Memaparkan catatan dengan label Kakitangan Awam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kakitangan Awam. Papar semua catatan

Khamis, Februari 22, 2024

Penjawat awam dapat insentif RM2,000

 


Semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000.

Pengumuman pembayaran itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 6 Februari lalu.

"Turut disalurkan sebanyak RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam membabitkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

"Bayaran insentif RM1,000 turut disalurkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen," kata Perdana Menteri pada majlis itu.

Anwar berkata, bayaran Insentif Awal itu akan dibayar sekali gus bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal.

Anwar berkata, bayaran Insentif Awal itu akan dibayar sekali gus bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal.

Sumber : Berita Harian

Jumaat, Mac 24, 2023

SPA jamin proses pengambilan penjawat awam telus dan tiada kabel

 


Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memberi jaminan proses pengambilan penjawat awam adalah 100 peratus 'bersih' daripada campur tangan orang dalam mahupun penggunaan 'kabel' seperti dakwaan sesetengah pihak.

Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman, menegaskan isu penggunaan kabel hanyalah persepsi yang mungkin timbul disebabkan jumlah calon yang memohon untuk sesuatu jawatan terlalu ramai.

Beliau berkata, berikutan faktor itu menyebabkan mereka yang tidak berjaya menganggap ada pemohon lain yang melepasi temu duga menggunakan kelebihan kabel atau orang dalam tertentu.

Sehubungan itu bagi menjamin ketelusan, Zainal Rahim berkata, SPA sudah melakukan penambahbaikan sistem permohonan dalam talian dikenali SPA9 yang mewajibkan semua proses permohonan melalui tiga peringkat penilaian sebelum dipanggil temu duga.

Malah, bagi sesi temu duga pula, SPA menetapkan dua anggota panel yang dilantik sama ada dari SPA sendiri atau jabatan, perlu melalui tapisan integriti serta menandatangani aku janji.

"Sebenarnya tiada ruang untuk menggunakan orang dalam urusan pengambilan di SPA, apabila calon memohon jawatan itu, tidak berlaku isu seperti 'saya kenal awak, awak kenal saya'.

"Malah, semua peringkat tapisan pemohon juga adalah melalui sistem dalam talian tanpa membabitkan campur tangan mana-mana pegawai SPA sebelum calon terbaik dalam kalangan terbaik melepasi peringkat untuk ditemuduga secara fizikal.

"Orang percaya anda (pemohon) memerlukan kabel untuk mendapat jawatan di perkhidmatan awam, namun faktanya ialah anda memerlukan kabel komputer sahaja (untuk membuat permohonan melalui SPA9)," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Zainal Rahim berkata, SPA juga mempunyai unit integriti yang akan melaksanakan Aku Janji Integriti kepada panel penilai dan melalui temu duga bagi memastikan tiada salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi.

SPRM pantau proses

Selain itu, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sentiasa memantau berhubung perkara berkenaan.

"Malah, unit integriti ini akan membuat semakan jika berlakunya tohmahan yang mengaitkan sesuatu pelantikan penjawat awam itu dibuat berdasarkan kabel," katanya.

Beliau berkata, isu berhubung penggunaan kabel ini mungkin boleh berlaku di tempat tertentu atau bersifat setempat yang bukan berpusat di SPA.

"Adalah risiko itu, tapi di bawah undang-undang, anda tidak boleh menghalang sekiranya ada anak saudara yang memohon... namun jika ada hubungan atau kaitan dengan pihak yang membuat keputusan terhadap pengambilan jawatan itu, mereka perlulah mengisytiharkannya," katanya.

SPA9 katanya, adalah sistem yang ditambah baik sejak empat tahun lalu bagi menangani isu birokrasi dan campur tangan manusia dengan permohonan dibuat secara dalam talian.

Mengenai tiga proses penilaian dalam talian sebelum pemohon dipanggil sesi temu duga fizikal, Zainal Rahim menjelaskan, bagi pemohon jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan jawatan penguat kuasa seperti SPRM dan Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), mereka perlu melalui penilaian kemasukan perkhidmatan awam (PSEE) yang meliputi ujian psikometrik, pusat penilaian profesion (PAC) dan pemeriksaan fizikal, pancaindera dan kecergasan (UFPK).

Bagaimanapun, bagi pemohon jawatan lain seperti jurutera, arkitek, pembantu operasi, pembantu kewangan dan pembantu awam, mereka hanya perlu melalui satu peringkat ujian dalam talian iaitu ujian psikometrik.

"Justeru, SPA9 adalah sistem permohonan yang dilihat masih boleh memenuhi permintaan dan berkesan khususnya dalam aspek campur tangan manusia, mengurangkan aspek fizikal penghantaran dokumen," katanya.

"Ia adalah tapisan komputer yang boleh menambahkan keupayaan dan kepercayaan calon.

"Jika ada yang kata dekat 10 kali mohon tak dapat, ia sebenarnya bergantung kepada perjawatan dan kelayakan pemohon," katanya.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Februari 12, 2023

Pengambilan kakitangan awam berdasarkan merit, bukan kaum atau agama


Pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan sebarang kuota seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, berkata perkhidmatan awam selama ini tidak pernah menetapkan faktor bangsa, kaum, etnik atau negeri tertentu sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam.

Sebaliknya, beliau berkata, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri.

"Permohonan pula adalah terbuka kepada semua bangsa dan agama. Tanpa membuat permohonan melalui SPA, bagaimana seseorang individu itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

"Ketika ini sambutan daripada kaum bukan Bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam dilihat kurang kerana mereka berpandangan gaji rendah berbanding jika bekerja di sektor swasta, bidang lain atau berniaga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dilaporkan berkata, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar semalam pula berkata Kerajaan Perpaduan tidak melihat isu dominasi kaum Melayu dalam sektor perkhidmatan awam sebagai satu masalah ketika ini dan menyifatkan kenyataan itu pandangan peribadi Ramasamy.

Adnan berkata, CUEPACS memandang serius kenyataan itu dan pihaknya cukup terkilan apabila wakil rakyat terbabit membuat kenyataan terbuka tanpa mendapatkan sebarang maklumat yang tepat daripada kerajaan mengenai situasi sebenar dalam perkhidmatan awam.

"Beliau adalah seorang daripada wakil rakyat daripada parti politik yang membentuk kerajaan ketika ini. Kenyataannya mengenai dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam adalah satu tuduhan yang berat dan tidak berasas.

"CUEPACS atau mana-mana pihak dalam perkhidmatan awam sendiri tidak pernah mempertikaikan sektor lain yang juga didominasikan oleh kaum tertentu. Jika wakil rakyat itu berniat ikhlas, beliau sepatutnya perlu membangkitkan isu ini yang turut membabitkan kepentingan rakyat secara keseluruhan," katanya.

Katanya, seorang wakil rakyat, beliau sepatutnya memberi kesedaran kepada rakyat mengenai peluang kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam supaya pelbagai kaum berminat atau mengetahui peluang kerjaya yang tersedia.

"Tidak wajar untuk menuduh perkhidmatan awam sebagai milik kaum tertentu jika anda sendiri sebagai wakil rakyat tidak bersama-sama dengan perkhidmatan awam untuk meningkatkan lagi pembangunan kerjaya dalam sektor awam ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.

"Disebabkan faktor ini jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak apolitikal dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu.

"Kita tidak pernah melihat penjawat awam mengabaikan sesuatu bangsa dalam memberikan perkhidmatan bahkan penjawat awam jugalah kumpulan pertama yang berada di barisan hadapan bagi membantu rakyat sekiranya berlaku bencana atau darurat," katanya.

Justeru katanya, CUEPACS amat mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk memberi pandangan dan idea untuk membangunkan lagi sektor perkhidmatan awam.

"Bagaimanapun janganlah sampai pandangan dan idea hingga melukakan mereka yang sedang dan sudah berkhidmat untuk negara ketika ini.

"Semua pihak terutama ahli politik dinasihatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan awam hanya untuk kepentingan politik masing-masing.

"Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Mac 10, 2022

Kakitangan awam kematian suami, isteri dibenar bekerja dari rumah


 Berkuat kuasa hari ini, semua ketua jabatan diwajibkan membenarkan pegawainya yang baru kematian suami atau isteri untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) sebaik sahaja tempoh tiga hari Cuti Tanpa Rekod (CTR) tamat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata penambahbaikan peraturan itu dilaksanakan melalui Dasar BDR yang diperuntukkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian SR.4.1.2 : Dasar Bekerja Dari Rumah.

Katanya, penambahbaikan peraturan berkenaan juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberi perhatian dalam aspek kebajikan pegawai perkhidmatan awam.

"Tempoh pemberian BDR ini hendaklah yang bersesuaian dan tidak melebihi dua minggu termasuk Hari Kelepasan Mingguan, Hari Rehat Mingguan, dan Hari Kelepasan Am tertakluk kepada pertimbangan Ketua Jabatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat edaran Penambahbaikan Dasar BDR bagi pegawai perkhidmatan awam, bertarikh hari ini.

Tambahnya, dalam tempoh BDR itu, ketua jabatan perlu menetapkan tugasan yang bersesuaian kepada pegawai berkenaan serta memantau pelaksanaan tugasan yang diberikan.

Sumber dari Berita Harian

Selasa, April 19, 2016

Kenaikan Gaji Untuk Kakitangan Awam


Kakitangan awam akan menerima gaji permulaan minima sebanyak RM1,200, melebihi paras gaji minimum kebangsaan di bawah langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam.

Skim tersebut yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai ini akan memperlihatkan kakitangan Gred 11 akan mendapat gaji permulaan sebanyak RM1,200 berbanding RM837 sebelum ini.

Digabungkan dengan elaun sedia ada, kakitangan gred ini akan menikmati gaji bulanan kira-kira RM1,500.

Gaji minimum kebangsaan adalah RM900 hingga RM1,000 sebulan di Semenanjung Malaysia manakala RM800 hingga RM920 untuk Sabah dan Sarawak.

Pekeliling yang diedarkan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pada Khamis turut menyatakan Gred 17 dan Gred 27 akan dihentikan dan kakitangan bagi kedua-dua gred itu masing-masing akan dinaikkan ke Gred 19 dan 29.

Gred 17 diberikan kepada pekerja yang memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala Gred 27 kepada mereka yang mempunyai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Diploma.

Mereka yang berada di Gred 17 dengan gaji semasa RM935 akan menikmati kadar gaji minimum RM1,350 sebulan selepas dinaikkan ke Gred 19.

Bagi penjawat awam dengan Gred 27 yang menerima gaji permulaan sebanyak RM1,362 akan memperolehi sekurang-kurangnya RM1,493 selepas naik ke Gred 29.

"Langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam bertujuan untuk memastikan perkhidmatan tersebut mempunyai tenaga kerja yang kompeten selain mampu membantu merealisasikan visi dan agenda negara.

"Ini juga bertujuan untuk memperkemas pengurusan skim perkhidmatan tersebut dalam usaha untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik, untuk mewujudkan beberapa fleksibiliti dalam pengurusan perkhidmatan awam dan juga menyediakan peluang dalam kemajuan kerjaya," kata Mohamad Zabidi dalam pekeliling tersebut.

Skim saraan baharu itu juga memperlihatkan 252 skim perkhidmatan awam sedia ada di naik taraf.

Beliau berkata langkah merasionalkan skim itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pekerja sedia ada tetapi juga mereka yang akan menyertai perkhidmatan awam pada masa akan datang dengan gred dan gaji permulaan lebih tinggi.

Langkah rasionalisasi itu juga melihat pengiktirafan yang lebih baik terhadap pelatih Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Di bawah skim baru, mereka yang mempunyai sijil politeknik akan diiktiraf setanding dengan mereka yang mempunyai kelulusan Diploma atau STPM.

Sebelum ini, mereka yang mempunyai sijil politeknik diletakkan pada tahap yang sama dengan lepasan SPM.

"Kami mahu memberi peluang lebih besar kepada mereka yang mempunyai kelayakan dalam bidang kemahiran untuk menyertai perkhidmatan awam dengan memasukkan TVET dalam skim perkhidmatan tertentu," kata Mohamad Zabidi.

Penjawat Awam Diberi Pilihan Terima Atau Tolak - Ali Hamsa

Penjawat awam diberi pilihan untuk menerima atau menolak tawaran terhadap 252 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik berkuat kuasa 1 Julai ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau yang mengulas rasionalisasi skim perkhidmatan awam itu berkata penambahbaikan itu akan memberi kesan kepada kenaikan gaji dan gred termasuk gaji permulaan minima sebanyak RM1,200 dalam sektor awam.

"Namun saya tidak nampak sebarang sebab untuk mereka menolaknya," kata beliau kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan reka cipta logo 'My High Speed Rail' (MyHSR) di sini Khamis.

Penambahbaikan itu akan memperlihatkan kenaikan tahunan kepada kesemua 1.6 juta penjawat awam, manakala penambahbaikan skim yang bermula dari gred 11 hingga 40 akan membabitkan 1.3 juta kakitangan kerajaan, katanya.

"Ini satu berita terbaik untuk penjawat awam dan berharap mereka akan meningkatkan produktiviti dan daya usaha dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Katanya walaupun hasil negara pada tahun ini berkurangan disebabkan faktor seperti penurunan harga minyak dunia, kerajaan tetap menunaikan janjinya untuk memberi kenaikan gaji seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016, sebelum ini.

Mengenai permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar kerajaan mengkaji semula kadar gaji yang ditawarkan supaya selaras dengan keperluan hidup penjawat awam, Ali menyifatkan ia permintaan yang menarik.

"Namun, kita juga mengharapkan Cuepacs turut sama memberi idea bagaimana untuk meningkatkan hasil negara di samping menggalakkan penjawat awam meningkatkan produktiviti mereka...itu yang sangat penting," katanya.

- BERNAMA

Sabtu, Mac 31, 2012

Kenaikan Gaji Baru SSM Kakitangan Awam (Mulai 1 Jan 2012)

Berikut adalah Pekeliling Kenaikan Gaji Baru SSM Kakitangan Awam (Mulai 1 Januari 2012). Semakan dan pengiraan juga boleh dibuat di : http://docs.jpa.gov.my/ssm/#pengiraan Pekeliling Kenaikan Gaji SSM Kakitangan Awam 2012

Recent Posts