Selasa, Disember 01, 2009

Calon SPM boleh guna kalkulator ikut spesifikasi

Kementerian Pelajaran ingin merujuk kepada surat pembaca bertajuk 'Calon SPM dihalang guna kalkulator' yang disiarkan pada 24 November 2009 yang lalu.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan kementerian ingin mengucapkan terima kasih dan mengambil maklum mengenai keprihatinan terhadap perkara ini.

LPM dan kementerian ingin menjelaskan bahawa setiap calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibenarkan untuk membawa masuk ke dewan/bilik peperiksaan kalkulator saintifik yang tidak boleh diprogramkan.

Untuk makluman, syarat penggunaan kalkulator adalah seperti dalam syarat yang ada dalam buku peraturan dan panduan peperiksaan SPM 2009.

Spesifikasi am bagi kalkulator yang dibenarkan adalah seperti berikut:

# Mematuhi prinsip pengiraan operasi matematik

# Mempunyai paparan sekurang-kurangnya 8 digit dengan tambahan dengan 2 digit Eksponen

# Tidak boleh diprogramkan

# Boleh menukar unit darjah kepada unit radian dan sebaliknya

# Boleh menukar pecahan kepada perpuluhan dan sebaliknya

# Boleh menyimpan nilai sesuatu nombor (memory)

Oleh yang demikian hanya ciri-ciri yang digariskan ini saja dibenarkan. LPM tidak dapat memperincikan jenis atau jenama kalkulator yang tepat yang boleh dibawa oleh calon ke dalam dewan/bilik peperiksaan kerana terlalu banyak ciri-ciri dan jenis kalkulator yang ada di pasaran.

Bagaimanapun, kalkulator Casio fx570ES dan Casio fx570MS memenuhi spesifikasi di atas dan boleh digunakan untuk peperiksaan. Sehubungan itu, maka diputuskan bahawa calon dibenarkan membawa masuk kalkulator Casio fx570ES atau Casio fx570MS ke dewan/bilik peperiksaan bagi kertas Matematik Tambahan 1 dan 2 yang berlangsung pada Rabu, 25 November lalu.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts