Isnin, November 30, 2009

KALENDAR - NOVEMBER 2009

# 6 - 8 Nov 2009 - Sultan's Cup Terengganu Endurance 2009 di Lembah Bidong, Setiu, Terengganu

# 7 Nov 2009 - Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2009

# 12 Nov 2009 - Semakan Calon Berjaya ke Temuduga KPLI Jan 2010

# 16 Nov 2009 - Semakan Keputusan Kemasukan ke UiTM Sesi Dis 2009

# 17 Nov 2009 - Tarikh Melihat Anak Bulan Zulhijjah & Penentuan Hari Raya Aidil Adha

# 18 Nov 2009 - 1 Zulhijjah 1430H

# 18 Nov 2009 - Peperiksaan SPM & STPM

# 19 Nov 2009 - Keputusan Peperiksaan UPSR

# 26 Nov 2009 - Hari Arafah

# 27 Nov 2009 - Hari Raya Aidil Adha 1430H

Empat gempa di Kuala Pilah, terbaru 2.30 petang 30 Nov 2009

Gempa bumi lemah berukuran 3.0 pada skala Richter berlaku buat kali keempat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada pukul 2.30 petang 30 November 2009.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa bumi itu berpusat di 22km timur Seremban dan merupakan kejadian terbaru daripada tiga kejadian gempa bumi yang berlaku di lokasi sama sejak semalam.

Kejadian gempa bumi pertama berlaku pada pukul 2.30 petang semalam dan hari ini sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan oleh Jabatan Meteorologi yang berlaku pada pukul 12.15 tengah malam, 9.10 pagi dan 2.30 petang ini, menurut kenyataan itu.

Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di kawasan berkenaan, bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah.

Menurut kenyataan itu, kejadian gempa bumi lemah adalah kesan daripada gempa bumi kuat yang berlaku di Indonesia baru-baru ini.

Penduduk tertanya-tanya gempa di Kuala Pilah

Penduduk tempatan Kuala Pilah, Negeri Sembilan masih tertanya-tanya sama ada gempa bumi lemah yang dilaporkan berlaku di daerah itu benar-benar terjadi.

Seorang penduduk Abd Karim Manan berkata, beliau tidak merasai apa-apa gegaran kesan daripada kejadian tersebut.

"Saya pada masa itu pun belum tidur lagi," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta menceritakan laporan gempa berukuran 3.3 pada skala Richter yang dilaporkan di daerah tersebut awal pagi ini.

Laporan Bernama, yang memetik kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia itu menyebut, gempa bumi berkenaan berlaku pada jam 12.15 pagi, berpusat di 22km timur Seremban.

Abd Karim, yang berada di Kuala Pilah malam tadi, menjelaskan beliau juga tidak mendengar apa-apa laporan berita berkaitan kejadian itu.

Seorang pemimpin parti politik tempatan juga tidak dapat mengesahkan kejadian tersebut, malah tidak mengetahui langsung kejadian tersebut hinggalah dihubungi wartawan petang ini.

"Kalau ada, inilah kejadian pertama yang berlaku di Kuala Pilah, tapi kita tidak boleh pastikan ada atau tidak ada," katanya.

Beliau, yang enggan namanya disebut, bagaimanapun mengakui kejadian gempa bumi itu diperkatakan oleh masyarakat apabila beliau melakukan tinjauan rambang.

"Saya sudah tanya ramai ketua kampung dari Seremban sampai Kuala Pilah, tapi semuanya kata tidak ada (berlaku)," katanya.

"Tapi ada yang kata (berlaku) di Senawang, kita pun tidak boleh pastikan perkara sebenar. Ini semua khabar-khabar angin sahaja."

Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di kawasan berkenaan, bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah, menurut kenyataan terbaru Jabatan Meteorologi Malaysia.

Empat gempa bumi itu berlaku di lokasi sama sejak kejadian pertama 2.30 petang semalam.

Hari ini, sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan oleh Jabatan Meteorologi yang berlaku pada pukul 12.15 tengah malam tadi, 9.10 pagi dan 2.30 petang ini.

Sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garisan gempa bumi di Bentong di Pahang.

Tiga lagi gempa bumi itu di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).

Pengarah jabatan itu Dr Rosaidi Che Abas dilaporkan berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas, sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong.

Kes terbaru pada 8 Okt lepas bagaimanapun mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari pukul 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, bermagnitud antara 1.1 hingga 2.8 skala Richter.

Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang.

- MALAYSIAKINI

LAPORAN KHAS: Sempena Ulang Tahun Ke-20 Perjanjian Damai Kerajaan Malaysia dan PKM (Bahagian Kedua)

Oleh ROZAID A. RAHMAN


Perjanjian bersejarah... (dari kanan) Abdullah C.D. dan Chin Peng menandatangani perjanjian damai dengan Jeneral Chavalit Yongchaiyudh, Panglima Angkatan Tentera Thailand dan wakil Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman di Haadyai pada 2 Disember 1989. -Foto THE STAR oleh ROHAIZAT

SABTU, 2 DISEMBER 1989; Jam hampir 10.30 pagi dan Hotel Lee Garden di mana berlangsungnya majlis menandatangani perjanjian damai di antara Kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM telah dipenuhi oleh wartawan dan orang kenamaan yang ingin menyaksikan satu detik bersejarah - sesuatu yang gagal disaksikan pada 28 dan 29 Disember 1955.

“Tolong duduk! Tolong Duduk....Jika tuan-tuan tidak duduk, bagaimana kita hendak memulakan majlis kita yang bersejarah ini...orang belakang pun nak tengok juga,” demikian kata-kata awal yang keluar dari mulut juruacara pada hari itu, seorang pegawai muda dari angkatan bersenjata Thailand yang bertutur dalam bahasa Inggeris yang kadang-kadang kedengaran sangat melucukan.

Hakikatnya, beliau sedang berhadapan dengan satu tugasan yang sangat berat dan besar pada hari itu - bagaimana untuk mengawal situasi yang kelihatan kelam-kabut kerana para jurugambar yang telahpun memenuhi barisan hadapan di antara pentas utama dan kerusi para tetamu enggan memberi kerjasama kepadanya.

Berkali-kali juruacara itu merayu kepada para jurugambar supaya memberi ruang kepada para tetamu menyaksikan majlis itu dengan sempurna tetapi rayuannya itu tidak diperdulikan.

Mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk merakam gambar mugshot Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD dan Ah Sek. Suasana kelam kabut itu menjadikan majlis yang sepatutnya serius dan penuh bersejarah itu tidak ubah seperti kaunter pasaran saham dengan bunyi bising para jurugambar berasak-asak untuk menuju ke hadapan seboleh mungkin.

Dalam keadaan yang berasak-asak ini salah seorang daripada jurugambar telah terjatuh di atas jambakan bunga yang menghiasi meja di mana kesemua wakil kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM akan menandatangani perjanjian damai mereka.

Manakala jurugambar yang berada di belakang pula sama ada memanjat belakang rakan jurugambar yang lain atau berdiri di atas kerusi yang disediakan untuk tetamu-tetamu VIP di barisan hadapan sekali. Dari belakang, kami hanya dapat menyaksikan badan para jurugambar. Mereka yang akan menandatangani perjanjian damai itu sudah tidak kelihatan lagi.

Dalam suasana hiruk pikuk inilah wakil-wakil Kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM menurunkan tandatangan mereka di atas kertas perjanjian damai yang bersejarah itu bagi menamatkan perjuangan bersenjata PKM ke atas Kerajaan Malaysia selama lebih 41 tahun.

****

Bila dikenang kembali, peristiwa bersejarah itu sesungguhnya melucukan terutama sekali apabila teringatkan suara juruacara yang terus menerus merayu dengan kata-kata “thank you for your corporation” dan kemudian diikuti dengan “thank your for everybody...”

Ramai di kalangan wartawan ketawa setiap kali mendengar juruacara itu mengulangi ayat “thank your for everybody...” dan tertanya-tanya perlukah dia mengakhiri kata-katanya itu dengan “thank your for everybody...”

Dari belakang, juruacara berkenaan seolah-olah tenggelam di tengah-tengah riuh rendah jurugambar yang menjerit-jerit nama Chin Peng dan Rashid Maidin supaya memberikan pos yang istimewa di hadapan lensa. Yang kelihatan hanyalah tangannya yang diangkat tinggi meminta semua orang bersabar dan duduk. Hakikatnya tidak ada siapapun yang memperdulikan rayuannya lagi.

Majlis itu bukan sahaja berlangsung dengan begitu pantas sekali dan singkat, malah kawalan keselamatan pihak penganjur di sepanjang berlangsungnya majlis itu juga sangat menghairankan.


Hotel Lee Garden di mana berlangsungnya majlis menandatangani perjanjian damai di antara Kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM.

Tidak ada seorang pun dikenakan pemeriksaan keselamatan untuk menuju ke tingkat 12 Hotel Lee Garden di mana majlis ini berlangsung. Malah pas masuk yang tertulis dalam bahasa Thai boleh diperolehi dengan mudah di lobi hotel berkenaan.

Di sekitar kawasan lobi dan di luar hotel juga, tidak ada kawalan keselamatan yang ketat dilakukan walaupun mereka yang berpakaian seragam berwarna coklat (polis) dan celoreng tentera memenuhi kawasan berkenaan.

Apabila melihat keadaan sudah tidak terkawal lagi, juruacara majlis itu dengan tergesa-gesa memulakan majlis dengan mengalu-alukan kedatangan semua tetamu sebaik sahaja Chin Peng dan rombongannya yang sedang berdiri sambil melambai-lambai tangan ke arah para jurugambar melabuhkan punggung mereka ke atas kerusi.

Jeneral Chavalit Yongchaiyudh, Panglima Angkatan Tentera Thailand adalah yang pertama yang dijemput untuk menyampaikan ucapan. Beliau menyampaikan ucapannya yang ringkas dalam bahasa Thai yang kemudiannya diterjemahkan oleh juruacara itu.

“Apa yang anda saksikan hari ini akhirnya membuktikan bahawa perbezaan pendapat dan masalah tidak boleh diselesaikan dengan cara kekerasan,” kata Chavalit.

Selepas Chavalit, wakil Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman pula dijemput berucap.

Beliau berkata, perjanjian hari ini akan membuka jalan kepada pembangunan sosio-ekonomi yang lebih baik dan teratur untuk kemakmuran rakyat Malaysia.

“Dengan tamatnya kegiatan persenjataan komunis, lebih banyak rancangan pembangunan dapat dibawa ke kawasan-kawasan sempadan dan ini termasuklah kepada negara jiran, Thailand,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand di atas kerjasama yang ia berikan sehingga terhasilnya perjanjian damai ini.

Lima minit kemudian, tibalah giliran Chin Peng. Beliau memulakan ucapannya dengan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Cawangan Khas PDRM dan juga Komander Wilayah 4 Tentera Thai yang telah mengaturkan pertemuan dan rundingan dengan pihak PKM.

Chin Peng berkata, apa yang telah dipersetujui hari ini adalah selaras dengan dasar PKM untuk mewujudkan perdamaian.

“Ia juga adalah selaras dengan arus masa kini di mana rakyat di seluruh dunia memperjuangkan perdamaian dan demokrasi serta selaras dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara Malaysia dan Thailand.

“Kami yakin bahawa penandatanganan persetujuan damai ini akan mencatat satu lembaran baru dalam sejarah tanahair kami dan akan memberikan sumbangan penting ke arah mewujudkan kemakmuran dan kestabilan di Malaysia serta di kawasan sempadan,” kata Chin Peng.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan melafazkan ikrar taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara dan juga ikrar taat setia kepada negara.

Sebaik sahaja Chin Peng selesai menyampaikan ucapannya yang penuh dramatik itu dan belum pun sempat beliau duduk semula, juruacara terus merampas semula mikrofon dan mengumumkan; “Yes Mr Chin Peng, you can now officially sign on the dotting line...” katanya dalam bahasa Inggeris yang sangat melucukan.

Mendengar kata-kata itu, Chin Peng pun sambil tersenyum dan tanpa melengahkan masa lagi terus menandatangani perjanjian itu dan kemudiannya diikuti serentak oleh Pengerusi CPM, Abdullah CD dan Rashid Maidin.

Sejurus selepas wakil-wakil Kerajaan Malaysia dan Thailand menurunkan tandatangan masing-masing, juruacara itu dengan selamba berkata; “All of you can continue to exchange the document if you wish to do so...”

Kata-katanya yang ringkas dan bersahaja pada satu majlis yang besar dan penuh bersejarah itu sekali lagi mencuit hati para wartawan dan tetamu yang hadir sehingga mengundang gelak ketawa.

****

Pada masa ketiga-tiga pihak yang menandatangani perjanjian damai itu menukar-nukar dokumen, kelihatan para wartawan dan jurugambar mundar-mandir ke sana kemari mengambil gambar di sekitar dewan itu sebagai kenang-kenangan. Malah ramai yang ingin bergambar dengan isteri Komander Regimen Ke-12 PKM, Ah Sek iaitu Zainon Chan dan isteri Abdullah CD, Suriani Abdullah.

Saya tidak mengambil walau sekeping foto pun. Mungkin kerana asyik memerhati apa yang sedang berlaku dan juga mungkin kerana terlalu teruja dengan peristiwa bersejarah ini.

Tetapi suasana yang relaks itu kembali menjadi kelam-kabut apabila para wartawan berpusu-pusu kembali ke meja hadapan sebaik sahaja juruacara mengumumkan bahawa Chin Peng akan memberikan sidang akhbarnya.

Dan keadaan kemudiannya menjadi seperti tidak terkawal lagi apabila beratus wartawan yang menduduki kerusi tetamu di barisan belakang menyerbu serentak ke meja hadapan sambil berlari merempuh tetamu-tetamu VIP setelah menyedari Chin Peng tanpa membuang masa terus memulakan sidang akhbarnya.

Yang menyulitkan keadaan ialah apabila para wartawan terpaksa berasak-asak untuk ke meja hadapan di mana Chin Peng berada bersama-sama beratus jurugambar yang tidak mahu berganjak langsung dari tempat di mana mereka berdiri.

Suasana yang penuh kelam kabut itu berterusan sebaik sahaja Chin Peng selesai mengadakan sidang akhbarnya kerana selepas itu para wartawan pula yang menyerbu Chin Peng untuk mendapatkan tandatangannya dan saya adalah salah seorang daripadanya.

Bila saya menghulurkan buku cenderamata majlis untuk beliau tandatangani, Chin Peng menoleh kearah saya dan bertanya; “Saudara dari mana?” Saya menjawab “Utusan Melayu”. Dan Chin Peng sambil tersenyum berkata; “Saya baca Utusan Melayu...”. Beliau kemudian menurunkan tandatangannya di atas buku cenderamata itu.

Tandatangannya bersih dan kemas membuatkan anda boleh mengeja namanya dengan jelas. Tetapi ada yang menghulur wang kertas Ringgit Malaysia dan Thai Bath untuk Chin Peng tandatangani. Beliau tersenyum dan turuti kehendak tuan yang punya wang.

Dan begitulah majlis yang disusun dan diatur rapi untuk menjadi satu majlis yang penuh bersejarah akhirnya berakhir dalam suasana yang sungguh melucukan.

(BERSAMBUNG BAHAGIAN KETIGA)

- MSTAR

Skim baucar diskaun RM5,000 untuk kereta lama mungkin diteruskan

Pemberian skim baucar diskaun sebanyak RM5,000 untuk kereta nasional yang ditamatkan pada 1 November lalu tidak mustahil ia akan diadakan semula jika itu yang dikehendaki oleh rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, ketika ini pihaknya sedang mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung pelaksanaan skim berkenaan.

Sebelum ini katanya, skim tersebut ditamatkan setelah semua dana yang disediakan habis digunakan tetapi kerajaan sentiasa fleksibel dan akan menyelami hasrat rakyat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan mereka.

"Misalnya cadangan mewajibkan setiap kenderaan yang berusia 15 tahun ke atas menjalani pemeriksaan yang diutarakan sebelum ini, apabila rakyat membantah kita telah mengubah semula cadangan itu.

"Begitu juga dalam isu ini, walaupun tidak dapat membuat sebarang pengumuman ketika ini namun maklum balas mereka diperlukan bagi membolehkan kita mengambil tindakan susulan yang dirasakan wajar," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ibadah Korban dan Jamuan Mesra Rakyat di Rawang, Selangor.

- KOSMO!

Penduduk Malaysia ambil 26 sudu teh gula sehari

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa penduduk Malaysia adalah pengguna gula ‘tegar’ di Asia Tenggara dengan mengambil 26 sudu teh gula sehari.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, perkara itu amat serius kerana negara ini dilaporkan mempunyai jumlah pesakit diabetes ke-4 tertinggi di rantau Asia kerana jumlah pesakit kencing manis dijangka meningkat kepada 1.3 juta orang menjelang 2010 berbanding 800,000 pesakit pada 2007.

Katanya, kajian CAP turut mendapati 15 peratus rakyat tempatan yang berumur melebihi 30 tahun menghidap diabetes selain mengalami masalah obesiti dan darah tinggi akibat penggunaan gula secara berlebihan dalam kehidupan seharian.

“Pada 1970-an, rakyat negara ini mengambil 17 sudu teh gula sehari dan meningkat kepada 21 sudu teh pada 1980-an dan kini mencecah 26 sudu teh.

“Di negara ini, lebih 13,000 pesakit buah pinggang yang menghidap diabetes menjalani rawatan dialisis dan lebih mengejutkan enam kes baru strok dilaporkan berlaku setiap jam... kita juga difahamkan empat daripada lima pesakit kencing manis meninggal dunia akibat penyakit jantung.

“Orang ramai terutama mereka yang mengambil gula berlebihan dalam kehidupan seharian mereka perlu sedar bahawa ia (gula) boleh menyebabkan 60 jenis penyakit,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Subbarow berkata, laporan terbaru yang diterima kesatuan itu turut menunjukkan hampir 1,000 tin minuman berkarbonat diminum oleh rakyat negara ini setiap minit.

Beliau berkata, setiap tahun kira-kira tujuh juta orang menghidap diabetes dan penyakit itu dikatakan akan menular secara serius menjelang 2025 dengan sasaran 380 juta orang berbanding 246 juta ketika ini akan mengalami kencing manis.

Katanya, risau dengan penggunaan gula yang semakin meningkat di kalangan rakyat negara ini, CAP bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menganjurkan satu kempen berhubung bahaya gula di ibu negara, bulan depan.

“Kempen ini diadakan selama tiga hari bermula 1 Disember ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam di pusat beli-belah The Mall,” katanya.

Subbarow berkata, pada pameran itu, pengunjung berpeluang melihat lebih 150 sampel bahan makanan yang mengandungi kandungan gula amat tinggi selain diberi senaskhah buku panduan penjagaan kesihatan.

- BERITA HARIAN

Penduduk Switzerland sokong larang bina menara masjid


GENEVA: Penduduk Switzerland menyokong cadangan larangan pembinaan menara masjid dalam satu pungutan suara semalam, keputusan awal menunjukkan.

Keputusan awal ketika pengundian ditutup pada tengah hari menunjukkan penduduk Lucerne yang kebanyakannya bertutur bahasa Jerman menyokong cadangan itu, manakala penduduk Geneva dan Vaud yang bertutur bahasa Perancis menolaknya.

Stesen televisyen yang menyiarkan keputusan awal itu menganggap ia sebagai 'memeranjatkan.'

Pungutan suara itu dibuat berikutan Parti Rakyat Swiss yang berkempen sejak beberapa tahun lalu menentang pendatang asing, mengutip tanda tangan 100,000 pengundi layak dalam 18 bulan mendesak undian diadakan.

Keputusan yang memihak kepada larangan dibimbangi mencetuskan pemulauan barangan keluaran Switzerland dan tindak balas ganas dari negara Islam.

Tujuh ahli Kabinet diketuai kerajaan Swiss menyuarakan bantahan terhadap usaha terbabit.

Penduduk Islam setakat ini sekadar berdiam diri. Malah Masjid Geneva Khamis lalu menerima ancaman apabila seseorang melontarkan setin cat merah jambu pada pintu masuknya.

Awal bulan ini, sebuah kenderaan dengan pembesar suara dipandu masuk ketika azan berkumandang dan mereka turut merosakkan jubin dengan melontarkan batu ke arah bangunan berkenaan.

Pemimpin perniagaan berkata larangan terhadap pembinaan menara terbabit akan menjejaskan ekonomi Swiss, kerana ia akan menghalang penduduk Islam kaya yang mempunyai bank di Switzerland membeli barangan mewah negara itu dan melawat kawasan peranginan mereka.

Undian berkenaan meneruskan rasa bimbang terhadap masyarakat Islam di Eropah sejak beberapa tahun lalu membabitkan pemakaian tudung di Perancis hingga kebimbangan pembunuhan seorang penerbit filem oleh seorang fanatik Islam selepas satu dokumentari yang mengkritik agama itu diterbitkan di Belanda.

Menara masjid biasanya dibina bersebelahan masjid sebagai tempat seruan azan tetapi ia jarang digunakan di Switzerland.

- AP

Piagam Madinah model terbaik bina keharmonian

Oleh MOHD SHAHRIZAL NASIR

Kejayaan Rasulullah SAW membina sebuah negara Islam terdiri daripada masyarakat berbilang kaum serta kepercayaan membuktikan Islam, agama yang menitikberatkan soal perpaduan dan kesejahteraan.

Sejarah membuktikan sebuah negara Islam bukanlah bermaksud semua warganya memiliki pegangan agama yang satu. Titik persamaan dalam mencapai tuntutan hidup dijadikan asas pegangan kepada semua pihak untuk terus bersatu tanpa memikirkan perbezaan kepercayaan, fahaman, budaya dan asal keturunan.

Atas dasar untuk memenuhi keperluan dan tuntutan hidup, kita dibenarkan oleh syarak untuk bersatu dan bersepakat dengan masyarakat bukan Islam asalkan ia tidak menyentuh perkara membabitkan soal akidah.

Perlu difahami dengan jelas bahawa dalam soal akidah, tiada istilah tolak ansur menangani sebarang isu berkaitannya. Mengetepikan soal akidah serta bersikap sambil lewa mengenainya bermakna seseorang itu sudah tergelincir daripada landasan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." (Surah al-Kafirun, ayat 4-6)

Masyarakat Islam, Yahudi dan juga golongan Munafik yang mendiami bumi Madinah disatukan melalui piagam yang cukup penting dengan situasi dan keperluan mereka iaitu Piagam Madinah yang menghendaki setiap individu menjadikan keamanan dan kesejahteraan negara sebagai keutamaan.

Masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada tiga kaum utama Yahudi di Madinah iaitu bani Nadhir, Qainuqa' dan Quraizah diberi perlindungan serta kebenaran mengamalkan kepercayaan masing-masing selagi semua terima Piagam Madinah dituruti dan dipatuhi.

Kerangka sebuah negara Islam Madinah seharusnya dijadikan contoh ikutan kerana ia sangat praktikal untuk negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang agama, bangsa dan keturunan.

Setiap anggota masyarakat haruslah sentiasa menjadikan kestabilan dan keamanan negara sebagai satu keutamaan dalam kehidupan bermasyarakat. Keadaan inilah yang menjadi antara inti pati kandungan Piagam Madinah yang digariskan oleh Rasulullah SAW satu ketika dulu.

Mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai bangsa dalam konteks Malaysia ini, umat Islam tidak harus alpa terhadap keperluan untuk mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama saudara Islam yang ditunjangi oleh asas akidah Islamiah.

Sesungguhnya, pengukuhan ikatan persaudaraan sesama Islam berkait rapat dengan kebahagiaan hidup ukhrawi. Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Aku-lah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku." (Surah al-Mu'minun, ayat 52)

Tidak dapat dinafikan sikap tolong menolong dan bantu membantu antara satu sama lain adalah antara perkara yang boleh mengukuhkan perpaduan ummah. Allah menggesa umat Islam sentiasa mempraktikkan amalan mulia ini dalam kehidupan demi mencapai kebahagiaan hidup bermasyarakat.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Oleh itu, tanggungjawab umat Islam amat besar untuk membantu sesama umat Islam yang berada dalam keadaan memerlukan. Selain itu, umat Islam turut berperanan dan bertanggungjawab membantu mereka yang bukan Islam atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Barang siapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya." (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya tiada cara lain bagi mengeratkan tali persaudaraan dan perpaduan umat Islam selain daripada sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam, agama yang menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia serta akhira t.

Renungilah pepatah Melayu, 'bersatu teguh bercerai roboh', yang bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (agama Islam), dan jangan lah kamu berpecah-belah." (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Hanya dengan bersatu padu, umat Islam akan terus dipandang tinggi dan mulia. Sebaliknya jika umat Islam terus berbalah dan bersengketa, maka umat Islam akan menjadi lemah disebabkan fitnah yang tercetus, natijah daripada sikap dan tingkah laku umat Islam sendiri.

Persoalan yang perlu sama-sama kita muhasabah ialah sanggupkah kita mensia-siakan segala pengorbanan Rasulullah SAW untuk melihat Islam terus berkembang dan dipandang mulia. Marilah menjaga semangat persaudaraan supaya kesejahteraan terjamin dan keharmonian terpelihara.

- BERITA HARIAN

Kesusasteraan Inggeris galak pelajar berfikiran kritis, kreatif

Oleh JAMI'AH SHUKRI

Subjek Kesusasteraan Inggeris pernah dimasukkan dalam kurikulum mata pelajaran dan kini akan diperkenalkan semula di sekolah rendah dan menengah, mulai tahun depan sebagai usaha memantapkan penguasaan pelajar dalam bahasa berkenaan.

Keputusan itu sejajar pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Kepentingan memasukkan semula subjek dalam kurikulum pendidikan itu sebenarnya patut dibuat lebih awal lagi bagi memastikan penguasaan dalam bahasa dapat dimantapkan di kalangan pelajar.

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Sastera Inggeris, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Nor Faridah Abdul Manaf, berkata menerusi Sastera Inggeris ia dapat memantapkan lagi kemahiran berkomunikasi secara kritis dan kreatif selain dapat meluaskan pengetahuan mengenai tamadun dunia.

Katanya, di negara maju, perbezaan jelas dapat dilihat, iaitu pengetahuan sastera membolehkan pelajarnya berfikiran lebih matang dan terbuka kerana ia meliputi pelbagai aspek termasuk mengenai kemanusiaan dan emosi generasi muda.

Apa yang lebih menarik, menerusi subjek ini menggalakkan pelajar lebih banyak membaca bukan saja tertakluk kepada buku teks, malah akan menambah lebih banyak perbendaharaan kata, sekali gus mampu menjadi tingkap kepada budaya dan cara berfikir yang berbeza.

"Asas kekuatan dan kemahiran berfikir serta berkomunikasi boleh diintegrasikan menerusi amalan pembelajaran Sastera Inggeris kerana ia kaya dengan keindahan bahasa dan lebih spontan.

"PPSMI dianggap seperti dari 'planet asing' oleh sesetengah guru dan pelajar, berbanding Sastera Inggeris sebagai sesuatu yang guru bahasa Inggeris boleh pelajari kerana mereka sudah punya asas iaitu kemahiran bahasa itu sendiri," katanya.

Dr Faridah berkata, menerusi pembelajaran subjek itu, ia dapat menggalakkan pelajar menerokai seluas-luasnya dunia, selain mampu menambah aktiviti dalam kelas untuk menambah daya kreatif dan fikiran.

Katanya, untuk memastikan pembelajaran dan pengajaran tidak membosankan perlu juga kaedahnya dibuat secara praktikal dengan memastikan pembabitan pelajar di dalam pelbagai aktiviti.

Pelajar digalakkan bersuara dan menulis, berlakon atau berdrama secara berkumpulan di samping penggunaan bahan elektronik, muzik dan karya mereka atau interpretasi mengenai teks yang di baca dalam kelas.

"Saya percaya, dengan galakkan itu ia dapat menggalakkan berfikir secara kritis dan kreatif apabila membaca sesebuah karya. Program pengajaran yang berbentuk santai seperti bercerita, 'public speaking', 'choral speaking' dan drama, membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

"Guru pula perlu mempunyai lebih banyak idea bagaimana ingin menjadikan kelas mereka bertenaga. Guru berkongsi apa yang berkesan dalam pengajaran mereka," katanya.

Beliau berkata, peranan guru amat penting sebagai asas mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan. Umpamanya, guru boleh menggalakkan lebih banyak pergerakan dan aktiviti secara berkumpulan kerana ia mampu membentuk semangat daya saing di kalangan mereka.

Pengukuhan menguasai bahasa Inggeris, katanya, akan lebih meningkat apabila pelajar memasuki sekolah menengah. Pelajar itu dengan sendirinya akan lebih matang menghasilkan kerja yang lebih berfalsafah atau kritikal.

"Biasanya pelajar itu digalakkan menulis, berlakon, mengarah teks yang mereka guna umpamanya pementasan Phantom of the Opera atau apa saja teks Shakespeare. Mereka bebas menterjemahkan teks ini.

"Dalam pembelajaran sebegini, penekanan bukan saja kepada pemahaman teks, tetapi kemahiran menterjemahkan mengikut daya kritis atau kreatif, selain merangsang pelajar kerana terbabit sama dalam pembelajaran dan pengajaran tidak lagi satu hala. Anak Generasi Y lebih suka jika mereka juga terbabit dalam pembelajaran," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap supaya pengajaran subjek itu dilakukan oleh guru yang benar-benar terlatih dalam bidang berkaitan kerana ia sangat penting bagi memastikan pelajar tidak cepat bosan kerana teknik pengajaran tidak kena dan mendatar.

"Guru bahasa Inggeris sedia ada harus diberi latihan kaedah terkini pengajaran Sastera Inggeris. Kementerian boleh saja memanggil pakar atau pengamal dari bidang teater dan seni persembahan di samping membawa masuk penulis sedia ada di dalam negara seperti penulis novel cerpen dan puisi," katanya.

Apa yang perlu ialah memberi pendedahan yang lebih kepada guru berkenaan dan menyediakan platform lain seperti menghantar mereka ke seminar dan bengkel untuk berkongsi pengalaman masing-masing.

Beliau berpendapat, keupayaan guru bahasa Inggeris sedia ada mampu memenuhi aspirasi negara bagi memantapkan lagi penguasaan pelajar kerana guru berkenaan sudah mempelajari sastera inggeris dalam latihan perguruan mereka.

Ia sekali gus tidak akan menimbulkan sebarang 'kontroversi' dan memaksa guru tidak mahir bahasa Inggeris mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Katanya, universiti tempatan memang menawarkan subjek Sastera Inggeris, sebagai contoh, Jabatan Sastera di UIAM sudah lebih 10 tahun mengajar Sastera Inggeris dan mengeluarkan graduan yang berkhidmat di pelbagai bidang kerana daya komunikasi dan pemikiran kritikal atau kreatif mereka yang membantu mereka menjadi pemimpin dalam apa juga bidang diceburi.

- BERITA HARIAN

Apakah keistimewaan drama bersiri Nur Kasih

Oleh MANJA ISMAIL

Jika drama bersiri Melayu, apa lagi jika bukan bercorak seram, tahyul atau jenayah, dikatakan sukar menarik penonton televisyen, kejayaan Nur Kasih yang berakhir malam Jumaat lalu, membuktikan sebaliknya. Memang tiada siapa menyangka drama 26 siri yang mula ditayangkan di TV3 sejak 29 Mei lalu itu mendapat sambutan di luar dugaan.

Malah, Nur Kasih mencetuskan fenomena luar biasa apabila episod ke-25 Jumaat minggu lalu mencatat kadar penonton 3,908 juta (berusia empat tahun ke atas) atau 53.9 peratus daripada penonton televisyen pada waktu itu. Kadar penonton episod terakhir dijangka lebih tinggi, apa lagi ia disiarkan pada malam hari pertama Aidiladha.

Drama arahan Khabir Bhatia itu, dengan skrip ditulis oleh isterinya, Mira Mustaffa, juga menerima hampir sejuta klik pelayar internet menerusi laman web TV3 setiap kali ia disiarkan. Selepas beberapa episod ditayangkan, Nur Kasih menewaskan Buletin Utama dari segi rating mingguan program televisyen yang paling ramai ditonton.

Malah, siaran ulangan tanpa iklan selepas Maghrib pada setiap Selasa hingga Jumaat pun mampu menarik hampir dua juta penonton. Pada masa sama, Nur Kasih mendapat perhatian di mana saja, daripada diskusi melalui forum di laman web, radio, medium perantara seperti akhbar dan majalah hingga ke laman web sosial seperti Facebook, Twitter, MYSpace dan Yahoo Messenger.

Walaupun ada beberapa siri drama televisyen yang mendapat sambutan hangat sebelum ini seperti Jangan Pandang Belakang (RTM), Mentua Vs Menantu (Astro), Impak Maksima dan drama Indonesia, Bawang Putih Bawang Merah (TV3), ia tidak hangat diperkatakan seperti Nur Kasih.

Apakah istimewanya Nur Kasih sehingga beberapa bulan lalu menjadi bahan bualan di pejabat, kedai kopi, malah majlis sosial dan korporat? Seorang rakan yang pulang bercuti di Taiping, misalnya terkejut apabila ibunya mendapat panggilan telefon daripada rakan Cina mengingatkan jangan terlupa menonton Nur Kasih sejurus sebelum ia disiarkan.

Ramai remaja kelas menengah Melayu yang sebelum ini menganggap 'tidak cool' menonton drama Melayu, terpaku menghadap televisyen setiap malam Jumaat bersama keluarga untuk mengikuti Nur Kasih. Bagi yang ketinggalan beberapa siri awal, mereka rela menghabiskan berjam-jam menghadap komputer menonton siri itu menerusi laman web.

Hendak dikatakan pelakon menjadi tarikan, hampir semua watak utama Nur Kasih dilakonkan oleh pendatang baru, malah ada yang hanya baru dikenali melalui siri itu. Kecuali Datuk Jalaluddin Hassan dan Liza Othman serta beberapa pelakon pembantu, pelakon lain boleh dianggap baru berjinak dalam dunia lakonan.

Dari segi penerbitan pun, Nur Kasih turut dikesan mempunyai beberapa kecacatan, terutama dari segi kesinambungan pada pakaian pelakon. Malah, beberapa watak dalam drama bersiri itu terlalu ideal dan sukar dipercayai wujud dalam kehidupan biasa seperti watak penyabar Nur Amina sendiri atau kesediaan Aliya untuk menjadi 'madu' Nur Amina.

Justeru, apa sebenarnya tarikan Nur Kasih? Barangkali faktor kejayaan Nur Kasih terletak pada tema dan jalan ceritanya yang banyak menyentuh perasaan penonton, rata-ratanya orang Melayu. Jika minat orang Melayu terhadap filem Hindustan sejak dulu hingga sekarang kerana ia banyak memainkan perasaan penonton, Nur Kasih yang berkisar di sekitar cinta, kesetiaan dan pengorbanan tidak banyak berbeza.

Sama ada disengajakan atau sebaliknya, resipi sama dalam kebanyakan filem Bollywood menjadi rencah utama dalam Nur Kasih. Bahawa Khabir, yang kebetulan berasal dari India, cenderung memainkan perasaan penonton ala filem Hindi ini terbukti melalui beberapa filemnya sebelum ini. Beliau melakukan perkara sama dalam Nur Kasih sehingga ramai suri rumah menyediakan kotak tisu ketika menonton drama itu, terutama beberapa episod terakhir.

Walaupun Nur Kasih dibintangi ramai pendatang baru, secara umumnya lakonan mereka berbeza dengan apa yang sering ditonton dalam kebanyakan drama atau filem Melayu. Kemampuan mereka menyampaikan dialog secara bersahaja, ditambah dengan skrip yang baik, menarik penonton yang selama ini menganggap lakonan drama Melayu overacting.

Kelebihan Nur Kasih ialah walaupun ia berunsurkan dakwah, watak-wataknya tidak berkhutbah. Cara penerapan unsur agama dalam drama ini ternyata menarik minat penonton generasi muda. Walaupun sawah dan kampung menjadi lokasi utama, sinematografinya agak berbeza dengan drama lain yang menggunakan lokasi sama.

Khabir sendiri ketika ditemui terkejut dengan sambutan luar biasa terhadap Nur Kasih. "Terus terang saya katakan, tidak pernah terlintas melihat kejayaan drama ini dengan jumlah penonton yang tinggi. Mungkin kejayaan ini datang dengan jalan cerita tidak membebankan pemahaman penonton, selain fokus kepada keagamaan. Saya mencuba beberapa shot yang berlainan ketika menghasilkan drama dan saya percaya kejayaan ini tidak terhasil jika tiada kesinambungan melalui skrip, barisan pelakon berwibawa serta produksi yang tidak pernah mengenal penat lelah," katanya.

Jika filem Hindustan yang memaparkan kemewahan, kekayaan dan keriangan satu ketika dulu dikatakan menjadi escapism bagi majoriti rakyat India yang miskin, apakah sambutan hangat terhadap Nur Kasih ini juga berupa escapism masyarakat Melayu/Islam di negara ini yang sudah bosan dengan keruntuhan moral dalam setiap bidang kehidupan mereka sekarang?

- BERITA HARIAN

Rahsia Di Sebalik Gerak Laku

Kadang-kadang kita tidak menyangka bahawa perlakuan adakalanya mencerminkan sikap seseorang. Di sini disenaraikan gerak laku yang berkait dengan sikap.

1. Melindungi atau menutup mulut dengan tangan bila bercakap
- Tindakan ini membayangkan yang dia kemungkinan berdusta, memutarbelitkan perkara, ragu atau dia sendiri tidak yakin dengan perkara yang diucap atau cakapkan.

2. Berpeluk tubuh ketika bercakap
- Dia memperlihatkan satu sikap yang defensif. Dia tidak akan menerima apa-apa yang kita cakapkan. Tindakan ini juga mengambarkan yang dia sukar mengalah atau bersetuju dan bekerjasama dengan kita. Gerak laku yang demikian juga menunjukkan yang dia berbeza pendapat, serba salah atau kemungkinan tidak berpuas hati dengan kita.

3. Matanya tidak memberi tumpuan atau merayap ke sana dan ke mari
- Gerak laku sedemikian menunjukkan dia tidak berminat pada perkara yang kita ucapkan. Kalaulah kita baru berkenalan dengannya, maka perlakuan sebegini menunjukkan yang dia tidak benar-benar berminat pada diri kita.

4. Mata dan dahi berkerut-kerut
- Ini menandakan dia berminat dengan apa yang kita ucapkan tapi tidak percaya apa yang kita ceritakan padanya.

5. Mata berkelip lebih laju daripada biasa
- Gerak laku ini pula mengambarkan yang dia pendusta. Kata-katanya tidak boleh dipercayai.

6. Memandang tepat ke mata kita sewaktu kita bercakap
- Ini menunjukkan dia amat berminat dengan isi percakapan kita betul-betul menarik minatnya. Atau kiranya isi percakapan itu tidak menimbulkan minatnya, kemungkinan dia benar-benar berminat untuk berkenalan dengan kita secara lebih dekat.

7. Memandang kita, tetapi tidak pada mata (tetapi dia memandang hidung, dagu, dahi, atau leher kita) sewaktu kita bercakap
- Ini bermakna dia berminat, tetapi dia seorang pemalu. Perasaannya tidak selesa. Dia tidak relaks. Mungkin gemuruh.

8. Ketika kita bercakap dia bersandar ke belakang
- Dia bersikap negatif kapada kita. Dia kemungkinaa berasa bosan, menyampah ragu atau memandang rendah diri kita.

9. Mengiringkan badan ke kiri dan ke kanan sewaktu kita bercakap
- Ini memperlihatkan dia berasa ragu dan terancam dengan isi dan cara kita bercakap. Dia juga berada dalam keadaan resah dan fikirannya tegang.

10. Mencekak pinggang dan menarik-narik seluarnya ke atas
- Orang yang bersikap siap sedia. Orang sebegini selalunya mempunyai objektif dan cita-citanya jelas. Dia juga biasanya memiliki nafsu hidup yang tinggi dan didorong oleh hasrat untuk berjaya.

- HAZRIL

'Kami terhina' - Mualaf

Oleh MARY VICTORIA DASS
maryvictoria@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Disebabkan kedaifan hidup, sepasang suami isteri mualaf yang mempunyai 12 anak terpaksa bergantung pada sumber air parit dicemari sisa baja dan bangkai untuk kegunaan seharian, termasuk membancuh susu bayi mereka yang baru berusia sebulan.

Akibatnya, 14 beranak itu kini digelar ‘keluarga jijik’ oleh segelintir penduduk di sekitar penempatan setinggan Kampung Sungai Plentong di sini, semata-mata kerana mereka sanggup menggunakan sumber air kotor untuk kegunaan harian sejak lebih 16 tahun lalu.

Ketua keluarga berkenaan, Mohamad Jeeva Abdullah, 43, berkata meskipun menyedari penggunaan air parit boleh memudaratkan kesihatan dirinya dan anak-anak, keluarganya tidak mempunyai pilihan kerana tidak berkemampuan mendapatkan bekalan air bersih dari luar.

Menurutnya, penduduk lain berkeupayaan mendapatkan air bersih bagi kegunaan seharian biarpun kampung berkenaan tidak disalurkan bekalan air bersih oleh pihak berkuasa, sedangkan keluarganya bergantung pada air parit berhampiran termasuk untuk mandi, mencuci pakaian, memasak serta minuman.

“Kami digelar keluarga jijik oleh penduduk kampung dengan alasan kami minum air kotor dan berbau busuk. Namun, bagi saya dan isteri, Salmah Abdullah, 40, serta anak-anak, kami lali dengan keadaan ini kerana hanya air parit dan air hujan saja boleh diperoleh secara percuma.

“Sebelum ini kami menggunakan air perigi, tetapi kini airnya berkeladak dan mengeluarkan bau busuk sehingga tidak boleh digunakan.

“Kebiasaannya kami akan memasak dulu air diambil dari parit kerana warnanya agak keruh dan kadangkala tercemar sehingga mengakibatkan anak-anak mudah mengalami alahan selain demam dan cirit-birit.

“Apa yang mengecewakan, biarpun rata-rata penduduk di perkampungan setinggan ini menyedari keluarga saya bergantung pada bekalan air berkenaan, mereka sanggup membuang sisa baja mahupun bangkai haiwan ke dalam parit,” katanya.

Mohamad Jeeva memeluk Islam sembilan tahun lalu manakala hati Salmah terbuka untuk menerima agama Islam pada Oktober lalu.

Menyingkap sejarah hidupnya memeluk Islam, Jeeva berkata, dia ingin mencari kebenaran dan petunjuk dalam hidupnya.

Menurutnya, dia dan isterinya tabah menghadapi pelbagai dugaan termasuk bagi menyara kehidupan 12 cahaya mata termasuk anak ketiga mengalami masalah lembam.

“Isteri saya juga terpaksa membanting tulang bagi menambah pendapatan keluarga dengan menjadi buruh kontrak mengecat bangunan biarpun dia masih dalam pantang kerana pendapatan bersih saya RM200 yang diperoleh hasil bekerja sebagai buruh ladang tidak mencukupi.

“Manakala bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan hanya mampu menampung perbelanjaan dapur selain persekolahan anak,” katanya ketika menerima kunjungan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Pasir Gudang, kelmarin.

Hadir menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada keluarga itu, Bendahari Umno bahagian Pasir Gudang, Rosli Mohamad dan Pengerusi Biro Kebajikan Pemuda bahagian itu, Mohd Khalimi Mohd Lia Khad Ali.

Pasangan berkenaan dikurniakan tujuh anak perempuan dan lima lelaki termasuk Raju, 16, Shalini, 11, Sarla, 11, Sakti, 9, Visali, 9, Tavita, 8, Roja, 7, Deevankumar, 6, Uganindran, 4, Priya, 2, Selvakumar, berusia setahun dan Arvind, bayi berusia sebulan.

Akibat kesempitan hidup, Jeeva berkata, dua daripada cahaya matanya terpaksa menumpang di kediaman saudara-mara bagi memudahkan mereka ke sekolah memandangkan dia tidak dapat menghantar mereka kerana tidak berkemampuan memperbaharui cukai jalan dan insurans motosikalnya.

“Sudah lebih empat tahun saya dan isteri tidak membelikan baju baru pada anak dan mereka masih memakai baju terpakai yang disumbangkan kenalan mahupun baju kakak dan abang mereka,” katanya.

Sementara itu, Salmah berkata, dia yang memeluk Islam sehari sebelum melahirkan anak bongsunya juga berhajat mengislamkan semua anaknya dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, katanya dia sekeluarga menghadapi kesulitan hendak ke pejabat agama di pusat bandar raya bagi menyelesaikan urusan kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk tambang pengangkutan awam ke sana.

“Saya boleh mengucap kalimah syahadah dan begitu juga dengan anak-anak yang tidak sabar menjalani kehidupan sebagai umat Islam.

“Kami berharap pihak berkuasa menyediakan bimbingan dan panduan agama selain sayangi kami sebagai saudara Islam.

“Kami berharap mampu menjalani kehidupan yang lebih bermakna pada tahun depan di mana anak-anak turut menunjukkan minat bagi mengikuti kelas Fardu Ain secepat mungkin,” katanya sambil menunjukkan sijil perakuan Islamnya yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam negeri.

- HARIAN METRO