Misteri Fail X (UFO)

MISTERI kewujudan objek terbang yang tidak dikenali (UFO) dan makhluk asing terus menjadi topik menarik untuk dibincangkan dalam mana-mana forum, sekalipun di warung kopi. Mungkin ramai enggan mempercayai kewujudan entiti ini, namun topik berkisar UFO dan makhluk asing tanpa disangkal mengundang fantasi dan ketaksuban manusia untuk mengkajinya.

Daripada misteri Area 51 di Tasik Papoose, Nevada, Amerika Syarikat (AS) yang dikatakan menjadi markas makmal penyelidikan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengkaji kapal angkasa dan makhluk asing, hinggalah laporan penemuan terbaru UFO seperti yang berlaku di St Athan, berhampiran Cardiff, United Kingdom (UK), baru-baru ini, kedua-dua entiti ini ‘menakluki’ pemikiran manusia.

Di Malaysia, laporan penemuan beberapa objek UFO seperti di Tanjung Sepat, Banting, Selangor pada 1995 misalnya, jelas mencetus fenomena. Asia yang dikatakan jarang ‘dilawati’ UFO berbanding negara lain seperti di Eropah dan AS, tidak terlepas terkena tempias dan penangan makhluk hijau ini. Apakah UFO benar-benar wujud? Adakah mereka juga makhluk Tuhan seperti manusia?

Jika persoalan inilah yang membelenggu pemikiran anda, apa kata berkunjung ke pameran makhluk asing paling komprehensif pernah dianjurkan di Malaysia iaitu Pameran Sains Makhluk Asing di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh. Sempena cuti Aidilfitri ini, mungkin ada baiknya mencabar minda si kecil bagi mendekati misteri UFO dan makhluk asing.

Pameran lima bulan yang dijangka berakhir 22 Januari depan, menggabungkan minat mendalam manusia mengenai kehidupan di planet lain selain merakamkan penemuan baru saintis ternama dalam usaha membezakan antara fakta dan fiksyen sains.

Pameran Sains Makhluk Asing ini terbahagi kepada empat zon. Pameran ini menampilkan makhluk asing dan landskap dalam persekitaran yang menarik, penuh interaktif dan canggih. Pengalaman ini tentunya membuka mata dan membolehkan pengunjung merasai pengalaman hebat dalam menyelesaikan misteri ‘apa yang di luar sana'.

Jika anda peminat filem sains fiksyen membabitkan makhluk asing seperti The Close Encounter of Third Kind atau ET, anda tentu memahami ketaksuban manusia mencari kebenaran kewujudan UFO dan makhluk asing. Bagi individu fanatik yang mencari-cari jawapan, imej kepala botak dan mata hitam besar mungkin sentiasa berlegar dalam fikiran.

Zon pertama Pameran Sains Makhluk Asing membabitkan fiksyen sains yang banyak dilihat dalam filem, televisyen dan cerita sastera. Sebagai contoh, filem Aliens yang mengemukakan pelbagai makhluk asing.

Zon kedua mengenai beberapa jenis hidupan pelik tetapi benar yang wujud di persekitaran ekstrim di bumi. Zon ketiga pula memaparkan dua planet hasil imaginasi saintis yang menjadi habitat makhluk asing, Aurelia dan Blue Moon. Zon keempat paling istimewa kerana pengunjung berpeluang menghantar mesej kepada kehidupan lain di angkasa lepas.

Pengarah Eksekutif WellAd Communications. Sabariah Daud berkata, Pameran Sains Makhluk Asing menjanjikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung.

“Sejak dibuka pada 23 Ogos yang lalu, pameran ini berjaya menarik minat kira-kira 4,000 pengunjung dari seluruh negara. Kami amat berbesar hati dengan sambutan yang diberi,” katanya sambil menambah maklum balas yang diterima daripada pengunjung juga amat positif.

Sabariah berkata, harga tiket yang mampu dibeli membolehkan golongan kanak-kanak dan dewasa menikmati pengembaraan hebat ke angkasa. Beliau berkata, ini tentunya mencabar minda kanak-kanak dan memberi inspirasi meneroka ilmu sains makhluk asing.

“Kami percaya, usaha sama antara Kementerian Pelancongan Malaysia dan kerajaan negeri Melaka ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak lagi pameran yang seumpamanya demi kepentingan kepada rakyat Malaysia.

“Kita sedang menimbang untuk membawa banyak lagi pameran ke Malaysia seperti The Science of Survival, The Science of Spying, Ice Station in Antartica, Leonardo da Vinci Machine dan banyak lagi,” katanya.

Info Paparan Zon Pameran



Zon 1



Fiksyen makhluk asing melihat ketaksuban manusia terhadap dunia yang tidak diketahui, menyelongkar tentang makhluk asing yang pernah dikenali dari filem, televisyen dan cerita sastera.


Pengunjung akan mengetahui bagaimana manusia sebenarnya sudah lama taksub dengan kewujudan makhluk asing melalui kisah dongeng dan mitos.


Pengunjung juga dapat bersemuka dengan Permaisuri Makhluk Asing (dari filem Aliens arahan James Cameron) serta beberapa jenis makhluk yang menakutkan, comel dan pintar.

Zon 2


Sains makhluk asing mengkaji beberapa jenis hidupan yang pelik tetapi wujud di persekitaran yang ekstrem di bumi sebelum meneruskan pengembaraan saintifik ke angkasa.


Pengunjung dibawa melihat evolusi bumi untuk mengetahui apa yang dilakukan saintis bagi mencari kemungkinan kewujudan makhluk asing.


Pengunjung boleh mempelajari proses evolusi kehidupan yang mengagumkan, sistem suria dan masa depan astronomi selain penemuan spesimen mengerikan dari dasar laut yang membolehkan saintis memahami kemungkinan kehidupan makhluk asing.

Zon 3


Dunia makhluk asing memaparkan dua planet hasil imaginasi saintis yang menjadi kediaman makhluk asing, Aurelia dan Blue Moon.


Menggunakan bukti saintifik yang dikumpul dari Zon 2, pakar saitifik membayangkan jenis kehidupan yang mampu berevolusi di dua dunia fiksyen ini. Namun tidak mustahil dari segi saintifik.


Di sini, landskap besar menunjukkan pengalaman interaktif terkini kepada para pengunjung dengan makhluk. Ini membolehkan pengunjung memahami sains dan sifat yang mempengaruhi proses evolusi melalui cara memburu dan bersembunyi. Ini kali pertama revolusi interaktif sebegini dianjurkan di rantau ini.

Zon 4




Zon khusus membabitkan komunikasi makhluk asing mengkaji pencarian saintifik yang berterusan dengan mendengar isyarat dan gelombang bunyi dari angkasa lepas.


Kajian menunjukkan bagaimana saintis cuba berkomunikasi dengan makhluk asing. Pengunjung juga boleh mendengar bunyi dari angkasa dan paling menarik, berpeluang untuk menghantar mesej kepada kehidupan lain di angkasa lepas. Mana tahu, mesej anda mungkin dijawab?




Tiket : RM8 bagi dewasa, RM4 bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 18 tahun dan RM20 pakej sekeluarga. Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 014-3642212/2232


Waktu Pameran : 11 pagi hingga 7 malam (Isnin hingga Jumaat) 11 pagi hingga 9 malam (Sabtu dan Ahad)



Fakta

Antara penemuan UFO di Malaysia


Oktober 1995: penduduk di Tanjung Sepat Banting, Selangor, mendakwa melihat tiga objek UFO empat kali sebulan.


14 Januari 1996: sekumpulan peneroka Gugusan Felda Maokil, Labis, Johor, gempar melihat sejenis objek di angkasa berbentuk kipas angin mengeluarkan cahaya terang.


21 Februari 1996: penduduk Kampung Parit Awang, Yong Peng, Johor, mendakwa melihat objek bercahaya di ruang udara kira-kira jam 11.30 malam.


26 Mei 1999: seorang penduduk melihat objek bercahaya kebiru-biruan di udara dan cuba mendarat di Gunung Baling.


6 Mac 2000: kira-kira 1,000 penduduk Kampung Gobek, Tanah Merah, Kelantan gempar dengan dakwaan bahawa satu objek mendarat di kawasan tanah lapang berpaya, di kampung itu pada jam 3pagi.


22 Oktober 2000: penduduk Taman Cheras Utama Kuala Lumpur, selesai menunaikan solat Subuh gempar melihat dua objek berputar di angkasa yang mengeluarkan cahaya selama setengah jam.


15 Mei 2004: penduduk di Teluk Kemang, Port Dickson dan Rantau, turut melihat dua objek bujur bercahaya kehijauan menyerupai UFO berlegar di udara. Misteri Fail X (UFO)

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.