapaian Pelajar Lelaki menunjukkan jenis persekolahan dan gaya pembelajaran antara faktor utama memberi kesan terhadap perbezaan pencapaian di antara jantina.

Kami dapati pelajar perempuan mencapai keputusan lebih baik berbanding dengan lelaki di sekolah satu jantina manakala prestasi akademik pelajar lelaki di sekolah bercampur pula lebih baik daripada sekolah satu jantina.

Dapatan kajian kami turut membuktikan perbezaan ketara gaya pembelajaran antara pelajar lelaki dan perempuan yang turut menjadi penyumbang kepada perbezaan pencapaian pelajar.

Pelajar lelaki lebih cenderung kepada gaya pembelajaran tidak berstruktur iaitu lebih cenderung kepada visual, taktual dan kinestatik serta memerlukan pergerakan dalam suasana tidak formal berbanding pelajar perempuan.

Sebagai contoh, pelajar lelaki lebih suka sesi pembelajaran yang tidak terlalu formal dan membolehkan mereka bergerak.

Mereka sukar memberi tumpuan dalam satu jangkamasa yang lama untuk mendengar pengajaran guru berbanding pelajar perempuan.

Pelajar lelaki juga lebih suka kepada visual seperti program komputer yang mempunyai gambar, berwarna dan gambarajah. Di samping itu, mereka lebih cepat mengingat melalui apa yang dilihat di televisyen, tayangan gambar atau video.

Justeru, guru perlu mempelbagaikan strategi, kaedah dan pendekatan pengajaran yang lebih kreatif, berinovasi serta disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar lelaki dan perempuan.

Maklumat persepsi pelajar lelaki dan perempuan terhadap gaya pembelajaran yang mereka lebih gemari diharap menjana perspektif baru dalam kalangan pendidik.

Mereka perlu membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran, sumber dan aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan pelajar serta menghapuskan halangan pembelajaran.

Guru boleh mengubahsuai suasana di dalam bilik darjah seperti mobiliti, bunyi dan persekitaran bilik darjah tersebut memenuhi profil gaya pembelajaran yang lebih digemari pelajar lelaki dan juga pelajar perempuan.

Justeru, guru perlu mengambilkira keadaan serta ruang belajar di dalam bilik darjah yang lebih kondusif serta selesa dengan keperluan pembelajaran pelbagai pelajar mereka.

Kursus pendidikan guru dan latihan dalam perkhidmatan yang dijalankan sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri perlu memberi fokus terhadap perbezaan jenis sekolah dan gaya pembelajaran mengikut jantina bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Pendidikan guru juga dicadang memberi penekanan kepada kurikulum pendidikan yang lebih sensitif kepada jantina dan kepelbagaian pelajar.

Keprihatinan mengenai kepelbagaian gaya pembelajaran anak lelaki dan perempuan ini juga membolehkan ibu bapa menyediakan persekitaran lebih sesuai serta memberi motivasi dan galakan pembelajaran bersesuaian.

- BERITA HARIAN

LAPORAN KHAS: Sempena Ulang Tahun Ke-20 Perjanjian Damai Kerajaan Malaysia dan PKM (Bahagian Ketiga)

Oleh ROZAID A. RAHMAN

Hari Ini Mereka Bertemu di Meja Makan...

3 DISEMBER 1989: Sehari selepas majlis menandatangani perjanjian damai wakil-wakil Malaysia, Thailand dan PKM menenangkan fikiran dalam satu majlis jamuan makan malam yang dianjurkan oleh Angkatan Tentera Thailand yang diterajui oleh Jeneral Chavalit Yongchaiyudh.


Chin Peng (kanan) bersama Jeneral Chavalit Yangchaiyuth pada 2 Disember 1989.

Jeneral Chavalit adalah seorang negotiator yang handal. Saya mempunyai hubungan yang rapat dengannya hasil daripada temuramah eksklusif yang pernah beliau berikan kepada saya setahun sebelum itu.

Pada tahun 1988, beliau telah berjaya membawa keamanan di empat Wilayah Selatan Thai, yang didominasi oleh masyarakat Melayu iaitu Yala, Narathiwat, Songkla dan Pattani dengan memperkenalkan satu program yang beliau sendiri namakan dalam bahasa Melayu iaitu HARAPAN BARU.

Dalam hal perjanjian damai ini juga, Chavalit telah sekali lagi membuktikan kemampuannya sebagai seorang negotiator.

Beliau dibantu oleh orang kepercayaannya, Komander Wilayah 4 yang berpangkalan di Selatan Thai. Beliau ialah Major Jeneral Kitty Ratanajaya. Kitty lah yang menjadi tulang belakang Chavalit sepanjang rundingan damai dengan PKM dan Kerajaan Malaysia.

Malam itu, Kitty bertindak sebagai host bersesuaian dengan peranannya dalam rundingan damai tersebut.

Jamuan itu diadakan di Dewan Berdansa Lee Gardens Hotel - tempat berlangsungnya upacara perjanjian damai sehari sebelum itu.

Wakil utama Malaysia, Datuk Wan Sidek dan General Hashim Mohd Ali duduk di meja utama. Turut hadir ialah mereka yang memainkan peranan penting sebagai negotiator di pihak Malaysia iaitu Pengarah Cawangan Khas, Rahim Noor dan Timbalannya, Norian Mai. Kedua-dua mereka kemudiannya menjadi Ketua Polis Negara.

Pemimpin-pemimpin PKM, Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD dan Ah Sek meluangkan masa untuk berbual-bual dengan para tetamu yang sebahagian besar daripada mereka mengambil peluang ini untuk bergambar kenang-kenangan.

Chin Peng duduk di sebelah General Hashim dan kelihatan lebih banyak mendengar percakapan general itu dengan penuh minat dan kusyuk. Perbualan mereka sudah pastinya tidak menyentuh sesuatu yang serius kerana pada kebanyakan masa mereka lebih banyak ketawa malah ketawa besar lagi.

Datuk Wan Sidek pula banyak menghabiskan masa berbual dengan Abdullah CD. Yang sentiasa kelihatan serius dan sukar sekali mengukirkan senyuman ialah Rashid Maidin. Beliau juga tidak banyak bercakap dan hanya menjawab ringkas kepada sebarang pertanyaan.

Bekas Ketua Polis Perak, Datuk Seri Yuen Yuet Leng turut bermesra dengan para pemimpin PKM.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai timbalan pengarah Cawangan Khas ketika ditemui berkata, “Saya tidak pernah terfikir langsung suatu hari nanti saya akan bersua muka dengan Setiausaha Agung CPM, Chin Peng dalam suasana yang sama sekali berbeza...tidak sepertimana malam ini.”

“Sewaktu Chin Peng keluar dari hutan sambil diiring James Davis pada 28 dan 29 Disember 1955, untuk mengadakan rundingan dengan Tunku Abdul Rahman di Baling, saya adalah pegawai Cawangan Khas di Baling,” kata Yuen.

Beliau menyifatkan dirinya sangat beruntung kerana berpeluang menyaksikan rundingan damai sebanyak dua kali, satu gagal dan satu lagi berjaya.

- MSTAR

GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT) DI BATU PAHAT, JOHOR

JAWATAN:
- GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT)

Kekosongan di Batu Pahat, Johor Darul Takzim.

Untuk memohon, sila buat permohonan di SISTEM PERMOHONAN GSTT NEGERI JOHOR:
http://www.ekgsk.com/gstt/

TARIKH TUTUP : 3 Disember 2009 - 5.00 Petang

JAWATAN KOSONG DI PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Permohonan adalah dipelawa daripada warganegara Malaysia yang berkelayakan dan berminat untuk berkhidmat di PERHEBAT sebagai :

JAWATAN :
1. Pengajar Motivasi – Gred 21P (1 Kekosongan)
2. Pengajar Keusahawanan – Gred 21P (1 Kekosongan)
3. Pengajar Sajian – Gred 19P (1 Kekosongan)
4. Pengajar Perkhidmatan Makanan – Gred 19P (1 Kekosongan)
5. Pengajar Perabot – Gred 19P (1 Kekosongan)
6. Pengajar Jahitan Pakaian Lelaki dan Wanita – Gred 19P (1 Kekosongan)
7. Pemandu – Gred 4 (2 Kekosongan)

GAJI :
1.Pengajar
Gred 21P: RM2,555.34 – RM6,271.55

2.Pengajar
Gred 19P: RM1,851.49 – RM4,862.05

3.Pemandu
Gred 4 : RM1,095.30 – RM1,735.62


KELAYAKAN

1. JAWATAN 1 :

1. Mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari mana- mana Universiti tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
2. Mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari mana-mana Universiti tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan;
3. Mempunyai pengalaman bekerja dan mengajar subjek motivasi; dan
4. Mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris (lisan dan tulisan) di semua peringkat.

UMUR : Calon mestilah berumur 23 tahun ke atas mulai tarikh tutup iklan.

TARAF JAWATAN: Kontrak


2. JAWATAN 2 :

1. Mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari mana- mana Universiti tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
2. Mepunyai ijazah sarjana muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari mana-mana Universiti tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan;
3. Mempunyai pengalaman bekerja dan mengajar subjek keusahawanan; dan
4. Mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris (lisan dan tulisan) di semua peringkat.

UMUR : Calon mestilah berumur 23 tahun ke atas mulai tarikh tutup iklan.

TARAF JAWATAN: Kontrak

3. JAWATAN 3 :

1. Mempunyai sekurang-kurangnya Diploma dalam bidang Chef Training dari mana-mana Universiti tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
2. Mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM);
3. Mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sekurang-kurangnya Tahap 3 Chef de Partie dalam bidang berkaitan adalah satu kelebihan;
4. Mempunyai sijil VTO (Pengajar Vokasional) adalah satu kelebihan;
5. Mempunyai pengalaman bekerja di industri berkaitan atau institusi latihan adalah satu kelebihan; dan
6. Mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dalam Bahasa Malaysia (lisan dan tulisan) di semua peringkat.

UMUR :Calon mestilah berumur 23 tahun ke atas mulai tarikh tutup iklan.

TARAF JAWATAN: Kontrak

4. JAWATAN 4 :

1. Mempunyai sekurang-kurangnya Diploma dalam bidang Perkhidmatan Makanan dari mana-mana Universiti tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
2. Mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM);
3. Mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sekurang-kurangnya Tahap 3 dalam bidang berkaitan adalah satu kelebihan;
4. Mempunyai sijil VTO (Pengajar Vokasional) adalah satu kelebihan;
5. Mempunyai pengetahuan/pengalaman berniaga serta bekerja di industri berkaitan atau institusi latihan adalah satu kelebihan; dan
6. Mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dalam Bahasa Malaysia (lisan dan tulisan) di semua peringkat.

UMUR :Calon mestilah berumur melebihi 23 tahun mulai tarikh tutup iklan.

TARAF JAWATAN : Kontrak

5. JAWATAN 5 :

1. Mempunyai sekurang-kurangnya Diploma dalam bidang pembuatan perabot dari mana-mana Universiti tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
2. Mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sekurang-kurangnya Tahap 3 dalam bidang pembuat perabot;
3. Mempunyai sijil mengajar CIAST/ sijil VTO (Pengajar Vokasional) adalah satu kelebihan;
4. Mempunyai sekurang-kurangnya 5 tahun pengalaman bekerja dan mengajar di industri berkaitan atau institusi latihan; dan
5. Mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dalam Bahasa Malaysia (lisan dan tulisan) di semua peringkat.

UMUR :Calon mestilah berumur 23 tahun ke atas mulai tarikh tutup iklan.

TARAF JAWATAN: Kontrak

6 JAWATAN 6:

1. Mempunyai sekurang-kurangnya Diploma dalam bidang jahitan dan rekaan fesyen dari mana-mana Universiti tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
2. Mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sekurang-kurangnya Tahap 3 dalam bidang berkaitan;
3. Mempunyai sijil mengajar CIAST/ sijil VTO (Pengajar Vokasional) adalah satu kelebihan;
4. Mempunyai pengalaman bekerja di industri berkaitan atau institusi latihan; dan
5. Mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dalam Bahasa Malaysia (lisan dan tulisan) di semua peringkat.

UMUR :Calon mestilah berumur 23 tahun ke atas mulai tarikh tutup iklan.

TARAF JAWATAN: Kontrak

7 JAWATAN 7:

1.Mempunyai sekurang-kurangnya tamat darjah enam;
2. Memiliki lessen memandu kelas D/E/E1/E2 dan GDL mana berkenaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ);
3. Berkebolehan memandu, mengendali dan menyenggara kenderaan bermotor; dan
4. Berkebolehan bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia dengan baik.

UMUR :Calon mestilah berumur 21 tahun ke atas mulai tarikh tutup iklan.

TARAF JAWATAN: Kontrak

Permohonan boleh dibuat melalui surat dengan menyertakan butir-butir peribadi, pengalaman, salinan sijil-sijil akademik yang disahkan serta gambar berukuran pasport kepada :-

Ketua Pengarah
Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera
Kompleks PERHEBAT, Kem Sungai Buloh
Peti Surat 65, 47000 Sungai Buloh
Selangor Darul Ehsan
(U.P : Bahagian Sumber Manusia & Pentadbiran)

dan hendaklah sampai pada atau sebelum 15 Disember 2009. Sila tulis nama jawatan di sudut kiri atas sampul surat. Hanya calon yang disenaraipendek akan dipanggil untuk ditemuduga. Permohonan yang tidak mendapat maklum balas dalam tempoh 3 bulan adalah dianggap tidak berjaya.

http://www.perhebat.net.my

PROGRAM PENEMPATAN PEKERJAAN (3P) JABATAN TENAGA KERJA - DISEMBER 2009

Program Penempatan Pekerjaan (3P) Anjuran PTK Sg. Petani
Tarikh : 3.12.2009
Masa : 8.30 pagi -4.30 petang
Tempat : Dewan Serbaguna Tikam Batu (Bersebelahan Balai Bomba Tikam Batu)

Program Penempatan Pekerjaan (3P) Anjuran PTK Butterworth, Pulau Pinang
Tarikh: 5.12.2009
Masa: 9.00 pagi - 4.00 petang
Tempat: DEWAN SERBAGUNA JAWI,SEBERANG PERAI SELATAN, 14200 SUNGAI JAWI, PULAU PINAN(BERSEBELAHAN DENGAN PEJABAT DAERAH DAN TANAH SEBERANG PERAI SELATAN)

Program Penempatan Pekerjaan
Tarikh: 5.12.2009 (Sabtu)
Masa: 9.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat: Dewan Kompleks Sukan Pandamaran
Jalan Raja Lumu 42000 Pelabuhan Klang, Selangor

Program Penempatan Pekerjaan (3P)
Tarikh : 5.12.2009
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : CARREFOUR-MAGNIFICIENT DIAGRAPH SDN BHD (Cawangan Subang Jaya),No 3 Jln SS 16/1, 47500 Subang Jaya, Selangor

Program Penempatan Pekerjaan (3P) Anjuran PTK Telupid
Tarikh : 6.12.2009
Masa : 8.00 pagi - 4.00 petang
Tempat : Sapi Estate 1 (PPB Oil Palms Bhd) Golf Club, Batu 70, Jalan Sapi Nangoh,Telupid

Program Penempatan Pekerjaan (3P) Anjuran PTK Seremban
Tarikh : 12.12.2009
Masa : 10.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Lower Ground Floor Terminal One Shopping Centre, Seremban, Negeri Sembilan

Program Penempatan Pekerjaan (3P) Anjuran PTK Pulau Pinang
Tarikh : 12.12.2009
Masa : 8.00 pagi -4.30 petang
Tempat : D'Piazza Mall, Jalan Mahsuri,Bandar Bayan Baru,11900 Pulau Pinang

Program Penempatan Pekerjaan (3P) Anjuran PTK Bangi
Tarikh : 16.12.2009
Masa : 9.00 pagi - 4.00 petang
Tempat : No. 709 Kompleks Diamond, 43650 Bandar Baru Bangi.

Recent Posts