Selasa, Januari 20, 2009

Komentar - Umno, BN mesti diperkukuh lebih prihatin masalah rakyat

PELBAGAI analisis sudah dikemukakan mengenai keputusan Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, tetapi sebagai penyokong Barisan Nasional (BN) dan Umno, saya berasakan masih ada aspek perlu diperhalusi. Analisis politik yang objektif mestilah berlandaskan hakikat yang berlaku tanpa perasaan takut dan malu. Dengan matlamat untuk mencari kesilapan sebenar maka barulah pembaharuan dan perubahan berkesan dapat diambil. Sikap membohongi diri hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Apakah pentingnya pilihan raya kecil Kuala Terengganu kepada Umno dan BN? Ia penting kerana Umno bukan saja mempertahankan kerusinya, tetapi juga bertujuan menyekat tsunami politik yang bermula 8 Mac 2008.

Umno perlu memulihkan imejnya supaya parti itu terus relevan sebagai tonggak kekuatan BN dan Kerajaan Persekutuan. Kekalahan dua pertiga kerusi Parlimen 8 Mac 2008 dan kehilangan lima negeri kepada Pakatan Rakyat mesti ditebus di Kuala Terengganu. Kemenangan dengan majoriti besar akan memulihkan keyakinan rakyat kepada Umno sebagai peneraju Kerajaan Pusat.

Apakah pentingnya pilihan raya kecil ini kepada Pas dan Pakatan Rakyat? Bagi Pas, kemenangan di Kuala Terengganu akan mengukuhkan imejnya sebagai rakan Pakatan Rakyat yang tidak boleh dipandang ringan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat. Kemenangan di Kuala Terengganu dapat mengubat rasa malu Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang gagal mempertahankan Terengganu sedangkan parti itu mencatat kejayaan cemerlang di Kedah, Perak dan Selangor. Bagi Pakatan Rakyat, kemenangan Kuala Terengganu melonjakkan pengaruhnya sebagai parti alternatif kepada BN. Bagi Pas dan Pakatan Rakyat, kemenangan walaupun dengan majoriti kecil sudah cukup untuk menaikkan imej mereka.

Kemenangan memihak kepada calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi, keputusan di luar jangkaan Pas sendiri. Calon Umno, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memperoleh 30,252 undi, kehilangan 2,310 undi berbanding jumlah undi diperoleh Allahyarham Datuk Razali Ismail pada pilihan raya umum Mac tahun lalu. Dari segi statistik, kehilangan hampir 10 peratus undi dalam tempoh 10 bulan tidak boleh dipandang ringan oleh Umno. Jika jumlah pengundi Cina yang menyokong BN meningkat seperti didakwa Datuk Seri Ong Tee Keat, ini bermakna kemenangan calon Pas adalah kerana sokongan ahli Umno sendiri.

Ada penganalisis politik yang melihat pilihan raya sebagai percaturan persepsi dan populariti, justeru, kesilapan memilih calon dilihat sebagai faktor utama kekalahan BN. Umno menyedari hakikat itu, lalu menamakan Wan Ahmad Farid sebagai calon lebih awal bagi memberi masa yang cukup untuk menangani sebarang isu dalaman parti berhubung calon. Bagaimanapun, andaian ini terbatal kerana dalam pilihan raya umum dan kecil sebelum ini, BN pernah meletakkan calon yang kontroversi dan bermasalah tetapi tetap menang.

Kalau persepsi dijadikan ukuran, maka rakyat sepatutnya akan memilih parti terbaik untuk mereka. Melihat kepada jumlah kempen, ceramah dan propaganda media massa sejak hari penamaan calon hinggalah ke hari mengundi, Umno sepatutnya menang besar. Umno mempamerkan kepada rakyat Kuala Terengganu imej sebuah parti yang 'cakna rakyat', parti yang membawa kemajuan, berjiwa rakyat dan parti yang murah dengan wang ringgit. Sementara Pas dan Pakatan Rakyat pula digambarkan sebagai parti yang tidur sebantal tetapi mimpi berbeza, pakatan yang sedang retak menanti belah. Isu hudud dan perpecahan dalam Parti Keadilan Rakyat dihebahkan secara meluas.

Pas dan Pakatan Rakyat pula mencanangkan gagasan yang sama seperti pilihan raya umum tahun lalu. Pembangkang berjanji untuk membawa perubahan dan reformasi melalui pembentukan Malaysia baru yang lebih adil dan telus. Isu yang diulang tayang oleh mereka ialah rasuah, ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai kelemahan Umno dan BN.

Sebenarnya, pemikiran rakyat kita sudah maju dan mereka mampu membuat penilaian sendiri. Persepsi dan populariti calon bukan ukuran utama tetapi pragmatisme yang menjadi asas utama pemilihan rakyat.

Ketaksuban rakyat sekarang kepada parti tertentu tidak sama dengan 20 tahun lalu. Generasi muda khususnya sudah mempunyai pendirian sendiri yang tidak sama dengan ibu atau ayah mereka dalam soal politik. Malah, generasi ini mampu menjadi ejen perubahan kepada kaum keluarga mereka.

Kempen Umno tidak sama dengan apa yang dilakukannya. Perkara ini mudah dilihat oleh pengundi Kuala Terengganu. Rakyat melihat kehadiran pemimpin Umno dari seluruh negara dengan rombongan kereta mewah sedangkan mereka terpaksa berasak dalam van untuk mendengar ceramah. Pemimpin Wanita Umno yang datang dari Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak segan silu mempamerkan gelang dan cincin berlian. Apakah peniaga kecil di Pasar Payang dan mak cik di Batu Buruk dan Wakaf Mempelam tidak tahu nilainya?

Dari segi penampilan diri, pemimpin Umno mempamerkan kemewahan hidup di Kuala Terengganu berbanding pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat.

Jubah yang sama dipakai beberapa hari. Wanitanya pula bertudung labuh, jadi tidak ada subang atau rantai berlian yang hendak dipamerkan. Imej mereka jauh berbeza dengan imej pemimpin Umno.

Kita juga tidak tahu sama ada taktik pemimpin mendukung anak kecil, memapah orang tua dan menghulur buah tangan kepada pesakit di hospital di setiap kempen pilihan raya memberi kesan kepada pengundi.

Poster besar calon dan pemimpin bersama rakyat mungkin tidak lagi menarik minat rakyat kerana mereka dapat membezakan di antara lakonan pilihan raya dan pemimpin yang benar-benar berjuang untuk rakyat.

PEMERHATI POLITIK,
Kuala Lumpur.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.