Caj 3 peratus PTPTN jika liat bayar

Peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal menyelesaikan pinjaman mereka mengikut jadual sehingga 31 Mei lalu, tidak akan menikmati pengurangan caj perkhidmatan satu peratus.

Sebaliknya, mereka akan dikenakan caj pinjaman pada kadar lama iaitu tiga peratus atau lima peratus sehingga mereka membayar balik jumlah keseluruhan sehingga tarikh itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani, berkata pihaknya hanya akan meluluskan permohonan (menurunkan kadar caj perkhidmatan) individu yang membuat pembayaran balik mengikut jadual sehingga 31 Mei lalu.

"Walaupun surat tawaran diserahkan kepada mereka mulai 1 Januari 2009,tidak bermakna mereka layak menerima pengurangan caj perkhidmatan kepada satu peratus. Ia hanya proses menukar perjanjian lama kepada baru.

"Semua permohonan (untuk satu peratus) akan ditapis terlebih dulu dengan melihat kepada jumlah pembayaran mereka. Mereka yang membayar mengikut kadar ditetapkan sehingga 31 Mei lalu, layak menerima pengurangan caj.

"Bagi yang gagal membayar mengikut jadual, mereka tetap dikenakan caj perkhidmatan lama dan hanya boleh menikmati caj baru selepas selesai membayar pinjaman perlu dibayar bagi tempoh sama," katanya baru-baru ini.

Ogos lalu, kerajaan mengumumkan penurunan caj perkhidmatan PTPTN kepada satu peratus berbanding tiga peratus bagi pelajar diploma dan ijazah sarjana muda serta lima peratus untuk pelajar ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) sebelum itu.

Langkah itu juga bertujuan bagi meringankan beban pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) selain meningkatkan kadar kutipan lebih ramai pelajar pada masa depan dapat dibiayai PTPTN.

Sehingga kini, kadar pinjaman tertunggak direkodkan RM1.9 bilion membabitkan 563,494 orang. Jumlah pinjaman dikeluarkan pula RM16.7 bilion membabitkan 1.25 juta peminjam.

Mengulas lanjut, Yunos berkata, adalah tidak adil untuk memberikan 'keistimewaan' kepada orang yang gagal membayar balik pinjaman dengan sempurna berbanding individu membayarnya mengikut jadual.

"Peminjam yang tidak membayar pinjaman mungkin sudah menjadi kaya kerana mungkin menggunakannya untuk melabur. Mereka yang membayar dengan tepat pula tidak mendapat apa-apa.

"Sebab itu, kami hanya memberi keistimewaan ini kepada peminjam yang membayar dengan disiplin kerana ia lebih adil," katanya.

Beliau menegaskan, keengganan peminjam membayar balik pinjaman mengikut jadual hanya merugikan walaupun selepas mereka layak kerana perlu membayar jumlah yang tinggi bagi baki tempoh pembayaran balik.

"Suka dimaklumkan kami tidak akan melanjutkan tempoh kontrak pembayaran balik peminjam walaupun surat perjanjian baru ditandatangani. Tempohnya sama seperti ketika mula-mula dipersetujui.

"Katakan tempoh bayaran balik peminjam yang dikehendaki bermula pada 2005 untuk 10 tahun, maka mereka hanya ada baki tujuh tahun mulai tahun ini.

"Jadi, mereka yang membayar mengikut jadual akan menerima 'nikmat' iaitu jumlah perlu dibayar semakin berkurangan dengan tempoh pembayaran agak panjang. Bagi yang ingkar, jumlah perlu dibayar mungkin tinggi dengan tempoh membayar balik lebih singkat," katanya. Caj 3 peratus PTPTN jika liat bayar

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.