Rabu, Disember 02, 2009

Juruterbang MiG-29 TUDM sedih perkhidmatan pesawat bakal berakhir


Tiga juruterbang MiG-29 (dari kiri), Ahmad Khusairi, Patricia Yapp dan Sebastian A. William ketika menjayakan pertunjukan udara sempena LIMA 2009 di Langkawi

Selepas 10 tahun mengendalikan pesawat pejuang pemintas MiG-29, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Sebastian A. William tidak dapat menyembunyikan kesedihannya berikutan penamatan perkhidmatan jet itu mulai tahun depan.

Selepas menghabiskan masa 1,200 jam menerbangkan pesawat MiG-29 katanya, 'burung besi' itu seperti sudah amat sebati dengan dirinya.

''Memang ada rasa sedih tetapi sebarang dasar kerajaan bukan di tangan saya.

''Semua pihak perlu faham jika kerajaan mahu terus menggunakan MiG, ia melibatkan pelaburan yang besar untuk kerja-kerja penambahbaikan pada sistem pesawat itu," katanya.

Beliau yang juga Pegawai Pelaksana No. 17 Skuadron berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas sesi pertunjukan udara pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di sini hari ini.

Turut mengambil bahagian ialah dua lagi juruterbang pesawat itu, Mejar Ahmad Khusairi Ahmad Fadli dan Mejar Patricia Yapp yang merupakan juruterbang MiG wanita pertama di Asia.

Sementara itu, Patricia yang juga juruterbang wanita pertama negara yang melakukan persembahan aerobatik dalam siri LIMA memberitahu, beliau mula merindui pesawat tersebut sejak menerima berita pemberhentian perkhidmatan MiG-29.

''Berita itu juga membuatkan saya semakin menyayanginya walaupun sehingga kini masih menerbangkan MiG," ujarnya.

Beliau yang menyertai skuadron itu sejak tiga tahun lalu telah mencatatkan sebanyak 500 jam penerbangan bersama MiG-29.

Dalam pada itu, Ahmad Khusairi berkata, pesawat berkenaan mempunyai jasa yang besar kepada TUDM sejak memasuki perkhidmatan itu pada 1995.

''Ia telah memberikan perlindungan udara kepada negara selama ini dan sudah tentu perkhidmatannya amat dihargai," jelasnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat baru-baru ini mengumumkan perkhidmatan MiG-29 yang akan diberhentikan pada tahun depan.

- UTUSAN

Cerita di sebalik tabir BTN


Oleh HAZLAN ZAKARIA

'Kami ditunjukkan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama seorang rakyat Amerika. Jurulatih memberitahu kami yang beliau seorang pengkhianat kepada negara kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dengan orang Amerika'.

Itulah antara isu-isu yang dibangkitkan sewaktu program pembinaan negara dijalankan oleh Biro Tatanegara (BTN), yang pernah diikuti seorang pelajar tahun empat jurusan ekonomi, Fakhrul Zaki Fazial.

Fakhrul yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, fokus kursus tersebut adalah mengenai bangsa Melayu.

"Mereka (jurulatih) juga mengkritik pembangkang dan menganggap kritikan mereka sebagai patriotik," tambahnya.

Ketua pelajar Universiti Malaya, Mohd Ridzuan Mohammad, yang pernah menghadiri program BTN pada 2004 berkata, malah terdapat ceramah yang mendakwa bahawa kaum lain menjadi ancaman kepada orang Melayu.

Menurutnya, BTN tidak seharusnya membangkitkan sentiman perkauman yang akan mencetuskan perpecahan kaum.

Katanya, ini kerana program tersebut boleh mempengaruhi sesetengah pelajar yang hadir berhubung ideologi perkauman tersebut.


Chin Shin Liang, seorang bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah menghadiri program BTN pada Disember 2008, turut berkongsi pengalamannya.

"Kami ditunjukkan klip video perhimpunan Bersih dan kemudian gambar negara Palestin yang dilanda perang dengan keterangannya: Apakah ini yang kita mahukan?... Kita juga ditunjukkan seorang pemprotes (tidak dikenalpasti) membaling batu," katanya.

Sambil menyifatkannya sebagai "amat berat sebelah", Chin berkata: "Ia tidak menyatakan siapa pembaling batu itu, (dia) mungkin seorang Mat Rempit yang mahu berseronok atau polis yang melakukan provokasi terhadap pemprotes dengan menggunakan meriam air."

Katanya, jurulatih juga mengajar bahawa kerajaan BN dipilih oleh rakyat dan oleh itu ia merupakan kerajaan yang sah, tetapi tidak berusaha untuk membezakan parti politik dan kerajaan.

"Ini jelas mengelirukan kerana ia menjadi peraturan bahawa agensi-agensi kerajaan harus bersikap berkecuali dan berkhidmat sepenuhnya kepada negara (bukan hanya parti/gabungan tertentu)," katanya.

Ianya seolah-olah menyatakan bahawa kerajaan BN 'mewakili' negara ini dan harus ditaati tanpa dipersoalkan, katanya.

Sementara itu, Fakhrul menyuarakan keraguannya mengenai pemilihan jurulatih BTN.

"Saya fikir sesetengah jurulatih tidak layak kerana mereka begitu beremosi dan tidak intelektual dalam ceramah mereka.

"Jika pelajar tidak bersetuju dengan pandangan jurulatih, mereka akan memarahinya di depan semua orang," katanya.

Sementara itu, sesetengah pihak merasakan bahawa kursus BTN telah dikecam secara tidak adil.

Semalam, satu kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai 'bekas peserta kursus BTN' mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur untuk menyatakan pandangan mereka.

Ketuanya, Ahmad Shafei berkata mereka berasakan ia menjadi tanggungjawab sosial mereka untuk memperbetulkan pandangan berat sebelah terhadap kursus BTN.

Beliau menafikan bahawa modul BTN menyemai kebencian terhadap kaum lain, tetapi menurutnya, BTN mengajar peserta saling menghormati hak kaum lain seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Oleh itu, katanya, adalah tidak adil untuk menyatakan bahawa BTN cuba mewujudkan perpecahan, sedangkan ia hanya mengajar mengenai sejarah rasmi negara ini.

- MALAYSIAKINI

Ketika media pro-BN lumpuh

Oleh AMIN ISKANDAR

Pada 20 November lalu, genaplah 10 tahun usia Malaysiakini, antara laman web alternatif yang tertua di Malaysia. Gerakan Reformasi 1998 yang menyaksikan kebangkitan rakyat pelbagai bangsa dan agama pula antara faktor pendesak yang menyebabkan tertubuhnya portal berita popular ini.

Selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada kabinet Dr Mahathir Mohamad, internet telah menjadi medan untuk melawan propaganda pemerintah yang didukung oleh media arus perdana.

Pada ketika itu lahirlah laman-laman web seperti Anwar Online, Laman Reformasi, Mahazalim, Mahafiraun, Laman Marhaean dan, pada penghujung 1999, Malaysiakini.

Perbezaan ketara antara Malaysiakini dan laman-laman web tersebut, hanya portal berita itu yang benar-benar independen sedangkan laman web lain menyiarkan apa-apa sahaja meklumat untuk "menghentam" pemerintah.

Penguasaan regim Dr Mahathir terhadap media arus perdana telah menyebabkan rakyat dahagakan sumber maklumat alternatif, tambahan pula media arus perdana seringkali "menggelapkan" berita-berita mengenai penentangan terhadap regim Dr Mahathir.

Pada ketika itu, akhbar parti pembangkang seperti Harakah dan akhbar independen seperti Eksklusif memainkan peranan besar yang mendorong perubahan trend pengundian orang Melayu untuk menyokong Barisan Alternatif.

Perubahan ini menyebabkan regim Dr Mahathir memulakan tindakan "ganas" terhadap media yang menentangnya pada 2000 apabila Harakah dihadkan pengeluarannya kepada dua kali sebulan (daripada lapan kali). Mingguan Eksklusif pula ditamatkan permitnya bersama majalah Detik.

Selepas akhbar-akhbar lain digodam, hanya tinggal Malaysiakini untuk memberikan laporan berita yang bebas dan berimbang.

Tahun-tahun awal kewujudan Malaysiakini, saya masih lagi seorang mahasiswa yang turut terlibat dengan aktivisme pelajar melalui Universiti Bangsar Utama (UBU), wadah mahasiswa dan anak muda untuk melakukan kerja-kerja amal seperti "tuisyen percuma" dan juga medan mendiskusikan idea dan isu semasa.

UBU turut terlibat dengan gerakan mahasiswa pada ketika itu dan bersama-sama menubuhkan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) pada 2001.

GMMI ditubuhkan oleh beberapa organisasi mahasiswa seperti Gamis, Dema, Karisma, JKMI dan beberapa kumpulan mahasiswa untuk membantah tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap aktivis Gerakan Reformasi dan pemimpin parti pembangkang.

Kemuncak aktiviti GMMI adalah menganjurkan demonstrasi pada 8 Jun 2001 di Masjid Negara yang berakhir dengan keganasan polis. Demonstrasi tersebut menyebabkan tujuh orang mahasiswa ditahan dan dibuang dari kampus selepas itu.

Malaysiakini antara media yang memberikan laporan meluas terhadap demonstrasi tersebut dan membuat susulan kes penangkapan mahasiswa sehinggalah perbicaraannya selesai pada pertengahan tahun ini.

Kebangkitan mahasiswa pada 2001 menyebabkan regim Dr Mahathir memulakan tindakan ganas mereka terhadap mahasiswa. ISA digunakan untuk menahan Mohd Fuad Ikhwan daripada Gamis dan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dari UBU.

Apabila Khairul Anuar ditahan, pejabat UBU digeledah dan banyak barang-barang seperti gambar, poster dan buku turut dirampas. Tanpa Malaysiakini, tidak mungkin maklumat mengenai penahanan aktivis UBU akan diketahui oleh masyarakat umum.

Dr Mahathir gali 'lubang kubur'

Faktor penting yang membolehkan BN memerintah Malaysia lebih daripada 50 tahun, antaranya, kerana selama ini mereka memonopoli maklumat dan berita.

Sebelum internet, rakyat Malaysia hanya menerima maklumat dari satu sumber sahaja, yakni media arus perdana.

Media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times, The Star, RTM dan TV3 memainkan peranan sebagai jentera propaganda pemerintah. Penentang-penentang regim Dr Mahathir akan "dibelasah" melalui media ini.

Dr Mahathir ibarat menggali "lubang kubur" BN apabila menggesa rakyat cintakan teknologi maklumat (IT). Jika kita masih ingat, kempen Cinta IT ini begitu hebat sehinggalah penyanyi popular Siti Nurhaliza turut menyampaikan sebuah lagu Cinta IT yang seringkali dimainkan di TV dan radio.

Apabila internet menjadi popular di kalangan rakyat, perlahan-lahan hegemoni maklumat BN diruntuhkan. Rakyat sudah boleh mendapatkan maklumat pihak-pihak selain BN melalui laman-laman web alternatif seperti Malaysiakini.

Perkembangan media alternatif melahirkan sebahagian besar rakyat Malaysia yang bergantung dan lebih percaya kepada laman-laman web alternatif berbanding media arus perdana. Ia dapat dibuktikan apabila berlakunya sesuatu peristiwa besar, laman-laman web alternatif terpaksa menampung pembaca yang begitu ramai.

Kelumpuhan BN dalam memonopoli maklumat menyebabkan berlakunya gejala yang digelar "tsunami politik" pada 8 Mac 2008. Keberkesanan internet terbukti apabila BN kalah di hampir kesemua kawasan bandar di Semenanjung Malaysia dan hanya bergantung kepada undi penduduk luar bandar.

Jika tiada bantuan kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak, sudah pasti BN akan turut terkubur dalam pilihan raya umum lalu.

Cabaran baru Malaysiakini

Perkembangan teknologi maklumat telah menyebabkan lahirnya banyak medium baru di internet untuk menyampaikan maklumat seperti blog, Facebook dan Twitter.

Medium baru ini lebih mudah dan mesra untuk digunakan. Jika dahulu, pemerintah Malaysia hanya berhadapan dengan laman web, kini mereka terpaksa juga berlawan dengan blog, Facebook dan Twitter.

Ramai juga pemimpin BN yang terpaksa membuka blog, Facebook dan Twitter masing-masing untuk turut serta dalam “perang gerilla siber” yang begitu hebat di Malaysia.

Perkembangan teknologi ini turut memberikan cabaran baru kepada Malaysiakini. Teknologi-teknologi ini perlu turut digunakan oleh akhbar web itu untuk terus memainkan peranan sebagai penyampai maklumat.

Selagi Malaysiakini memainkan peranan sebagai media independen dan terus-menerus memberikan laporan yang bebas dan seimbang, ia akan terus hidup dan disokong oleh rakyat.

Tambahan lagi ketika Malaysia dikatakan menuju ke arah sistem dua parti - apabila BN mempunyai pesaing dalam politik iaitu Pakatan Rakyat. Cabaran pada masa akan datang pasti semakin hebat.

Persaingan politik yang hebat di antara BN dan Pakatan menjadikan peranan Malaysiakini semakin besar – ia harus terus memainkan peranan sebagai media independen tanpa memihak kepada mana-mana parti politik untuk terus dipercayai oleh rakyat.

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-10 kepada semua warga Malaysikini. Semoga perjuangan kalian sebagai media bebas akan berterusan.

Perjuangan ini tidak akan sia-sia. Hasilnya boleh dilihat hari ini apabila warga Malaysia menjadi lebih cerdik dan bijak politik berbanding pada waktu maklumat hanya dimonopoli oleh satu pihak.

- MALAYSIAKINI

Elak tangguh kerja

Oleh MASLINDA SHERLIZA MA'ARIS

Kewibawaan sesebuah organisasi bergantung kepada prestasi setiap warga kerja di bawahnya. Andai setiap warga kerja itu cekap, amanah dan berdisiplin maka tidak timbul masalah ada kerja yang tidak sempat disiapkan atau timbunan kerja yang masih lagi memerlukan penelitian.

Persoalan yang sering menghantui sesebuah organisasi adalah kerja yang gagal disiapkan, padahal tempoh yang diberi lazimnya berpatutan.

Apabila diselidiki, ramai yang menyatakan masa tidak cukup untuk melaksanakan sesuatu tugas yang diberikan. Semua ini adalah alasan yang biasa didengar oleh pihak pengurusan apabila sesuatu tugas tidak dapat dilaksanakan oleh warga kerjanya.

Punca masalah ini yang semakin hari semakin berleluasa adalah amalan menangguh kerja yang sering diamalkan oleh pekerja.

Pada mereka mungkin terlalu banyak kerja yang hendak disiapkan hingga tidak dapat mengenalpasti kepentingan sesuatu kerja tersebut kerana setiap tugasan yang diberi mempunyai tarikh tamat yang tersendiri.

Bagi mereka kerja yang lambat lagi perlu dihantar akan dibuat kemudian atau kadangkala lupa terus untuk dibuat.

Mereka akan memfokus menyiapkan kerja yang tarikh tamat hampir tiba terlebih dahulu. Sikap inilah yang menjadi punca utama kepada kegagalan sesebuah organisasi melaksanakan amanah dengan cemerlang.

Bertangguh bermakna kita dengan sengaja melambat atau tidak menyiapkan sesuatu kerja, aktiviti atau tugasan yang diamanahkan atas pelbagai alasan.

Sikap suka bertangguh ini ibarat virus atau barah yang senang membejati setiap pekerja dalam sesebuah organisasi. Cuba kita renungkan, berapa ramaikah pekerja yang akan membuat To Do List setiap hari apabila datang ke pejabat.

Pada kebiasaannya memang tidak ramai kerana pekerja yang mementingkan senarai itu adalah pekerja yang berdisiplin sahaja.

Umpamanya seorang setiausaha yang cekap, yang bertanggungjawab menjaga perihal ketua masing-masing dan perlu membuat kerja secara sistematik serta efisien.

Setiap setiausaha itu wajar membuat senarai kerja setiap hari kerana kelancaran urusan kerja bagi ketua mereka bergantung kepada kecekapan mereka.

Oleh itu, setiausaha yang tidak membuat kerja secara tersusun dan teratur akan dapat dilihat berdasarkan kepincangan di dalam urusan seharian.

Contohnya, pertindihan temujanji dengan klien atau ketua mereka tidak dapat menghadiri mesyuarat kerana tidak dimaklumkan sebelum tiba harinya.

Ini adalah masalah yang selalu terjadi akibat sikap setiausaha yang menganggap setiap tugasan yang diterima itu sama sahaja.

Selain itu, sikap bertangguh ini bukan sahaja disebabkan alasan yang tidak munasabah bahkan juga dijadikan amalan oleh pekerja masa kini.

Kadang-kadang sikap bertangguh itu terjadi kerana kita mengambil masa yang terlalu lama menguruskan hal peribadi sendiri tanpa memikirkan ada kerja yang menunggu dan perlu disiapkan.

Hal-hal yang tidak berkaitan dengan kerja selalu dijadikan keutamaan hingga menjejaskan kerja hakiki di pejabat. Setiap hari kerja kita akan diganggu oleh pelbagai kerenah manusia yang akan melambatkan kita menyelesaikan kerja yang telah dirancang seperti membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) peribadi. Menjawab telefon terlalu lama, kerap ke tandas, lebih suka berborak dari melakukan kerja yang diamanahkan, mengambil masa yang lama ketika rehat makan tengahari dan sebagainya.

Pelbagai alasan akan dicari atau direka sekiranya kerja yang perlu disiapkan itu tergendala.

Kenapa wujudnya sikap bertangguh?

Di antara faktor yang menyebabkan wujudnya sikap bertangguh ini adalah seperti berikut:

1. Pengurusan - Sistem pengurusan yang lemah termasuk dari segi pengurusan diri, masa, sumber dan tenaga.

2. Kesempurnaan - Pekerja mempunyai sikap kesempurnaan yang tinggi di dalam melaksanakan sesuatu kerja yang diberi.

Sikap ini sememangnya elok diamalkan tetapi sekiranya ia terlalu mementingkan kesempurnaan ia akan dikategorikan sebagai cerewet.

Oleh itu, sekiranya pekerja mengamalkan sikap yang demikian, maka sebenarnya tiada kerja yang dapat dilaksanakan.

3. Sikap sambil lewa - Pekerja mempunyai sikap yang tidak mengambil berat mengenai sesuatu tugasan yang diberi.

Mereka tidak menumpukan sepenuh perhatian dan gagal memberikan maklumat serta data yang diperlukan dalam menyiapkan tugasan.

Apabila kita bersikap sambil lewa atau ambil mudah maka tiada komitmen serta disiplin yang lemah terhadap diri kita dan tugas-tugas yang diserahkan segalanya pasti akan tertangguh.

4. Masalah fizikal - Pekerja yang mempunyai masalah kesihatan yang tidak mengizinkan mereka bergerak terlalu banyak dan pantas akan menyebabkan banyak kerja tertangguh.

Ini akan menyebabkan penurunan produktiviti kerja.

Strategi

Antara lain terdapat beberapa strategi yang telah dikenal pasti untuk mengatasi masalah ini seperti berikut:

1. Menetapkan matlamat bagi tempoh pencapaian kerja anda.

Pekerja hendaklah menetapkan tempoh untuk mencapai sesuatu matlamat kerja. Kaji tahap atau kedudukan pekerja sekarang berbanding dengan apa yang pekerja inginkan.

Kira dan tentukan berapa banyak masa yang diperlukan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

2. Merancang tugasan harian ketika di pejabat. Pekerja haruslah merancang tugasan harian di pejabat dengan membuat senarai tugas atau To Do List.

Pekara ini perlu dilakukan setiap hari sebelum balik dan sewaktu tiba di pejabat ketika awal pagi bagi memastikan penyusunan kerja yang penting diutamakan dan didahulukan.

Dengan membuat senarai tugasan mengikut prioriti yang perlu diuruskan, pekerja akan dapat mengenal pasti sekiranya ada tugasan yang tertunggak dan tidak dapat diselesaikan semalam akan diuruskan pada keesokan hari.

Perancangan

Pekerja juga boleh mengklasifikasikan kerja yang mana patut diutamakan dahulu dan kerja yang akan dibuat kemudian. Perancangan ini juga akan memberi gambaran kepada pekerja berapa banyak bebanan tugas yang harus diselesaikan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

3. Mencari kaedah bagi mengingatkan pekerja. Untuk melakukan tugasan seperti mencatat dalam diari atau digital organizer, memakai palmtop, memasukkan maklumat kerja di dalam telefon atau menulisnya di kalendar meja dengan memasukkan maklumat bila tugasan tersebut perlu disiapkan.

4. Mengenal pasti tugasan mana yang lebih penting untuk mencapai matlamat sesuatu program atau aktiviti. Ia boleh dilakukan dengan menulis kelebihan dan kekurangan kenapa pekerja harus atau tidak melakukan kerja yang disenaraikan terlebih dahulu.

Proses ini mampu membantu untuk menyenarai pendek kerja-kerja yang tidak harus ada dalam senarai utama. Pekerja mesti membuat kerja yang harus dibuat dahulu bukan kerja apa yang hendak dibuat.

5. Menetapkan masa untuk menyiapkan tugasan setiap hari. Pekerja mesti mengenal pasti berapa lama masa yang akan diambil untuk menyiapkan tugasan pada hari itu dan berapa lama masa rehat yang mereka akan ambil.

Sebagai contoh, seorang pekerja akan membuat tugasan selama 40 minit dan kemudian mengambil masa 10 minit untuk berehat. Pekerja harus memastikan yang mereka mengikut masa yang ditetapkan untuk mencapai matlamat kerja.

Ia mungkin akan menyusahkan pekerja di awal pelaksanaan tetapi dalam jangka masa panjang mereka akan dapat menyesuaikan diri bilamana ia berjaya ditabiatkan.

6. Memastikan semua benda tersusun. Setiap pekerja haruslah memastikan semua benda di atas meja dan kawasan kerja mereka tersusun supaya memudahkan mereka untuk mencari dokumen dan ia akan menjimatkan masa.

7. Pengagihan kerja. Setiap pekerja haruslah memastikan bahawa sekiranya terdapat kerja yang terlalu banyak dan harus disiapkan dalam masa terdekat ia perlu diagihkan mengikut tugasan yang bersesuaian dengan tenaga dan masa yang diperuntukkan.

Sekiranya terlalu banyak kerja yang diminta kita buat, agih-agihkan tugas kepada bahagian yang lebih kecil.

Jika menghadapi kesukaran, dapatkan seseorang yang boleh membantu serta mahir dalam bidang tersebut.

8. Pekerja wajar memastikan diri mereka sentiasa siap siaga. Berada di dalam keadaan yang fokus untuk membuat tugasan setiap hari.

9. Menghadapi segala gangguan dengan berkesan. Pekerja hendaklah menetapkan masa bila mereka ingin melakukan sesuatu tugasan penting tanpa diganggu oleh keadaan sekeliling.

Sebagai contoh, pekerja boleh mencari tempat yang minimum gangguan untuk membuat tugasan yang memerlukan penumpuan yang khusus.

10. Menukar cara pemikiran kita (Anjakan Paradigma Minda). Setiap pekerja haruslah menukar cara pemikiran mereka dengan menyerapkan sifat-sifat positif dalam menjalankan amanah yang dipikul dengan penuh tanggungjawab bagi memajukan diri dan organisasi ke mercu kejayaan.

11. Memberi ganjaran terhadap diri. Pekerja boleh menetapkan ganjaran yang bersesuaian untuk diri sendiri apabila dapat menyelesaikan tugasan dalam masa yang ditetapkan.

Justeru, tabiat menangguhkan kerja adalah amalan yang tidak sihat dan ia ditegah oleh Islam itu sendiri.

Berbanggalah dengan tugasan yang kita laksanakan seharian walau sekecil manapun kerja yang kita lakukan.

Insya-Allah, jika disertai nawaitu atau niat yang ikhlas dan menjalankan tugas adalah sebagai fardu kifayah, kita akan diganjari pahala di dunia dan akhirat.

Hidup kita akan bertambah barakah dan seterusnya organisasi serta agama kita akan maju atau berjaya menggapai mercu keterbilangan sewajarnya.

Ayuhlah kita realisasikan: '1 Syiar, 1 Qiblat dan 1 Agama'.

Pembiayaan perumahan secara Islam

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Memiliki kediaman sendiri adalah sesuatu yang diidamkan oleh semua. Keputusan untuk membeli rumah adalah sangat signifikan dan merupakan satu langkah besar dalam kehidupan seseorang. Ia bukan hanya memerlukan komitmen kewangan yang tinggi malah membeli rumah adalah satu pelaburan jangka panjang yang besar faedahnya.

Dalam merancang pembelian rumah banyak elemen yang perlu diambil kira, di antaranya; struktur isi rumah, tarikh pembelian, deposit dan pendahuluan, tempoh pinjaman dan pembayaran balik serta jumlah ansuran bulanan. Pengiraan secara teliti harus dilakukan agar tidak mempengaruhi perancangan perbelanjaan yang lain.

Hari ini membeli rumah melibatkan kos yang besar. Boleh dikatakan majoriti pembeli memilih mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan untuk membiayai pembelian rumah mereka. Maka di sinilah, pembeli khususnya pembeli Muslim perlu membuat keputusan yang tepat dengan memilih institusi kewangan Islam. Ini kerana menerusi institusi kewangan Islam, urus niaga kewangan mereka bebas daripada riba, atau faedah.

Aspek lain yang penting diambil perhatian oleh pembeli dalam pembelian rumah adalah perlindungan takaful/insurans.

Ini kerana takaful/insurans menyediakan perlindungan kewangan dan juga kepada ahli keluarga. Apabila memohon pinjaman perumahan, pembeli perlu mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sebagai peminjam serta institusi perbankan kerana pembeli akan berurusan dengan institusi perbankan di dalam tempoh yang panjang.

Dengan memahami serba sedikit tentang pengetahuan asas, hak dan tanggungjawab di dalam pembelian sesebuah rumah, pembeli dapat mengurangkan masalah berbangkit di kemudian hari.

Syariah dan kompetitif

Alhamdulillah, institusi kewangan Islam di negara ini mampu menyediakan kaedah pembiayaan pemilikan rumah yang mematuhi syariah dan kompetitif. Di antara kaedah yang popular ialah Bai Bithaman Ajil (BBA) dan kontrak perkongsian Musyarakah Mutanaqisah (MM).

Kaedah BBA adalah kaedah yang mula-mula digunakan dalam pembiayaan perumahan secara Islam oleh institusi kewangan Islam di Malaysia, pada masa itu Bank Islam Malaysia Berhad. Kaedah ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia. Kaedah ini merujuk kepada jualan barangan di mana penjual membayar kepada pembeli harga jualan secara tangguh berserta dengan suatu margin keuntungan yang dipersetujui, sama ada secara sekali gus atau secara ansuran.

Zaharuddin Abd. Rahman di dalam artikelnya, Pembiayaan Perumahan Secara Islam Semakin Inovatif menyebut bahawa konsep ini sangat popular di Malaysia dan sehingga Disember 2005, konsep BBA digunakan sebanyak 52.9 peratus dalam penerbitan Bon Islam (Sukuk) berbanding konsep-konsep lain.

Sepanjang tahun 2005 juga konsep ini digunakan sekitar 41 peratus pula di dalam produk pembiayaan kewangan pelanggan.

Mekanisme operasi BBA ialah pembeli memilih suatu aset yang ingin dibeli, kemudian pembeli mendapatkan pembiayaan BBA daripada bank dan berjanji akan membeli aset tersebut pada harga jualan. Pihak bank akan membeli aset tersebut daripada pemilik secara tunai dan aset tersebut telah menjadi hak milik pihak bank.

Selepas itu pihak bank akan menjual aset berkenaan kepada pembeli berdasarkan harga jualan yang telah termasuk keuntungan yang telah dipersetujui. Hak milik aset tersebut berpindah kepada pembeli dan pihak pembeli akan membayar harga jualan kepada bank secara ansuran di dalam tempoh yang telah dipersetujui.

Pelanggan A ingin membeli rumah berharga RM200,000. Kebiasaannya pelanggan akan membayar 10 peratus iaitu RM20,000 sebagai deposit kepada pemaju. Pelanggan A akan menandatangani perjanjian Sale and Purchase (S&P Agreement) dengan pihak pemaju dan kemudian akan mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank.

Jika Pelanggan A layak membuat pembiayaan maka pihak bank bersetuju membeli rumah itu daripada pelanggan tadi dengan harga RM180,000 setelah ditolak 10 peratus deposit yang telah dibayar tunai oleh Pelanggan A.

Maka rumah tadi telah bertukar hak milik kepada pihak bank setelah semua proses pemilikan ke atas rumah itu telah diselesaikan. Pihak bank akan menjualkan rumah (yang telah dibelinya tadi) itu kepada pelanggan yang sama dengan harga baru disebut sebagai harga jualan iaitu RM350,000 yang boleh dibayar oleh pelanggan secara ansuran bulanan dalam tempoh 20 tahun atau lebih, bergantung kepada persetujuan.

Satu lagi kaedah pembiayaan perumahan secara Islam yang telah ditawarkan oleh institusi kewangan Islam ialah Musyarakah Mutanaqisah (MM). Ia disebut-sebut sebagai alternatif kepada BBA.

Kaedah ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara pada 6 Februari 2006 sebagai kaedah pembiayaan yang mematuhi Syariah kerana ia adalah satu kontrak yang dibenarkan dalam Muamalat Islam. (Shariah Resolution in Islamic Finance-BNM)

Perkongsian dengan bank

Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera dalam artikelnya, 'Pembiayaan Pembelian Rumah Secara Islam Alternatif' menerangkan, dalam MM ini melibatkan dua bahagian kontrak iaitu pelanggan membuat perkongsian (musyarakah) dengan bank di bawah konsep Syirkah al-milk (pemilikan bersama) dan bank memajak sahamnya ke atas pemilikan rumah berkenaan kepada pelanggan di bawah konsep ijarah (pajakan).

Di bawah MM ini pelanggan yang berhajat untuk membeli aset akan menemui pihak bank bagi mendapatkan pembiayaan. Pihak bank dengan pelanggan berkenaan akan menandatangani perjanjian Musyarakah untuk sama-sama membeli aset berdasarkan nisbah saham masing-masing sebagai contoh 90:10.

Deposit yang mungkin telah dibayar oleh pelanggan akan dikira sebagai bayaran awal sahamnya. Pelanggan kemudiannya akan menyewa bahagian aset yang dimiliki oleh bank menerusi perjanjian Ijarah.

Setiap pembayaran sewa adalah dikongsi bersama antara pelanggan dengan bank menurut nisbah pemegangan saham masing-masing dan dalam bayaran sewa yang dibayar oleh pelanggan sejumlah tertentu akan digunakan untuk membeli bahagian saham yang dimiliki oleh pihak bank. Justeru, nisbah saham pelanggan akan terus meningkat selepas setiap pembayaran sewa dan nisbah saham pihak bank akan terus berkurangan sehinggalah ia dimiliki sepenuhnya oleh pelanggan.

Dalam pembiayaan perumahan, aspek perlindungan takaful adalah antara aspek penting yang perlu diberi perhatian. Perlindungan ini perlu untuk memberi jaminan kewangan sekiranya sesuatu yang tidak diingini terjadi.

Secara umumnya, sekurang-kurangnya perlindungan takaful berikut perlu diambil oleh seseorang yang membuat pembiayaan membeli rumah iaitu Pelan Takaful Gadai Janji, Pelan Takaful Empunya Rumah dan Takaful Isi Rumah.

Pelan Takaful Gadai Janji ialah perlindungan takaful yang melindungi pihak pelanggan bank dalam bentuk menyelesaikan baki pembiayaan jika pelanggan berkenaan mengalami kehilangan upaya kekal atau meninggal dunia.

Manakala, Pelan Takaful Empunya Rumah ialah satu bentuk pelan perlindungan takaful untuk melindungi rumah kediaman terhadap kerugian atau kerosakan akibat bencana seperti banjir atau gempa bumi.

Takaful Isi Rumah pula memberi perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan kandungan rumah kediaman, dan perlindungan kepada pelanggan sebagai peserta jika berlaku kecederaan maut.

Pelanggan boleh menyertai Takaful Empunya Rumah atau Takaful Isi Rumah atau kedua-duanya sekali untuk perlindungan yang menyeluruh.

Perancangan yang betul akan dapat memberikan keselesaan dan meminimakan masalah berbangkit dalam mengurus pembelian dan pembiayaan perumahan.

Mudah-mudahan dengan sedikit persedian khususnya dari sudut pengetahuan asas akan dapat membantu seseorang itu membuat keputusan yang lebih tepat untuk membeli dan memiliki sebuah rumah yang diidamkan.

Fahami definisi pembersihan etnik

Oleh MOHAMAD FAISOL KELING
Pensyarah di Kolej Undang-Undang,
Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun, penjenayah perang Khmer Rouge, Kaing Guek Eav. Dia ialah ketua penjara S-21 pada tahun 1975-1979. Kes berkenaan mendapat perhatian kerana mempunyai signifikan kepada negara serantau dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil iktibar.

Penjenayah perang Khmer Rouge itu didakwa melakukan penderaan dan pembunuhan ke atas 16,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak ketika pemerintahan Khmer Rouge 1975-1979. Sewaktu Khmer Rouge pimpinan Pol Pot berkuasa, lebih 1.7 juta rakyat Kemboja maut akibat penderaan, pembunuhan, kerahan tenaga, penyakit dan kebuluran.

Ia juga adalah proses pembersihan etnik oleh rejim Pol Pot terhadap kelompok masyarakat yang menolak agenda yang diperkenalkan. Selain pembersihan etnik di Kemboja, doktrin pembersihan etnik juga dapat dilihat dalam kes perang saudara di Balkan. "Penyembelih" etnik, Radovan Karadzic ditahan pada 21 Julai 2008 dan didakwa atas jenayah pembunuhan kaum dan pembersihan etnik antara 1992 dan 1995. Pembersihan etnik ini menyaksikan sejarah ketamadunan umat Islam turut mencatatkan "penyembelihan umat Islam" oleh pemimpin Serb termasuk Karadzic. Kes pendakwaan doktrin pembersihan etnik oleh Karadzic banyak dikaitkan dengan tindakan Serb Bosnia yang mengepung bandar Srebrenica (wilayah Timur Bosnia) dan pembunuhan ke atas 8,000 orang lelaki pada 11 Julai 1995.

Namun hakikatnya kekejaman pemimpin Serb lebih daripada itu. Mengikut perangkaan, sepanjang konflik di Balkan, lebih 200,000 nyawa terkorban. Ia juga mencatatkan lebih 20,000 kes rogol ke atas wanita Muslim dan 1.8 juta rakyat hilang tempat tinggal selain kemusnahan tamadun yang masih dapat dilihat sehingga hari ini.

Doktrin penghapusan etnik ini sebenarnya turut menjadi isu kepada Malaysia apabila pernah didakwa oleh segelintir 'pelampau' pada 25 November 2007. Mereka mendakwa Malaysia turut menjalankan doktrin kejam ini. Ia merupakan dakwaan yang bertentangan dengan realiti hidup kepelbagaian etnik di negara ini. Kerajaan Malaysia digambarkan melaksana dasar 'pembersihan etnik' yang dikaitkan dengan 'penyingkiran masyarakat minoriti'.

Dakwaan itu memberi impak yang besar kepada kerajaan. Malaysia terpaksa menghadapi kesukaran untuk berdepan dengan negara luar apabila dikaitkan dengan 'pembersihan etnik'. Malah Malaysia terpaksa memberi penjelasan mengenainya kepada dunia.

Tindakan golongan ekstremis tersebut merupaka usaha untuk mempermainkan dan mengapi-apikan perpaduan kaum. Perlu kita sedar sekiranya keretakan hubungan dan perpaduan kaum meletus, ia akan membawa bencana kepada keselamatan rakyat dan negara. Malah apa yang lebih membimbangkan ialah kekacauan dalaman akan membuka ruang kepada kemasukan dan campur tangan kuasa asing. Mungkin perkara itu akan digunakan oleh kumpulan militan antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebagai sasaran.

Kumpulan yang membuat tuduhan palsu itu sepatutnya terlebih dahulu menilai keadaan sebenar. Malah perkataan 'pembersihan kaum' digunakan semata-mata untuk menarik perhatian masyarakat dalam dan negara luar demi kepentingan peribadi. Mereka ternyata tidak peduli kesan akibat tuduhan tersebut. Mereka sewenang-wenangnya memperjudikan masa depan, keamanan dan keselamatan rakyat demi memenuhi agenda perjuangan sendiri. Tindakan ini telah lihat banyak dipengaruhi oleh matlamat peribadi dan emosi yang cuba menarik perhatian rakyat dan mencetuskan ketidakstabilan. Golongan ini tidak pernah berfikir mengenai risiko atau bahaya yang akan timbul dari tindakan mereka. Tanpa disedari tindakan golongan ini telah memperjudikan kestabilan dan perpaduan kaum yang selama ini tidak menghadapi masalah dan berprasangka buruk antara satu sama lain.

Apa yang menyedihkan golongan ini menggunakan definisi pembersihan etnik yang sempit dan salah dengan realiti sebenar apa yang berlaku di Malaysia. Kita dapat lihat perpaduan kaum di Malaysia adalah terjalin dalam mana-mana pihak sama ada di pihak pembangkang atau pro kerajaan. Amat jelas pada ketika ini semua etnik di Malaysia dapat hidup dengan baik dengan adanya sifat penerimaan dan menghormati antara satu sama lain.

Perkembangan yang dapat kita lihat pada hari ini adalah jelas amat bertentangan dengan tuduhan seperti mana yang didakwa oleh golongan terbabit pada akhir tahun 2007. Tragedi pembersihan etnik di Kemboja dan Balkan sepatutnya dijadikan sebagai sandaran dalam mendefinisikan erti sebenar terma "pembersihan etnik".

Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Februari 2007 yang mengklasifikasikan pembunuhan 8,000 Islam Bosnia di Serbrenica pada 11 Julai 1995 sebagai pembersihan etnik adalah satu pengesahan kepada masyarakat dunia dalam membantu pendefinisian terma "pembersihan etnik" serta dapat dijadikan sebagai rujukan dalam memahami istilah tersebut.

- UTUSAN

Lamborghini polis Itali remuk


ROM - Sebuah kereta Lamborghini Gallardo yang dijadikan kenderaan polis remuk selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dekat Cremona, Itali, lapor sebuah akhbar semalam.

Dua pegawai polis yang menaiki kereta berharga AS$248,449 (RM840,751) itu cedera ringan selepas ia berlanggar dengan sebuah kenderaan lain kelmarin.

Kejadian berlaku apabila kereta Lamborghini itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah kenderaan yang keluar dengan tiba-tiba dari sebuah stesen minyak.

Namun, kereta Lamborghini itu terlanggar sebuah kereta di sebuah tempat meletak kenderaan.

Polis Itali mula menggunakan kereta Lamborghini empat tahun lalu sebagai cara untuk memerangi tabiat memandu laju di kalangan sebahagian pemandu.

Berikutan kemalangan itu, polis Itali kini cuma memiliki sebuah sahaja lagi Lamborghini yang boleh digunakan di jalan raya.

Lamborghini itu yang dihadiahkan oleh syarikat pembuat kereta tersebut mampu mencecah kelajuan sehingga 308.99 kilometer sejam.

Polis Itali pernah menggunakan kereta Ferrari dan Porsche yang dirampas daripada penjenayah Mafia tetapi pada musim panas lalu ia mengumumkan kereta berkenaan akan dilupuskan kerana tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan.

- Agensi

Selasa, Disember 01, 2009

Penjualan Paket Rokok Kurang 20 Batang Dilarang Mulai 1 Jun 2010

Penjualan paket rokok yang mengandungi kurang daripada 20 batang adalah dilarang mulai 1 Jun tahun depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sejajar dengan keputusan itu, pihak syarikat rokok diberi masa tujuh bulan mulai sekarang hingga 31 Mei ini untuk menghabiskan stok paket rokok yang kurang daripada 20 batang rokok di pasaran.

"Kerajaan tidak akan melayan sebarang rayuan ke atas perkara ini dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan pengilangan dan penjualan paket rokok kurang dari 20 batang rokok mulai 1 Jun 2010," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata keputusan itu telah dipersetujui oleh semua syarikat rokok dan kerajaan berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama syarikat-syarikat tersebut.

"Larangan pengilangan dan penjualan rokok paket rokok yang mengandungi kurang dari 20 batang sebenarnya telahpun diwartakan pada 23 Sept 2004 melalui peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, bagaimanapun penguatkuasaan terhadap larangan tersebut telah ditangguhkan selepas kerajaan mempertimbangkan rayuan daripada syarikat-syarikat rokok," katanya.

Liow berkata sehubungan dengan penguatkuasaan itu, sesiapa yang didapati melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Menurut beliau lagi, larangan itu juga selaras dengan saranan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Larangan penjualan paket rokok bungkusan kecil ini adalah bertujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan golongan kanak-kanak dan remaja untuk membeli dan memulakan tabiat merokok yang tidak sihat dan merugikan," katanya.

- BERNAMA

Nisbah guru wanita tinggi, beri insentif khusus

KUALA LUMPUR 1 DIS 2009 : Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) meminta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memberikan penjelasan mengenai insentif khusus yang diberikan kepada guru wanita dalam perkhidmatan mereka.

Abdul Hadi sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi berkata, guru wanita berperanan secara khusus dalam aspek pendidikan dengan sifat, tabiat dan naluri kewanitaan yang ada pada mereka namun dalam masa yang sama mereka juga berperanan dalam membentuk dan mendidik keluarga.

"Apakah insentif yang diberikan kerajaan terhadap tugas mereka yang besar dan apakah ruang-ruaang yang sepatutnya diberi supaya mereka berjaya dalam kerja dan keluarga bahagia?"soalnya.

Timbalan Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dalam jawapannya berkata, Kementerian menyedari tanggungjawab besar yang dipikul oleh guru wanita terhadap keluarga. Oleh itu, KPM sentiasa menjaga kebajikan guru wanita seperti menyediakan pusat asuhan untuk anak-anak mereka.

Berkenaan insentif pula, KPM menyediakan satu skim yang sama kepada guru lelaki dan wanita berdasarkan mutu perkhidmatan dan juga khidmat cemerlang yang ditunjukkan manakala dari segi kenaikan pangkat, tiada diskriminasi gender.

"Kita sedar guru wanita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keluarga.Sebab itulah kita sentiasa menjaga kebajikan guru wanita contohnya keperluan untuk mengadakan program asuhan kepada anak mereka," katanya.

Sebelum itu, Abdul Hadi meminta Menteri Pelajaran menyatakan jumlah nisbah guru lelaki dan perempuan di sekolah-sekolah menengah khususnya di sekolah menengah kebangsaan di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Wee Ka Siong memberitahu,sehingga 31 Januari 2009 nisbah guru lelaki dan perempuan di sekolah renndah dan sekolah menengah kerajaan dan bantuan kerajaan di seluruh negara ialah nisbah satu kepada dua.

Manakala jumlah guru mengikut jantina di sekolah di bawah KPM adalah seperti berikut:

Bagi sekolah rendah guru lelaki ialah seramai 67,947 manakala guru perempuan ialah seramai 151,819.

Bagi sekolah menengah guru lelaki ialah seramai 53,825 manakala guru perempuan ialah seramai 112,440.

Jumlah keseluruhan guru lelaki ialah 121,772 manakala guru perempuan 264,259.

KPM ujarnya sedang mengambil langkah untuk menyeimbangkan jurang guru lelaki dan wanita di negara ini dengan meningkatkan kuota pengambilan guru lelaki untuk menyertai kursus perguruan khususnya ke kawasan pedalaman.

KPM juga meningkatkan pengambilan guru lelaki dalam bidang yang menarik dan lasak seperti sains sukan, kemahiran hidup, dan vokasional selain meningkatkan promosi di media massa untuk memberi informasi mengenai bidang pendidikan.

Dato' Mohammad Aziz (BN-Sri Gading) dalam pada itu mendakwa KPM mengamalkan sikap diskriminasi terhadap lelaki apabila jumlah guru wanita lebih ramai daripada guru wanita.

Namun Wee Ka Siong menafikan dakwaan itu sebaliknya meminta Mohammad Aziz mengambil kira jumlah penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menunjukkan jumlah wanita lebih ramai daripada lelaki.

- HARAKAH DAILY

Profesor Oxford sokong permainan Internet


LONDON - Seorang profesor di Universiti Oxford, Marcus du Sautoy semalam mendakwa permainan melalui Internet dapat merangsang minat kanak-kanak terhadap subjek matematik.

Malah Du Sautoy mendapati, ramai pelajar berusia antara 11 hingga 16 tahun yang menggemari pelajaran matematik tetapi akhirnya kehilangan minat serta menjadi bosan terhadap matematik.

Du Sautoy, 44, yang bimbang dengan keadaan itu, membantu mewujudkan sebuah laman web matematik menggunakan ilustrasi seperti komik Jepun dan ia dikenali sebagai Manga High.

Ia menawarkan permainan dengan corak arked yang memberi sasaran untuk mendidik kanak-kanak sekolah kepada topik khusus kurikulum seperti geometri dan persamaan kuadratik.

Laman itu dicipta oleh Toby Rowland, pengasas bersama King.com, antara syarikat permainan Internet terbesar dunia dan juga anak kepada jutawan mendiang Tiny Rowland.

"Saya pernah melihat anak saya bermain Internet dan apabila Toby menemui saya, kami berbincang jika semua kemahiran itu dimajukan bersepadu. Ia cabaran menarik," kata Du Sautoy.

Beberapa sekolah di London dan di Amerika Syarikat sudah mencuba permainan itu yang meminta murid memasukkan koordinat tertentu pada graf bagi 'menyelamat' bumi.

- REUTERS

Geng palsu cek RM505,000 tumpas


KUALA LUMPUR - Belum puas berjoli RM505,944 hasil pemalsuan 113 keping cek menggunakan pencair (thinner), tujuh lelaki dan tiga wanita ditahan dalam satu operasi khas di sekitar Lembah Klang di sini.

Operasi yang dinamakan Ops Camar itu dilakukan pada 23 November lalu selepas polis menjalankan risikan selama setahun sebelum menahan kesemua suspek termasuk perancangnya yang dipercayai menganggotai sindiket tersebut.

Operasi yang mengambil masa selama dua hari itu dilakukan dalam tempoh 32 jam bermula pukul 4.30 petang di sebuah rumah di Jinjang Utara, di mana polis telah menahan seorang lelaki berusia 60 tahun di situ.

"Susulan tangkapan pertama, kita kemudiannya telah menahan enam lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 dan 50 tahun di enam buah rumah di Batang Kali, Kepong, Segambut dan Taman Tun Dr. Ismail.

"Selain tangkapan, kita turut merampas 44 keping cek yang telah dan hampir siap dipalsukan, enam buah mesin cetak, sebuah komputer peribadi, sebuah komputer riba, satu kanta pembesar sekeping kad kredit dan kad debit.

Turut dirampas tiga buah thumbdrive, 28 keping kad ATM, lapan buah buku akaun bank, sebuah buku cek, sebuah mesin pencetak cek dan tiga buah cop setem,'' kata jurucakap polis kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, modus operandi sindiket tersebut ialah mereka akan mencuri cek-cek dalam sampul surat yang diletakkan di dalam peti surat mana-mana kawasan perumahan sebelum menukar nama dan nombor akaun dengan menggunakan thinner.

Antara peti surat kawasan perumahan atau kedai yang selalu menjadi mangsa sindiket tersebut ialah di sekitar Gombak dan Petaling Jaya dan mereka tiada tempat khusus menjalankan operasi.

- KOSMO!