Memaparkan catatan dengan label pengambilan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengambilan. Papar semua catatan

Jumaat, Mac 31, 2023

KPM kenal pasti enam subjek teras kekurangan guru di sekolah


Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengenal pasti enam subjek teras yang memerlukan tambahan bilangan guru di sekolah setakat 28 Februari lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata mata pelajaran berkenaan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Seni Visual serta Sejarah.

"Kita tahu kenyataan ini bahawa terdapat kekurangan guru, seperti saya nyatakan sebelum ini KPM telah laksanakan pengambilan guru sebanyak 22,327 guru melalui kaedah one-off dan kluster mata pelajaran bagi tempoh 2021 hingga Januari 2023.

"Bagaimanapun, kita ada perancangan untuk melakukan pengambilan guru pada April hingga Jun ini, kita akan ambil guru dari universiti luar," katanya menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai kekurangan guru sekolah bagi subjek pendidikan teras dan perancangan KPM bagi meningkatkan pengambilan jumlah guru baharu.

Sementara itu, Hui Ying berkata pengambilan guru adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran semasa.

"Jadi mungkin ada sesetengah graduan yang tidak dapat menjadi guru, tidak dipanggil temu duga, ini adalah disebabkan opsyen (mata pelajaran) itu berlainan dengan apa kita perlukan di KPM," katanya.

Menjawab soalan tambahan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai nasib graduan yang gagal temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Hui Ying berkata graduan boleh memohon semula melalui mySPP selepas tempoh enam bulan dari tarikh keputusan dikeluarkan di portal rasmi SPP.

Katanya, calon yang masih tidak berjaya boleh terus memohon sehingga mencapai umur 45 tahun.

Sumber : BERNAMA

Jumaat, Mac 24, 2023

SPA jamin proses pengambilan penjawat awam telus dan tiada kabel

 


Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memberi jaminan proses pengambilan penjawat awam adalah 100 peratus 'bersih' daripada campur tangan orang dalam mahupun penggunaan 'kabel' seperti dakwaan sesetengah pihak.

Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman, menegaskan isu penggunaan kabel hanyalah persepsi yang mungkin timbul disebabkan jumlah calon yang memohon untuk sesuatu jawatan terlalu ramai.

Beliau berkata, berikutan faktor itu menyebabkan mereka yang tidak berjaya menganggap ada pemohon lain yang melepasi temu duga menggunakan kelebihan kabel atau orang dalam tertentu.

Sehubungan itu bagi menjamin ketelusan, Zainal Rahim berkata, SPA sudah melakukan penambahbaikan sistem permohonan dalam talian dikenali SPA9 yang mewajibkan semua proses permohonan melalui tiga peringkat penilaian sebelum dipanggil temu duga.

Malah, bagi sesi temu duga pula, SPA menetapkan dua anggota panel yang dilantik sama ada dari SPA sendiri atau jabatan, perlu melalui tapisan integriti serta menandatangani aku janji.

"Sebenarnya tiada ruang untuk menggunakan orang dalam urusan pengambilan di SPA, apabila calon memohon jawatan itu, tidak berlaku isu seperti 'saya kenal awak, awak kenal saya'.

"Malah, semua peringkat tapisan pemohon juga adalah melalui sistem dalam talian tanpa membabitkan campur tangan mana-mana pegawai SPA sebelum calon terbaik dalam kalangan terbaik melepasi peringkat untuk ditemuduga secara fizikal.

"Orang percaya anda (pemohon) memerlukan kabel untuk mendapat jawatan di perkhidmatan awam, namun faktanya ialah anda memerlukan kabel komputer sahaja (untuk membuat permohonan melalui SPA9)," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Zainal Rahim berkata, SPA juga mempunyai unit integriti yang akan melaksanakan Aku Janji Integriti kepada panel penilai dan melalui temu duga bagi memastikan tiada salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi.

SPRM pantau proses

Selain itu, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sentiasa memantau berhubung perkara berkenaan.

"Malah, unit integriti ini akan membuat semakan jika berlakunya tohmahan yang mengaitkan sesuatu pelantikan penjawat awam itu dibuat berdasarkan kabel," katanya.

Beliau berkata, isu berhubung penggunaan kabel ini mungkin boleh berlaku di tempat tertentu atau bersifat setempat yang bukan berpusat di SPA.

"Adalah risiko itu, tapi di bawah undang-undang, anda tidak boleh menghalang sekiranya ada anak saudara yang memohon... namun jika ada hubungan atau kaitan dengan pihak yang membuat keputusan terhadap pengambilan jawatan itu, mereka perlulah mengisytiharkannya," katanya.

SPA9 katanya, adalah sistem yang ditambah baik sejak empat tahun lalu bagi menangani isu birokrasi dan campur tangan manusia dengan permohonan dibuat secara dalam talian.

Mengenai tiga proses penilaian dalam talian sebelum pemohon dipanggil sesi temu duga fizikal, Zainal Rahim menjelaskan, bagi pemohon jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan jawatan penguat kuasa seperti SPRM dan Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), mereka perlu melalui penilaian kemasukan perkhidmatan awam (PSEE) yang meliputi ujian psikometrik, pusat penilaian profesion (PAC) dan pemeriksaan fizikal, pancaindera dan kecergasan (UFPK).

Bagaimanapun, bagi pemohon jawatan lain seperti jurutera, arkitek, pembantu operasi, pembantu kewangan dan pembantu awam, mereka hanya perlu melalui satu peringkat ujian dalam talian iaitu ujian psikometrik.

"Justeru, SPA9 adalah sistem permohonan yang dilihat masih boleh memenuhi permintaan dan berkesan khususnya dalam aspek campur tangan manusia, mengurangkan aspek fizikal penghantaran dokumen," katanya.

"Ia adalah tapisan komputer yang boleh menambahkan keupayaan dan kepercayaan calon.

"Jika ada yang kata dekat 10 kali mohon tak dapat, ia sebenarnya bergantung kepada perjawatan dan kelayakan pemohon," katanya.

Sumber : Berita Harian

Selasa, Februari 23, 2016

Pengambilan Pegawai Kadet ATM (UPNM) 2016

PENGAMBILAN PEGAWAI KADET UPNM TAHUN 2016

ATM mempelawa warganegara Malaysia berkelayakan SPM untuk dilantik sebagai Bakal Pegawai Kadet bagi menjalani pengajian dan latihan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di bawah tajaan Kementerian Pertahanan Malaysia. Mereka akan berkhidmat dalam Perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) setelah tamat pengajian. 

Tarikh tutup permohonan adalah pada 5 April 2016. 

Iklan Pengambilan Pegawai Atm Ke UPNM 2016 by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN   

http://army.mod.gov.my/index.php/bm/maklumat/penerbitan/publikasi-rujukan/file/205-sesi-pengambilan-pegawai-kadet-upnm-tahun-2016


Recent Posts