Biarkan ahli parti pilih calon pilihan raya

Oleh Wan Saiful Wan Jan
Editor www.AkademiMerdeka.org dan Ketua Pengarah Malaysia Think Tank

Saya amat tertarik dengan idea yang disuarakan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini. Utusan Malaysia bertarikh 25 November melaporkan, Nur Jazlan mencadangkan agar UMNO melibatkan ahli-ahlinya dalam memilih calon pilihan raya bagi memastikan individu yang dipilih tidak ditolak oleh pengundi.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, menerusi kaedah tersebut, pucuk pimpinan Barisan Nasional akan mengetahui siapa calon yang dikehendaki oleh masyarakat sekali gus memastikan kemenangan parti pada setiap pilihan raya.

Katanya, kaedah itu adalah cara paling berkesan kerana ahli di peringkat akar umbi sebenarnya mengetahui siapa yang paling layak untuk menjadi wakil rakyat di kawasan mereka.

Beliau dalam satu artikel lain mengatakan, UMNO dan BN perlu menyedari bahawa kekalahan pada beberapa pilihan raya kecil sepanjang tahun lalu dan tahun ini adalah disebabkan faktor calon yang tidak diterima oleh masyarakat tempatan.

Maka sebab itulah beliau mahukan hak untuk memilih calon pilihan raya - umum atau kecil - dikembalikan kepada ahli di peringkat akar umbi dan pucuk pimpinan harus menerimanya.

Saya amat bersetuju dengan pandangan itu. Mungkin ada yang menuduh saya berat sebelah kerana Nur Jazlan adalah seorang daripada Ahli Lembaga Penasihat kami. Bukan itu sebabnya. Pandangan beliau memang amat baik. Malah saranan itu perlu diberi perhatian oleh semua parti politik di negara kita, bukan UMNO sahaja.

Semasa saya bertanding pada pilihan raya 2007 di England sebagai calon Parti Konservatif, pemilihan saya sebagai calon adalah hak mutlak parti di peringkat kawasan. Ibu pejabat hanya memainkan peranan kecil sahaja. Saya juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Parti Konservatif Kawasan Luton Utara, sebuah kawasan Parlimen di utara kota London. Semasa memegang jawatan itu, saya terlibat dalam panel pemilihan calon untuk kerusi Parlimen kami.

Sesiapa sahaja boleh memohon untuk menjadi calon, asalkan dia telah menjadi ahli parti selama lebih tiga bulan.

Ibu pejabat parti menyediakan satu borang khas yang perlu diisi oleh mereka yang berminat. Pemohon dikehendaki memberikan maklumat mengenai pengalaman bekerja di dalam dan luar parti. Ada juga soalan-soalan yang berkaitan dengan kebolehan dan keterampilan calon berkenaan.

Borang itu perlu diserahkan ke ibu pejabat parti dengan surat sokongan. Ibu pejabat akan memproses permohonan dan kemudian akan menemuduga mereka yang layak. Hasil proses saringan awal ini, biasanya akan ada sekitar 600 ke 700 calon yang layak bertanding di semua 646 kerusi Parlimen Britain.

Ibu pejabat parti akan menyimpan data semua calon yang telah disaring peringkat pertama ini. Apabila ada kekosongan kerusi Parlimen, maka semua calon yang belum mempunyai kerusi akan dihubungi oleh ibu pejabat.

Jika mereka berminat dengan kerusi itu, maka mereka perlu menghantar permohonan terus kepada pejabat parti kawasan berkenaan. Proses pemilihan kini berpindah sepenuhnya kepada kawasan, tanpa campur tangan ibu pejabat.

Semasa saya menjadi salah seorang panel pemilih, kami menerima sekitar 40 permohonan. Kami kemudiannya menyaring permohonan kepada 12 orang. Kemudian kami mengadakan temuduga dengan kesemua 12 calon itu. Daripadanya kami menyenarai pendek kepada lima orang sahaja.

Seterusnya, semua lima calon tersebut dijemput ke pemilihan akhir. Kali ini semua ahli kawasan dijemput untuk menemuduga calon-calon tersebut.

Seorang demi seorang calon dipanggil untuk berdepan dengan soalan-soalan daripada ahli parti kawasan. Saya masih ingat lagi betapa dewan yang kami sewa penuh sesak dengan ahli-ahli parti yang mahu mengambil bahagian.

Untuk memastikan proses soal jawab adalah adil, maka ada sembilan soalan yang ditanya kepada semua calon. Ini memastikan mereka menjawab sembilan soalan yang sama pada peringkat awal.

Tetapi selepas itu semua ahli parti yang hadir boleh bertanya apa-apa soalan yang mereka mahu.

Akhirnya, calon diundi secara terbuka oleh ahli-ahli yang hadir ke majlis pemilihan. Kesan daripada proses yang terbuka dan inklusif ini amat positif sekali. Ahli-ahli parti merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada "pasukan" yang memilih calon.

Ahli-ahli mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu dalam kempen rumah ke rumah. Calon itu adalah calon "kita" dan semua ahli mesti turun padang memastikan beliau menang.

Hasilnya, proses kempen berjalan lancar dengan bantuan daripada ahli-ahli setiap peringkat. Mereka membantu calon yang mereka sendiri pilih, bukan calon payung terjun lantikan ibu pejabat. Ahli-ahli juga tahu bahawa pemilihan adalah adil dan telus. Mereka sendiri yang membuat pilihan berdasarkan realiti setempat. Tidak ada lagi kemungkinan salah guna kuasa orang atasan parti.

Jika sistem sebegini kita amalkan di Malaysia, calon-calon yang terpilih akan sedar bahawa mereka mesti berkhidmat untuk ahli parti. Mereka tidak boleh berlagak sombong setelah terpilih. Mereka juga tidak boleh hanya mengampu pemimpin atasan sahaja kerana orang atasan tiada kuasa memastikan mereka terus terpilih sebagai calon.

Jika calon-calon ini berlagak sombong dan mengenepikan pandangan ahli parti, maka mereka tidak perlu dipilih lagi pada pilihan raya akan datang.

Sistem ini akan mengembalikan kuasa kepada rakyat dan ahli peringkat bawahan. Barulah ada faedah menjadi ahli sesebuah parti. Kita tidak menjadi orang suruhan semata-mata, tetapi kuasa ada di tangan kita.

Sistem ini juga boleh menghapuskan politik wang kerana hampir mustahil untuk menyogok ahli-ahli dalam proses pemilihan yang sebegitu terbuka. Jika salah sogok, silapsilap akan disoal di khalayak ramai!

Saya harap cadangan Nur Jazlan akan diberi perhatian yang sewajarnya oleh UMNO dan juga semua parti politik lain di Malaysia. Jika kita mahu berubah, maka idea-idea bernas sebegini perlu diperhalusi.

- UTUSAN Biarkan ahli parti pilih calon pilihan raya

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.