Satu program Juara Rakyat setiap bulan - Najib


BUKIT BERUNTUNG: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan program Juara Rakyat bagi meneruskan tradisi Umno menjaga kebajikan rakyat, selain membolehkan parti itu mendekatkan diri, peka dan prihatin dengan pemasalahan orang ramai di seluruh negara.

Serentak itu, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno mengarahkan semua bahagian parti itu di seluruh negara melaksanakan sekurang-kurangnya satu program Juara Rakyat setiap bulan yang membabitkan 12 bidang yang digariskan dalam program berkenaan.

Beliau berkata, program itu adalah antara cara mengaktifkan jentera parti supaya lebih dekat dengan penduduk setempat, selain menekankan peranan kepemimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mendukung cita-cita rakyat.

"Kita harap dengan ada program Juara Rakyat, pemimpin Umno dan BN sentiasa peka dengan pemasalahan rakyat dan sanggup mengambil tindakan menyelesaikan masalah berkenaan. Ini tidak bererti semua masalah boleh selesai sekelip mata. Program ini adalah mengenai keprihatinan dan sensitiviti kita terhadap apa jua masalah rakyat," katanya pada sidang media selepas pelancaran program itu.

Program itu dilancarkan penuh meriah dengan 20,000 pengunjung daripada pelbagai peringkat usia dan kaum hadir membanjiri tapak program di Bandar Bukit Sentosa, dekat sini, semalam.

Pelancaran program tiga hari yang bermula semalam itu dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Hadir sama Naib Presiden Umno yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, menteri Kabinet dan pemimpin parti komponen BN.

Najib berkata, program Juara Rakyat dimulakan pada peringkat Umno bahagian, manakala pada peringkat sayap parti dan cawangan akan terus dijalankan bahagian masing-masing.

Beliau juga menyarankan program yang didukung Umno itu diikuti parti komponen BN dengan tema sama dalam kegiatan parti masing-masing. "Umno mempelopori konsep Juara Rakyat, tetapi Umno juga memperjuangkan kepentingan semua kaum. Kita mahu program ini bercorak penyertaan semua kaum yang menggambarkan kita Umno memperjuangkan semua kaum bukan orang Melayu saja," katanya

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, Juara Rakyat dipilih sebagai tema kerana Umno dan rakan dalam BN dengan segala perasaan rendah diri menerima keputusan pilihan raya umum lalu, yang mana rakyat memberi isyarat kepada Umno dan BN.

"Kami dengar dan kami terima bahawa rakyat telah memberi teguran kepada Umno dan BN, teguran itu kami akan hayati bukan saja kami dengar tapi kami insaf bahawa dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat ialah kuasa keramat dan mutlak," katanya.

Najib berkata, pemimpin Umno dan BN tidak boleh lalai, sebaliknya mesti terus berjuang untuk kepentingan rakyat kerana kedudukan parti pada masa ini adalah semata-mata atas kehendak dan restu rakyat.

"Kita mesti memperlihatkan parti kita melalui segala usaha tindakan yang dilakukan oleh pemimpin kita di semua peringkat bahawa kitalah adalah juara kepada aspirasi dan kehendak rakyat di dalam negara kita.

"Justeru, kita mesti menyusun langkah memperlihatkan hakikat bahawa kita adalah parti yang sentiasa dapat merasai denyutan nadi rakyat melalui pelbagai usaha yang kita lakukan sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata Umno sebagai parti tertua di negara ini juga perlu bekerja lebih keras memenangi hati rakyat agar tidak dilupakan dan hanya menjadi kenangan pada masa depan.

- BERITA MINGGU

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.