Peralihan fasa PPN dalam tempoh terdekat

 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan peralihan fasa perintah kawalan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dibuat mengikut negeri.

Beliau antara lain menyifatkan pelanjutan Fasa Pertama Perintah Kawalan PPN tidak adil bagi negeri yang berjaya mencapai nilai ambang bagi setiap indikator peralihan fasa seperti ditetapkan dalam PPN.

Bagaimanapun beliau menafikan dakwaan Perlis, Kelantan dan Terengganu akan beralih ke Fasa Kedua PPN, selain menegaskan sebarang pengumuman mengenainya perlu dikeluarkan MKN.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membuat penilaian di setiap negeri, termasuk nilai ambang berdasarkan jumlah kes bagi 100,000 rakyat.

"Kita meneliti nilai ambang bagi setiap negeri, bukan hanya negara sahaja. Ketika ini tiada apa-apa pengumuman rasmi mengenainya dan kita anggap ia hanyalah dakwaan," katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, BH melaporkan, kerajaan disyor supaya mempertimbang penggunaan strategi PPN mengikut keadaan di setiap negeri, sekali gus meningkatkan persaingan sihat untuk berlumba melepasi setiap fasa.

Saranan bagi melakukan perubahan strategi dan pendekatan itu dibuat bagi mengelakkan penularan dan menggerakkan semula ekonomi.

Ismail Sabri berkata, nilai ambang akan dilihat mengikut negeri berikutan separuh daripada keseluruhan kes COVID-19 direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Perlis merekodkan kes dua digit dan kadang-kadang satu angka tetapi kerana Selangor mencatatkan banyak kes, mereka (Perlis) pun terpaksa berada dalam fasa pertama walaupun sebenarnya sudah boleh beralih ke fasa kedua, selain kita sedang meneliti semua aspek secara menyeluruh," katanya.

Sementara itu, sumber MKN ketika dihubungi BH, berkata keputusan mengenai peralihan fasa PPN mengikut negeri akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, perbincangan mengenai cadangan itu sudah pun dimuktamadkan selepas mengambil kira beberapa faktor tertentu secara menyeluruh, merangkumi aspek kesesuaian pelaksanaannya di setiap negeri.

Peralihan kepada Fasa Kedua PPN akan dibuat mengikut setiap negeri yang berjaya memenuhi nilai ambang ditetapkan bagi setiap indikator termaktub dalam pelan berkenaan.

"MKN sebenarnya sudah teliti benda ini sejak seminggu lalu, sebelum tular cadangan mengenai Selangor. MKN sudah ada idea berkenaan tetapi kerajaan tak boleh umum selagi tidak jelas semua perkara.

"Kerajaan jauh lebih proaktif daripada apa yang masyarakat fikir. MKN sudah bincang dan mahu beri kesejahteraan kepada semua. Pengumuman negeri yang akan dibawa ke fasa kedua akan dibuat dalam masa terdekat.

"Penelitian dibuat berdasarkan setiap negeri dengan kemungkinan beralih ke fasa lain sangat tinggi. MKN tidak tengok model ditularkan masyarakat, sebaliknya berpandukan keadaan di setiap negeri," katanya.

Ditanya proses peralihan fasa di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor, beliau mengakui, MKN berdepan sedikit kesukaran berikutan aspek kebolehcapaian antara lokaliti dan tindakan penguatkuasaan bagi kawalan pergerakan.

"Tidak adil bagi penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya jika peralihan fasa tak dibenarkan hanya kerana banyak kes direkodkan di Selangor, sedangkan Kuala Lumpur dan Putrajaya memenuhi indikator ditetapkan.

"Kita tak 'blend' semua negeri sekali gus sebab mahu mereka bertanggungjawab menjaga negeri masing-masing. Kita tengok Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor secara berasingan.

"MKN juga sedang meneliti aspek kawalan pergerakan antara Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. Memang sukar untuk kawal kebolehcapaian tetapi ia antara perkara yang masih diteliti MKN.

"MKN sedang melihat bagaimana untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan kawalan pergerakan di tiga lokaliti berkenaan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.