Khamis, Disember 21, 2023

Tol percuma 23 dan 26 Disember 2023

 


Pengguna lebuh raya membabitkan semua jenis kenderaan akan menikmati pengecualian bayaran tol selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Selasa ini, bersempena sambutan Krismas.

Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui kenyataan memaklumkan, kemudahan tol percuma itu diberikan hasil persetujuan dicapai melalui mesyuarat pihaknya bersama syarikat konsesi.

"Selaras semangat perpaduan Malaysia MADANI, kerajaan bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari kepada pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena sambutan Krismas.

"Ia akan membabitkan semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Johor Darul Takzim," katanya.

KKR berkata, pemberian tol percuma ini diharapkan dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan menyambut Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.

"Ini juga selari hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

"Pemilihan tarikh ini juga bertujuan mengelak penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar, serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang membabitkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya," katanya.

KKR berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan disyorkan.

Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook LLM atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.