Memaparkan catatan dengan label tol percuma. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tol percuma. Papar semua catatan

Rabu, Februari 07, 2024

Tol percuma dua hari sempena Tahun Baru Cina 2024


Pengguna lebuh raya membabitkan Kenderaan Kelas 1 (Kenderaan Persendirian) akan menikmati pengecualian bayaran tol selama dua hari pada esok, 8 Februari dan Jumaat, 9 Februari, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, kemudahan tol percuma itu diberikan hasil persetujuan dicapai melalui mesyuarat Jemaah Menteri.

Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 Februari 2024 (Khamis) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 Februari 2024 (Jumaat) di mana implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.

"Pengecualian tol akan diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (Kenderaan Persendirian) sahaja di semua plaza tol, kecuali di sempadan negara iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

KKR berkata, pelaksanaan pemberian tol percuma ini diharapkan dapat dimanfaatkan pengguna lebuh raya dengan merancang perjalanan sewajarnya dan dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

"Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta," katanya.

KKR turut menasihatkan pengguna untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch 'n Go serta eWallet adalah mencukupi.

Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook : Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Disember 21, 2023

Tol percuma 23 dan 26 Disember 2023

 


Pengguna lebuh raya membabitkan semua jenis kenderaan akan menikmati pengecualian bayaran tol selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Selasa ini, bersempena sambutan Krismas.

Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui kenyataan memaklumkan, kemudahan tol percuma itu diberikan hasil persetujuan dicapai melalui mesyuarat pihaknya bersama syarikat konsesi.

"Selaras semangat perpaduan Malaysia MADANI, kerajaan bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari kepada pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena sambutan Krismas.

"Ia akan membabitkan semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Johor Darul Takzim," katanya.

KKR berkata, pemberian tol percuma ini diharapkan dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan menyambut Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.

"Ini juga selari hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

"Pemilihan tarikh ini juga bertujuan mengelak penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar, serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang membabitkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya," katanya.

KKR berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan disyorkan.

Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook LLM atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

Selasa, April 26, 2022

Tol percuma dan diskaun di 30 lebuh raya

 


Tol percuma serta potongan harga hingga 50 peratus akan diberikan kepada pengguna lebuh raya utama negara bermula jam 12 tengah malam Sabtu ini 30 April hingga 11.59 malam Ahad ini 1 Mei 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata persetujuan yang dicapai selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya itu bakal membabitkan manfaat keseluruhan RM77.11 juta. Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.

Ismail Sabri berkata, langkah kerajaan memperuntukkan dana untuk tol percuma dan diskaun itu selaras fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu dan sempena sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei depan.

Pemberian tol percuma membabitkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT).

Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April ini sehingga jam 11:59 malam pada 1 Mei depan, kepada semua kelas kenderaan," katanya menerusi kenyataan.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Ismail Sabri berkata pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara– Selatan dan LPT juga akan diberikan ketika orang ramai dalam perjalanan pulang ke kediaman masing-masing.

Jelasnya, ia akan mula berkuat kuasa pada jam 12 tengah malam, 7 Mei depan hingga jam 11:59 malam keesokan harinya untuk semua kelas kenderaan.

Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama-sama orang tersayang.

Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya khususnya golongan berpendapatan rendah.

Pada masa sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya, katanya.

Sumber dari Berita Harian