Memaparkan catatan dengan label lebuhraya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lebuhraya. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 26, 2023

Lebuh Raya SPE dibuka 1 November 2023

 


Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expessway (SPE) dijangka dibuka secara rasmi kepada umum pada 1 November ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata lebuh raya itu sudah 99 peratus siap namun beberapa fasiliti seperti kemudahan tandas awam, lampu jalan membabitkan bekalan elektrik serta sistem kutipan tol dalam persiapan akhir.

"Saya memahami kegusaran pengguna jalan raya yang memohon laluan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) dibuka secepat mungkin bagi membantu menyuraikan masalah kesesakan trafik di beberapa kawasan di Kuala Lumpur," katanya menerusi catatan pada akaun Facebook miliknya hari ini.

Menurut Nanta Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa meletakkan keutamaan dalam memberikan kemudahan infrastruktur jalan raya kepada pengguna, namun tidak berkrompomi dengan faktor keselamatan.

Atas dasar itu, katanya, kementeriannya mengarahkan syarikat konsesi supaya memastikan setiap faktor spesifikasi dan kemudahan di laluan berkenaan lengkap dan sempurna sepenuhnya.

Sumber : Berita Harian

Rabu, September 14, 2022

Fasa pertama Lebuhraya SUKE akan dibuka

 


Fasa pertama Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bagi jajaran sejauh 16.6 kilometer (km) bermula dari persimpangan Cheras-Kajang ke persimpangan Bukit Antarabangsa akan dibuka dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata jajaran fasa pertama itu akan membabitkan dua plaza tol iaitu Bukit Teratai dan Ampang serta 11 persimpangan.

Beliau berkata, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual melancarkan fasa pertama pembukaan SUKE malam esok.

"Kita jangka 80,000 pengguna akan menggunakan laluan ini sebagai alternatif untuk Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

"Ini sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang MRR2 sebanyak 30 peratus, Jalan Ampang (36 peratus) dan Jalan Loke Yew (12 peratus).

"Lebuh raya ini lebih kepada memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih laluan lebih cepat, selesa, selamat dan cekap," katanya selepas taklimat kepada media mengenai perkembangan projek SUKE di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Azlan berkata, kemajuan projek SUKE sepanjang 24.4 km bermula dari Sri Petaling ke Jalan Hulu Kelang itu kini pada kadar 98 peratus setakat 30 Ogos lalu.

'Baki yang belum disiapkan iaitu dari Bandar Tasik Selatan ke Taman Len Seng di Cheras dan Alam Damai akan kita cuba selesaikan pada suku pertama 2023," katanya.

Beliau berkata, SUKE mempunyai tiga lorong dua hala dengan kelebaran 3.5 meter bagi setiap lorong, selain penyediaan lorong kecemasan selebar tiga meter.

Katanya, SUKE juga akan mempunyai 14 persimpangan iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Taman Hillview dan Bukit Antarabangsa.

"SUKE juga menghubungkan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE), Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Timur Lembah Klang (EKVE) (dalam pembinaan) akan datang," katanya.

Beliau berkata, SUKE adalah lebuh raya 100 peratus berlampu dengan dilengkapi 3,377 lampu jalan LED, selain dilengkapi 40 kamera litar tertutup (CCTV), 22 telefon kecemasan dan 22 sistem pengesanan kemalangan kenderaan (VIDS) dipasang pada tiang bersepadu.

"SUKE juga mempunyai satu kawasan rehat dan rawat (RSA Tasik Tambahan) yang dalam perancangan pembinaan serta dua hentian sebelah di Tol Plaza Alam Damai dan Tol Plaza Bukit Teratai," katanya.

SUKE yang menyediakan penyelesaian penyuraian trafik di bahagian timur Kuala Lumpur ialah projek di bawah inisiatif Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dipacu Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Pembinaan SUKE yang bermula pada 0gos 2016 membabitkan kos RM5.7 bilion, mempunyai struktur jejambat lebuh raya tertinggi (jejambat bertingkat galang kekotak bersegmen (SBG)) pada ketinggian 56.4m merentasi MRT Laluan Sungai Besi-Kajang (SBK) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE).

Ia mempunyai tanjakan 'helikoidal' pertama di Malaysia di persimpangan Cheras-Kajang dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Selain itu, ia menempatkan penghadang bunyi di kedua-dua arah laluan dengan jumlah panjang 18.69 kilometer yang melalui 37 kawasan perumahan, institusi pendidikan, komersial, rumah ibadat, kuarters polis dan askar serta LRT Ampang.

Sumber : Berita Harian

Selasa, April 26, 2022

Tol percuma dan diskaun di 30 lebuh raya

 


Tol percuma serta potongan harga hingga 50 peratus akan diberikan kepada pengguna lebuh raya utama negara bermula jam 12 tengah malam Sabtu ini 30 April hingga 11.59 malam Ahad ini 1 Mei 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata persetujuan yang dicapai selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya itu bakal membabitkan manfaat keseluruhan RM77.11 juta. Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.

Ismail Sabri berkata, langkah kerajaan memperuntukkan dana untuk tol percuma dan diskaun itu selaras fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu dan sempena sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei depan.

Pemberian tol percuma membabitkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT).

Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April ini sehingga jam 11:59 malam pada 1 Mei depan, kepada semua kelas kenderaan," katanya menerusi kenyataan.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Ismail Sabri berkata pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara– Selatan dan LPT juga akan diberikan ketika orang ramai dalam perjalanan pulang ke kediaman masing-masing.

Jelasnya, ia akan mula berkuat kuasa pada jam 12 tengah malam, 7 Mei depan hingga jam 11:59 malam keesokan harinya untuk semua kelas kenderaan.

Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama-sama orang tersayang.

Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya khususnya golongan berpendapatan rendah.

Pada masa sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya, katanya.

Sumber dari Berita Harian

Ahad, September 20, 2020

Aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang - PDRM

 

 

Aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang, dan individu yang ingkar boleh dikenakan denda hingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu status dimuat naik ke laman Facebook (FB) rasmi pasukan itu, semalam, memaklumkan mereka yang mengingkari larangan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Aktiviti sukan berbasikal kini menjadi hobi yang semakin diminati ramai di Malaysia, namun anda dinasihatkan supaya mematuhi larangan berbasikal di lebuh raya.

"Sekiranya anda ingkar, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu melarang atau menyekat daripada menggunakan kenderaan di atas mana-mana jalan tertentu," katanya.

Baru-baru ini, seorang pengguna jalan raya memuat naik status dalam FB yang mendakwa tindakan sekumpulan individu menunggang basikal di jejambat Rasah Kemayan di Seremban, Negeri Sembilan, boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Beberapa gambar menunjukkan kumpulan penunggang basikal terbabit menggunakan laluan di tengah jalan raya yang sibuk di lokasi berkenaan, turut tular melalui media sosial.

Sumber : Berita Harian

 

Kereta remuk dihempap batu konkrit di MRR2

 

Seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang itu, mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM) untuk rawatan.

Insiden menyebabkan wanita berkenaan terperangkap dalam kereta PROTON Saga FLX dipandunya yang remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz 1 meter persegi.

Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian, tidak lama selepas itu sebelum dihantar ke PPUKM.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya, berkata identiti wanita terbabit masih belum diperolehi setakat ini.

"Wanita berkenaan cedera pada tangan dan dihantar ke PPUKM untuk rawatan. Tiada mangsa atau kenderaan lain terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kejadian juga menyebabkan gangguan lalu lintas sehingga ke Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Katanya, kerja mengalihkan kenderaan terbabit mengambil masa kira-kira dua jam sebelum satu lorong di laluan itu yang terjejas akibat kejadian, dapat dibuka semula.

"Siasatan lanjut berhubung punca kejadian masih dijalankan oleh polis," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Isnin, September 14, 2020

Kadar kesalahan pengguna di lebuh raya menurun

Kadar kesalahan pengguna di lebuh raya menurun sehingga 97 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, jumlah yang direkodkan sehingga Ogos lalu itu menunjukkan perbezaan sebanyak 1,068 kesalahan berbanding tahun lalu dengan 2,164 kesalahan.

Katanya, lima kesalahan utama merekodkan penurunan tertinggi iaitu lebih muatan, muatan berbahaya, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit dan tidak pakai tali pinggang keselamatan.

“Kesalahan lebih muatan mencatatkan penurunan tertinggi sebanyak 171 peratus iaitu 987 kesalahan tahun lalu kepada 364 kesalahan tahun ini diikuti memandu di lorong kecemasan dan muatan bahaya masing-masing dengan 339 dan 263 kesalahan.

“Berdasarkan statistik tersebut, terdapat dua faktor menyebabkan penurunan kesalahan pengguna di lebuh raya iaitu pelaksanaan PKP dan keberkesanan pencegahan menerusi rondaan yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (Unit Penguatkuasa Lebuh Raya-UPLR) di Plaza Tol (Lama) Jelapang, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Ipoh, Perak.

Sumber : Kosmo!


Recent Posts