Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan

Rabu, September 15, 2010

Ciri Peribadi Sultan Kelantan Selari Kehendak Rakyat - Umno Kelantan

Umno Kelantan berpendapat ciri peribadi murni Sultan Kelantan yang baru Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang begitu prihatin terhadap rakyat dan mempunyai ilmu agama yang tinggi adalah selari dengan kehendak masyarakat Kelantan.

Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dengan itu pihaknya yakin rakyat Kelantan akan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi terhadap Sultan Kelantan itu yang telah dimasyhurkan Isnin lepas.

"Kita bersyukur Sultan Kelantan telah dimasyhurkan dan akan taat setia terhadap baginda yang telah dipilih mengikut perlembagaan dan saya yakin rakyat akan memberikan taat setia terhadap baginda.

"Saya telah beberapa kali mengikuti baginda menziarahi masjid dan apa yang Tuanku lakukan selaras dengan kehendak rakyat Kelantan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Kelantan dan Pasir Mas di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1 di sini, Rabu.

Mustapa yakin dengan pemasyhuran itu, segala isu yang melanda keluarga diraja itu akan selesai akhirnya.

Sementara itu Parti Progresif Penduduk (PPP) juga mengalu-alukan pemasyhuranTuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang dianggap bertepatan dengan kehendak agama dalam memilih seorang pemimpin.

"Saya yakin pelantikan itu dibuat berpandukan kepada Quran dan Hadis,bukan dasar politik atau kuasa," kata Naib Presiden PPP Datuk Nik Sapeia Nik Yusof.

Pengerusi Badan Perhubungan PPP Kelantan itu meminta semua rakyat akur dengan pemasyhuran itu dan menyokong penuh kepimpinan Tuanku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN) bersyukur kerana pemasyhuranitu memberi isyarat dan petanda positif kemelut istana Kelantan akan berakhir.

"Lebih setengah juta rakyat Kelantan yang berada di luar negeri (Kelantan)ini amat bersyukur dan mengalu-alukan penyelesaian kemelut yang melanda negeriini sejak lebih setahun lalu," kata Presidennya Mohd Radzi Yusoff.

Beliau berharap semua pihak akur dengan keputusan yang dibuat oleh MajlisPerajaan Negeri yang disifatkan sebagai muktamad dan tidak perlu dipersoalkanlagi.

Pasukan Prihatin Maya Kelantan (Prima) turut menyokong dan mengalu-alukanpemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan.

Presidennya Mohamad Rafi Awang Kecik berkata baginda amat layak mendudukitakhta berdasarkan kepada pengalaman baginda sebagai Tengku Mahkota Kelantan danPemangku Raja Kelantan dan terbukti mampu menjalankan tugas dengan baik sepanjang ayahanda baginda Sultan Ismail Petra gering.

- BERNAMA

Khamis, Julai 22, 2010

Ahli UMNO kini 3.2 juta

KUALA LUMPUR 21 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO masih merupakan parti terbesar bagi orang Melayu di negara ini apabila jumlah terkini ahli berdaftar selepas proses pemutihan dijalankan menjangkau 3.2 juta orang.

Sehubungan itu Perdana Menteri menolak sebarang dakwaan yang menyatakan bahawa orang Melayu 'meluat' dan enggan menyertai UMNO kerana jumlah itu membuktikan sokongan orang Melayu terhadap parti tersebut masih padu.

Malah beliau dimaklumkan jumlah keahlian semakin meningkat dari semasa ke semasa berikutan program penambahan ahli baru yang giat dijalankan ketika ini.

"Siapa kata? Tidak betul. Saya tidak dapat terima ada pihak kata meluat kepada UMNO. Tidak betul. Kita parti terbesar bagi orang Melayu. Ahli kita ramai. Selepas pemutihan jumlahnya ialah 3,186,850. Mereka ini sayang kepada UMNO.

"Proses pemutihan melibatkan proses mengeluarkan nama mereka yang telah meninggal dunia. Ahli yang tidak berjaya dikesan pun nama mereka turut dikeluarkan. Jadi jumlah ini jumlah yang sahih,'' katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib-Naib Presiden dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menjawab satu soalan lain, Najib berkata, perjalanan mesyuarat seluruh perwakilan Bahagian UMNO berjalan lancar walaupun terdapat dua bahagian menghadapi masalah iaitu Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah.

"Janganlah buat tanggapan yang keterlaluan. Ini bukan perkara luar biasa dan boleh dikatakan setiap tahun ada masalah seperti ini. Setakat satu dua bahagian bermasalah bukan satu isu yang meruncing,'' katanya lagi.

Sementara itu beliau berkata, mesyuarat MT hari ini turut memutuskan untuk merujuk bekas Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohamad Zain Ismail ke Lembaga Disiplin parti bagi dipertimbangkan apa jua keputusan serta tindakan yang wajar diambil.

"Turut dirujuk, Ghazali Ismail bersama Ketua Pergerakan Puteri, Norhayati Mamat. Ini berikutan tindakan mereka mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian yang tidak sah pada 26 Jun lalu.

"MT juga bersetuju pentadbiran UMNO Bahagian Rantau Panjang diambil alih oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan sehingga keadaan kembali pulih,'' katanya.

Ujar Najib, bagi Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani yang turut berlaku kekecohan, MT mengambil keputusan untuk meletakkan pentadbiran bahagian itu di bawah urusan Badan Perhubungan UMNO Kedah.

"Tujuan kita mengambil keputusan ini adalah untuk meredakan keadaan. Setelah pulih kita akan serah balik kepada mereka,'' katanya.

Selain itu, Najib berkata, MT juga memutuskan untuk mengesahkan pelantikan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Putrajaya, Husna Abdul Rahman sebagai Pemangku Ketua Puteri bahagian itu.

Beliau berkata, Husna menggantikan bekas ketuanya, Hamizah Abdullah Zawawi yang didapati tidak menghadiri program parti selama setahun.

"Saya juga mengambil maklum masalah yang berlaku pada UMNO Bahagian Setiu.

"Mengenai UMNO Bahagian Kelana Jaya, ia berjalan seperti biasa selepas Ketuanya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Yahya Bujang,'' ujarnya.

- UTUSAN

Isnin, Julai 19, 2010

Nik Aziz: Politik Melayu kukuh jika Umno tukar dasar

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kekuatan politik orang Melayu adalah bergantung kepada kesediaan Umno untuk menukar dasarnya kepada Islam.

"Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.

"PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu," kata menteri besar Kelantan itu dalam satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau mengulas isu perpaduan antara PAS dan Umno apabila baru-baru ini dilaporkan bersetuju untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan perkara itu.

Namun Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata pertemuan itu bukan untuk membincangkan politik sebaliknya akan bertumpu kepada kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob berkata kerajaan Kelantan pimpinan PAS hanya bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi pembangunan negeri termasuk merealisasikan cadangan pembinaan lebuh raya empat lorong yang menghubungkan Kuala Lumpur-Kota Bharu.

Katanya, kerajaan negeri bersedia berunding mengenai cadangan itu pada bila-bila masa.

"Saya harap cadangan itu diterima oleh kerajaan pusat memandangkan Kelantan mengeluarkan ramai modal insan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Koperasi Pembangunan Ladang Rakyat Kelantan, di Tumpat hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa kerajaan PAS Kelantan hanya mahu bekerjasama dengan kerajaan pusat jika ianya membabitkan kepentingan rakyat, dan bukan parti.

Ahmad yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan berkata kerjasama politik sukar dilakukan kerana dasar parti masing-masing yang berbeza.

"Kalau kerjasama untuk kebaikan rakyat antara kerajaan dengan kerajaan, kita sedia pada bila-bila masa. Kalau kerjasama parti biar dulu," katanya.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan presiden Umno menyatakan parti itu sedia bekerjasama dengan PAS demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

- Bernama

Jumaat, Julai 16, 2010

Parti bersatu atas nama agama

Oleh Aziz Jamaludin MHD Tahir
Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

PENYATUAN antara dua buah parti yang mewakili Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas menjadi harapan besar masyarakat Malaysia yang berhasrat membangunkan kekuatan dan kestabilan negara. Telah sekian lama harapan tersebut disuarakan, namun hingga kini masih belum menjadi kenyataan kerana adanya halangan-halangan daripada pihak-pihak tertentu yang tidak ingin menyaksikan penyatuan kembali dua parti melayu Islam yang terbesar di Malaysia.

Sebelum ini, dua buah parti yang mewakili Melayu terbesar dikejutkan dengan “rundingan kerajaan perpaduan” menjadi suatu bentuk hysteria politik yang berkesudahan pintu harapan “telah ditutup.”

Islam sejak kemunculannya telah berjaya menyatukan kabilah-kabilah, kaum dan bangsa sehingga muncul sebagai sebuah kuasa yang amat besar pengaruhnya dalam peradaban manusia.

Banyak pihak mengaku bahawa kekuatan Islam adalah kerana kesatuan matlamat dan perpaduan antara penganutnya, dan kerana itulah empayar Islam mampu bertahan sehingga berjaya dilumpuhkan oleh kuasa yang baru muncul lebih 14 abad lamanya.

Begitu juga dengan Pas dan UMNO. Jika dua buah parti politik yang sama-sama berlandaskan perjuangan Melayu dan Islam boleh berbincang, bermuafakat dan bersatu, tentunya kekuatan masing-masing dapat digemblengkan sebagai satu tenaga modal pengupayaan ummah, hasilnya amat menakjubkan.

Kekuatan Pas sebagai perancang strategi dan pelaksana pembangunan spiritual dan keupayaan UMNO sebagai peneraju pembangunan fizikal akan mampu menyanggah bebanan tanggapan serong peradaban Barat tentang Islam.

Untuk tujuan ini juga sewajarnya kita hayati beberapa hadis peninggalan Baginda kepada umatnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang mukmin itu dalam sayang menyanyangi,kasih mengasihi,santun menyantuni tidak ubah saperti satu anggota dari tubuh yang apabila menderita satu anggota dari tubuh itu akan menderita pula seluruh tubuh itu dengan tidak dapat tidur dan deman.”

Hadis yang lain pula bermaksud: “Orang mukmin itu mencintai saudaranya sebagai mana ia cinta kepada diri sendiri.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kerana hubungan persaudaraan inilah ia perlu diberi pertolongan segera atau menghulurkan bantuan yang di perlukan,sebabnya kesempurnaan persaudaraan itu hanya boleh menjelma secara baik dan harmonis apabila masing-masing berjalan seiring untuk menuju satu maksud dan tujuan.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan dua orang saudara adalah saperti dua tangan yang satu membersihkan yang lain.(Riwayat Ad-Dailami)

Hari ini kuasa umat Islam menjadi semakin lemah walaupun dari aspek kuantiti penganutnya menduduki tangga kedua terbesar. Jumlah penganut Islam yang semakin bertambah menjadikannya bukan sahaja dijadikan sasaran propaganda malah turut dijadikan serangan dalam bentuk kekerasan dan sekatan.

Situasi ini sebenarnya masih belum menyedarkan sepenuhnya umat Islam di Malaysia, dan kerana itulah demi politik mereka sanggup mendustai matlamat utama memperkuatkan benteng umat Islam.

Kelemahan hubungan terdahulu bukanlah merupakan sesuatu yang fatal. Kalaupun masih boleh dianggap “serik” ia bukan bermakna sampai “tidak mahu mengakui saudara sebangsa dan seagama.”

Masih ada dalam jiwa, masih tersisa dalam semangat dan masih tertanam dalam minda, penyatuan antara dua parti politik itu adalah suatu kemenangan terbesar yang pernah berlaku.

Kesilapan dan kekurangan lalu masih boleh diperbetulkan sebagai mana al-Quran sendiri mengajar agar manusia sentiasa bermuhasabah diri, mencari kekuatan baru dan menghirup udara segar yang lebih nyaman dan bersih.

Dengan mengetepikan dendam, bahasa-bahasa yang menyakitkan hati penyatuan dan perpaduan akan terbina dan diumpamakan seperti sepasang suami isteri yang kembali hidup bersama setelah melalui tempoh perpisahan yang lama, masing-masing hidup dengan bayang-bayang resah dan saling menyalahkan.

Sebagai manusia kita amat mudah terdedah dengan kesilapan dan setiap kesilapan itulah telah menenggelamkan hasrat murni. Nilai-nilai positif menjadi sesuatu yang tidak nikmati lagi kerana trauma benci atas “emosi serik” mula menusuk hati dan perasaan.

Walhal, inilah yang perlu kita hindari kerana ia mendekatkan kita kepada sikap bermusuhan dan sikap sedemikian amat dibenci oleh Allah SWT.

Jika sesama Islam saling menunjukkan persengketaan yang tidak dapat disatukan kembali, tentunya bukan Islam akan memandang “hanya manis dibibir, tetapi tidak pada tindakan”, maka amat mudah dipersenda-sendakan.

Kalau sesama Islam tidak boleh berada dalam mood dan jalur kuasa yang kuat, maka bukan Islam bukan sahaja memandang rendah kepada kita.

Maka dengan bersatunya sesama Islam, maka dilema dengan bukan Islam akan dapat dihindari. Apabila kedudukan kita semakin kuat, maka kita akan dihormati. Kekuatan Islam memberikan jaminan bahawa bukan Islam boleh hidup selesa, tetapi, dalam keadaan orang Islam lemah, orang Islam dihina dan dibelenggu dengan pelbagai sekatan.

Kita mungkin dapat memahami bagaimana tersiksa penduduk Palestin, bukan sahaja tidak mempunyai kebebasan memilih cara hidup sendiri, malah pergerakan mereka terus-menerus diawasi, malah cuba dihapuskan secara perlahan-lahan.

Atas dasar ingin melihat penyatuan antara dua buah parti yang ditunjangi oleh orang Melayu-Islam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sanggup bertindak sebagai perantara.

Sebagai sebuah organisasi yang tidak berasaskan politik, Yadim terasa terpanggil bagi menunaikan tanggungjawab bagi menyatukan antara kedua belah pihak atas nama Islam.

Yadim bukan sahaja menghulurkan tangan untuk membuka lembaran baru persaudaraan tersebut, malah turut berdoa agar kemelut yang melanda orang Melayu-Islam ini akan berakhir suatu hari nanti.

Dasar umat Islam adalah jelas, jalan menyelamatkan kedua-dua pihak yang dilihat bersengketa masih boleh diselesaikan, sebagaimana Allah SWT mengingatkan kita: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jaulah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” Surah Al-Qasas: 56

Sekiranya umat Islam mempunyai cita-cita yang sebenar hendak mengembangkan agama Islam di negara ini, hendaklah ditumpukan kepada persaudaraan Islam ini.

Janganlah berharap bahawa Islam satu hari nanti akan dapat mencapai maksudnya dalam tanah air kita ini jika kita gagal untuk menyatukan dua parti Melayu Islam terbesar ini.

Melayu-Islam perlu kembali bersatu bagi menghadapi cabaran yang menyentuh identiti, menyentuh maruah, menyentuh martabat, menyentuh kelangsungan bangsanya.

Melayu dan Islam adalah dua ‘ramuan sakti’ yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat kerana bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai.

Melayu-Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat towering personality jauh lebih kecil. Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah.

Kita juga perlu ingat, Allah SWT pernah memberikan amaran bahawa dalam keadaan umat Islam asyik bersengketa, mereka yang lebih kecil bilangannya akan dilihat semakin kuat dan berkuasa.

Kita sudah mempunyai petanda tersebut, walaupun ada setengah daripada kita ia bukanlah suatu isyarat yang jelas. Tatkala kita mendapat isyarat dengan jelas, sebenarnya ketika itu kita sudah pun terlewat.

Jumaat, Mei 28, 2010

380,000 ahli Umno dikeluarkan

Majlis Tertinggi (MT) Umno, semalam membuat keputusan untuk mengeluarkan seramai 380,000 ahli yang tidak dapat dikesan termasuk meninggal dunia menerusi proses pemutihan senarai keahlian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno, berkata berikutan proses pemutihan itu, jumlah ahli Umno yang dapat disahkan sehingga kini ialah seramai 3,159,484 orang.

Beliau berkata, senarai keahlian baru itu tidak boleh dipertikaikan dan melambangkan kekuatan sebenar Umno.

“Setakat ini, melalui proses pemutihan itu, kita keluarkan lebih kurang 380,000 ahli kerana ada yang tidak dapat dikesan, ada yang meninggal dunia dan sebagainya.

“Jadi jumlah ahli Umno yang dapat disahkan satu persatu ialah 3,159,484 orang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Ibu Pejabat Umno di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain itu, Najib berkata mesyuarat itu juga membincangkan mengenai program Juara Rakyat yang akan dilaksanakan sepenuhnya di peringkat akar umbi mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Beliau juga menggesa semua Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri memberi tumpuan penuh kepada program itu supaya jentera parti sentiasa bergerak dengan menepati kumpulan sasaran.

“Bagi penyertaan semua rakyat, saya minta semua pengerusi perhubungan untuk memberi tumpuan supaya jentera kita bukan saja bergerak cergas tapi menepati kumpulan sasar ahli yang begitu ramai,” katanya.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu juga membuat rumusan hasil keputusan pilihan raya kecil Parlimen Sibu, baru-baru ini dengan menilai kekuatan dan kelemahan parti.

Najib berkata, walaupun pilihan raya itu membabitkan Barisan Nasional (BN) di Sarawak, namun Umno perlu ambil tahu sebab mereka bergantung kepada kekuatan rakan dalam BN khususnya di Sarawak.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak bercadang untuk membicarakan kelemahan atau kekuatan parti itu secara terbuka sebaliknya menjadikan hasil keputusan itu sebagai panduan untuk muhasabah diri.

“Ada kekuatan dan kelemahan kita, tapi kita tak akan sebut secara terbuka, biarlah melalui proses dalaman yang wajar dilalui parti kita, proses muhasabah lebih menguntungkan jika dibuat secara dalaman daripada diluahkan secara terbuka,” katanya.

- BERITA HARIAN

Selasa, Mei 11, 2010

Kembalikan perjuangan UMNO

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

UMNO berusia 64 tahun hari ini. Selama usia itulah, iaitu sejak penubuhannya pada 1946, parti tertua negara ini berusaha untuk menjadi payung dan tempat bergantung kepada bangsa Melayu.

Namun, sama seperti sebuah kehidupan lainnya yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai cabaran, UMNO juga tidak berbeza. Di sebalik sekian banyak catatan kejayaan yang dilakar parti ini, Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008 lalu bagaimanapun tercatat sebagai sisi hitam yang bakal dikenang sepanjang zaman.

Sebelum pilihan raya itu, parti ini dilihat terlalu selesa dan begitu berkeyakinan tinggi. Pelbagai masalah dalaman parti terutamanya politik wang dan kroni berlaku tanpa dapat diselindungkan kepada rakyat. Tanpa disedari, gerakan rakyat yang memberontak terhadap sistem elit di dalam UMNO menular begitu pantas.

Natijahnya, BN kehilangan sokongan rakyat dan orang Melayu juga mula menjauhi UMNO. Apa yang berlaku selepas pilihan raya itu juga adalah sesuatu yang terlalu pahit untuk dilalui bukan sahaja oleh UMNO malah orang Melayu keseluruhannya.

Penolakan orang Melayu terhadap parti yang memperjuangkan entiti Melayu dan agama Islam ini, diambil peluang oleh pihak-pihak tertentu untuk menyerang entiti Melayu. Hak-hak keistimewaan orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan seperti bahasa, biasiswa dan banyak lagi serta kesetiaan kepada Raja Melayu, diperlekehkan oleh pihak-pihak tertentu.

Untuk tempoh yang agak panjang, pertikaian hak-hak dan keistimewaan orang Melayu itu didendangkan. Tanpa boleh dinafikan, UMNO perlu berasa bertanggungjawab terhadap peristiwa ini kerana ia boleh disifatkan sebagai kegagalan dalam teras perjuangan mereka.

Begitu pun, UMNO tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyedari kepincangan yang menjauhkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu. Perhimpunan Agung UMNO Ke-58 yang berlangsung pada Oktober 2009 misalnya, adalah bukti bahawa UMNO boleh berubah untuk terus menaungi orang Melayu.

Perhimpunan agung pertama dengan Presiden baru iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak meniupkan semboyan transformasi yang sangat jelas. Ia menyaksikan beberapa usul Pindaan Perlembagaan UMNO dibentangkan selepas kali terakhir dibuat pada 2000.

Antara yang dipinda ialah proses pemilihan pemimpin tertinggi di dalam parti membabitkan lebih ramai pengundi. Ini sekali gus membuka lantai demokrasi yang lebih luas di dalam UMNO dan paling utama, menghapuskan gejala politik wang.

Pindaan yang tidak kurang pentingnya juga ialah penghapusan kuota bertujuan menjadikan UMNO lebih terbuka. Ini mempermudahkan mana-mana calon yang dilihat berkaliber menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

Selain transformasi dalaman, UMNO turut mengambil langkah drastik mendekatkan diri dengan rakyat kebanyakan. Program Juara Rakyat yang antara lain menjadi medan kepada pemimpin UMNO dan BN bertemu secara langsung dengan rakyat mendapat maklum balas positif.

Program itu sebenarnya mengambil semangat turun padang seperti yang dianjurkan oleh Najib yang kerap bertemu pelbagai golongan masyarakat sejak menjadi Perdana Menteri. Pendekatan Najib itu menjadi senjata utama kepada UMNO untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Meskipun perlu menunggu pilihan raya kecil kesepuluh, iaitu di Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini untuk menang dalam erti kata yang sebenar, namun ia adalah penantian dan strategi yang berbaloi. Pilihan raya kecil itu memberi signifikan yang sangat besar kepada usaha transformasi yang dilakukan oleh UMNO dan ia boleh diibaratkan sebagai hadiah ulang tahun yang paling bermakna.

Namun tiada kegembiraan yang paling mengharukan bersempena ulang tahun UMNO yang ke-64 kali ini melainkan melihat parti ini terus kekal bertahan untuk orang Melayu di sebalik pelbagai dugaan yang dihadapi. Perasaan itu misalnya, dikongsi oleh veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail yang sangat berbangga dengan semangat juang UMNO dalam membangunkan bangsa, agama dan negara.

Kejayaan UMNO untuk kekal bertahan sehingga ke hari ini katanya, adalah kerana kejayaan pemimpin-pemimpinnya yang bersilih ganti meneruskan perjuangan hakiki pejuang-pejuang UMNO terdahulu.

''Saya sangat berkeyakinan dengan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak serta seluruh barisan kepimpinan UMNO hari ini. Saya juga berharap, seluruh rakyat Malaysia menyedari perjuangan UMNO serta parti komponen BN lainnya dan bersama-sama dengan perjuangan ini," katanya.

Tidak mahu terlalu larut dengan episod kekecewaan pada PRU12, Zaleha berkata, pasang surut serta turun naik sokongan rakyat terhadap UMNO sepanjang 64 tahun usia penubuhannya bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ia adalah proses kematangan bagi membolehkan UMNO menilai kehendak rakyat dan berubah mengikut peredaran semasa.

''Sementelah, trend sokongan yang menurun itu juga tidak hanya berlaku terhadap UMNO, malah parti-parti komponen BN yang lainnya serta pembangkang ketika ini berdepan dengan situasi serupa. Apa yang lebih utama ialah bagaimana untuk UMNO bangkit semula dan membuktikan parti ini masih relevan untuk bersama-sama mencapai 1Malaysia," katanya.

Sudah semestinya, bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu tidak berseorangan dalam menyimpan harapannya. Ia sudah semestinya turut dikongsi bersama oleh kira-kira 3.2 juta orang ahli UMNO yang akan meraikan ulang tahun penubuhan parti itu hari ini.

Apa yang pasti, ia bukanlah angan-angan yang kosong sekiranya seluruh ahli UMNO mengambil semula semangat perjuangan pemimpin terdahulu yang menjadikan agama, bangsa dan negara sebagai teras perjuangan.

Dengan teras perjuangan itu, orang Melayu keseluruhannya tidak akan berbelah bahagi menyatakan sokongan kepada parti keramat buat mereka ini.

- UTUSAN

Rabu, Februari 24, 2010

Ketua Puteri UMNO Ampang Meninggal Dunia


PETALING JAYA: Ketua Puteri Umno Bahagian Ampang, Haslinda Mohd. Zerain meninggal dunia akibat serangan jantung pukul 11.45 pagi tadi.

Menurut Setiausaha Kerja Puteri Umno, Radin Seri Kartini Abdullah jenazah akan dikebumikan selepas solat Asar petang ini di kawasan perkuburan Islam berhampiran dengan Masjid Riduan Ulu Kelang.

"Allahyarham meninggal dunia di rumah akibat sakit jantung. Bagi rakan-rakan yang ingin melawat jenazah boleh datang ke rumahnya sebelum Asar," katanya kepada mStar Online hari ini.

Jenazah Haslinda kini dibawa ke rumahnya di Taman Sri Ukay Kuala Lumpur untuk dimandi dan disembahyangkan.

Menyoroti sejarah pembabitannya dalam bidang politik, Haslinda pernah bertanding jawatan Naib Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti Umno tahun lalu.

Bagaimanapun beliau tewas kepada Shahanim Mohamad Yusoff dalam pemilihan itu.

Jawatan terakhirnya dalam parti ialah dilantik sebagai Exco pergerakan berkenaan.

Perhimpunan Agung UMNO dari 24 hingga 28 Mac ini merupakan kali pertama melibatkan perebutan jawatan Naib Ketua Puteri UMNO yang menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Beliau juga pernah bertanding pada pilihan raya umum tahun 2008, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Bagaimanapun, Haslinda mendapat 10,350 undi tewas kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali(11,731 undi) di kerusi berkenaan.

- MSTAR

Ahad, Februari 07, 2010

Hadi: PAS sedia berbincang dengan Umno

PAS bersedia untuk berbincang dengan Umno dalam perkara yang parti pembangkang tersebut dapat bekerjasama, termasuk isu yang berkaitan dengan keselamatan negara, ekonomi, agama dan politik, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata amalan tersebut telah menjadi dasar PAS, yang berpanjangan secara praktikal, di mana kepimpinan parti mengemukakan pandangan serta pendirian mereka terhadap sesuatu isu.

"Kita tidak berperang. Kita berhujah, berdebat dan berbincang namum kita akan tegur kerajaan dalam perkara yang kita tidak bekerjasama," katanya.

Abdul Hadi memberitahu demikian dalam sidang media sempena lawatan beliau ke Sarawak untuk meninjau persediaan PAS dalam menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang, di Kuching hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mahu Umno dan PAS menghentikan pertelagahan mengenai politik, sebaliknya duduk semeja bagi membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam.

Mengenai pilihan raya negeri, beliau berkata PAS belum lagi menentukan jumlah kerusi dewan undangan negeri yang bakal ditandingi dan akan berbincang dengan Pakatan Rakyat untuk membuat pembahagian secara strategik.

- Bernama

Jumaat, Februari 05, 2010

Nik Aziz mahu Pas, Umno berdamai

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam melahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan Umno dalam usaha menegakkan kepentingan umat dan agama Islam di negara ini.

Beliau mengakui pertelingkahan yang berlaku antara Pas dan Umno sejak lebih 50 tahun lalu, tidak menguntungkan mana-mana pihak.

"Saya sangat gembira jika majlis membabitkan keagamaan dibuat antara Pas dan Umno. Sudah lebih 50 tahun kita (Pas) bertengkar dengan Umno.

"Apa hasilnya, banyak masa habis untuk bertengkar. Selain itu, banyak masa, kepakaran dan kewangan Umno diguna untuk melawan gerakan Islam yang dibawa Pas.

"Tidak ada sebab langsung Pas bertengkar dengan Umno. Perbincangan mengenai hal agama (antara Pas dan Umno) boleh dibuat secara baik," katanya selepas merasmikan majlis penutup seminar pemikiran Islam semasa, 'Pemakaian Kalimah Allah', di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di Pengkalan Chepa, dekat sini, semalam.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pembangunan di sesebuah negeri tidak semestinya dilakukan Umno saja, sebaliknya parti memerintah negeri itu bertanggungjawab melaksanakannya.

- BERITA HARIAN

Isnin, Januari 18, 2010

Umno ambil 3 bulan laksana pemutihan keahlian

Umno memberi tempoh tiga bulan kepada cawangan dan bahagiannya menjalankan proses pemutihan keahlian, langkah yang diambil ekoran pindaan perlembagaan parti itu Okt lalu.

Sehubungan itu, setiap cawangan perlu melaksanakan arahan pemutihan nama-nama ahlinya bermula 15 Jan lalu sehingga 10 Mac ini.

Setelah dikemaskinikan, senarai tersebut perlu dipamerkan di bahagian dan cawangan masing-masing untuk semakan dari ahli selama 21 hari bermula dari 15 Mac.

Dalam pada itu, semua bahagian perlu mengembalikan semula senarai nama yang telah dikemas kini kepada ibu pejabat sebelum tarikh 15 April.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dipetik Umno Online berkata pelaksanaan pemutihan keahlian ini penting bukan sahaja untuk kemas kini terkini tetapi ia juga dibuat khusus selepas Pendaftar Pertubuhan meluluskan pindaan parti.

Kata beliau, Pendaftar Pertubuhan meluluskan pindaan perlembagaan parti 10 Nov lalu, sekali gus memansuhkan yuran tahunan.

Ahli hanya perlu membayar yuran keahlian sekali seumur hidup semasa membuat permohonan menjadi ahli iaitu berbeza dengan sebelum ini, bayaran yuran daripada ahlinya dikenakan setiap tahun.

Umno mempunyai ahli seramai 3,478,393 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 19,235.

Selaras dengan kelulusan pindaan perlembagaan, Tengku Adnan turut menggesa ahli-ahli parti agar tidak leka dengan matlamat perjuangan untuk terus memperkasa parti dan memastikan kekukuhan di kalangan ahli terpelihara.

Beliau menambah ibu pejabat parti telah pun mengambil tindakan dengan meminta semua Umno bahagian melaksanakan pemutihan keahlian termasuklah di peringkat cawangan masing-masing.

“Tindakan tersebut dibuat bagi menentukan kaedah kemas kini ahli-ahli Umno dibuat dengan telus supaya senarai yang ada merupakan senarai sahih dan terkini,” kata beliau yang juga setiausaha agung Barisan Nasional.

Untuk tujuan ini, beliau memberitahu bahawa satu program telah dijalankan di Institut Latihan Memperkasa Umno, Kampung Janda Baik pada 8 Jan lalu yang mengumpulkan semua setiausaha bahagian.

- MALAYSIAN INSIDER

Ahad, Januari 10, 2010

Satu program Juara Rakyat setiap bulan - Najib


BUKIT BERUNTUNG: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan program Juara Rakyat bagi meneruskan tradisi Umno menjaga kebajikan rakyat, selain membolehkan parti itu mendekatkan diri, peka dan prihatin dengan pemasalahan orang ramai di seluruh negara.

Serentak itu, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno mengarahkan semua bahagian parti itu di seluruh negara melaksanakan sekurang-kurangnya satu program Juara Rakyat setiap bulan yang membabitkan 12 bidang yang digariskan dalam program berkenaan.

Beliau berkata, program itu adalah antara cara mengaktifkan jentera parti supaya lebih dekat dengan penduduk setempat, selain menekankan peranan kepemimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mendukung cita-cita rakyat.

"Kita harap dengan ada program Juara Rakyat, pemimpin Umno dan BN sentiasa peka dengan pemasalahan rakyat dan sanggup mengambil tindakan menyelesaikan masalah berkenaan. Ini tidak bererti semua masalah boleh selesai sekelip mata. Program ini adalah mengenai keprihatinan dan sensitiviti kita terhadap apa jua masalah rakyat," katanya pada sidang media selepas pelancaran program itu.

Program itu dilancarkan penuh meriah dengan 20,000 pengunjung daripada pelbagai peringkat usia dan kaum hadir membanjiri tapak program di Bandar Bukit Sentosa, dekat sini, semalam.

Pelancaran program tiga hari yang bermula semalam itu dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Hadir sama Naib Presiden Umno yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, menteri Kabinet dan pemimpin parti komponen BN.

Najib berkata, program Juara Rakyat dimulakan pada peringkat Umno bahagian, manakala pada peringkat sayap parti dan cawangan akan terus dijalankan bahagian masing-masing.

Beliau juga menyarankan program yang didukung Umno itu diikuti parti komponen BN dengan tema sama dalam kegiatan parti masing-masing. "Umno mempelopori konsep Juara Rakyat, tetapi Umno juga memperjuangkan kepentingan semua kaum. Kita mahu program ini bercorak penyertaan semua kaum yang menggambarkan kita Umno memperjuangkan semua kaum bukan orang Melayu saja," katanya

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, Juara Rakyat dipilih sebagai tema kerana Umno dan rakan dalam BN dengan segala perasaan rendah diri menerima keputusan pilihan raya umum lalu, yang mana rakyat memberi isyarat kepada Umno dan BN.

"Kami dengar dan kami terima bahawa rakyat telah memberi teguran kepada Umno dan BN, teguran itu kami akan hayati bukan saja kami dengar tapi kami insaf bahawa dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat ialah kuasa keramat dan mutlak," katanya.

Najib berkata, pemimpin Umno dan BN tidak boleh lalai, sebaliknya mesti terus berjuang untuk kepentingan rakyat kerana kedudukan parti pada masa ini adalah semata-mata atas kehendak dan restu rakyat.

"Kita mesti memperlihatkan parti kita melalui segala usaha tindakan yang dilakukan oleh pemimpin kita di semua peringkat bahawa kitalah adalah juara kepada aspirasi dan kehendak rakyat di dalam negara kita.

"Justeru, kita mesti menyusun langkah memperlihatkan hakikat bahawa kita adalah parti yang sentiasa dapat merasai denyutan nadi rakyat melalui pelbagai usaha yang kita lakukan sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata Umno sebagai parti tertua di negara ini juga perlu bekerja lebih keras memenangi hati rakyat agar tidak dilupakan dan hanya menjadi kenangan pada masa depan.

- BERITA MINGGU

Sabtu, Januari 02, 2010

Perwakilan Umno puashati kepimpinan Najib

Ahli Umno berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Najib Tun Razak sejak mengambil alih teraju kepimpinan sebagai presiden parti memandangkan mereka berpendapat beliau kini memimpin negara ke arah yang betul.

Kaji selidik yang dikendalikan oleh sebuah firma penyelidikan bebas, Merdeka Centre, terhadap 358 perwakilan ke perhimpunan agung Umno baru-baru ini, menunjukkan kira-kira 95 peratus daripada mereka menyuarakan rasa puas hati terhadap prestasi Najib, sebahagian besarnya disebabkan peningkatan dalam kualiti kepimpinan.

Mereka berpendapat bahawa Najib, yang juga perdana menteri, mempunyai kualiti kepimpinan kebangsaan dan mengutarakan beberapa idea menarik bagi meraih sokongan umum, misalnya konsep "1Malaysia", memberi penekanan terhadap menyelesaikan masalah rakyat dan memperkukuhkan ekonomi.

"Rasa puas hati terhadap presiden parti dalam kalangan perwakilan adalah amat tinggi iaitu 95 peratus dengan 60 peratus daripada mereka mengatakan 'sangat berpuas hati' dengan prestasi beliau sejak mengambil alih kepimpinan Umno.

"Sebab utama bagi sokongan yang kukuh itu berpunca daripada peningkatan yang dirasai dalam kualiti kepimpinan," kata Merdeka Centre dalam rumusan terhadap keputusan kaji selidik perwakilan perhimpunan agung Umno 2009.

Kaji selidik itu dijalankan dari 4 hingga 11 November, meliputi sekurang-kurangnya seorang individu dari setiap bahagian dalam parti berkenaan.

Kaji selidik dilakukan menerusi telefon dan kumpulan yang dikaji dipilih berdasarkan senarai perwakilan ke perhimpunan agung itu.

Merdeka Centre juga berkata perwakilan memberi sokongan amat padu kepada dua langkah yang diperkenalkan itu, dengan 81 peratus menyokong liberalisasi ekonomi manakala konsep 1Malaysia menerima sokongan daripada 94 peratus.

Kaji selidik itu menunjukkan bahawa 91 peratus daripada perwakilan yang dikaji percaya bahawa imej Umno di mata masyarakat secara amnya adalah positif manakala 97 peratus percaya Umno adalah satu-satunya parti yang dapat menjaga kepentingan orang Melayu.

Mereka juga optimis mengenai peluang parti dalam pilihan raya akan datang dengan 66 peratus berpendapat Umno telah pun pulih daripada masalah yang membawa kepada pencapaian buruk parti itu pada pilihan raya umum lepas.

- Bernama

Rabu, Disember 23, 2009

MB Terengganu Bersumpah Tiada Penyelewengan Dalam Pentadbirannya

KUALA TERENGGANU: Sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini dikejutkan dengan lafaz sumpah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bagi menafikan berlaku penyelewengan dalam pentadbiran beliau.

Katanya segala projek yang dilakukan oleh kerajaan adalah mengikut prosedur yang ditetapkan dan semuanya dilakukan adalah untuk kepentingan rakyat semata-mata.

"Saya merasa sedih apabila ada wakil rakyat mempersoalkan mengenai pemberian kurma dan air zam-zam, malah ada andaian berlaku penyelewengan.

"Dengan nama Allah, bismillahirrahmanirrahim, wallahi, wabillahi, wataallahi...tidak ada penyelewengan, rasuah dalam kes ini atau dalam kes-kes lain. Saya telus. Saya boleh jelaskan hal ini demi kepentingan rakyat," katanya.

Ahmad berkata bahawa bungkusan kurma yang diagihkan kepada rakyat Terengganu dengan kos RM20 adalah berpatutan dan tidak ada sebarang penyelewengan dalam pemberian kontrak pembelian tiga jenis kurma dan air zam-zam itu.

Beliau mengulas mengenai soal pengagihan air zam-zam dan kurma yang dibangkitkan oleh Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) dalam sesi perbahasan bajet semalam.

Sepanjang persidangan sejak tiga hari lepas, antara persoalan yang dibangkitkan ialah mengenai pemberian kontrak melombong bijih besi di Bukit Besi, kontrak pemberian baju sekolah kepada pelajar miskin dan dasar rundingan terus yang dilakukan oleh kerajaan dalam soal pembaikan dan penurapanjalan.

Ahmad berkata, wakil rakyat sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan, tidak seharusnya menggunakan keistimewaan dewan untuk membuat tuduhan yang bukan-bukan terhadap kerajaan mahupun pegawai kanan beliau yang tidak berpeluang untuk menjawabnya. "Kalau rasa ada penyelewengan dan rasuah, silakan (bangkitkan) di luar dewan.

"Sebab dalam polisi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) jelas,kalau buat tuduhan yang mana terbukti tidak benar, orang (yang dituduh) itu boleh ambil tindakan dan mendakwa orang yang berkenaan kerana fitnah. Jangan guna hak istimewa dewan ini dengan membuat dakwaan bukan-bukan," katanya.

Sebelum itu, Ahmad berkata sektor pelancongan akan dijadikan sebagai sumber ekonomi penting negeri Terengganu pada masa akan datang untuk mengelak kebergantungan kepada hasil royalti minyak daripada kerajaan pusat.

Katanya kerajaan perlu mencari alternatif jangka masa panjang untuk menjana ekonomi negeri itu kerana minyak di perairan Terengganu akan habis pada suatu hari nanti.

"Daripada RM1.888 bilion yang diperuntukkan dalam bajet Terengganu tahun depan, 92 peratus daripadanya diperoleh melalui sumber kerajaan pusat melalui Dana Khas Kerajaan Pusat, yang tidak lama lagi, InsyaAllah akan menjadi wang royalti.

"Untuk itu usaha yang perlu kita lakukan ialah menjana pendapatan negeri pada masa depan melalui sektor pelancongan dan ia akan diletakkan sebagai tulang belakang ekonomi Terengganu," kata Ahmad.Beliau berkata, untuk itu kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan yang besar untuk membangunkan sektor pelancongan termasuk untuk memajukan Tasik Kenyir.

Katanya, walaupun Tasik Kenyir telah dibuka hampir 30 tahun, namun bilangan pelancongan yang berkunjung ke tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu masih berkurangan.

Ini kerana, walaupun mempunyai daya tarikan alam semula jadinya tersendiri, kawasan itu masih kurang tempat-tempat yang menarik untuk dilawati dan kurang kemudahan asas, kata Ahmad.

"Tidak ada pelabur yang ingin datang buka hotel atau resort di situ kerana tidak ramai yang datang, dan kerana itu, kerajaan ingin memajukan Tasik Kenyir," dengan menyediakan program berkunjung ke pulau di tasik itu.

Ahmad berkata, 340 buah pulau yang terdapat di Tasik Kenyir mampu memberi pendapatan lumayan untuk sektor pelancongan jika ia dimajukan seperti cadangan kerajaan untuk mewujudkan Pulau Burung, Pulau Rama-rama, Taman Orkid dan Pulau Herba.

Beliau juga menyebut mengenai satu penemuan artifak berusia hampir 10,000 tahun di Gua Bewah di kawasan tasik itu.

Persidangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

- BERNAMA

Biarkan ahli parti pilih calon pilihan raya

Oleh Wan Saiful Wan Jan
Editor www.AkademiMerdeka.org dan Ketua Pengarah Malaysia Think Tank

Saya amat tertarik dengan idea yang disuarakan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini. Utusan Malaysia bertarikh 25 November melaporkan, Nur Jazlan mencadangkan agar UMNO melibatkan ahli-ahlinya dalam memilih calon pilihan raya bagi memastikan individu yang dipilih tidak ditolak oleh pengundi.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, menerusi kaedah tersebut, pucuk pimpinan Barisan Nasional akan mengetahui siapa calon yang dikehendaki oleh masyarakat sekali gus memastikan kemenangan parti pada setiap pilihan raya.

Katanya, kaedah itu adalah cara paling berkesan kerana ahli di peringkat akar umbi sebenarnya mengetahui siapa yang paling layak untuk menjadi wakil rakyat di kawasan mereka.

Beliau dalam satu artikel lain mengatakan, UMNO dan BN perlu menyedari bahawa kekalahan pada beberapa pilihan raya kecil sepanjang tahun lalu dan tahun ini adalah disebabkan faktor calon yang tidak diterima oleh masyarakat tempatan.

Maka sebab itulah beliau mahukan hak untuk memilih calon pilihan raya - umum atau kecil - dikembalikan kepada ahli di peringkat akar umbi dan pucuk pimpinan harus menerimanya.

Saya amat bersetuju dengan pandangan itu. Mungkin ada yang menuduh saya berat sebelah kerana Nur Jazlan adalah seorang daripada Ahli Lembaga Penasihat kami. Bukan itu sebabnya. Pandangan beliau memang amat baik. Malah saranan itu perlu diberi perhatian oleh semua parti politik di negara kita, bukan UMNO sahaja.

Semasa saya bertanding pada pilihan raya 2007 di England sebagai calon Parti Konservatif, pemilihan saya sebagai calon adalah hak mutlak parti di peringkat kawasan. Ibu pejabat hanya memainkan peranan kecil sahaja. Saya juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Parti Konservatif Kawasan Luton Utara, sebuah kawasan Parlimen di utara kota London. Semasa memegang jawatan itu, saya terlibat dalam panel pemilihan calon untuk kerusi Parlimen kami.

Sesiapa sahaja boleh memohon untuk menjadi calon, asalkan dia telah menjadi ahli parti selama lebih tiga bulan.

Ibu pejabat parti menyediakan satu borang khas yang perlu diisi oleh mereka yang berminat. Pemohon dikehendaki memberikan maklumat mengenai pengalaman bekerja di dalam dan luar parti. Ada juga soalan-soalan yang berkaitan dengan kebolehan dan keterampilan calon berkenaan.

Borang itu perlu diserahkan ke ibu pejabat parti dengan surat sokongan. Ibu pejabat akan memproses permohonan dan kemudian akan menemuduga mereka yang layak. Hasil proses saringan awal ini, biasanya akan ada sekitar 600 ke 700 calon yang layak bertanding di semua 646 kerusi Parlimen Britain.

Ibu pejabat parti akan menyimpan data semua calon yang telah disaring peringkat pertama ini. Apabila ada kekosongan kerusi Parlimen, maka semua calon yang belum mempunyai kerusi akan dihubungi oleh ibu pejabat.

Jika mereka berminat dengan kerusi itu, maka mereka perlu menghantar permohonan terus kepada pejabat parti kawasan berkenaan. Proses pemilihan kini berpindah sepenuhnya kepada kawasan, tanpa campur tangan ibu pejabat.

Semasa saya menjadi salah seorang panel pemilih, kami menerima sekitar 40 permohonan. Kami kemudiannya menyaring permohonan kepada 12 orang. Kemudian kami mengadakan temuduga dengan kesemua 12 calon itu. Daripadanya kami menyenarai pendek kepada lima orang sahaja.

Seterusnya, semua lima calon tersebut dijemput ke pemilihan akhir. Kali ini semua ahli kawasan dijemput untuk menemuduga calon-calon tersebut.

Seorang demi seorang calon dipanggil untuk berdepan dengan soalan-soalan daripada ahli parti kawasan. Saya masih ingat lagi betapa dewan yang kami sewa penuh sesak dengan ahli-ahli parti yang mahu mengambil bahagian.

Untuk memastikan proses soal jawab adalah adil, maka ada sembilan soalan yang ditanya kepada semua calon. Ini memastikan mereka menjawab sembilan soalan yang sama pada peringkat awal.

Tetapi selepas itu semua ahli parti yang hadir boleh bertanya apa-apa soalan yang mereka mahu.

Akhirnya, calon diundi secara terbuka oleh ahli-ahli yang hadir ke majlis pemilihan. Kesan daripada proses yang terbuka dan inklusif ini amat positif sekali. Ahli-ahli parti merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada "pasukan" yang memilih calon.

Ahli-ahli mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu dalam kempen rumah ke rumah. Calon itu adalah calon "kita" dan semua ahli mesti turun padang memastikan beliau menang.

Hasilnya, proses kempen berjalan lancar dengan bantuan daripada ahli-ahli setiap peringkat. Mereka membantu calon yang mereka sendiri pilih, bukan calon payung terjun lantikan ibu pejabat. Ahli-ahli juga tahu bahawa pemilihan adalah adil dan telus. Mereka sendiri yang membuat pilihan berdasarkan realiti setempat. Tidak ada lagi kemungkinan salah guna kuasa orang atasan parti.

Jika sistem sebegini kita amalkan di Malaysia, calon-calon yang terpilih akan sedar bahawa mereka mesti berkhidmat untuk ahli parti. Mereka tidak boleh berlagak sombong setelah terpilih. Mereka juga tidak boleh hanya mengampu pemimpin atasan sahaja kerana orang atasan tiada kuasa memastikan mereka terus terpilih sebagai calon.

Jika calon-calon ini berlagak sombong dan mengenepikan pandangan ahli parti, maka mereka tidak perlu dipilih lagi pada pilihan raya akan datang.

Sistem ini akan mengembalikan kuasa kepada rakyat dan ahli peringkat bawahan. Barulah ada faedah menjadi ahli sesebuah parti. Kita tidak menjadi orang suruhan semata-mata, tetapi kuasa ada di tangan kita.

Sistem ini juga boleh menghapuskan politik wang kerana hampir mustahil untuk menyogok ahli-ahli dalam proses pemilihan yang sebegitu terbuka. Jika salah sogok, silapsilap akan disoal di khalayak ramai!

Saya harap cadangan Nur Jazlan akan diberi perhatian yang sewajarnya oleh UMNO dan juga semua parti politik lain di Malaysia. Jika kita mahu berubah, maka idea-idea bernas sebegini perlu diperhalusi.

- UTUSAN

Ahad, Disember 06, 2009

Umno, PAS, mufti bertemu di wacana perdana Kelantan

KOTA BHARU, 5 Dis 2009 : Mungkin tidak banyak berlaku, PAS, Umno, ilmuan dan ahli akademik boleh bersama duduk semeja dalam wacana ilmiah membincangkan hal hal tertentu khususnya persoalan agama.

Namun ianya sekali lagi akan menjadi realiti apabila Kerajaan Kelantan akan menganjurkan wacana membincangkan tajuk ‘Islam Di Malaysia: Realiti dan Harapan’.

Wacana tersebut akan membariskan Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Exco Pemuda Umno Malaysia, Affandi Yusof, bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Wacana yang dijadual berlangsung pada jam 9 malam, 12 Disember ini bertempat di Dewan Konvesyen Kelantan Trade Centre akan dikendalikan Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusof bertindak sebagai moderator.

Wacana tersebut dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan,Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kesemua kelengkapan dari aspek teknikal sedang giat diusahakan bagi memastikan ianya memberi kepuasan terbaik kepada pengunjung yang hadir.

“Pihak penganjur juga akan memasang dua skrin besar di perkarangan dewan tersebut bagi menampung orang ramai,” ujarnya di sini.

Dewan yang serba canggih tersebut boleh menampung sehingga 1,800 orang.

Beliau berharap wacana tersebut dapat dijadikan garis panduan dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini.

“Kami menjemput orang ramai terutamanya ahli akademik, tokoh-tokoh politik dari pelbagai parti, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan menimba ilmu di wacana terseut” katanya.

Wacana itu akan disiarkan secara langsung melalui http://www.mykelantan.tv

- HARAKAH DAILY

Jumaat, Oktober 16, 2009

Bangkit untuk berubah - Najib

Setiap pemimpin dan ahli UMNO diminta bangkit menyalakan obor perubahan bagi memartabatkan perjuangan parti dengan keutamaan kepada kebajikan dan keperluan rakyat untuk membentuk kerajaan yang kuat serta stabil.

Dengan nada lantang dan tegas, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyemarakkan semangat setiap perwakilan supaya bangkit bersama-samanya kerana amanah yang besar itu tidak mampu dipikul oleh beliau bersendirian.

“Bangkitlah semua bersama-sama saya,” seru Najib sambil para perwakilan dan tetamu spontan berdiri menyahut seruan beliau dengan memberikan tepukan gemuruh.

Malah sebahagian daripada mereka kelihatan sebak mendengar ungkapan Najib.

“Saya menyeru dan mengajak kepada Timbalan Presiden, kepada Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan yang berada di atas, pejuang-pejuang UMNO di bawah, pejuang-pejuang UMNO di bahagian, pendokong-pendokong UMNO di cawangan, seluruh warga UMNO yang baru dan yang lama, di kota dan di desa, bangkitlah semua bersama-sama saya.

“Rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah kita martabatkan warisan ini,” tegasnya.

Seruan Presiden UMNO itu disambut dengan laungan ‘Ya’ oleh para perwakilan yang bergema memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

“Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang hak.

“Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.

“Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung,” tegasnya yang terus disambut dengan laungan ‘Ya’ daripada perwakilan yang terus berdiri diresapi semangat ucapan Presiden Parti.

Najib menutup ucapan bersemangat itu dengan ungkapan: “Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.

“Kendati tergantung awan di langit, Telah terlanjur kubentangkan layar. Walau badai datang menggulung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, takkan mungkin ku berbalik haluan. Hidup UMNO! Hidup Melayu!”

- UTUSAN

UCAPAN PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2009

Oleh Presiden UMNO

Seawalnya saya ingin berkongsi Firman Allah SWT, dalam surah As-Saff ayat yang ke-4: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya, dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu ‘bun-ya-nun-marsus’ yakni bangunan yang tersusun kukuh.”

Kemudiannya pesan daripada Saidina Ali bahawasanya: “Sesuatu yang benar dan hak namun tidak tersusun akan dikalahkan oleh yang batil dan salah, tetapi diatur dengan tersusun.”

Pertama sekali, seperti lazimnya, marilah kita mengangkat rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam, yang mana dengan keredaan-Nya jualah, dapat kita sekali lagi berhimpun pada pagi yang mulia ini.

Sesungguhnya Dewan Merdeka ini telah beberapa dekad menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa, silih berganti, perjalanan suka duka, pahit maung dan manisnya sebuah parti keramat yakni UMNO, parti kita semua ini.

Perhimpunan pada pagi ini juga penuh bermakna dan bertuah, kerana di bawah bumbung UMNO, hadir mantan Presiden yang kita kasihi. Marilah kita sambut dan raikan Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad dan YAB Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Demikianlah contoh semangat juang dalam jiwa pemimpin UMNO yang tidak pernah pudar. Bahkan terus mekar, terus bersedia untuk bersama-sama dalam sebuah perjuangan yang belum selesai, demi membina bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan semangat dan kekuatan inilah, kita akan bangkit kembali membina keagungan bangsa yang sungguh banyak jasanya pada negara tercinta.

Perhimpunan Agung kali ini mencatat beberapa mercu tanda. Pertamanya, satu sejarah secara peribadi kerana inilah ucapan dasar sulung saya, selaku Presiden UMNO sejak mengambil alih pucuk pimpinan, secara rasmi pada bulan Mac lalu. Syukur, peralihan kuasa yang tertib, lagi licin bersandarkan tradisi mulia UMNO, telah berlangsung dan dimungkinkan oleh YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Keduanya, perhimpunan kali ini hanya dalam jangka masa enam bulan dari tarikh perhimpunan yang lalu, menyaksikan satu langkah berani UMNO membuat pindaan besar terhadap perlembagaan parti seraya membuktikan UMNO tidak jumud dan bukanlah parti yang lapuk. Sebaliknya, dengan pindaan ini, jelas memperlihatkan kesungguhan UMNO untuk menjadi sebuah parti yang dinamik, progresif dan responsif kepada kehendak semasa.

Ketiganya, perhimpunan ini akan menjadi titik monumental, kepada UMNO yang akan meninta perjalanan di atas lembaran baru, dengan semangat baru, pendekatan baru dan hala tuju yang baru.

Begitulah, pada pagi bermakna ini, dalam keceriaan bulan Syawal yang mulia, meraikan kemenangan, menentang kehendak hawa nafsu di Ramadan lalu, kita sewajarnya dengan penuh rasa syukur mengucapkan pula ungkapan Alhamdulillah, ke hadrat Yang Maha Kuasa atas kejayaan kita, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang dengan lonjakan majoriti yang berganda.

Sayugialah, saya merakamkan sekalung kata terima kasih kepada semua pimpinan di setiap peringkat yang telah bertungkus lumus, bekerja keras serta orang ramai terutamanya para pengundi dalam menggondol kemenangan bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden parti. Sememangnya kejayaan ini, membenarkan hakikat bahawa, UMNO masih merupakan parti pilihan orang Melayu dan UMNO masih merupakan parti pilihan rakyat.

Ini membuktikan juga bahawa rakyat tempatan dari semua kaum dan semua lapisan menyuarakan keinginan mereka dengan jelas untuk terus berlindung di bawah naungan Barisan Nasional.

Kenapakah, pilihan ini telah dibuat, tuan-tuan dan puan-puan? Sudah terang lagi bersuluh, kerana Barisan Nasional merupakan parti yang terbukti kecemerlangannya dalam pentadbiran negara, kerana Barisan Nasionallah yang sebenarnya menjadi pembela rakyat selama ini.

Walau apa pun, kita harus menerima kemenangan ini dengan tenang, penuh tawaduk dan rasa kerendahan hati. Seperti kata pepatah Inggeris One swallow does not make a summer. Takkanlah dek kerana seekor burung lelayang, kita merasakan musim panas sudah tiba? Atau, disesuaikan dalam simpulan bahasa Melayu “Janganlah kerana mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.” Kita tidak boleh mudah berasa selesa atau lega bahawa kita menjadi parti pilihan rakyat, hanya kerana tiada parti lain yang boleh diharapkan, atau dengan kata lainnya, yang terbaik antara yang buruk.

Di Bagan Pinang, kita dapati orang bukan Melayu menerima UMNO dengan hati yang terbuka. Jelasnya, di kawasan pilihan raya yang pengundinya terdiri daripada masyarakat majmuk seperti ini, kita mahukan UMNO diterima rakyat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bukan sahaja untung nasib Melayu dan bumiputera akan tetapi menjangkau semua kumpulan etnik di Malaysia.

Ini bertepatan dengan Surah Al-Maidah ayat ke-8, di mana Allah SWT menyeru kita, supaya menjadi orang yang berlaku adil, serta menegakkan kebenaran kepada semua kaum dan bangsa, kerana berlaku adil itu dekat kepada takwa. Kalau kita menjaga kebajikan semua rakyat, maka pastinya rakyat, tanpa mengira bangsa dan keturunan, akan dengan relanya menyokong serta mengangkat kepimpinan parti kita.

Dalam hal ini, mahu tidak mahu, UMNO perlu menjadi parti yang lebih terbuka pendekatannya. UMNO perlu dipilih atas sebab parti kita adalah yang terbaik, sama ada dari sudut organisasi, gerak kerja, matlamat, ataupun sistem nilai yang mendasari pertubuhan ini.

Kalau inilah resipi kejayaan kita barubaru ini di Bagan Pinang, yang telah meraih majoriti besar, maka, saya yakin dan percaya dengan mengguna pakai ramuan ini di tempat-tempat lain pun, selepas ini, kita akan menikmati kejayaan yang sama atau lebih besar lagi, insya-Allah.

Sejarah adalah guru yang terbaik. Musim dan masa terus berlalu tanpa menunggu sesiapa. Kata George Santayana, seorang pemikir tersohor: “Mereka yang ingkar untuk memahami dan tidak belajar daripada sejarah akan dihukum dengan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang sama”.

Pokoknya, peristiwa sejarah bukan sahaja untuk dicontohi dan diikuti, tetapi ia menunjang sebagai peringatan dan sempadan terbaik kepada umat manusia bagi mengurus realiti semasa untuk melakar hari muka dengan lebih berjaya.

Jelas sekali, manusia yang mendapat pengajaran betul serta benar daripada peristiwa sejarah, boleh mengelak daripada melakukan kesilapan dan tindakan yang akan membawa kepada kejatuhan sesebuah negara mahupun tamadun. Maknanya, untuk menongkah masa depan yang cemerlang, kita perlu berakar teguh, dengan beriktibar daripada sejarah dan sistem nilai. Barulah kita berupaya untuk tegak menghadapi masa mendatang, dengan persediaan yang rapi serta serasi menurut hambatan zaman. Oleh kerana itulah, saya memilih tajuk ucapan pagi ini sebagai Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan.

Jadinya tuan-tuan dan puan-puan, menyongsong tawarikh, jika diamati, tahun ini adalah tahun yang signifikan bukan sahaja dalam susur galur negara tetapi juga susur galur parti UMNO. Sekitar tempoh ini, lima puluh tahun yang lalu, Malaysia mula mengamalkan demokrasi berparlimen secara mutlak, apabila pilihan raya umum pasca merdeka yang pertama diadakan pada 1959. Sekitar waktu ini juga, 40 tahun yang lalu yakni pada 1969, UMNO telah mengepalai usaha untuk menyelamatkan negara daripada ambang kehancuran, natijah konflik antara kaum.

Kira-kira kala ini juga, 20 tahun lalu iaitu 1989, UMNO telah menerajui usaha untuk keluar dari kemelesetan ekonomi dan memulakan proses industrialisasi negara. Manakala masih segar terakam dalam ingatan ramai, pada detikdetik ini pulalah, 10 tahun dulu yakni 1999, UMNO sekali lagi telah bingkas beraksi, menyelamatkan negara daripada jatuh merudum ke dalam cerun krisis kewangan Asia.

Sekali lagi, apa yang mustahak untuk diketahui adalah, kesemua tindakan hebat yang dinyatakan ini, nakhodanya adalah kepimpinan UMNO, berlandaskan kebijaksanaan pemikiran yang kreatif lagi berinovatif. Segala-galanya dilakukan atas nama kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Mengenang peristiwa dan kejadian juga, jangan mudah kita lupa bahawa selepas Tragedi 13 Mei 1969, para pemimpin UMNO boleh memilih untuk tidak meneruskan demokrasi yang telah digantung. UMNO juga boleh memutuskan untuk menubuhkan kerajaan satu parti atau mungkin menyokong saja pihak angkatan tentera melakukan kudeta.

Akan tetapi, harus barang diingat, itu semua tidak dilakukan. Malah UMNO berusaha keras untuk mengembalikan demokrasi dalam masa 18 bulan. Ini jelas mempamerkan bahawa, UMNO bukan sebuah parti yang mabuk kuasa, jauh sekali sebagai sebuah parti yang bersifat perkauman.

Sehubungan itu, jika kita ingin tahu apakah maksud perkauman yang sebenar, lihat sahaja, sejarah Afrika Selatan, sewaktu dicengkam aparteid. Bahkan di Amerika Syarikat pun, amalan perkauman secara terang-terangan berlaku sehingga pertengahan tahun 1960-an. Sekolah, bilik air, tempat makan di restoran malah tempat duduk dalam bas antara kaum ternyata dibeza-bezakan.

Semuanya ini, hanya berakhir setelah keputusan pengasingan kaum, institusi pendidikan tahun 1954 oleh Mahkamah Agung melalui kes Brown lawan Lembaga Pendidikan Kansas, Akta Hak Sivil tahun 1964 dan Akta Hak Mengundi tahun 1965 digubal.

Dalam konteks ini, nampaknya berbeza benar keadaan kita di Malaysia dengan realiti di dunia luar. Ehwalnya, orang Melayu adalah bangsa yang bersifat amat inklusif dan merangkumi.

Jelasnya lagi, jika orang Melayu bersikap dan bersifat perkauman mana mungkin Melaka boleh menjadi sebuah pelabuhan entreport yang makmur pada abad ke-15.

Bersabit isu ini juga, kalaulah ada mana-mana pihak yang tanpa usul periksa, begitu semberono menempelak UMNO sebagai sebuah parti perkauman harus terlebih dahulu mencermin diri secara ikhlas. Mereka harus sedar akan realiti komposisi kaum dalam parti mereka sendiri. Adakah ia benar-benar melambangkan keterbukaan yang mereka jerit dan laung-laungkan?

Sedangkan jika betullah orang Melayu rasis bagai didakwa, tidak mungkin kita bersifat amat bertolak-ansur terhadap budaya etnik-etnik lain seperti yang diamalkan. Tak mungkin juga kita benarkan sekolah-sekolah aliran kebangsaan diwujudkan, bahkan mustahil pula untuk bekerjasama dengan begitu akrab bersama-sama parti komponen lain dalam Barisan Nasional sejak berdekad lamanya.

Oleh itu, kepada pihak-pihak tertentu, janganlah angkuh mengaku, bahawa merekalah kononnya sebuah parti pelbagai kaum yang mempunyai keabsahan moral dan keikhlasan intelektual untuk memimpin rakyat di negara ini.

Lumrahnya, kita dapati bahawa sesuatu matlamat yang baik sahaja tanpa diseimbangi pengalaman, dihiasi kesederhanaan serta dipimpin bersandarkan perspektif sejarah. Jika pun betul, bukan sahaja tidak akan menghasilkan yang baik, sebaliknya boleh pula menyebabkan berlakunya ketidakadilan dan kezaliman.

Berasas legenda silam, UMNO perlu juga menggali dan mencontohi kekayaan tradisi pemikiran strategik era keagungan kerajaan Melayu Melaka. Keagungan empayar Melaka di tengah-tengah dua kuasa besar ketika itu, yakni China dan Siam mempertontonkan bahawa kuasa minda mampu mengatasi dan menundukkan semua.

Justeru itulah, saya sering menekankan, pertarungan sebenar masa kini dan pertarungan sebenar masa depan adalah pertarungan minda.

Begitu terserlah di era itu, Bendahara Tun Perak yang arif lagi bijaksana dengan menggunakan kehebatan mindanya penuh berhemah dan berhelah, berjaya menjulang Melaka ke tempat yang tinggi.

Sekalipun Melaka merupakan kuasa kecil berbanding China dan Siam, ia berjaya bukan sahaja mengekalkan kemerdekaan selama lebih satu kurun tetapi juga mampu berkembang menjadi kuasa rantau yang ternama.

Menjengah kembali perjuangan parti, untuk sentiasa memperoleh sokongan massa, UMNO harus dilihat, ditanggap serta diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat. UMNO tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit.

Sebaliknya, kita mahu UMNO dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri. Maka itu, persepsi UMNO sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan.

Amat mustahak lagi, UMNO menjadi parti yang berpegang kepada falsafah wasatan yakni bersederhana, atau, dengan apa yang disifatkan oleh ilmu sains politik sebagai centrist party. Kita tidak boleh menjadi parti yang ultra kiri atau ultra kanan. Waima, fahaman UMNO semenjak penubuhannya bukanlah condong sama ada kepada fahaman liberal mahupun fahaman konservatif.

Hakikat yang jelas, UMNO adalah parti siasah yang semesta. Semua pihak mempunyai tempat dan peranan di bawah lembayung UMNO.

Malah, semenjak penubuhannya lebih enam puluh tahun yang lalu, UMNO telah dianggotai mereka yang berfahaman kiri dan kanan, golongan nasionalis mahupun agamawan.

Termasuklah juga lapis golongan pemikir dan pedagang, pendidik dan pejuang serta pelbagai latar sosio ekonomi. Semuanya dialu-alukan dalam UMNO. Tuan-tuan dan puan-puan, inilah kekuatan UMNO. Inilah lambang kebitaraan perjuangan UMNO yang sebenar, sebagai sebuah parti tercinta yang menjiwai keluh-kesah, denyut nadi dan nurani semua golongan masyarakat.

Wadihnya, dalam usia lebih enam dekad, UMNO adalah parti yang sarat dengan pengalaman. UMNO bukan sebuah parti yang baru tetapi kaya dengan warisan. Pelbagai denai, onak dan duri telah ditempuhi. Bak kata orang, perjalanan ini menjadi rahmat dan sekali gus juga bebanan. Ia adalah rahmat kerana kita bukannya parti yang hanya pandai berkata-kata tanpa mempunyai rantaian rekod yang boleh menyokong janji-janji tersebut kepada rakyat. Bebanan pula timbul apabila kita berhadapan dengan pelbagai isu legasi yang mengancam survival bangsa dan negara.

Selama ini, UMNO dihormati dan disegani sebagai sebuah parti politik oleh kawan mahupun lawan disebabkan UMNO adalah sebuah parti yang mendapat sokongan majoriti orang Melayu dan bumiputera. Seandai dan sekiranya, sokongan ini terhakis, maka UMNO tidak akan disegani kawan dan tidak lagi dihormati lawan.

Lantaran itulah, suka atau tidak, kekuatan UMNO sebagai sebuah organisasi politik amat bergantung kepada kemampuannya untuk memahami kehendak ahli. Manakala, kerelevanan UMNO sebagai sebuah parti pemerintah pula bergantung kepada sejauh mana ia berjaya menangkap imaginasi bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga yang lebih utama kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ertinya di sini, UMNO akan terus mendapat tempat sebagai sebuah parti, selama mana kehendak dan kemahuan rakyat dapat dizahirkan dalam perjuangan parti, seterusnya dimanifestasikan pula dalam gerak kerja penggubalan dasar-dasar kerajaan demi kepentingan rakyat menyeluruh.

Di persimpangan ini, masalah tidak akan timbul apabila aspirasi UMNO dan aspirasi majoriti rakyat Malaysia adalah satu. Kekalutan hanya akan wujud jika tasawwur UMNO tidak lagi mewakili tasawwur rakyat terbanyak. Hal ini ditambah-burukkan lagi oleh persepsi di kalangan orang Melayu bahawa UMNO tidak bersedia untuk mengambil langkah-langkah pembetulan secara pantas.

Jika perkara tersebut berlaku, maka rakyat akan menanggap bahawa UMNO bukan sahaja parti yang tidak berpijak di bumi nyata, malahan bersikap angkuh serta kelihatan tidak acuh dan tidak peduli. Jadi, janganlah hairan jika perkara ini terjadi nanti, ramai rakyat Malaysia akan melihat UMNO bukan lagi sebagai sebahagian penyelesaian, sebaliknya ia sudah berubah menjadi sebahagian daripada masalah.

Oleh sebab itu, untuk terus lestari, UMNO tidak ada pilihan melainkan perlu “membumi” dan mendakap realiti. UMNO perlu terus membuka rongga dan ruang pembaikan. Kuak dan kembangkanlah seluas-luasnya wadah perjuangan kita kepada semua yang ingin membantu memperkukuhkan lagi parti.

Selaku Presiden UMNO, saya dengan ikhlas menyeru kepada semua orang Melayu, demi maslahah ummah, marilah bersama-sama membentuk satu saf yang berasaskan pertautan pemikiran dan tindakan untuk merungkai kekusutan, memulihkan silaturrahim serta memacu kepentingan bersama. Seperti mana pepatah lama, air dicincang tidak akan putus, buanglah yang keruh, kita ambil yang jernih, agar bangsa yang mulia ini terus dimartabatkan.

Dalam masa yang sama, ahli-ahli UMNO, baik di peringkat kepimpinan tertinggi mahu pun ahli biasa, perlu kerap melakukan muhasabah. Kita perlu bersedia untuk menilik ke dalam diri, melihat kelemahan dan memperbetulkan kekhilafan. Seterusnya, mengambil langkah untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan tersebut. Apa yang penting, ahli-ahli UMNO perlu mewajahkan peri laku mulia dan nilai-nilai murni sebagai asas jati diri dan kekuatan parti.

Pada hemat saya, dalam perkara ini, antara sifat pemimpin yang paling didambakan dan digemari rakyat adalah sifat merendah diri dan tawaduk. Ingatlah bahawa, dalam negara demokrasi seperti ini, rakyatlah yang memilih pemimpin. Pemimpin yang mereka mahukan adalah pemimpin yang sentiasa bersedia memberikan khidmat.

Saya ingin berpesan, janganlah segan untuk turun ke bawah dan merapatkan diri dengan akar umbi sekali pun kita menyandang jawatan tinggi. Bak kata pepatah, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Malah rakyat akan membenci pemimpin yang memisahkan diri dari mereka, sukar didekati, apatah lagi pemimpin yang sombong dan bongkak. Mereka yang menunjukkan keikhlasan dan merasai keseronokan menabur bakti kepada rakyat akan menjadi pemimpin yang disanjung.

Selain itu, para pimpinan UMNO dan ahli-ahli seharusnya terkenal dengan integriti apabila diberikan tugas dan amanah. Ini amat mustahak dalam meyakinkan rakyat untuk terus bersama UMNO. Jika persepsi negatif tentang integriti dan etika pemimpin UMNO menular, ia dengan sendirinya akan menjadi faktor utama menjauhkan sokongan rakyat terhadap kita.

Tambahan lagi, untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat tentang kewibawaan dan integriti UMNO, ia bukan sahaja setakat dilaungkan, tetapi ia juga mesti dipampang dengan jelas dalam bentuk amalan, tindak tanduk dan aktiviti juga gerak kerja semua ahli dan pemimpin. Insya-Allah nantinya rakyat akan dapat menerima semula, secara sepenuh hati, parti kita ke pangkuan mereka.

Gila ada pelbagai jenis gila. Kata orang bila seseorang itu bercakap sendirian, belum lagi dianggap gila. Bila dia mula berceloteh sendiri, dan kemudian menjawab balik kepada dirinya sendiri, itu namanya separuh gila. Peringkat kedua, bila dia membebel dan mengomel sendiri, kemudian menjawab balik dan percaya pula pada yang dia jawab kembali itu, tandanya memang dah sahlah dia gila.

Satu lagi jenis gila, adalah berbuat sesuatu secara berulang kali dengan tatacara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Dalam melaksanakan sesuatu dasar misalnya, kita tidak boleh terlalu dogmatik sehingga yang menjadi tumpuan adalah wahana atau pendekatan digunakan berbanding keberhasilan atau outcome.

Ini kerana, alat dan pendekatan boleh berubah dek perjalanan masa. Wahana dan kaedah yang sesuai hari ini mungkin akan lapuk sepuluh tahun dari sekarang. Begitulah kereta kuda dan mesin telegraf yang suatu ketika dahulu adalah alat dan pendekatan yang terbaik pada zaman bahari, kini, sudah tidak atau sudah jarang digunakan.

Contohnya, apabila mula digubal, Dasar Ekonomi Baru menyasarkan peningkatan pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera dari 2.4 peratus kepada 30 peratus, dalam tempoh masa dua puluh tahun. Namun begitu, sehingga Dasar Ekonomi Baru tamat pun, matlamat ini masih belum dapat diterjemahkan. Pemilikan ekuiti orang Melayu dan bumiputera hanya mencapai kira-kira 19.2 peratus sahaja.

Oleh itu, matlamat ini diteruskan di bawah Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Pembangunan Wawasan dan kini, Misi Nasional menggunakan pendekatan yang tidak jauh berbeza.

Namun, masa berlalu menyaksikan ekonomi Malaysia berubah haluan dan bergantung kepada pelaburan asing serta hasil eksport, manakala ekonomi negara kita kini lebih terbuka dan mudah terkesan dengan perkembangan ekonomi global. Mengikut laporan Pertubuhan Perdagangan Sedunia tahun 2008, Malaysia adalah negara pengeksport barangan yang ke-21 terbesar di dunia.

Hakikatnya, cabaran ekonomi masa depan yang menanti kita lebih rumit dan hebat. Landskap ekonomi dunia juga sudah berubah. Formula semalam belum tentu lagi masih mujarab.

Jika dalam tempoh hampir empat dekad kita gagal mencapai matlamat dengan menggunakan kaedah yang sama, bukankah sudah sampai masanya kita memikirkan strategi baru yang lebih relevan dengan masa dan zaman untuk mencapai cita-cita yang diimpikan?

Berikutan hal ini, orang Melayu perlu sedar bahawa salah satu sebab yang memungkinkan kejayaan Dasar Ekonomi Baru ialah kerana ia dilaksanakan di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang mapan. Perangkaan menunjukkan bahawa, pukul rata pertumbuhan ekonomi negara di antara tahun 1971-1990 adalah pada kadar 7.1 peratus.

Justeru, menyedari peri mustahaknya pertumbuhan ekonomi, apabila Malaysia menghadapi kemelesetan pertengahan 1980-an akibat kejatuhan harga komoditi dunia, kepimpinan UMNO dan negara ketika itu mengambil tindakan di luar kotak kelaziman. Telah ditangguhkan ketika itu, elemen-elemen utama Dasar Ekonomi Baru bagi mengembalikan ekonomi negara ke landasan pertumbuhan. Ini dibuat melalui pewujudan persekitaran yang subur untuk pelaburan terus asing terutamanya, dalam bidang pembuatan.

Strategi ini ternyata telah berjaya. Kutipan cukai kerajaan bertambah, peluang pekerjaan melata, dan ekonomi negara berjaya pulih dari kemelesetan. Hasilnya pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru telah dapat diteruskan.

Bersandarkan faktor inilah, maka, kerajaan hari ini telah mula meliberalisasikan sektor-sektor tertentu di samping melihat semula dengan komprehensif cara penciptaan dan pegangan kekayaan Melayu dan bumiputera agar ia lebih mapan serta lebih bermakna.

Di sudut lain, bukan sahaja UMNO yang harus berubah dan melakukan proses transformasi ke arah kebaikan generasi pewaris negara, yang terlebih penting adalah orang-orang Melayu seluruhnya perlu berubah corak pemikirannya.

Hari ini, kita melihat bagaimana produk tindakan afirmatif serta Dasar Ekonomi Baru begitu gah dan bangga mendabik dada bahawa mereka tidak perlu lagi topang dan sangga. Katanya, mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bergantung kepada pertolongan kerajaan.

Tampaknya, golongan ini lupa kepada satu hakikat yang besar. Maksud saya, jika benar pun mereka telah cukup berupaya untuk membuang topang yang menyangga mereka selama ini, bagaimana pula halnya dengan orang Melayu lain yang masih memerlukan bantuan.

Adakah adil namanya jika topang ini dinafikan kepada kumpulan yang layak menerima, hanya kerana orang yang sudah mendapat bantuan tidak lagi bergantung padanya.

Di atas segalanya, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa, nikmat tersurat hari ini ialah orang Melayu telah mempunyai kelas menengah yang besar. Keadaan ini hampir tidak wujud tatkala Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada 1971. Siapakah juga yang dapat menafikan bahawa, hari ini terdapat golongan profesional Melayu dalam skala yang besar sebagai mahsul daripada langkahlangkah Dasar Ekonomi Baru tersebut.

Oleh sebab itu, kita perlu faham bahawa, isunya di sini bukanlah soal bantuan, tetapi soal pengurusan dan pentadbiran bantuan tersebut. Faktanya, orang Melayu dilihat dari lensa keseluruhan, masih ketinggalan dan memerlukan bantuan. Itulah sebenarnya yang menjadi perhitungan utama.

Kita semua tahu bahawa, UMNO telah didirikan atas falsafah perjuangan, keikhlasan dan pengorbanan serta roh patriotik yang tinggi.

Inilah asas-asas tersirat yang selama ini memanggu kekuatan parti. Sayangnya, ramai daripada generasi kini mengambil enteng akan jerih payah pendahulu-pendahulu yang menubuhkan UMNO.

Ambil pengajaran daripada kesungguhan dan kemuliaan generasi yang terdahulu. Contohnya, pengorbanan ikhlas kaum wanita dalam parti.

Tercatat dalam sejarah, kaum ibu yang rela melurut cincin, gelang dan rantai demi membiayai rombongan pimpinan Tunku ke London bagi merundingkan kemerdekaan. Inilah sikap mulia dan murni wanita UMNO sejak berpuluh tahun. Sifat yang sungguh kita sanjung tinggi.

Saya juga masih ingat cerita pimpinan-pimpinan lalu yang sanggup berlebih kurang dalam serba kepayahan dan kesederhanaan berjuang untuk parti. Kata mereka, kalau dulu tidak macam sekarang, semuanya nakkan yang empuk dan semuanya nakkan yang mewah.

Dulu, kalau ke persidangan UMNO, siapa yang tak kenal New Hotel dan King Hotel di Batu Road. Untung-untung pun dapatlah merasa Majestic Hotel.

Sekarang, kalau tak dapat hotel lima bintang, ramai yang mengeluh sakit-sakit badan. Tak standard dan tak kelas katanya.

Apa yang cuba saya utarakan di sini adalah, ke manakah hilangnya budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam UMNO? Kalau hendak diikutkan, begitu ramai golongan profesional seperti peguam, doktor, akauntan dan jurutera yang menjadi ahli.

Malangnya, di saat-saat kita memerlukan kerja-kerja sukarela umpamanya, pada musim pilihan raya, begitu sedikit yang tampil membantu dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Barangkali, mereka ini tidak mendapat tempat di cawangan atau mungkin borang keahlian mereka hilang di tengah jalan.

Makanya, saya menyeru ahli-ahli UMNO menyegarkan kembali budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam parti. Ikhlaskanlah diri untuk menumpah bakti dan jasa tanpa disuruh-suruh demi kepentingan parti dan rakyat Malaysia.

Sesungguhnya tuan-tuan dan puanpuan yang dilimpah kurnia serta kelebihan oleh Allah SWT, dalam kehidupan masing-masing, sewajarnya kembali menyumbang kepada masyarakat.

Barulah nanti akan datangnya keberkatan dalam berparti dan dirahmati oleh Allah SWT. Seperti kata lagu: “Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah perjuangan sebenar, sejati dan mulia.”

Berkaitan hal yang tersebut juga, untuk menjadi parti yang berjaya, kita tidak boleh terpisah daripada arus pemikiran dan aspirasi rakyat. Kini, rakyat mahukan parti dan kerajaan memahami kehendak mereka dan mereka mahu lebih dirundingi dan didampingi secara langsung. Realitinya, rakyat mahukan pandangan mereka diambil kira dalam menentukan hala tuju negara.

Untuk itu, kita mesti meneruskan proses islah dan menzahirkan perubahanperubahan yang sesuai dengan masa. Kita mesti dikenali sebagai parti yang bukan sekadar mampu melakar perubahan tetapi berupaya pula menzahirkan perubahan itu.

Menuju ke arah ini, pertamanya, UMNO telah bertindak berani meminda perlembagaan parti untuk menjadikannya lebih telus, inklusif dan demokratik.Nampaknya, langkah kita telah menyebabkan pihak-pihak tertentu melatah, hingga ada yang tanpa segan-silu cuba meniru dan sekonyong-konyong meminda perlembagaan parti mereka, sekalipun tanpa perincian rapi. Inilah tembelang, aliran dan gaya sebenar mereka, suka membuat janji umum yang tidak pula ada susulan tertentu.

Berbanding pindaan yang kita lakukan ini, bukan sekadar bersifat kosmetik mahu pun tempel-tempelan, sebaliknya ia merupakan perubahan secara tuntas dan signifikan. Ia akan meluaskan bilangan ahli yang terlibat sama secara langsung untuk memilih kepimpinan parti. Ia membabitkan anjakan angka daripada sejumlah 2,500 perwakilan kepada lebih 146,000 orang.

Inilah petanda bahawa semangat demokrasi hidup segar dan subur dalam UMNO. Nyatanya, tidak ada mana-mana parti politik di Malaysia yang berani bertindak sedemikian rupa. Dengan itu, saya ingin mengingatkan kepada semua pihak, setelah pindaan kita lakukan, berhijrahlah meninggalkan gejala negatif seperti politik wang, supaya kita menjadi parti yang bersih dan dihormati.

Keduanya, berkaitan dengan cara parti memilih calon. KPI atau Petunjuk Prestasi Utama termustahak bagi sesebuah parti politik ialah untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan yang kuat serta stabil. Dalam memenuhi maksud ini, kita perlu mencari calon yang betul. Untuk itu, kita akan mengubah kriteria menentukan calon.

Maknanya, dalam memilih calon, individu itu perlulah seseorang yang diterima masyarakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting, yakni, peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara. Pada analisis akhir, inilah calon yang dikehendaki rakyat dan akan memenangi pilihan raya.

Ketiganya, budaya berparti dalam UMNO haruslah bersifat inklusif dan bukannya insular atau, terpulau. Lebih banyak program penataran yakni outreach harus dilaksanakan. Dalam konteks ini, seperkara yang harus diingat, ia tidak seharusnya terbatas kepada ahli UMNO semata-mata bahkan hendaklah melebar luas kepada semua orang Melayu dan bukan Melayu.

Sebagai rentetan daripada ucapan saya tadi, jika ditoleh sejarah, semenjak mula para patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional, telah, sedang dan tetap menjadi prioriti utama. Ini kerana, semua pihak sedar bahawa tanpa perpaduan yang mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional akan dapat diterjemahkan.

Kerana itulah pentadbiran kerajaan telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia. Sesungguhnya, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru. Sebaliknya, matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu, yang diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad.

Konsep 1Malaysia ini ditiangi oleh beberapa teras utama, antaranya, penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran Perlembagaan serta prinsip Rukun Negara.

Wajarlah saya pertegaskan di sini bahawa konsep 1Malaysia tidak sekali kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. Malah, kita kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, janganlah manamana pihak berasa gundah gulana atau menaruh syak jua bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa kita suatu ketika yang lalu.

Sesungguhnya matlamat akhir 1Malaysia adalah untuk meraikan kemajmukan dan kepelbagaian kita di Malaysia sebagai senjata dan kekuatan demi kemajuan bersama.

Pokok pangkalnya, UMNO harus kekal menjunjung tradisi perjuangan. Oleh kerana itulah, UMNO akan terus menjuarai soal kebajikan dan periuk nasi semua rakyat. Saya mahukan gerak kerja parti selari dengan tuntutan zaman. UMNO tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satusatu pihak sahaja.

Sebagai tonggak parti pemerintah, kita tidak mampu ditanggap hanya sebagai bertumpu kepada inisiatif niaga besarbesaran atau projek mega semata-mata, tetapi sebaliknya kita mesti menjadi parti yang menjuarai rakyat.

Khidmat UMNO harus merata. Kita akan tetap menjadi parti yang pro kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, pengagihan kekayaan yang adil, jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal.

Kesimpulannya, UMNO adalah sebuah parti massa yang lahir menjunjung aspirasi akar umbi bangsa untuk menebus maruah yang tergadai.

Sejarah telah menunjukkan apabila UMNO dekat dengan rakyat, apabila UMNO menyelami denyut nadi mereka, maka rakyat akan memberikan sokongan kepada UMNO. Itulah sebabnya apabila UMNO mempelopori penubuhan FELDA, Mara, Tabung Haji, LPP, LKIM dan lain-lain agensi yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, kita dijulang menjadi parti yang kuat.

Oleh kerana itulah, tanpa kunjung jemu, UMNO meneruskan tradisi membela rakyat. Bagi tahun 2009 sahaja, kerajaan yang diterajui UMNO memperuntukkan sebanyak RM22 bilion untuk membiayai pelbagai subsidi, insentif dan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat.

Perkara ini mampu dilakukan kerana kita telah mengurus kewangan dengan baik tanpa perlu menaik mahupun mengenakan cukai tambahan.

Dari itu, janganlah kita mudah terpesona dan terpukau dengan pihak pembangkang semata-mata kerana, air percuma dan sedikit kenaikan elaun.

Setidak-tidaknya ingatlah sedikit, akan jasa-jasa kerajaan pimpinan UMNO yang telah berbudi selama puluhan tahun. Kata orang, janganlah kerana kemarau sehari, rezeki hujan yang setahun sudah dilupakan.

Faktanya, secara sedar atau tidak, sudah banyak yang pihak kerajaan lakukan demi kesejahteraan hidup rakyat. Misalnya, di bawah sektor pengangkutan dan tenaga, kerajaan telah pun menyediakan subsidi sebanyak RM9 bilion untuk petrol, LPG dan diesel; RM2 bilion untuk program rebet tunai, lebih RM600 juta untuk pampasan tol; RM150 juta untuk kadar elektrik dan RM45 juta lagi untuk pengangkutan udara luar bandar serta rel pantai timur.

Berkaitan hal yang tersebut juga, kita adalah kerajaan yang empati dan prihatin dengan keadaan sebenar hidup seharian rakyat, bukan sahaja di desa, malahan juga kehidupan rakyat di kota kerana ada antaranya yang masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pokoknya, rakyat berasa lega bahawa mereka tidak bersendirian dalam keluh kesah tentang makan pakai, kos sewa rumah mereka, susu dan kain lampin anak, membawa kepada perbelanjaan pengangkutan seharian yang ditanggung.

Apa yang pasti kerajaan faham dan maklum isu ini. Misalnya, di bawah sektor pertanian dan makanan, sejumlah hampir RM600 juta diperuntukkan untuk subsidi padi, RM400 juta untuk beras, RM375 juta untuk gula; RM275 juta untuk baja, RM210 juta untuk tepung gandum dan RM89 juta untuk roti.

Selanjutnya, menyedari kepentingan pendidikan dan ilmu pengetahuan sebagai kandil generasi masa depan, sejumlah RM2 bilion lagi telah diagih-agihkan dalam bentuk bantuan kepada pelajar sekolah terutamanya untuk projek pelajar miskin. RM411 juta pula untuk bantuan pelajar IPTA; RM374 juta untuk guru atau penyelia KAFA, tidak ditinggalkan elaun guru takmir termasuk elaun imam serta elaun ketua-ketua kampung.

Sebahagian lagi yakni RM159 juta untuk kanak-kanak prasekolah dan RM36 juta pula diperuntukkan untuk masyarakat Orang Asli.

Tidak dilupakan sebanyak RM850 juta lagi untuk menyediakan jaringan keselamatan khusus kepada keluarga miskin, orang kurang upaya dan warga emas. Selain itu, dari bulan November 1997 hingga bulan Ogos 2009, kerajaan melalui PTPTN telah mengeluarkan lebih RM19 bilion kepada 1.4 juta peminjam terdiri daripada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS dengan ujarah yang sangat rendah. Bersyukurlah kita atas kesemuanya ini.

Sejak pasca pilihan raya ke-12, musuhmusuh politik UMNO telah mula meramalkan kejatuhan parti keramat ini. Hatta banyak pihak yang tidak sabar untuk menalqinkan UMNO. Kata mereka, UMNO sudah nazak dan hanya menanti waktu. Sebenarnya ini bukan kali pertama perkara ini berlaku. Jangkaan ini juga dibuat apabila Parti Kemerdekaan Tanah Melayu dan Parti Islam Se-Malaya tertubuh akibat perpecahan dalam UMNO.

Telahan juga dilontar selepas tragedi 13 Mei 1969 apabila kerajaan Perikatan kehilangan majoriti dua pertiga di mana banyak pemuka-pemuka UMNO tewas dan kecundang. Andaian sebegini juga dibuat selepas pemilihan UMNO 1987 dan kemudiannya apabila terbentuk Parti Melayu Semangat 46. Ia juga dicanang dengan kencang di pilihan raya umum 1999. Kendatipun begitu, Alhamdulillah setiap kali ramalan ini timbul UMNO bangkit kembali sebagai organisasi yang lebih kuat dan berpadu.

Merujuk keputusan pilihan raya umum ke-12, rakyat telah memberi mesej yang jelas kepada kita. Justeru, kita sedar dan insaf. Kita tahu rakyat masih sayangkan UMNO. Apa yang mereka inginkan hanyalah, agar UMNO berubah. Nyatanya, kita mendengar hasrat rakyat ini. Kita akan berubah.

Apa yang pasti, kelangsungan parti begitu penting, bukan untuk pemimpin UMNO tetapi untuk bangsa, agama, negara dan rakyat seluruhnya. Hakikatnya, setiap generasi kepimpinan UMNO menghadapi cabaran yang tersendiri sesuai dengan masa dan zaman.

Alhamdullilah, setiap cabaran berjaya diatasi dengan perpaduan dan semangat yang kental. Sememangnya pun, penubuhan UMNO merupakan hasil doa para ulama, pendidik, petani, nelayan, peniaga dan para mustada‘afin serta rakyat keseluruhannya yang mahukan kebebasan bermaruah.

Kata orang, jika kita bersatu hati, bersatu tekad dan membulatkan usaha, maka kita akan berupaya bersama-sama mendaki ke puncak yang paling tinggi menuruni cerun yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam.

Bahkan, sejarah menjadi saksi bahawa orang-orang UMNO tidak pernah gagal melakukan sesuatu tindakan hanya kerana ia sukar. Sebaliknya, kita telah berjaya, menggapai apa yang mustahil dengan berbekalkan semangat.

Siapa sangka bangsa yang pernah dimomok-momokkan sebagai lemah dan tidak bersedia untuk bebas kendiri telah berjaya merebut kemerdekaan dari kuasa besar dunia, bukan dengan jalan hujung senjata tetapi menggunakan akal dan hujung lidah, berdiplomasi serta berunding dengan Inggeris.

Siapa sangka bangsa ini kemudiannya berjaya mengisi erti kemerdekaan tersebut sehingga Malaysia muncul sebagai negara membangun yang termaju di dunia.

Sesungguhnya, amanah besar ini tidak boleh dipikul oleh seorang. Ia perlu dijinjing oleh satu jemaah, satu barisan yang tersusun rapi.

Oleh itu, saya menyeru dan mengajak kepada Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan yang berada di atas, pejuang-pejuang UMNO di bawah, pejuang UMNO di bahagian, pendokong UMNO di cawangan, seluruh warga UMNO yang baru dan yang lama, di kota dan di desa, bangkitlah semua bersama-sama saya. Rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah kita martabatkan warisan kita ini.

Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul. Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang hak. Kitalah UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.

Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung.

Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.

Kendati tergantung awan di langit,

Telah terlanjur kubentangkan layar,

Walau badai datang menggulung,

Walau berdentum guruh di langit,

Walau bumi berkeping dua,

Takkan mungkin ku berbalik haluan.

Hidup UMNO!

Hidup UMNO!

Hidup UMNO!

Rabu, Oktober 14, 2009

Muhyiddin seru Wanita, Pemuda dan Puteri wujudkan Penunjuk Prestasi Utama Politik

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru ketiga-tiga sayap parti itu, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri untuk mewujudkan Penunjuk Prestasi Utama Politik.

“Bagi memastikan Umno kembali menjadi parti yang memberi harapan baru, saya ingin mengajak ketiga-tiga sayap untuk menetapkan Penunjuk Prestasi Utama Politik dengan menambah bilangan ahli baru, mendaftar sebagai pengundi baru dan membentuk jaringan yang lebih mantap dengan pertubuhan bukan kerajaan.

“Saya beri tempoh masa dua tahun untuk saudara saudari mencapai sasaran. Kita sudah tiada masa. Gerakan ini mesti bermula sekarang,” katanya dalam ucapan perasmian serentak persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada malam Selasa.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Muhyiddin, Umno sudah mengambil langkah untuk melakukan proses penilaian semula secara serius tentang cara dan kaedah mendepani rakyat.

“Kita sudah menjadikan kehendak, aspirasi dan keperluan rakyat sebagai teras komitmen kita. Maka semangat dan hala tuju baru ini mesti segera digembeleng menjadi arus dan gelombang yang lebih besar yang akan melonjakkan perjuangan parti kita ke mercu kejayaan dan kegemilangan,” katanya.

Beliau berkata langkah itu perlu untuk Umno kekal relevan dengan putaran masa parti itu perlu memahami suara, bahasa, gaya dan nuansa politik baru yang ada pada hari ini.

“Umno perlu menjadi releven dalam dunia terbuka tanpa sempadan di tengah-tengah ledakan maklumat dan ilmu.

“Umno juga perlu terus menjadi releven dengan mewakili suara orang Melayu, Bumiputera dan rakyat keseluruhannya,” kata beliau.

Oleh itu Muhyiddin berkata, Umno perlu ada jiwa yang dibina dengan idealisme perjuangan dan berani melakukan perubahan untuk kebaikan.

“Saya yakin Umno mahu berubah. Umno telah mula berubah dan Umno akan terus membuat perubahan untuk kebaikan.

“Tidak patut ada lagi perpecahan dalaman, tidak ada lagi team A atau team B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan jatuh menjatuhkan pemimpin, tidak ada lagi budaya ugut-mengugut, dan tidak ada lagi perebutan kuasa sehingga parti menjadi mangsa. Yang ada hanya satu wadah, satu pasukan, satu Umno,” katanya.

Empat rukun

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menggariskan empat rukun iaitu kesatuan minda, kesatuan hati, kesatuan amal dan kesatuan matlamat yang perlu dihayati oleh ahli Umno untuk memastikan mereka meletakkan matlamat perjuangan parti mengatasi kepentingan diri

“Dengan terbinanya kesatuan minda,Umno akan mempunyai visi perjuangan yang jelas. Dengan terjalinnya kesatuan hati, setiap daripada kita akan menjiwai erti perjuangan Umno.

“Dengan terbentuknya kesatuan amal, kita bergerak dan bertindak di atas satu landasan dan satu pasukan. Dengan terpaterinya kesatuan matlamat kita akan dapat mencapai tujuan perjuangan kita demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Tambah beliau, langkah pertama ke arah kesatuan minda yang boleh dilakukan ialah melaksanakan perubahan dan pembaharuan menghayati serta mendalami aspirasi rakyat dan orang Melayu.

“Kita perlu membebaskan minda dan sikap kita daripada penjara pemikiran yang lapuk dan sukar berubah. Kita mesti menerima hakikat bahawa landskap politik negara sudah berubah, nilai dan budaya politik masyarakat Melayu sendiri juga sudah berubah.

“Kita perlu menggarap pemikiran baru tentang demokrasi yang merangkumi konsep penghakupayaan, politik penyertaan dan urus tadbir negara yang baik,” katanya.

Justeru, pemikiran baru ini perlu dibina dan digembleng tanpa mengorbankan matlamat asal perjuangan Umno.

“Prinsip perjuangan Umno, iaitu berjuang demi agama, bangsa dan negara adalah tetap luhur dan releven. Kita tidak perlu apologetik dalam soal ini. Tetapi, dalam suasana pemikiran politik yang telah berubah, maka ia perlu disampaikan, diterangkan dan diwar-warkan dengan cara yang yang lebih jelas dan agresif.

“Rakyat dan orang Melayu hari ini menyanjung tinggi pemimpin yang ikhlas berbakti; mendahulukan kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi; sentiasa menunaikan janji; telus, adil, amanah dan bertanggungjawab apabila bertindak; dan sentiasa memahami denyut nadi rakyat,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menegaskan, dalam perjuangannya ahli-ahli parti perlu bersatu hati untuk bersama-sama mencurahkan bakti kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Kita mesti sentiasa bersetia dalam wadah Umno untuk membantu rakyat tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Kita mesti sentiasa bersedia untuk berkhidmant kepada rakyat tanpa mengira masa dan tempat.

“Curahan bakti yang dilakukan dengan penuh kesungguhan atas rasa kasih sesama insan akan memancarkan rasa ikhlas di sanubari kita. Sesungguhnya, masyarakat boleh menilai setiap khidmat atau sumbangan yang disampaikan. Walau sekecil mana pun sumbangan itu, sekiranya dilakukan dengan niat yang suci, pasti akan dihargai,” kata beliau lagi.

Dekati generasi muda

Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru ahli parti untuk memperteguh kesatuan amal dengan merangka dan melaksanakan pendekatan yang lebih mesra rakyat untuk memenangi hati dan perasaan generasi muda.

“Kita tampilkan wahana komunikasi politik yang lebih berkesan untuk mendekati rakyat. Wahana baru yang telahpun kita gunakan ialah media baru dan asas rangkaian sosial yang bersifat interaktif. Kita manfaatkan wahana ini bukan sahaja untuk berinteraksi tetapi untuk menampilkan idealisme, pemikiran, nilai, budaya dan jiwa Umno yang baru.

“Program mendekati masyarakat mesti diperhebatkan supaya kita benar-benar dapat merasai denyut nadi mereka. Jadilah mata, telinga dan suara hati masyarakat. Fahami permasalahan masyarakat dan bantulah mereka mencari jalan penyelesaian. Sentiasalah turun padang agar kehadiran kita dirasai, diri kita mudah didekati. Sentiasalah berada bersama masyarakat dan bersedia untuk membantu mereka. Ini adalah terjemahan tradisi perjuangan kita membela rakyat,” ujar beliau dengan panjang lebar.

Oleh yang demikian, tegas Muhyiddin, Umno mesti memperkukuhkan asas kekuatannya terutama ahli dan organisasi kerana kedua-dua modal politik ini mesti terus diperkasa dan disiap siagakan agar dapat menggalas perjuangan parti.

“Kita persiapkan ahli-ahli Umno dengan ilmu dan kemahiran politik yang mantap melalui program pendidikan dan latihan sepanjang hayat. Dengan melaksanakan program tarbiah siasah ini kita pastikan ahli-ahli Umno menghayati erti perjuangan Umno dan erti menjadi pejuang Umno yang sejati.

“Kita persiapkan organisasi Umno untuk memacu gelombang perubahan. Pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan esok bakal membuka jalan kepada proses transformasi sistem politik Umno yang lebih demokratik dan inklusif,” ujarnya.

- MSTAR

Recent Posts