Selasa, September 27, 2022

‘Pegawai Mahkamah’ curi duit peniaga


 Wang simpanan seorang peniaga berjumlah RM28,000 lebur selepas diperdaya Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai mahkamah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, mangsa yang berusia 27 tahun dihubungi suspek yang mengaku seorang pegawai mahkamah.

Beliau berkata, suspek memperdayakan mangsa dengan mengatakan nombor kad pengenalan mangsa telah digunakan oleh seseorang bagi mendaftarkan syarikat di Melaka dan syarikat tersebut telah disenaraihitamkan.

“Mangsa menafikan ada membenarkan nombor kad pengenalannya digunakan orang lain. Suspek kemudian menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah mangsa dengan bayaran RM20,000.

“Suspek menjelaskan wang itu akan dimasukkan semula ke dalam akaun mangsa selepas urusan tersebut selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rupiah berkata, mangsa kemudian memuat naik aplikasi Bank Negara Malaysia seperti diminta suspek bagi tujuan tersebut.

Katanya, suspek turut bertanyakan jumlah akaun bank yang dimiliki mangsa serta jumlah wang yang ada dalam akaun berkenaan.

“Mangsa telah memberitahu semua maklumat mengenai akaunnya dan mengisi aplikasi tersebut. Mangsa turut memasukan maklumat dan nombor pin serta 16 digit nombor kad akaun Public Bank.

“Akibat kejadian tersebut wang dalam akaun mangsa telah berkurangan sebanyak RM28,000,” katanya.

Beliau meminta orang ramai membuat semakan nombor telefon dan akaun yang diragaui menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat aplikasi check scammers ccid bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Sumber : Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts