Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis setakat semalam
memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan
Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika
mengumumkan perkembangan itu berkata kelima-lima negeri berkenaan
mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus.
Katanya, kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) bagi menyediakan
rawatan kepada pesakit COVID-19 di negeri terbabit turut merekodkan
penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana.
"Selepas kerajaan bersetuju meluluskan peralihan fasa Pelan Pemulihan
Negara dibuat di peringkat negeri, tanpa menunggu kemajuan di peringkat
Persekutuan, ada semakan tertentu terhadap nilai ambang yang dilakukan.
"Dua nilai ambang, iaitu masing-masing bagi liputan vaksin dan katil
ICU masih sama seperti digunakan di peringkat Persekutuan, cuma yang
berubah ialah kadar purata kes COVID-19.
"Justeru, perkiraan digunakan bagi mengukur kadar purata kes di
peringkat negeri ialah nilai ambang fasa berikutnya didarab jumlah
penduduk negeri dan dibahagi populasi di Malaysia.
"Oleh itu, menerusi perkiraan ini dan pertimbangan terhadap dua lagi
nilai ambang, kita dapati lima negeri sudah memenuhi semua prasyarat
untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara," katanya pada sidang
media.
Berdasarkan perangkaan semasa dari 1 Jun hingga 1 Julai lalu, Tengku
Zafrul yang juga Menteri Penyelaras PPN menjelaskan kebanyakan negeri
merekodkan penyusutan mendadak purata kes COVID-19, dengan Terengganu
mencatatkan kadar perubahan terbesar iaitu 86.1 peratus.
Jelasnya, perubahan positif itu turut dilihat berlaku di Kelantan
yang melakar pengurangan purata kes COVID-19 bagi tempoh sama sebanyak
83 peratus, disusuli Perlis (75 peratus), Pulau Pinang (57.4 peratus),
Kedah (53.3 peratus), Johor (48.4 peratus) dan Putrajaya (40.5 peratus).
"Secara keseluruhan, sembilan negeri sudah melepasi nilai ambang kes
purata COVID-19 untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara,
iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang dan Perak.
"Sabah dan Terengganu pula sudah beralih ke fasa ketiga, bersandarkan
nilai ambang purata kes COVID-19, manakala hanya Perlis yang mengecapi
fasa keempat.
"Sekiranya diteliti nilai ambang bagi liputan vaksin pula, sembilan
negeri dan semua Wilayah Persekutuan sudah cukup syarat untuk beralih ke
fasa kedua Pelan Pemulihan Negara.
"Negeri berkenaan ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri
Sembilan, Pahang, Perak, Perlis dan Sarawak, selain Putrajaya, Labuan
serta Kuala Lumpur," katanya.
Tengku Zafrul berkata keputusan untuk membenarkan peralihan mengikut
peringkat negeri diharap berupaya menjadi insentif dan galakan ke arah
membasmi penularan pandemik COVID-19.
Sehubungan itu, beliau meletakkan harapan untuk negeri lain mengikuti
jejak langkah sama, dengan melakar kemajuan dan memenuhi tiga nilai
ambang seperti digariskan dalam PPN.
Kepada soalan sama ada negeri yang mencatatkan peningkatan kes purata
COVID-19 dan penyusutan kapasiti katil ICU akan diturunkan kedudukan
fasa, Tengku Zafrul menjelaskan perkara itu akan dibincangkan secara
lebih lanjut dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Perkara ini akan dibentangkan dulu dalam Jawatankuasa Teknikal MKN
sebelum diperhalusi di peringkat Sidang Khas MKN, sebelum pengumuman
lanjut dibuat," katanya.
Beliau berkata empat negeri semakin hampir untuk mencapai nilai
ambang peralihan ke fasa dua PPN iaitu Johor, Kedah, Pulau Pinang dan
Sabah apabila sudah mencapai indikator purata kes harian COVID-19
apabila mencatatkan di bawah 4,000 kes purata untuk tujuh hari serta
hampir mencatatkan paras sederhana di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga
ke arah mencapai kadar vaksinasi 10 peratus.
Ketika ini, Johor mencatatkan purata 320 kes, Kedah (218), Pulau Pinang (165) dan Sabah (217).
Bagaimanapun, katanya hanya Kedah yang sudah melepasi kadar vaksinasi
10 peratus penduduknya iaitu 12.1 peratus, manakala Johor mencatatkan
9.5 peratus, Pulau Pinang (9.8 peratus) dan Sabah (7.8 peratus).
Bagi penggunaan ICU pula, hanya Sabah sudah mencapai paras sederhana,
manakala Johor, Kedah dan Pulau Pinang masih berada pada tahap terhad
penggunaannya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata bilangan kes harian bagi
sesetengah negeri yang beralih ke fasa dua mungkin lebih tinggi
berbanding negeri-negeri yang masih berada dalam fasa satu.
Katanya, ia perlu mengambil kira bilangan populasi di negeri
berkenaan, purata kes tujuh hari dan keupayaan mencapai ketiga-tiga
indikator nilai ambang utama.
Fasa kedua masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat
dengan aktiviti sosial kekal ditutup dan sekatan pergerakan seperti mana
fasa pertama.
Perbezaan utama antara fasa pertama dan kedua adalah dari segi
kebenaran peningkatan kapasiti fizikal daripada 60 peratus kepada 80
peratus meliputi sektor dibenarkan selain penambahan beberapa sektor
dalam senarai positif yang boleh beroperasi.
Sumber : Berita Harian