Ahad, Oktober 05, 2008

Islam titikberatkan masalah pemakanan

Kegemparan global terbaru yang berasal dari negara China selepas SAR ketika kita dalam kekhusyukan melaksanakan ibadat puasa Ramadan 1429H yang baru lalu adalah isu melamin dalam produk tenusunya. Kekecohan ini menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 26 September lalu seperti dipetik AFP mendesak langkah lebih tegas semua pihak dalam usaha menarik balik produk makanan yang dicemari melamin dari pasaran bagi memulihkan kepercayaan pengguna terhadap produk susu China.

Agensi makanan dan kesihatan PBB dalam satu kenyataan bersama menegaskan, keselamatan makanan bukan saja tanggungjawab pengeluar malah semua pihak. Di samping itu, China terus menerima tekanan apabila Kesatuan Eropah (EU) bercadang mengharamkan sebahagian produk makanan negara itu daripada memasuki pasaran rantau berkenaan.

Kerosakan dan bala bencana yang berlaku itu tidak terlepas daripada kebenaran firman Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah al-Rum: 41)

Demi keghairahan mengaut keuntungan sehingga etika kebaikan universal yang disepakati masyarakat antarabangsa tidak diendahkan pengeluar barang tercemar yang sudah memudaratkan 53,000 kanak-kanak di China. Dalam pada itu, sepanjang September, umat Islam dunia melaksanakan salah satu rukun Islam yakni ibadat puasa yang antara hikmahnya adalah seperti disabdakan Nabi SAW maksudnya: "Berpuasalah supaya kamu sihat." (hadis riwayat Abu Naim) dan sabdanya lagi yang bermaksud, "Puasa adalah pelindung". (hadis riwayat Muslim, Ahmad, dan an-Nasa`i).

Islam sangat menitikberatkan masalah pemakanan kerana kehidupan manusia sama ada baik atau buruk berpunca daripada makanan itu. Pemakanan boleh mempengaruhi tugas utama manusia di muka bumi ini yakni ibadah kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: "(Kalaulah dia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya)." (Surah Abasa: 24)

Dalam ayat berikutnya dijelaskan dari mana asalnya makanan. Firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan; Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian dan buah anggur serta sayur-sayuran, dan zaitun serta pohon kurma, dan taman yang menghijau subur dan pelbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput; Untuk kegunaan kamu dan binatang ternakan kamu." (Ayat 25-32)

Makanan yang diproses daripada benda yang disebutkan al-Quran di atas akan baik seandainya ia dibuat dengan cara yang baik dan benar mengikut hukum syarak dan kaedah pemakanan. Pada umumnya, pencemaran makanan disebabkan tiga punca iaitu pencemaran disebabkan mikroorganisme seperti kuman dan bakteria, bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan dan pemprosesan makanan serta pencemaran fizikal seperti kotoran dan debu.

Di samping itu, ada juga pencemaran moralnya yakni hukum haram satu-satu makanan walaupun makanan itu tidak dicemari oleh salah satu daripada tiga punca di atas mahupun semuanya. Bagi seorang Muslim makan dan makanan bukan sekadar penghilang lapar dan dahaga saja atau sekadar enak di lidah, tapi lebih jauh daripada itu mampu menjadikan tubuhnya sihat jasmani dan rohani sehingga mampu menjalankan fungsinya sebagai 'khalifah fil Ardhi'.

Rasulullah SAW pernah berkata dalam suatu hadisnya bermaksud: "Seorang hamba Allah tidak akan berpindah dua kaki pun pada hari kiamat, sampai ia mampu menjawab empat hal: umurnya bagaimana dihabiskan, pengetahuan bagaimana diamalkan, hartanya bagaimana dinafkahkan serta tubuhnya bagaimana digunakan." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Tubuh manusia boleh diumpamakan seperti mesin yang sangat rumit dan tidak ada tandingannya. Seperti halnya mesin yang memiliki pelbagai komponen, maka agar mesin itu dapat selalu berjalan dengan mulus perlu diperhatikan beberapa hal, antara lain perlu dipelihara dan dijaga kebersihannya, diberi waktu beristirahat, dan digunakan dengan hati-hati sesuai fungsinya.

Demikian pula tubuh manusia, yang memiliki mekanisme yang sangat rumit itu dan salah satu segi pemeliharaan tubuh itu dengan makanan. Dan tentu saja jika fungsi berkenaan ada yang salah, misalnya tubuh diserang penyakit maka manusia harus membetulkan dirinya, tentu ada sesuatu yang salah dalam segi perawatan dan pemeliharaannya kerana Allah SWT tak akan menghadirkan bencana disebabkan ulah (perangai) manusia itu sendiri, seperti dalam firmanNya bermaksud: "Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah daripada Allah dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri." (Surah al-Nisa: 79)

Begitu banyak hasil penelitian pakar yang menyatakan kesalahan dalam makanan boleh mengganggu beberapa kerja tubuh, hingga akhirnya baik langsung ataupun tidak langsung dalam jangka waktu tertentu dapat menimbulkan pelbagai penyakit, seperti: penyakit kronik pada jantung, paru-paru, darah tinggi, diabetes, penyakit lambung dan usus peptic ulcer disease, kegemukan, tekanan, tumor, dan barah.

Islam mengambil berat pemakanan yang halal bagi setiap penganutnya. Pada umumnya dapat dikatakan makanan halal adalah apabila ia tidak berbahaya atau mempengaruhi fungsi tubuh dan mental yang normal; bebas daripada najis dan produk itu bukan berasal daripada bangkai dan binatang yang mati kerana tidak disembelih atau diburu; bebas daripada bahan-bahan yang berasal daripada babi dan beberapa binatang lain yang tidak dapat dimakan oleh seorang muslim kecuali dalam keadaan terpaksa; dan diperoleh sesuai dengan yang sudah ditentukan dalam Islam.

Sebaliknya makanan itu haram apabila ia berbahaya dan berpengaruh negatif pada fizik dan mental manusia; mengandung najis atau produk berasal daripada bangkai, babi dan binatang lain yang tidak dapat dimakan oleh seorang muslim; dan berasal daripada binatang yang diizinkan, tetapi tidak disembelih dengan aturan yang ditetapkan (secara Islam) dan tidak dilakukan sepatutnya. (Lihat al-Qaradawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam)

Oleh itu untuk memelihara keperluan agama, nyawa, akal, keturunan dan maruah, serta harta seperti dikenal sebagai al-daruriyat al-khams yang dilindungi agama, apa-apa pun yang halal pada asalnya boleh diharamkan. Dalam al-Quran, Allah SWT menyuruh manusia memakan apa saja di dunia ini yang diciptakan-Nya, sepanjang batas-batas yang halal dan baik (tayyibah). Banyak ayatnya yang memerintah manusia agar berhati-hati dalam memilih makanan, boleh memisahkan mana yang halal (dibolehkan) dan mana yang haram (tidak diizinkan), cara memperoleh makanan itu dan makanan itu baik dari segi kesihatan jasmani mahupun rohani.

Sebagai natijahnya, jika manusia mengikuti ajaran al-Quran dalam masalah makanan sudah pasti mereka akan terselamat di dunia dan di akhirat. Kerana pentadbiran makanan di dalam al-Quran adalah panduan dari yang memberi manusia nikmat makanan. Wallahu a'lam.

Sabtu, Oktober 04, 2008

Pulangkan - Misha Omar & Ezad

Seharum bunga yang menggoda
Sekadar dipandang usah dipuja
Kau pasti tak percaya
Kasih ku bukan,
Untuk mu, sayang

Tiada ku sangka kau sungguh kejam
Kau rampas segalanya yang kau dendam
Namun takkan bahgia kehidupan mu
Bila bunyi bersatu
Kau milik ku

Korus:

Misha : Pulangkan cinta hati ku
Ezad : Oh hentikan lah menghantui ku
Misha : Pulangkan oh pulangkan lah pada ku
Ezad: Ku pulangkan kesan hidup mu
Misha: Yang dikau musnah tanpa relaku
Ezad : Bebaskanlah maafkan daku, oh kasih

Tiada kemaafan di sini
Kau ragut degupan hati ku ini
Akan ku jejakimu, kemana jua
Hingga akhir masa, sayang.....

5 tanda lelaki penipu

1. Apabila diajak keluar, bermacam alasan diberi untuk menolak. Ada agenda lainlah tu...


2. Apabila bercakap mengenai sesuatu perkara, tuturnya tersangkut-sangkut atau mengelak terus daripada memperkatakannya.


3. Sentiasa silent telefon bimbit walaupun di luar waktu bekerja. Jika masa bekerja tu masih logik, tapi waktu keluar bersama kita pun hendak silent. Entah siapalah yang akan hubungi dia sampai hendak sorok-sorok sebegitu.


4. Jika lelaki jenis selalu keluar malam tetapi tiba-tiba pada satu malam, dia minta kita usah hubunginya kononnya hendak tidur awal. Hendak tidur, tidur sajalah. Tak perlulah beritahu. Tetapi kantoi bila kita hubungi, telefon bimbitnya dimatikan.... Musykil ni.


5. Bila kita ajak dia pergi ke sesuatu tempat, cepat saja dia menolak. Mungkin ada sebab tertentu yang membuatkan dia tak mahu dilihat bersama kita di tempat itu.

Misteri Fail X (UFO)

MISTERI kewujudan objek terbang yang tidak dikenali (UFO) dan makhluk asing terus menjadi topik menarik untuk dibincangkan dalam mana-mana forum, sekalipun di warung kopi. Mungkin ramai enggan mempercayai kewujudan entiti ini, namun topik berkisar UFO dan makhluk asing tanpa disangkal mengundang fantasi dan ketaksuban manusia untuk mengkajinya.

Daripada misteri Area 51 di Tasik Papoose, Nevada, Amerika Syarikat (AS) yang dikatakan menjadi markas makmal penyelidikan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengkaji kapal angkasa dan makhluk asing, hinggalah laporan penemuan terbaru UFO seperti yang berlaku di St Athan, berhampiran Cardiff, United Kingdom (UK), baru-baru ini, kedua-dua entiti ini ‘menakluki’ pemikiran manusia.

Di Malaysia, laporan penemuan beberapa objek UFO seperti di Tanjung Sepat, Banting, Selangor pada 1995 misalnya, jelas mencetus fenomena. Asia yang dikatakan jarang ‘dilawati’ UFO berbanding negara lain seperti di Eropah dan AS, tidak terlepas terkena tempias dan penangan makhluk hijau ini. Apakah UFO benar-benar wujud? Adakah mereka juga makhluk Tuhan seperti manusia?

Jika persoalan inilah yang membelenggu pemikiran anda, apa kata berkunjung ke pameran makhluk asing paling komprehensif pernah dianjurkan di Malaysia iaitu Pameran Sains Makhluk Asing di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh. Sempena cuti Aidilfitri ini, mungkin ada baiknya mencabar minda si kecil bagi mendekati misteri UFO dan makhluk asing.

Pameran lima bulan yang dijangka berakhir 22 Januari depan, menggabungkan minat mendalam manusia mengenai kehidupan di planet lain selain merakamkan penemuan baru saintis ternama dalam usaha membezakan antara fakta dan fiksyen sains.

Pameran Sains Makhluk Asing ini terbahagi kepada empat zon. Pameran ini menampilkan makhluk asing dan landskap dalam persekitaran yang menarik, penuh interaktif dan canggih. Pengalaman ini tentunya membuka mata dan membolehkan pengunjung merasai pengalaman hebat dalam menyelesaikan misteri ‘apa yang di luar sana'.

Jika anda peminat filem sains fiksyen membabitkan makhluk asing seperti The Close Encounter of Third Kind atau ET, anda tentu memahami ketaksuban manusia mencari kebenaran kewujudan UFO dan makhluk asing. Bagi individu fanatik yang mencari-cari jawapan, imej kepala botak dan mata hitam besar mungkin sentiasa berlegar dalam fikiran.

Zon pertama Pameran Sains Makhluk Asing membabitkan fiksyen sains yang banyak dilihat dalam filem, televisyen dan cerita sastera. Sebagai contoh, filem Aliens yang mengemukakan pelbagai makhluk asing.

Zon kedua mengenai beberapa jenis hidupan pelik tetapi benar yang wujud di persekitaran ekstrim di bumi. Zon ketiga pula memaparkan dua planet hasil imaginasi saintis yang menjadi habitat makhluk asing, Aurelia dan Blue Moon. Zon keempat paling istimewa kerana pengunjung berpeluang menghantar mesej kepada kehidupan lain di angkasa lepas.

Pengarah Eksekutif WellAd Communications. Sabariah Daud berkata, Pameran Sains Makhluk Asing menjanjikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung.

“Sejak dibuka pada 23 Ogos yang lalu, pameran ini berjaya menarik minat kira-kira 4,000 pengunjung dari seluruh negara. Kami amat berbesar hati dengan sambutan yang diberi,” katanya sambil menambah maklum balas yang diterima daripada pengunjung juga amat positif.

Sabariah berkata, harga tiket yang mampu dibeli membolehkan golongan kanak-kanak dan dewasa menikmati pengembaraan hebat ke angkasa. Beliau berkata, ini tentunya mencabar minda kanak-kanak dan memberi inspirasi meneroka ilmu sains makhluk asing.

“Kami percaya, usaha sama antara Kementerian Pelancongan Malaysia dan kerajaan negeri Melaka ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak lagi pameran yang seumpamanya demi kepentingan kepada rakyat Malaysia.

“Kita sedang menimbang untuk membawa banyak lagi pameran ke Malaysia seperti The Science of Survival, The Science of Spying, Ice Station in Antartica, Leonardo da Vinci Machine dan banyak lagi,” katanya.

Info Paparan Zon Pameran



Zon 1



Fiksyen makhluk asing melihat ketaksuban manusia terhadap dunia yang tidak diketahui, menyelongkar tentang makhluk asing yang pernah dikenali dari filem, televisyen dan cerita sastera.


Pengunjung akan mengetahui bagaimana manusia sebenarnya sudah lama taksub dengan kewujudan makhluk asing melalui kisah dongeng dan mitos.


Pengunjung juga dapat bersemuka dengan Permaisuri Makhluk Asing (dari filem Aliens arahan James Cameron) serta beberapa jenis makhluk yang menakutkan, comel dan pintar.

Zon 2


Sains makhluk asing mengkaji beberapa jenis hidupan yang pelik tetapi wujud di persekitaran yang ekstrem di bumi sebelum meneruskan pengembaraan saintifik ke angkasa.


Pengunjung dibawa melihat evolusi bumi untuk mengetahui apa yang dilakukan saintis bagi mencari kemungkinan kewujudan makhluk asing.


Pengunjung boleh mempelajari proses evolusi kehidupan yang mengagumkan, sistem suria dan masa depan astronomi selain penemuan spesimen mengerikan dari dasar laut yang membolehkan saintis memahami kemungkinan kehidupan makhluk asing.

Zon 3


Dunia makhluk asing memaparkan dua planet hasil imaginasi saintis yang menjadi kediaman makhluk asing, Aurelia dan Blue Moon.


Menggunakan bukti saintifik yang dikumpul dari Zon 2, pakar saitifik membayangkan jenis kehidupan yang mampu berevolusi di dua dunia fiksyen ini. Namun tidak mustahil dari segi saintifik.


Di sini, landskap besar menunjukkan pengalaman interaktif terkini kepada para pengunjung dengan makhluk. Ini membolehkan pengunjung memahami sains dan sifat yang mempengaruhi proses evolusi melalui cara memburu dan bersembunyi. Ini kali pertama revolusi interaktif sebegini dianjurkan di rantau ini.

Zon 4




Zon khusus membabitkan komunikasi makhluk asing mengkaji pencarian saintifik yang berterusan dengan mendengar isyarat dan gelombang bunyi dari angkasa lepas.


Kajian menunjukkan bagaimana saintis cuba berkomunikasi dengan makhluk asing. Pengunjung juga boleh mendengar bunyi dari angkasa dan paling menarik, berpeluang untuk menghantar mesej kepada kehidupan lain di angkasa lepas. Mana tahu, mesej anda mungkin dijawab?




Tiket : RM8 bagi dewasa, RM4 bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 18 tahun dan RM20 pakej sekeluarga. Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 014-3642212/2232


Waktu Pameran : 11 pagi hingga 7 malam (Isnin hingga Jumaat) 11 pagi hingga 9 malam (Sabtu dan Ahad)



Fakta

Antara penemuan UFO di Malaysia


Oktober 1995: penduduk di Tanjung Sepat Banting, Selangor, mendakwa melihat tiga objek UFO empat kali sebulan.


14 Januari 1996: sekumpulan peneroka Gugusan Felda Maokil, Labis, Johor, gempar melihat sejenis objek di angkasa berbentuk kipas angin mengeluarkan cahaya terang.


21 Februari 1996: penduduk Kampung Parit Awang, Yong Peng, Johor, mendakwa melihat objek bercahaya di ruang udara kira-kira jam 11.30 malam.


26 Mei 1999: seorang penduduk melihat objek bercahaya kebiru-biruan di udara dan cuba mendarat di Gunung Baling.


6 Mac 2000: kira-kira 1,000 penduduk Kampung Gobek, Tanah Merah, Kelantan gempar dengan dakwaan bahawa satu objek mendarat di kawasan tanah lapang berpaya, di kampung itu pada jam 3pagi.


22 Oktober 2000: penduduk Taman Cheras Utama Kuala Lumpur, selesai menunaikan solat Subuh gempar melihat dua objek berputar di angkasa yang mengeluarkan cahaya selama setengah jam.


15 Mei 2004: penduduk di Teluk Kemang, Port Dickson dan Rantau, turut melihat dua objek bujur bercahaya kehijauan menyerupai UFO berlegar di udara.

Muslim perlu kuasai bidang ekonomi untuk perbaiki nasib

RASULULLAH SAW memerintahkan pengusaha perniagaan hendaklah dilakukan dengan sesama Muslim. Sabda Baginda yang bermaksud: "Janganlah kamu memakan makanan kecuali dari makanan orang yang bertakwa dan jangan sampai makanan kamu dimakan kecuali oleh orang yang bertakwa." (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmizi).

Hadis itu tidak bermaksud mengharamkan untuk bekerjasama dengan bukan Muslim tetapi sebaiknya sebagai umat Islam harus memberi kepercayaan kepada saudaranya sendiri dalam kerjasama ekonomi supaya putaran wang kembali untuk kegunaan umat Islam.

Potensi umat Islam dalam bidang ekonomi sangatlah besar di seluruh dunia Islam. Tetapi sayang, umat Islam masih menjadi pengguna, bukan pengeluar. Usaha mengembalikan potensi ekonomi umat Islam mestilah dimulai dari memperbaiki kualiti sumber daya manusia itu sendiri.

Peningkatan kualiti sumber daya manusia hendaklah dimulai daripada cendekiawan dan pengusaha Muslim supaya terus membuat program barangan keluaran Muslim.

Salah satu hal yang perlu diberi perhatian utama dalam menegakkan potensi ekonomi umat Islam adalah menciptakan kualiti sumber daya manusia Muslim yang mantap.

Kedua, perancangan strategik yang mampu memenuhi keperluan umat secara telus dan mendasar sehingga umat Islam merasa bangga dan prihatin dengan hasil kerja saudaranya sesama Islam.

Ketiga, dari sudut kualiti tenaga kerja, persiapan pada peringkat bawahan sudah mampu dibekalkan dengan tenaga mahir serta berkemampuan.

Jepun menjadi negara maju kerana menguasai ekonomi. Yahudi menguasai dunia kerana potensi ekonomi. Umat Islam dapat mematahkan pengaruh ekonomi Yahudi yang begitu kuat hanya dengan kekuatan ekonomi, bukan dengan kekerasan dan keganasan.

Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, sektor ekonomi dikuasai Yahudi, lalu Baginda SAW membuat dan membeli tanah lapang untuk dijadikan pasar wakaf. Sebelumnya ada tiga pasar yang dikuasai orang Yahudi iaitu Zabalah, Yasari dan Safasir.

Kemudian Baginda memerintahkan pedagang Muslim untuk berpindah ke pasar wakaf. Dalam tempoh lapan bulan, ketiga-tiga pasar Yahudi itu menderita kerugian besar. Demikian semoga hal ini menjadi aspirasi bagi umat Islam keseluruhannya.

Jumaat, Oktober 03, 2008

Kelahiran Islam ubah sikap taksub asabiah

Sebelum kemunculan Islam, umat manusia berada dalam keadaan berpecah-belah dan permusuhan. Tiada sebarang ikatan di antara mereka selain 'asabiah' (perkauman yang keji dan sempit). Pada ketika itu hanya wujud perkauman Arab, Parsi, Tauran dan beberapa bentuk perkauman lain.

Perkauman itu pula terbahagi kepada beberapa fahaman etnik, puak dan juga kabilah seperti Aus dan Khazraj di Madinah, Bani 'Adnan dan Bani Qahtan di Semenanjung Tanah Arab, golongan Asyuriyyin di Iraq dan Lubnan dan bangsa Barbar di Maghribi.

Apabila Islam muncul, keadaan itu mulai berubah. Semua umat manusia diseru supaya meninggalkan segala bentuk ikatan jahiliah yang sempit, sebaliknya disarankan bersatu membentuk satu umat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu iaitu agama yang mempunyai satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku." (Surah al-Mukminun, ayat 52)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Dan berpeganglah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (pada masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." (Surah Ali 'Imran, ayat 103)

Begitulah Islam berjaya mengubah sikap taksub bangsa dan perkauman, malah menyeru semua kaum supaya bersatu menjadi satu umat yang bersaudara dan bersatu padu. Sebarang kelebihan sesuatu kaum itu hanyalah berdasarkan kepada kekuatan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah berusaha mewujudkan perpaduan dan persaudaraan yang menyeluruh di kalangan umat Islam yang terdiri daripada pelbagai kaum dan antara orang Islam dengan bukan Islam.

Usaha murni Rasulullah SAW dapat dilihat sebaik saja Baginda berhijrah ke Madinah. Selain itu, Baginda SAW juga menyatupadukan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Usaha Rasulullah SAW menghapuskan fahaman perkauman ini menjadi asas pembinaan sebuah negara Islam seterusnya sebagai empayar Islam yang unggul dan terbesar.

Usaha Rasulullah SAW itu adalah selari firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam membuat dosa serta permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Bagi memperkukuhkan lagi negara yang dibina, Rasulullah SAW berusaha menjalin persepakatan dan kerjasama dalam hal dibenarkan syarak antara umat Islam dengan kaum Yahudi yang tinggal di Madinah. Proses penyatuan dan kerjasama itu dilaksanakan oleh Baginda SAW melalui Perlembagaan Madinah dengan cara diplomasi.

Melalui perlembagaan itu hak asasi manusia tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan terjamin. Di samping itu, ia menetapkan bahawa pertahanan negara adalah tanggungjawab bersama antara umat Islam dan kaum Yahudi. Namun begitu, kerjasama yang dilaksanakan Rasulullah SAW itu tidaklah berbentuk toleransi yang melulu terhadap orang bukan Islam.

Sebenarnya umat Islam diharuskan menjalin perhubungan yang baik dengan orang bukan Islam. Perhubungan ini harus dipupuk dengan persefahaman dan kerjasama yang sihat semoga suasana aman dan harmoni dapat dicapai demi untuk meningkatkan lagi pembangunan masyarakat.

Namun demikian, sejarah juga mengajar kita bahawa sikap berhati-hati tidak harus dilonggarkan sehingga persediaan kita untuk bertindak memulihkan kekeruhan dan ketegangan yang berlaku terjejas keberkesanannya.

Rasulullah SAW menunjukkan satu contoh unggul dalam menghapuskan fahaman perkauman. Oleh itu, kita sebagai orang Melayu beragama Islam wajar menjadikan usaha itu sebagai contoh dan panduan bagi mengembalikan kegemilangan perpaduan yang sudah lama dibina. Kita seharusnya menolak segala budaya berbentuk jahiliah sempit dan menerima segala amalan kebaikan.

Oleh itu, elemen perpaduan yang dilaung-laungkan selama ini, wajib diberi perhatian serius oleh semua pihak. Ia bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh atau dipermainkan tetapi ia adalah syariat Islam.

Realitinya, tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan umat Islam kini masih belum menghayati dan mengamalkan sepenuhnya seruan perpaduan ini. Umat Islam dilihat terlalu taksub kepada semangat kepartian, keturunan dan kedudukan pangkat masing-masing sehingga melupai seruan perpaduan Islam.

Jika sifat taksub masih membelenggu jiwa umat Islam, maka sukar untuk mewujudkan sebuah negara Islam yang kuat, maju, aman, berintegrasi pada peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam suasana harmoni serta bekerjasama sepenuhnya secara adil.

Sebagai seorang Islam yang beriman kepada Allah SWT, kita tidak seharusnya menjadikan perbezaan fahaman politik dan kedudukan pangkat sebagai punca perpecahan. Ini kerana agama lebih penting daripada parti politik dan segala ideologi ciptaan manusia.

Justeru, untuk mengekalkan kestabilan, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara, elemen perpaduan dan persaudaraan amat penting. Sesebuah negara tidak mungkin dapat berdiri teguh jika masyarakat tidak bersatu padu ibarat pepatah Melayu: "Bersatu kita teguh bercerai kita roboh."

Sesungguhnya perpecahan boleh mengundang banyak kerugian dan kelemahan kepada umat Islam. Sesebuah negara itu lebih senang dijajah apabila masyarakatnya tidak bersatu dan hidup tidak berpandukan al-Quran dan hadis.

Kewujudan perpaduan di kalangan umat Islam jelas merunsingkan musuh Islam. Malah isu perpaduan umat Islam diberi perhatian serius oleh mereka. Segala misi musuh Islam untuk menjajah negara umat Islam tidak akan berjaya selagi wujud perpaduan. Oleh itu jelaslah betapa pentingnya perpaduan dan persaudaraan ini.

Kesimpulannya, perpaduan yang kukuh pemangkin kepada kecemerlangan dan kegemilangan negara serta tamadun Islam. Justeru setiap umat Islam hendaklah menghayati dan mensyukuri nikmat perpaduan serta berusaha memeliharanya sepanjang masa.

Caj 3 peratus PTPTN jika liat bayar

Peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal menyelesaikan pinjaman mereka mengikut jadual sehingga 31 Mei lalu, tidak akan menikmati pengurangan caj perkhidmatan satu peratus.

Sebaliknya, mereka akan dikenakan caj pinjaman pada kadar lama iaitu tiga peratus atau lima peratus sehingga mereka membayar balik jumlah keseluruhan sehingga tarikh itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani, berkata pihaknya hanya akan meluluskan permohonan (menurunkan kadar caj perkhidmatan) individu yang membuat pembayaran balik mengikut jadual sehingga 31 Mei lalu.

"Walaupun surat tawaran diserahkan kepada mereka mulai 1 Januari 2009,tidak bermakna mereka layak menerima pengurangan caj perkhidmatan kepada satu peratus. Ia hanya proses menukar perjanjian lama kepada baru.

"Semua permohonan (untuk satu peratus) akan ditapis terlebih dulu dengan melihat kepada jumlah pembayaran mereka. Mereka yang membayar mengikut kadar ditetapkan sehingga 31 Mei lalu, layak menerima pengurangan caj.

"Bagi yang gagal membayar mengikut jadual, mereka tetap dikenakan caj perkhidmatan lama dan hanya boleh menikmati caj baru selepas selesai membayar pinjaman perlu dibayar bagi tempoh sama," katanya baru-baru ini.

Ogos lalu, kerajaan mengumumkan penurunan caj perkhidmatan PTPTN kepada satu peratus berbanding tiga peratus bagi pelajar diploma dan ijazah sarjana muda serta lima peratus untuk pelajar ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) sebelum itu.

Langkah itu juga bertujuan bagi meringankan beban pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) selain meningkatkan kadar kutipan lebih ramai pelajar pada masa depan dapat dibiayai PTPTN.

Sehingga kini, kadar pinjaman tertunggak direkodkan RM1.9 bilion membabitkan 563,494 orang. Jumlah pinjaman dikeluarkan pula RM16.7 bilion membabitkan 1.25 juta peminjam.

Mengulas lanjut, Yunos berkata, adalah tidak adil untuk memberikan 'keistimewaan' kepada orang yang gagal membayar balik pinjaman dengan sempurna berbanding individu membayarnya mengikut jadual.

"Peminjam yang tidak membayar pinjaman mungkin sudah menjadi kaya kerana mungkin menggunakannya untuk melabur. Mereka yang membayar dengan tepat pula tidak mendapat apa-apa.

"Sebab itu, kami hanya memberi keistimewaan ini kepada peminjam yang membayar dengan disiplin kerana ia lebih adil," katanya.

Beliau menegaskan, keengganan peminjam membayar balik pinjaman mengikut jadual hanya merugikan walaupun selepas mereka layak kerana perlu membayar jumlah yang tinggi bagi baki tempoh pembayaran balik.

"Suka dimaklumkan kami tidak akan melanjutkan tempoh kontrak pembayaran balik peminjam walaupun surat perjanjian baru ditandatangani. Tempohnya sama seperti ketika mula-mula dipersetujui.

"Katakan tempoh bayaran balik peminjam yang dikehendaki bermula pada 2005 untuk 10 tahun, maka mereka hanya ada baki tujuh tahun mulai tahun ini.

"Jadi, mereka yang membayar mengikut jadual akan menerima 'nikmat' iaitu jumlah perlu dibayar semakin berkurangan dengan tempoh pembayaran agak panjang. Bagi yang ingkar, jumlah perlu dibayar mungkin tinggi dengan tempoh membayar balik lebih singkat," katanya.

Khamis, Oktober 02, 2008

Kebijaksaan pemimpin dahulu satukan rakyat Malaysia

Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) melihat tarikh 16 September itu cukup penting. Ia bukan saja dapat dikaitkan dengan warisan negara iaitu penubuhan Malaysia, tetapi tarikh itu disambut sempena berakhirnya Bulan Kemerdekaan Negara yang dirayakan sejak 18 Ogos lalu.

Walaupun hasrat Kementerian sudah lama dirancang majlis itu pada tahun ini tidak dapat diadakan. Pertama kerana 16 September jatuh pada Ramadan dan tentunya tidak sesuai untuk mengadakan majlis besar-besaran pada siang hari. Kedua, parti pembangkang pula `menumpang' tarikh itu kononnya tarikh peralihan kuasa pemerintahan negara.

Bagaimanapun, tarikh penubuhan Malaysia tetap penting dalam lipatan sejarah KPKKW. Apatah lagi 16 September 2008, genap 45 tahun Persekutuan Malaysia dibentuk. Kementerian ingin merayakan dan mahu rakyat mengingati tarikh keramat itu. Majlis penutupan Bulan Kemerdekaan Negara pula biasanya berakhir pada 17 September kali ini digabungkan dengan penubuhan Malaysia 16 September.

Jadi tahun ini KPKKW mengadakan sambutan penubuhan Malaysia pada 18 Oktober bagi menggantikan majlis penutup bulan kemerdekaan. Ia akan diadakan di Kota Kinabalu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka hadir.

Jadi apabila KPKKW mengadakan acara sempena penubuhan Malaysia, parti politik pembangkang tidak boleh mendakwa itu idea mereka. Ini kerana KPKKW sudah lama merancang tetapi kerana halangan tertentu ia tidak dapat dilaksanakan.

Jika kita membelek lembaran sejarah, idea pembentukan Malaysia disuarakan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra. Cadangan itu disuarakan Tunku ketika berucap dalam satu majlis untuk wartawan di Singapura pada 27 Mei 1961.

Tunku berpandangan, Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka tidak wajarnya bersendirian dan terasing. Ia perlu menjalin kerjasama dengan negara serumpun seperti Singapura dan negeri di Borneo yang menjadi wilayah jajahan British. Selain bertujuan untuk kestabilan politik dan ekonomi , ia juga diharapkan menjadi benteng membanteras ancaman komunis.

Hasrat Tunku mengenai penubuhan Malaysia mendapat reaksi positif dari Singapura. Bagaimanapun ramai juga yang masih kabur dan keliru terutama penduduk dari wilayah Borneo. Pada Julai 1961, cadangan itu dibincang buat pertama kali dalam persidangan Persatuan Parlimen Komanwel di Singapura. Persidangan itu disertai pemimpin dari Borneo, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam persidangan itu, wakil Sabah dan Sarawak mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia (MSCC) .

Bidang tugas jawatankuasa itu bagi mendapat pandangan rakyat mengenai pembentukan Malaysia, menyebarkan maklumat mengenai gagasan itu serta mengadakan perbincangan dan menerajui usaha mempercepatkan cadangan berkenaan.

Jawatankuasa berkenaan mengadakan empat kali mesyuarat. Kali pertama diadakan di Jesselton (Kota Kinabalu) pada Ogos 1961 dan di Kuching pada Disember 1961. Ia diikuti mesyuarat ketiga di Kuala Lumpur pada Januari 1962 manakala di Singapura pada Februari 1962.

Pada mesyuarat terakhir, sebuah memorandum yang dikenali sebagai 'Memorandum Malaysia' dikeluarkan. Memorandum itu menggariskan beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada Perlembagaan Malaysia. Jawatankuasa itu bersetuju Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 menjadi asas kepada perlembagaan baru.

Namun beberapa peruntukan khas diberikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak. Memorandum itu diserahkan kepada Suruhanjaya Cobbold.

Suruhanjaya Cobbold, sempena nama pengerusinya Lord Cobbold ditubuhkan melalui mesyuarat di antara pihak British dan Tanah Melayu. Suruhanjaya itu ditugaskan untuk mendapatkan pandangan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap pembentukan Malaysia dan cadangan lain yang terkandung dalam memorandum itu.

Daripada pertemuan yang diatur dan temu bual dengan penduduk, sebahagian besar bersetuju dengan penubuhan Malaysia.

Suruhanjaya itu mengemukakan laporan dan cadangan. Antaranya yang berkaitan dengan perlembagaan, agama rasmi, bahasa rasmi, hak istimewa penduduk Sabah dan Sarawak. Tarikh yang dicadangkan untuk penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963 mengambil sempena tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.

Di Singapura, pungutan suara diadakan dan ternyata rakyat Singapura bersetuju dengan percantuman Singapura dan Tanah Melayu. Bagaimanapun kemelut mula melanda apabila Indonesia mengumumkan konfrontasi terhadap penubuhan Malaysia. Ini diikuti dengan tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada Kesultanan Sulu.

Setelah pelbagai kemelut berjaya di atasi, rancangan awal penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963 terpaksa ditunda kepada 16 September 1963. Akhirnya pada tarikh itu, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak berjaya membentuk sebuah negara berdaulat bernama Malaysia. Akan tetapi, belum pun genap dua tahun penubuhannya, Singapura berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ternyata begitu rumit dan sukar jalan yang ditempuh pemimpin terdahulu untuk membentuk Malaysia. Kita yang menikmatinya tidak berasa getir itu. Jadi usaha KPKKW untuk memberi celik sejarah adalah langkah bijak. Alangkah eloknya bermula tahun hadapan, majlis penutup bulan kemerdekaan disatukan dengan sambutan penubuhan Malaysia dan dirayakan pada 16 September.

Amat wajar sekali pada tarikh keramat itu sejarah silam didendang khususnya pada generasi baru. Seperti kata ahli akademik, tanpa memahami sejarah negara, warga akan kurang mengerti apa yang sudah, sedang dan akan berlaku.

Semua pihak tanpa mengira fahaman politik patut memberi sokongan dengan menghadirkan diri pada 18 Oktober ini di Kota Kinabalu. Hadir sebagai tanda gembira kerana kebijaksanaan memimpin dulu, kita disatukan.

Wilayah Laut Hitam tarikan baru Turki


TURKI memang menarik untuk dikunjungi. Negara unik yang terletak di dua benua Asia dan Eropah itu bukan saja kaya sejarah tetapi juga keindahan alam semula jadi. Trabzon dan Gumushane antara dua daerah di Wilayah Laut Hitam, di Turki yang sedang dipromosikan untuk dilawati pengunjung luar negara.

Kini banyak kemudahan disediakan kerajaan negara itu termasuk menambah jumlah hotel dan kemudahan asas untuk pengunjung. Seperti kata Datuk Bandar Trabzon, Mehmet Volkan Canalioglu dan Datuk Bandar Gumushane, Enver Salihoglu, kerajaan sedang menambah hotel bertaraf dua hingga lima bintang bagi menarik pelancong yang semakin bertambah di kedua-dua daerah itu.

Antara tempat paling menarik dikunjungi di wilayah itu ialah kawasan pergunungan Zigana yang diisytiharkan sebagai kawasan pelancongan pada 1991. Kawasan luncur salji pada musim sejuk dan pelbagai aktiviti lain seperti paragliding pada musim lain diadakan di kawasan pergunungan itu.

Pada musim panas keadaan cuacanya masih nyaman dengan pemandangan yang sangat indah. Setakat ini kebanyakan yang datang ke kawasan itu adalah pelancong dalam negara.

Karaca Cave atau gua batu kapur Karaca berusia lebih 13,000 tahun terletak kira-kira 17 kilometer dari pusat bandar di Gumushane turut menjadi tumpuan. Keindahan stalegtait dan stalegmait itu dibuka kepada orang ramai pada 1996. Udara dalam gua batu kapur itu dikatakan boleh memulihkan penyakit asma. Sehingga April lalu, gua itu sudah dilawati kira-kira 6,000 pengunjung dalam dan luar negara.


Masa seminggu sebenarnya tidak cukup untuk anda melawat seluruh Turki kerana semua kawasan menarik terletak berjauhan antara satu sama lain. Bagi rakyat Turki yang tinggal di kota seperti Ankara, mereka akan mengambil kesempatan bercuti dalam negeri di Wilayah Laut Hitam untuk menikmati keindahan alam dan kehijauan yang tidak ada di bandar besar.

Satu lagi yang menakjubkan di wilayah itu ialah lebih 2,500 spesies floranya. Pastinya menarik jika mengunjungi Trabzon dan Gumushane pada musim bunga.

Selain keindahan alam, Trabzon juga terkenal kerana kraftangan daripada emas, perak dan tembaga selain pakaian tradisional Trabzon yang selalunya di pakai ke istana yang masih dikeluarkan menerusi kaedah tradisi.

Sebagai negara yang dikelilingi laut, wilayah itu terkenal dengan makanan laut segar. Antara ikan yang menjadi kegemaran rakyat negara itu dan sentiasa menjadi hidangan ialah trout dan hamsis. Pelbagai jenis masakan yang disediakan sama ada digoreng atau dibakar. Selain ikan, bebola daging juga menjadi antara menu utama dan sangat terkenal di kalangan penduduk Trabzon.


Keenakan ikan bilis yang menjadi keluaran terkenal di Trabzon bukan saja menjadi bualan malah dijadikan puisi selain diceritakan dalam buku bertajuk Hamsiname yang diterbitkan pada awal kurun ke-20. Banyak lagi resipi tradisi rakyat Turki yang sedap dan boleh dinikmati. Tapi kalau anda ke wilayah Laut Hitam jangan lupa merasa Kuymak, resipi tradisi warga Trabzon yang dimasak menggunakan butter dan keju.

Selain itu, Horon dan Kemence, tarian rakyat di wilayah itu juga amat menarik dan tidak wajar dilepaskan untuk melihatnya. Lagu yang mengiringi tarian mereka sungguh mengujakan menggambarkan keceriaan rakyatnya. Selalunya, pekerja hotel, tempat penginapan anda akan menarikan tarian rakyat ini sebagai tanda kegembiraan mereka menerima tetamu selain mengucapkan selamat pulang. Anda juga boleh bersama mereka menarikan tarian rakyat itu.

Satu lagi yang menarik mengenai Trabzon ialah pasukan bola sepaknya yang menjadi kebanggaan rakyat. Pasukan itu sering menjadi juara Liga Turki.

wilayah Laut Hitam ini ada segala-galanya dari sejarah, budaya, kraftangan, masakan, tarian rakyat malah pemandangan semula jadi. Selain Istanbul mungkin anda mahu melawat kedua-dua wilayah yang jaraknya tidak sampai dua jam dari Istanbul menaiki pesawat dan mendapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Trabzon.

Info
Wilayah Laut Hitam



Meliputi 18 peratus daripada Turki.


Pendapatan penduduk daripada pertanian.


Jagung dan hazelnut menjadi tanaman utama.


Menghasilkan satu pertiga daripada tanaman jagung di Turki.

Penawar Gangguan Syaitan

Hakikat kewujudan syaitan, jin dan makhluk halus adalah ketetapan yang wajib diyakini. Malah, untuk mengatasi masalah membabitkan gangguan daripada alam ghaib sudah disediakan menerusi ayat yang diturunkan Allah dalam kitab suci al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: "Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini sebenarnya tidak ada sebarang keraguan (sebagai sesuatu yang datangnya daripada Allah dan sempurnanya); kemudian ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa. Iaitu golongan yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 1-3)

Justeru, sebagai memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, penuntut ijazah bidang Usuluddin hadis di Universiti Al-Azhar Mesir, Mohd Toha Hassan Azhari terpanggil untuk berkongsi pengalaman melakukan penyelidikan dan kajian mengenai amalan mengubati sihir dengan ayat Ruqyah.

Beliau yang baru menghasilkan cakera padat Ayat-Ayat Ruqyah, iaitu ayat penawar sihir dan gangguan makhluk halus dengan kerjasama Inteam Records Sdn Bhd berkata, ayat itu sudah disusun ulama dalam usaha menghalang jin daripada mengganggu manusia.

"Sebenarnya memang ayat ini sudah lama digunakan untuk merawat gangguan syaitan, jin serta makhluk halus, tetapi mungkin ramai tidak mengetahuinya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bagi saya berkongsi pengetahuan bagi menangani masalah histeria yang berlaku kebelakangan ini.

"Sesetengah orang Islam lebih cenderung pergi jumpa bomoh atau pawang untuk mengubati sihir dan histeria tanpa mengetahui dengan pasti jampi serapah digunakan. Apa yang diketengahkan ialah ayat daripada al-Quran untuk diamalkan bagi mengelak gangguan makhluk halus," katanya.

Beliau yang berpengalaman mengubati pelajar terkena sihir berkata, kebanyakan gangguan yang berlaku adalah benar dan bukan lakonan pihak berkenaan kerana tidak ada faedah untuk seseorang berlagak seperti dirasuk atau diganggu makhluk halus.

Malah, pengalaman berdepan serta berdialog dengan jin mewujudkan rasa seram dalam hati, tetapi mengenangkan hasratnya adalah untuk membantu memulihkan mereka yang terkena sihir serta gangguan jin, perasaan itu diketepikan.

Menjelaskan mengenai minat mendalami ilmu mengubati penyakit akibat gangguan syaitan dan makhluk halus, anak tokoh terkenal dalam bidang al-Quran, Datuk Hassan Azhari, mengakui pengalaman bapanya sebagai pendorong.

Selain ilmu diajar bapanya, beliau turut mempelajari ilmu berkenaan daripada bacaan dan antara buku menjadi teman setianya hari ini ialah Buku Pendinding Manusia Daripada Gangguan Jin dan Syaitan serta Pedang Yang Tajam hasil tulisan Wahid Abdul Salam Bali.

Satu lagi buku yang dianggap sebagai direktori lengkap mengandungi panduan dan ayat al-Quran yang turut dijadikan rujukan ialah Petunjuk untuk Pengubat Daripada Gangguan Jin hasil karya Riyadh Mohammad Samahah

Mohd Toha berkata, punca sihir adalah gangguan syaitan, jin dan makhluk halus terhadap mereka yang lemah iman, tidak beramal dengan ajaran Islam atau menjadi mangsa pihak yang sakit hati serta menyimpan perasaan dendam.

Bagi histeria katanya, tidak mustahil perkara itu berlaku kerana dihantar oleh pihak tertentu dan alasan lain ialah manusia mengganggu tempat tinggal makhluk halus itu sedangkan hak mereka sewajarnya dihormati.

"Kita tidak mahu amalkan ilmu. Contohnya dalam tujuan mendirikan sekolah ada perkara perlu dilaksanakan seperti melihat kesesuaian kawasan untuk membina bangunan. Apabila terjadi perkara tidak diingini baru kita nak ambil peduli sedangkan dari awal kita sudah boleh mencegahnya.

"Begitu juga dengan ibu bapa, jangan ambil remeh soal azan di telinga anak yang baru lahir. Tidak dinafikan ada ibu bapa jahil menyebabkan anak yang lahir tidak mendengar bisikan nama Allah, maka membesarlah anak mendengar bisikan syaitan," katanya.

Katanya, sejarah sihir bermula pada zaman Nabi Sulaiman dan kisah itu dijelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 102, di mana syaitan menggunakan ilmu sihir yang akibatnya jelas membahayakan umat manusia untuk diajarkan kepada tukang tilik.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan sewajarnya ayat Ruq-yah yang ada dalam 15 surah terpilih dalam al-Quran dijadikan amalan harian bukan saja sebagai pendinding untuk diri, malah sekolah serta rumah supaya terhindar daripada gangguan makhluk halus atau sihir.

Cakera padat dan album Ayat-Ayat Ruqyah adalah himpunan potongan ayat al-Quran yang menjadi doa khusus untuk mengubati sihir dan gangguan makhluk halus. Ayat itu dimulakan dengan surah al-Fatihah diikuti ayat terpilih surah al-Baqarah. Ayat lain daripada surah al-A'raf, Yunus, Taha, al-Mukminun, as-Saffat, al-Ahqaf, ar-Rahman, al-Hasyr, al-Jin dan surah tiga Qul.

Pada masa sama, Mohd Toha mengingatkan umat Islam supaya mengelakkan daripada berjumpa dengan bomoh yang tidak diketahui latar belakang cara rawatan serta jampi diamalkan bagi mengelak daripada tertipu hingga ada yang terpedaya menjadi mangsa rogol bomoh berkenaan.

Sebagai cadangan, beliau meminta pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) mengiktiraf pusat perubatan Islam yang sah supaya tidak timbul rasa ragu-ragu di kalangan pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.

INFO
Sembilan jenis sihir



Tafriq (sihir yang memisahkan suami isteri): Akibat sihir ini timbul perasaan marah dan benci. Apabila isteri tengok suami, pada pandangannya muka suami seperti hantu, begitu juga apabila suami melihat isteri.


Al-Mahabbah: Sihir ini dibuat oleh isteri kepada suami supaya suami taat, terutama jika suami kaya dan mempunyai banyak harta.


Takhayyul (sihir ini menyebabkan orang yang terkena sentiasa berkhayal): Mereka yang terkena sihir ini juga sering berimaginasi benda kecil, tetapi pada pandangannya ia besar.


Al-Junun (menjadi seorang yang tersangat lupa dan tersasul): Apabila orang yang terkena sihir ini bercakap, matanya terbeliak. Mereka juga tidak tetap di satu tempat dan saling bertukar kerja. Kerap dilihat merayap tanpa hala tuju dan tinggal di rumah kosong.


Al-Khumul: Mereka yang terkena sihir ini lebih suka bersendirian untuk tempoh masa panjang. Mereka juga benci pada perhimpunan, sentiasa dalam keresahan dan lambat melakukan sebarang pekerjaan.


Al-Hawatif: Sihir ini membuat seseorang itu mengalami mimpi ngeri, berasa diseru dalam mimpi dan mendengar suara bercakap ketika berjaga. Banyak waswas dan mereka yang terkena sihir ini banyak syak wasangka dengan orang yang rapat atau disayangi.


Al-Marad (sakit): Orang yang terkena sihir ini akan sentiasa sakit anggota badan, tubuh jadi kaku dan anggota tidak berfungsi secara tiba-tiba.


Nazif: Sihir ini berlaku pada orang mengalami darah istihadah (darah yang keluar selepas melewati tempoh darah haid). Apabila disihir, darah akan keluar secara berterusan hingga berbulan-bulan.


Ta'til tawaj: Sihir untuk rosakkan perkahwinan seseorang. Disebabkan sihir ini, wanita takut hendak kahwin, mudah marah, lupa dan kurang syahwat.

Rabu, Oktober 01, 2008

Islam memenuhi tuntutan fitrah manusia sejak awal dicipta

Kehadiran dua bulan berkat Ramadan dan Syawal sememangnya dinantikan umat Islam sedunia. Ramadan adalah bulan ujian dan Syawal membawa bersamanya perayaan Aidilfitri meraikan kejayaan umat Islam melalui ujian Ramadan.

Sesuai dengan namanya, Aidilfitri adalah perayaan bagi meraikan tuntutan fitrah anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Fitrah makan dan minum, berkasih-sayang, menghubungkan silaturahim, mencintai keharmonian melalui tradisi bermaaf-maafan, berhias-hiasan serta kasih mengasihi sesama manusia tanpa mengenal darjat, taraf dan bangsa.

Aidilfitri adalah suatu hari di mana fitrah diraikan dan disyukuri. Islam tidak menjadikan keperluan beragama sebagai suatu yang misteri di benak manusia, permusuhan dan dendam sebagai akhlak dan undang-undang kehidupan, kemiskinan serta kemelaratan sebagai disiplin agama, mahupun kasta dan status sosial sebagai suatu sistem kemasyarakatan.

Islam sesungguhnya adalah agama yang memelihara tuntutan fitrah manusia sehingga diwujudkan suatu hari istimewa untuk meraikannya. Menariknya, meraikan fitrah tidak akan menjejaskan kredibiliti iman seseorang, sebaliknya meninggalkan fitrah dianggap suatu pengkhianatan besar terhadap agama.

Namun, berapa ramaikah daripada kita menyedari hakikat itu sedangkan inilah dia semangat fitrah yang seharusnya diketahui, dirai dan dihayati umat Islam semua lebih-lebih lagi pada Aidilfitri yang mulia.

Allah menegaskan bahawa ‘fitrah’ adalah ‘ketetapan’ Allah yang ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam al-Ghazali, Ismail Raji al-Faruqi dan Sayyed Naquib al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka.

Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.

Dalam konteks ini, al-Quran menjelaskan fitrah sebagai agama hanif, agama yang lurus, agama pertama ditakdirkan untuk dianuti seluruh manusia. Tidak hairanlah mengapa manusia mempunyai potensi yang asli terhadap nilai positif sejagat sememangnya didukung agama pertama itu.

Perbincangan mengenai Aidilfitri, sewajarnya umat Islam merenung kembali sejauh manakah Aidilfitri diraikan pada suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.

Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang pada Ramadan lalu.

Berpakaian baru dan menghias kediaman sekadar menunjuk-nunjuk. Ziarah menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan sosial.

Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk di rumah menonton rancangan menarik disajikan. Dari sudut ekstrim, ada antara kita memilih memulakan puasa sunat seawal dua Aidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah menziarahi yang digalakkan pada Aidilfitri.

Sementara warga kota yang pulang ke kampung memandu kenderaan, berlumba-lumba di jalan raya dan seterusnya mengubah Aidilfitri menjadi hari yang ditangisi bukan dirai.

Sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat Allah kepada umat Islam. Dari sudut sejarah, Allah menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan yang mulia iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Melalui perayaan itu, syiar keagungan Islam disebarkan terutama apabila takbir dan tahmid berkumandang. Aidilfitri adalah hari persaudaraan dan kegembiraan dalam suasana mentauhidkan Allah, memenuhi tuntutan fitrah manusia sebahagian daripada keperluan agama yang perlu disyukuri.

Perlu diingat, fitrah manusia cenderung kepada kesederhanaan. Kewajipan mengeluarkan zakat fitrah mengingatkan individu Muslim hakikat bahawa persaudaraan Islam menganjurkan umatnya bersifat prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan.

Dalam konteks ini, perkongsian bukan saja dari sudut mata benda, malah perasaan. Menunaikan zakat fitrah menyucikan jiwa si kaya daripada perasaan tamak dan bongkak, menyucikan jiwa si miskin daripada perasaan dengki dan iri.

Menanam antara dua jiwa rasa kasih, hormat dan seterusnya menimbulkan persaudaraan serta perpaduan. Ditambah pula apabila umat Islam berduyun-duyun berhimpun mendengar khutbah yang dibacakan imam dan bersama menunaikan solat sunat hari raya.

Uniknya Islam yang menyatukan amalan duniawi dan ukhrawi di bawah naungan tauhid. Semoga Aidilfitri menginsafkan kita hakikat keistimewaan agama fitrah ini.

Amaran Mengenai Swiss Cash Atau Swiss Mutual Fund

Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ingin memaklumi orang ramai bahawa Swiss Mutual Fund, sebuah syarikat yang mempromosikan dana Swiss Cash, tidak mempunyai lesen atau dikecualikan daripada keperluan mendapat lesen daripada Bank Negara Malaysia untuk menerima deposit. Syarikat ini juga tidak diberi lesen oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk menjalankan aktiviti atau perkhidmatan pengurusan aset di Malaysia. Dana Swiss Cash yang dipromosikan oleh Swiss Mutual Fund tidak mendapat kelulusan atau pengesahan daripada Suruhanjaya Sekuriti.

Dana Swiss Cash ialah program pelaburan berasaskan internet yang dipromosikan oleh Swiss Mutual Fund, sebuah syarikat pengurusan dana yang mendakwa ia berdaftar di luar negeri, dan peluang pelaburan dalam dana itu ditawarkan melalui Internet dan ejen tempatan.

Orang ramai hendaklah melabur melalui institusi yang diberi lesen oleh pihak berkuasa sahaja. Sekiranya terdapat keraguan, orang ramai perlu menyemak dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti atau pihak berkuasa lain yang berkaitan mengenai status pelesenan syarikat tempatan atau asing yang berkenaan sebelum membuat sebarang pelaburan.

Orang ramai boleh menghubungi Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia untuk membuat sebarang pertanyaan mengenai dana itu:

Jabatan Aduan, Suruhanjaya Sekuriti
Tel: 03 6204 8999
Fax: 03 6204 8991
E-mail: aduan@seccom.com.my

Bank Negara Malaysia
Tel: 03 2691 0824 / 2692 6482 / 2698 2810 / 2694 2143
Fax: 03 2698 7467
E-mail: info@bnm.gov.my

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti
5 September 2006

Recent Posts