Kebijaksaan pemimpin dahulu satukan rakyat Malaysia

Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) melihat tarikh 16 September itu cukup penting. Ia bukan saja dapat dikaitkan dengan warisan negara iaitu penubuhan Malaysia, tetapi tarikh itu disambut sempena berakhirnya Bulan Kemerdekaan Negara yang dirayakan sejak 18 Ogos lalu.

Walaupun hasrat Kementerian sudah lama dirancang majlis itu pada tahun ini tidak dapat diadakan. Pertama kerana 16 September jatuh pada Ramadan dan tentunya tidak sesuai untuk mengadakan majlis besar-besaran pada siang hari. Kedua, parti pembangkang pula `menumpang' tarikh itu kononnya tarikh peralihan kuasa pemerintahan negara.

Bagaimanapun, tarikh penubuhan Malaysia tetap penting dalam lipatan sejarah KPKKW. Apatah lagi 16 September 2008, genap 45 tahun Persekutuan Malaysia dibentuk. Kementerian ingin merayakan dan mahu rakyat mengingati tarikh keramat itu. Majlis penutupan Bulan Kemerdekaan Negara pula biasanya berakhir pada 17 September kali ini digabungkan dengan penubuhan Malaysia 16 September.

Jadi tahun ini KPKKW mengadakan sambutan penubuhan Malaysia pada 18 Oktober bagi menggantikan majlis penutup bulan kemerdekaan. Ia akan diadakan di Kota Kinabalu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka hadir.

Jadi apabila KPKKW mengadakan acara sempena penubuhan Malaysia, parti politik pembangkang tidak boleh mendakwa itu idea mereka. Ini kerana KPKKW sudah lama merancang tetapi kerana halangan tertentu ia tidak dapat dilaksanakan.

Jika kita membelek lembaran sejarah, idea pembentukan Malaysia disuarakan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra. Cadangan itu disuarakan Tunku ketika berucap dalam satu majlis untuk wartawan di Singapura pada 27 Mei 1961.

Tunku berpandangan, Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka tidak wajarnya bersendirian dan terasing. Ia perlu menjalin kerjasama dengan negara serumpun seperti Singapura dan negeri di Borneo yang menjadi wilayah jajahan British. Selain bertujuan untuk kestabilan politik dan ekonomi , ia juga diharapkan menjadi benteng membanteras ancaman komunis.

Hasrat Tunku mengenai penubuhan Malaysia mendapat reaksi positif dari Singapura. Bagaimanapun ramai juga yang masih kabur dan keliru terutama penduduk dari wilayah Borneo. Pada Julai 1961, cadangan itu dibincang buat pertama kali dalam persidangan Persatuan Parlimen Komanwel di Singapura. Persidangan itu disertai pemimpin dari Borneo, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam persidangan itu, wakil Sabah dan Sarawak mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia (MSCC) .

Bidang tugas jawatankuasa itu bagi mendapat pandangan rakyat mengenai pembentukan Malaysia, menyebarkan maklumat mengenai gagasan itu serta mengadakan perbincangan dan menerajui usaha mempercepatkan cadangan berkenaan.

Jawatankuasa berkenaan mengadakan empat kali mesyuarat. Kali pertama diadakan di Jesselton (Kota Kinabalu) pada Ogos 1961 dan di Kuching pada Disember 1961. Ia diikuti mesyuarat ketiga di Kuala Lumpur pada Januari 1962 manakala di Singapura pada Februari 1962.

Pada mesyuarat terakhir, sebuah memorandum yang dikenali sebagai 'Memorandum Malaysia' dikeluarkan. Memorandum itu menggariskan beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada Perlembagaan Malaysia. Jawatankuasa itu bersetuju Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 menjadi asas kepada perlembagaan baru.

Namun beberapa peruntukan khas diberikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak. Memorandum itu diserahkan kepada Suruhanjaya Cobbold.

Suruhanjaya Cobbold, sempena nama pengerusinya Lord Cobbold ditubuhkan melalui mesyuarat di antara pihak British dan Tanah Melayu. Suruhanjaya itu ditugaskan untuk mendapatkan pandangan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap pembentukan Malaysia dan cadangan lain yang terkandung dalam memorandum itu.

Daripada pertemuan yang diatur dan temu bual dengan penduduk, sebahagian besar bersetuju dengan penubuhan Malaysia.

Suruhanjaya itu mengemukakan laporan dan cadangan. Antaranya yang berkaitan dengan perlembagaan, agama rasmi, bahasa rasmi, hak istimewa penduduk Sabah dan Sarawak. Tarikh yang dicadangkan untuk penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963 mengambil sempena tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.

Di Singapura, pungutan suara diadakan dan ternyata rakyat Singapura bersetuju dengan percantuman Singapura dan Tanah Melayu. Bagaimanapun kemelut mula melanda apabila Indonesia mengumumkan konfrontasi terhadap penubuhan Malaysia. Ini diikuti dengan tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada Kesultanan Sulu.

Setelah pelbagai kemelut berjaya di atasi, rancangan awal penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963 terpaksa ditunda kepada 16 September 1963. Akhirnya pada tarikh itu, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak berjaya membentuk sebuah negara berdaulat bernama Malaysia. Akan tetapi, belum pun genap dua tahun penubuhannya, Singapura berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ternyata begitu rumit dan sukar jalan yang ditempuh pemimpin terdahulu untuk membentuk Malaysia. Kita yang menikmatinya tidak berasa getir itu. Jadi usaha KPKKW untuk memberi celik sejarah adalah langkah bijak. Alangkah eloknya bermula tahun hadapan, majlis penutup bulan kemerdekaan disatukan dengan sambutan penubuhan Malaysia dan dirayakan pada 16 September.

Amat wajar sekali pada tarikh keramat itu sejarah silam didendang khususnya pada generasi baru. Seperti kata ahli akademik, tanpa memahami sejarah negara, warga akan kurang mengerti apa yang sudah, sedang dan akan berlaku.

Semua pihak tanpa mengira fahaman politik patut memberi sokongan dengan menghadirkan diri pada 18 Oktober ini di Kota Kinabalu. Hadir sebagai tanda gembira kerana kebijaksanaan memimpin dulu, kita disatukan. Kebijaksaan pemimpin dahulu satukan rakyat Malaysia

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.