Memaparkan catatan dengan label Pakatan Rakyat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pakatan Rakyat. Papar semua catatan

Sabtu, Julai 04, 2009

Azizan dakwa DAP sengaja cetus isu perkauman

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan dakwaan DAP Kedah, yang kononnya kerajaan negeri akan merobohkan kuil-kuil Hindu dan tokong-tokong Cina di negeri itu dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai sengaja ingin mencetuskan isu perkauman.

Azizan berkata kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak pernah membincangkan tentang perkara merobohkan mana-mana tokong atau kuil di Kedah.

"DAP kata dia berjuang untuk semua kaum tapi kali ni nampak sengaja nak cetuskan isu perkauman sebab Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan dan majlis bandaraya pun tak pernah tau pasal perkara ini, tiba-tiba dia orang (merujuk Pengerusi DAP Kedah/Perlis Thomas Su) boleh tau," katanya ketika ditemui pemberita di Alor Star hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Thomas di Ipoh semalam yang mendakwa kerja-kerja merobohkan beberapa kuil dan tokong di kawasan Alor Star telah diluluskan oleh MBAS, lapor Bernama.

Sehubungan itu, katanya semua ahli majlis tempatan dan ketua kampung DAP Kedah meletak jawatan serta merta.

Mengenai pengumuman DAP untuk keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu, Azizan berkata sehingga hari ini masih belum ada wakil daripada parti itu datang bertemu dengannya untuk membincangkan perkara berkenaan.

"Saya cuma tahu DAP nak keluar pakatan daripada akhbar sahaja. Perkara ini boleh dibincangkan secara keluarga, tapi dibesar-besarkan dan ia tak wajar berlaku.

"DAP jangan ingat dia saja mewakili kaum Cina... MCA, PKR dan Gerakan pun wakil kaum Cina juga, saya tak nak bergaduh dengan Cina, apa sahaja bantuan semua dah bagi, kat DAP pun semua bantuan bagi, tak tau tak puas hati kat mana," katanya.

Lim nak jumpa MB

Rabu lalu, Su mengumumkan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak puas hati dengan pentadbiran PAS di negeri itu yang merobohkan
pusat penyembelihan babi yang terletak di Kampung Berjaya, di Alor Star.

Sementara itu, pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang dilaporkan oleh Bernama sebagai bderkata, ketegangan yang timbul antara DAP Kedah dengan kepimpinan kerajaan negeri itu akan cuba diselesaikan di peringkat negeri.

Sehubungan itu, katanya, beliau sendiri akan berjumpa dengan menteri besar untuk membincangkan tentang perkara itu secepat mungkin.

"Saya akan berjumpa dengan menteri besar dan merangka (penyelesaian) untuk
mengatasi masalah ini supaya kerajaan pakatan dapat diperkukuhkan.

"Kalau tak dapat selesai di peringkat negeri, seluruh Malaysia pun akan bertanya adakah pakatan boleh jadi pilihan yang kredibel," katanya dalam sidang media di Alor Star hari ini.

Katanya, selepas berbincang dengan DAP Kedah, beliau kini lebih memahami dan mendapati bahawa DAP negeri mempunyai alasan tersendiri untuk keluar dari pakatan pembangkang di negeri itu.

"Isu penutupan tempat penyembelihan babi itu cuma salah satu sebab. Selain itu mereka juga mendakwa pandangan atau pendapat DAP di Kedah tidak diambil kira...apa saja masalah yang dihadapi seeloknya diselesaikan di peringkat negeri," katanya.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan keputusan DAP Kedah untuk keluar dari Pakatan Rakyat, Lim berkata "Sama ada saya setuju atau tidak, itu perkara lain".

Katanya, apa sahaja masalah yang timbul perlu diselesaikan dengan baik kerana ia bukan hanya melibatkan DAP dan PAS tetapi sebaliknya semua parti dalam Pakatan.

- MALAYSIAKINI

Jumaat, Julai 03, 2009

Pakatan Rakyat pantau Parlimen

Pakatan Rakyat semalam menubuhkan jawatankuasa Ahli Parlimen untuk memantau setiap kementerian sebagai persediaan untuk membahaskan pelbagai isu di Dewan Rakyat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali ketika mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu pada sidang media di lobi Parlimen, menafikan ia Kabinet bayangan pembangkang, sebaliknya berfungsi tugas menjaga setiap kementerian.

Namun, beliau tidak menafikan penubuhan jawatankuasa itu adalah langkah ke arah menubuhkan Kabinet bayangan selepas ini.

"Ini bukanlah shadow cabinet (Kabinet bayangan). Penubuhan jawatankuasa ini untuk kita tumpukan kepada urusan Parlimen. Bila Pakatan Rakyat mempunyai pakar dalam sesuatu kementerian, bila ada Rang Undang-Undang, setiap anggota yang diberi tanggungjawab menjaga mana-mana kementerian bolehlah berbahas dengan baik lagi.

"Kita mahu semua ahli Parlimen kita menyiapkan diri ketika berbahas. Senarai ini sudah dibincang dan diperakukan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat. Shadow cabinet ini diberikan gelaran oleh media saja, sebenarnya bukan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata senarai Jawatankuasa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengikut kementerian tidak membayangkan ia sebagai Kabinet bayangan.

Katanya, senarai nama itu menyenaraikan tiga nama mewakili setiap parti bagi kementerian yang wujud di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan perkara itu secara tidak langsung menunjukkan ketidaksepakatan antara mereka.

"Saya sudah minta senarai Kabinet bayangan tapi sampai hari ini (Pakatan Rakyat) tak mampu lagi... sebab tak ada kata sepakat dan daripada tiga ini siapa nak jadi menteri.

"Nampak sangat tak boleh setuju dan kompromi... ini bubuh tiga... siapa nak jadi Perdana Menteri? (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) kah? (Lim) Kit Siang (Datuk Seri) Hadi (Awang) kah?... Pakatan Rakyat jadi kerajaan ada tiga menteri, hancur negara," katanya.

Timbalan Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, berkata cadangan itu hanya untuk menutup kelemahan yang dimiliki mereka.

Katanya, idea Kabinet baru pakatan itu hanya sekadar meniru cara organisasi kabinet yang sedia ada dengan menamakan seorang wakil daripada pakatan dalam setiap kementerian.

"Itu sebenarnya bukan kabinet bayangan tetapi kabinet bayang-bayang dan hanyalah replika," katanya.

Antara Jawatankuasa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat

JABATAN PERDANA MENTERI

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Seri Hadi Awang (Pas), Lim Kit Siang DAP). Dibantu oleh Mohamed Azmin R Sivarasa, Tan Sri Khalid Ibrahim, William Leong, Ahmad Kassim, Fuziah Salleh (semua PKR), Nasharudin Mat Isa, Salahuddin Ayub, Dr Hatta Ramli, Dzulkifli Ahmad, Taib Azamuddin, Khalid Samad (Pas), Ngeh Koo Ham, Hiew King Chiew dan John Fernandez (DAP).

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Datuk Johari Abdul (PKR), Salahuddin dan Karpal Singh (DAP).

KEMENTERIAN KEWANGAN

Mohamed Azmin, Dr Dzulkifli Ahmad (Pas) dan Tan Kok Wai (DAP).

KEMENTERIAN PELAJARAN

Mohd Yusmadi Yusoff (PKR), Che Uda Che Nik (Pas) dan Chong Eng (DAP).

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN

Datuk Zahrain Mohamed (PKR), Khalid Samad (Pas) dan Tan Kok Wai (DAP).

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

Zuraida Kamaruddin (PKR), Siti Zailah Mohd Yusuf (Pas) dan Yong Po Kuan (DAP).

KEMENTERIAN PELANCONGAN

S Manikavasagam (PKR), Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah (Pas) dan Fong Kui Lun (DAP).

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wee Choo Keong (PKR), Dr Lo Lo Mohd Ghazali (Pas) dan Lim Lip Eng (DAP).

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

Zulkifli Nordin (PKR), Salahuddin Ayub (Pas) dan Tony Pua (DAP).

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

N Gobalakrisnan (PKR), Dr Mujahid Yusof Rawa (Pas) dan Chong Chien Jen (DAP)

KEMENTERIAN KERJARAYA

Datuk Kamarul Bahrin Abbas (PKR), Datuk Mahfuz Omar (Pas) dan Gobind Singh Deo (DAP)

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

Datuk Rashid Din (PKR), Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah (Pas) dan Er Teck Hwa (DAP).

KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR

Chua Tian Chang (PKR), Nasir Zakaria (Pas) dan Charles Anthony Santiago (DAP).

- BERITA HARIAN

Khamis, Julai 02, 2009

Anwar salahkan media, nafi DAP Kedah keluar pakatan pembangkang

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan DAP Kedah telah keluar daripada pakatan pembangkang semalam kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas Kedah.

Sebaliknya, beliau menyalahkan media yang didakwanya sengaja menggembar-gemburkan dan memperbesarkan isu itu.

"Ini media, surat khabar saudara yang bangkitkan. Kalau dalam Barisan Nasional, banyak perbezaan dalam banyak perkara tetapi tak pula diperbesarkan. Pakatan Rakyat ini pakatan miskin (yang) tak ada media yang besar. Itu bezanya," kata kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Anwar bagaimanapun berkata beliau yakin isu itu dapat diselesaikan dalam suasana yang baik antara anggota pakatan pembangkang.Ketika ditanya sama ada beliau mengetahui keputusan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk merobohkan pusat penyembelihan babi haram di Kampung Berjaya di itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu berkata beliau telah dimaklumkan dan tahu bahawa pusat penyembelihan berkenaan akan dipindahkan ke kawasan lain.

Semalam, DAP Kedah mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas di Kedah ekoran tindakan meroboh satu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di Alor Setar.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis Thomas Su berkata beliau bagaimanapun menyerahkan keputusan sama ada DAP Kedah kekal dalam pakatan pembangkang kepada pemimpin pusat parti itu.

Pengarah pilihan raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pula berkata isu DAP Kedah itu bukanlah sesuatu yang besar.

"Kita pernah berdepan dengan kenyataan Karpal Singh (Pengerusi DAP) yang meminta Anwar meletak jawatan, itu jauh lebih besar. Jadi itu semua proses yang akan mematangkan diri kita," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang pula berkata beliau menunggu laporan penuh daripada DAP Kedah tetapi menyifatkan perkara itu sebagai tidak serius.

Karpal Singh ketika ditemui pula berkata isu berkenaan boleh diselesaikan."Saya tidak fikir masalah itu serius sehingga mampu memecahbelahkan pakatan pembangkang," katanya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob, yang mempengerusikan satu mesyuarat sekretariat pakatan pembangkang hari ini, berkata isu itu akan dibincangkan oleh Majlis Presiden pakatan pembangkang Sabtu ini.

Di Kota Baharu, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas berhubung isu itu kerana menganggapnya satu masalah dalaman di negeri Kedah.

- BERNAMA

DAP Kedah keluar Pakatan Rakyat

DAP Kedah semalam memutuskan keluar daripada Pakatan Rakyat negeri selepas tidak berpuas hati dengan cara kerajaan negeri pimpinan Pas menangani isu rakyat, khususnya bukan Melayu.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat tergempar dihadiri pemimpin DAP Kedah di pejabat parti itu di sini, selepas protes menghalang perobohan rumah pemotongan babi di Kampung Berjaya oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) gagal dan tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Katanya, keputusan sebulat suara itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati DAP terhadap tindakan MBAS meroboh rumah pemotongan babi itu, semalam, selain isu lain yang tidak diselesaikan walaupun sudah berlarutan sekian lama.

"Kami mengenal pasti beberapa isu yang tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri, antaranya isu 50 peratus kuota milikan hartanah Bumiputera dan isu meroboh kuil serta tokong di Jalan Pegawai dan Tanjung Bendahara yang dalam pengetahuan kami sudah diluluskan MBAS.

"Kemuncaknya apabila isu rumah pemotongan babi tidak dibangkitkan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi pada mesyuarat ahli majlis mesyuarat negeri hari ini (semalam) walaupun beliau bersetuju berbuat demikian.

"Berikutan itu, wakil DAP dalam kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman, Lee Guan Aik tidak menyertai mana-mana pihak," katanya di sini, semalam.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN yang mana 16 adalah milik Pas, 14 Barisan Nasional (BN), lima Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu DAP.

Su berkata, keputusan itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada DAP Pusat.

"Kita serahkan kepada DAP Pusat untuk menentukannya, tetapi pendirian kami ialah DAP Kedah keluar Pakatan Rakyat negeri ini kerana tidak mendapat layanan sewajarnya terutama dalam isu membabitkan kaum minoriti yang menyukarkan perjuangan kami untuk rakyat.

"Ia juga berdasarkan kepada tindak tanduk kerajaan negeri yang tidak selari dengan polisi Pakatan Rakyat," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menyerahkan perkara itu kepada DAP, Pas dan Pakatan Rakyat Pusat untuk menentukannya.

Katanya, DAP Kedah tidak sepatutnya memutarbelitkan isu dan mengaburi mata rakyat untuk menutup kelemahan mereka.

"Saya tidak pernah mengarahkan penangguhan sebulan keputusan merobohkan rumah pemotongan babi itu.

"Tempoh penangguhan itu diminta oleh DAP dan saya meminta mereka mencari tapak baru, tetapi selepas sebulan tidak ada apa-apa dan sekarang mereka hendak keluar... keluarlah jika DAP Kedah mengatasi DAP Pusat," katanya.

- BERITA HARIAN

Khamis, Jun 25, 2009

UMNO kecundang, pimpinan PAS lebih pintar - Anwar

"Umno kecundang lagi. Kali ini mereka tumbang dalam isu kerajaan perpaduan."

Menurut Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, strategi yang cuba dipasang oleh Umno tidak menjadi sebaliknya mereka kecundang.

"Umno kecundang lagi dalam isu kerajaan perpaduan. Strategi mereka untuk meretakkan hubungan Pakatan Rakyat berkecai,"jelasnya dalam satu catatan di blog peribadinya.

Menurutnya, sambutan pimpinan Pakatan Rakyat dan rakyat terhadap kenyataan bersama amat positif sekali.

"Alhamdulillah, sambutan pimpinan Pakatan Rakyat dan rakyat terhadap kenyataan bersama amat positif sekali. Saya berulangkali menegaskan bahawa permasalahan yang sengaja digembar-gemburkan di media Umno dapat dileraikan seandainya pimpinan bersama menanganinya secara bijak,"ulasnya.

Tambahnya, pimpinan PAS ternyata lebih pintar dan pastinya berpaut kepada prinsip perjuangan seperti, 'istiqamah' yang disebut oleh Tuan Guru Nik Aziz dan memperkukuh institusi kenegaraan seperti "membanteras rasuah, memperbaiki badan kehakiman serta Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas dan adil" yang diucapkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi.

Selain itu, beliau turut menghargai peranan yang dimainkan oleh pimpinan tertinggi DAP seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan pimpinan KeADILan, Dr Syed Husin Ali,Azmin Ali dan Saifuddin Nasution dalam isu kerajaan perpaduan.

"Kocakan kecil ini malah lebih mematangkan dan memantapkan Pakatan Rakyat,"tegasnya.

- HARAKAHDAILY

Rabu, Jun 24, 2009

Tidak ada lagi bincang kerajaan perpaduan - Presiden PAS


Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.

Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.

Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.

Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, akatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.

Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno-BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.

Menyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.

Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.

Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucarkacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya.

- HARAKAH DAILY

Selasa, Jun 23, 2009

Pakatan Rakyat tolak kerajaan perpaduan


Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) semalam menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada mesyuarat dua jam yang dihadiri pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP di Pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen di sini, Pakatan Rakyat mendakwa idea itu cuma fitnah, tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat gabungan pembangkang.

Mengulas keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan BN masih berupaya mentadbir negara dan tetap kukuh walaupun Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan.

"Kita tak ada masalah... maknanya kalau tak ada kerajaan perpaduan atau apa bentuk pun, kerajaan masih kukuh.

"Kita mampu melaksanakan agenda pembaharuan yang telah kita gariskan," katanya selepas menyampaikan ucap utama pada Persidangan Ketujuh Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia di Luar Negara di Putrajaya.

Pengerusi BN dan Presiden Umno itu juga berkata, tidak timbul soal kerajaan BN lemah dalam isu berkenaan kerana pelawaan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dibuat pembangkang terlebih dulu.

"Pas yang sebut perkara ini dan dia yang menggambarkan hasrat untuk mencapai kata sepakat dan istilah kerajaan perpaduan datang dari mereka sendiri, bukan daripada kita.

"Apabila mereka sebut (kerajaan perpaduan), kita sambut secara positif. Maknanya kita mempunyai sikap terbuka kalau sesuatu dibuat dengan tujuan mencari kebaikan dan kita masih tetap dengan pendirian sesuatu yang baik untuk negara perlu diusahakan bersama walaupun cadangan itu datang daripada parti pembangkang," katanya.

Ditanya sama ada penolakan idea kerajaan perpaduan itu merugikan orang Melayu, beliau berkata: "Saya tidak fikir, tetapi saya harap mereka (pembangkang) tidak keterlaluan dalam apa juga tindakan sama ada ada perbincangan atau tidak.

"Apa yang penting ialah kita menguruskan perbezaan pendapat dan kita ada perasaan terhadap negara dalam fikiran kita."

Ditanya sama ada Umno akan melayan lagi idea seperti itu pada masa depan, Najib berkata: "Siapa tahu perkara yang akan berlaku pada masa depan, segala-galanya boleh berlaku dalam politik."

Terdahulu, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam kenyataan tiga perenggan yang dibacakan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan semua parti dalam gabungan itu mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang akan datang.

Pada masa yang sama, Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan kepemimpinan BN bagi membincangkan isu membabitkan kepentingan negara dan rakyat, seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan semula integriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pakatan Rakyat juga mahu perbincangan berkisar mengenai salahguna kuasa kepimpinan polis, membanteras rasuah, menjana urus tadbir yang baik serta membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan mengadakan segera pilihan raya bagi menyelesaikan krisis politik di Perak.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Anwar, Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presidennya, Dr Syed Hussin Ali, manakala antara pemimpin DAP yang hadir ialah Setiausaha Agung, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham.

Pemimpin Pas pula ialah dua Naib Presidennya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang sebelum ini dibidas Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhubung isu kerajaan perpaduan bagaimanapun tidak hadir. Ahli Parlimen Bachok itu juga tidak kelihatan di Parlimen semalam.

Anwar yang ditanya mengenai isu membabitkan Nasharuddin dan Nik Abdul Aziz, berkata tiada masalah berlaku antara kedua-dua pemimpin Pas itu.

Abdul Hadi pula berkata, pemimpin Umno sengaja mempermainkan isu kerajaan perpaduan seolah-olah menggambarkan Pas akan bersatu dengan Umno dan akan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Ditanya sama ada Pas membuat keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan dengan Umno, beliau berkata, ia tidak akan diadakan jika Umno berterusan cuba melaga-lagakan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, Pas bersedia berbincang berhubung isu yang mempunyai kepentingan bersama atas sifat negara demokrasi, tetapi mesti diberi hak sama dalam perbincangan itu.

Kit Siang pula berkata, kenyataan bersama DAP, PKR dan Pas sudah menjelaskan bahawa ketiga-tiga parti itu mempunyai komitmen antara satu sama lain untuk menunjukkan Pakatan Rakyat berbeza dengan BN.

- BERITA HARIAN

Khamis, Jun 18, 2009

Kes liwat Anwar tidak jejas Pakatan - Pemuda PAS

Kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula awal bulan depan tidak akan menggugat kerjasama dalam Pakatan Rakyat, walaupun penasihat PKR didapati bersalah, kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan.

"Takdir, katakanlah, mahkamah mensabitkan kesalahan (terhadap Anwar) sekalipun, saya rasa sukar untuk diterima oleh rakyat. Kerana ketelusan institusi kehakiman gagal dipulihkan kerajaan Umno-BN," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

"Jika di situ (pemulihan institusi) tidak selesai, selama-lamanya orang melihat sama ada Datuk Seri Anwar, atau sesiapapun, hanya mangsa kepada kezaliman Umno dan BN."

Nasrudin – yang mendapat gelaran At-Tantawi di kalangan rakan-rakan ketika menuntut dalam bidang syariah di Mesir – diminta mengulas cabaran pembangkang mengekalkan kerjasama yang dilihat bergantung kepada karisma Anwar untuk mempertautkan PAS dan DAP yang dilihat tidak serasi dalam banyak perkara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar kes liwat Anwar terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan antara 1 hingga 24 Julai ini.

Nasrudin juga mengulas isu paling hangat dalam parti itu, idea pembentukan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno yang diutarakan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tampil dengan imej seorang ulama muda, Nasrudin mengumpamakan perbincangan PAS-Umno itu satu usaha berdakwah Musa kepada Firaun.

"Misalnya bagaimana Allah menghantar nabi Musa berdepan dengan Firaun, di depan raja yang zalim, kenapa kita berhalangan mengambil sunnah yang sama untuk membawa risalah ini kepada mereka (Umno)?" katanya.

"Sebaik-baik kalimah adalah di depan sultan yang zalim. Sampai ke depan pintu pemerintah yang zalim kita mesti pergi.

"Jadi, saya kira tidak menjadi halangan untuk kita berunding, berbincang, berdialog (dengan Umno).

"Cuma saya hendak menghapuskan persepsi yang menyatakan rundingan itu bertujuan menyertai (Umno)."

Nasrudin, yang mengakui menyertai PAS antaranya selepas terpesona dengan ketokohan Abdul Hadi berkata, sekiranya pemimpin parti itu "bijak dan tepat" mengambil tindakan, idea kerajaan perpaduan tidak akan menjadi masalah.

Bapa kepada enam anak itu menambah, idea yang diutarakan presidennya hanyalah "gagasan yang terbuka kepada perbahasan" dan dapat membentuk kematangan di kalangan ahli PAS jika perbezaan pandangan ditangani dengan baik.

"Ini bukan baru. Sudah banyak kali. Sebelum ini berlaku dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), kemudian Barisan Alternatif. Ini semua adalah siri-siri ijtihad politik, apabila berlaku ijtihad politik, sedikit sebanyak berlakulah pergolakan atau perbahasan terbuka," katanya.

"Tetapi apabila dibuat keputusan dalam muktamar, saya percaya ahli akan bertaut kembali," kata anak kelahiran Besut itu.

Nasrudin turut merumuskan, masalah dalam Pakatan Rakyat selama ini hanyalah berpunca daripada "salah faham" dan dapat diselesaikan melalui penubuhan sekretariat bersama di pelbagai peringkat.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS masih memikirkan mekanisme pendekatan bagi mendekati Umno – yang disifatkannya masih dikekang oleh manupulasi media, terumamanya yang dikuasai pemerintah.

- MALAYSIAKINI

DAP, PKR perlu sertai perbincangan kerajaan perpaduan - PAS

Pas sedia berbincang dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan dengan syarat rakan Pakatan Rakyat yang lain, iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut dibawa menyertai rundingan itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, berkata memandangkan parti itu kini bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu menerima penyertaan dua parti itu jika ingin membincangkan mengenai pembentukan kerajaan perpaduan.

"Jika Perdana Menteri tidak bersedia untuk berbincang dengan DAP dan PKR, ini bermakna Pas juga tidak bersedia untuk berbincang dengan Umno atau BN," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kelmarin, Najib berkata, beliau percaya Pas ikhlas untuk berbincang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetuskan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, turut menyatakan keterbukaannya dan tidak menolak sebarang kerjasama dengan Pas.

Mustafa berkata, perbincangan antara Pas dengan Umno dan BN mengenai cadangan pembentukan kerajaan perpaduan sebenarnya sudah lama berakhir dan beliau menegaskan parti itu tidak akan mengkhianati rakan dalam Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa, selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengadakan pertemuan dengan Pas bagi membincangkan kerajaan perpaduan demi kepentingan masyarakat Melayu.

Katanya, pada pertemuan itu Pas diwakili beliau sendiri, Timbalan Presiden parti, Nasharuddin Mat Isa dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, bertemu Abdullah serta bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Pada pertemuan itu jika Pas bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan, wakil Pas akan diberi jawatan Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Perak serta beberapa jawatan lain dalam kerajaan, tetapi kami menolak cadangan itu," katanya. "Selepas daripada itu tiada lagi sebarang perbincangan dengan Umno dan BN diadakan. Soal Pas dengan Umno mengenai kerajaan perpaduan tidak timbul lagi," katanya.

Namun Mustafa berkata, pintu perbincangan dengan Umno dan BN tidak tertutup dan parti itu sentiasa sedia berbincang dengan Umno dan BN jika diperlukan dalam hal yang berkaitan kepentingan negara serta rakyat.

- BERITA HARIAN

Ahad, Jun 14, 2009

Whither or wither Pakatan Rakyat?

Paktan Rakyat reached its collective zenith at the March 2008 general election, when it won four new state governments plus federal territory Kuala Lumpur and retained Kelantan.

But since then the partnership has soured, as its bonds have been tested and found fraying from the edges to the core.

PAS has been at the forefront of much dismay, not for the first time and probably not for the last.

Led by party president Datuk Seri Abdul Hadi Awang, it continues to seek “unity talks” with Barisan Nasional mainstay Umno.

Then at its recent 55th muktamar (assembly), it wanted to retain the 30% bumiputra quota and ban the Sisters in Islam advocacy group.

The latter resolution, tabled by a “party moderate”, was not even debated amid attempts to gag discussion of the unity talks.

Is this the way of discussion, dialogue and democracy?

After Hadi reportedly misled others into thinking the proposed unity talks had been agreed to by its Pakatan partners, it is not even seen as common decency.

Such questionable conduct, even before the party assumes power at federal level, has provoked disquiet among Pakatan ranks, Barisan circles and the general public.

To his credit, PAS spiritual leader Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat has taken the likes of Hadi to task.

There was a time when even those who disagreed with PAS’ theocratic agenda could respect it for a principled consistency. But no more.

What kind of politics does it offer as a supposed alternative, if not a politics of integrity?

From all indications it is just an enlarged old politics of opportunism-at-any-cost, after the triumph of party ultras at its muktamar.

Malaysian voters as a whole, regardless of their political affiliations and sympathies, deserve a lot better.

When even the party’s spiritual leader has problems reining in these purveyors of a discredited politics, the party must be in dire need of spiritual rehabilitation.

PAS has the largest membership base of all the parties in Pakatan, but not the most Members of Parliament.

Given its utter disregard for its Pakatan partners and everyone else, perhaps this democratic detail does not count for much in its idea of governance.

Rabu, Jun 10, 2009

Karpal gesa Pas nilai semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang

Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh hari ini meminta PAS menilai semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang berikutan hasrat parti itu untuk mengadakan perbincangan perpaduan dengan Umno.

Menyatakan kesabaran parti itu ada hadnya, Karpal berkata PAS tidak sepatutnya meneruskan agendanya itu yang akan menjejaskan lagi pakatan pembangkang.

Hasrat PAS untuk mengadakan perbincangan perpaduan dengan Umno merupakan penentangan serius terhadap keikhlasan yang diharapkan daripada PAS sebagai komponen pakatan pembangkang, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Karpal berkata PAS sepatutnya sedar bahawa ia bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang kerana ia hanya mempunyai 24 kerusi di Parlimen berbanding dengan 28 kerusi yang dipegang DAP dan 31 kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya PAS sepatutnya tidak bersikap keterlaluan dengan membuat kenyataan , terutamanya melalui presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengadakan perbincangan perpaduan dengan Umno.

Karpal turut menafikan kenyataan Abdul Hadi bahawa DAP bersetuju dengan cadangan mengadakan perbincangan perpaduan dengan Umno seperti yang dinyatakan secara terbuka oleh Abdul Hadi.

"Hadi memilih untuk mengelirukan bukan sahaja anggota dan pemimpin PAS tetapi juga rakyat. Secara terbuka mengaku telah menipu rakyat tidak akan memberikan kelebihan kepada Hadi," katanya.

Mengenai kritikan PAS terhadap SistersInIslam (SIs), Karpal berkata tindakan itu tidak akan menjadikan PAS lebih disayangi oleh mereka yang menyokongnya dalam pilihan raya umum Mac lepas dan begitu juga dengan desakan PAS supaya wartawan wanita yang membuat liputan Muktamar ke55 parti itu barubaru ini berpakaian "sopan".

Bagaimanapun, pendirian pemimpin PAS bahawa Malaysia akan dijadikan sebagai negara Islam sekiranya parti itu berkuasa, merupakan sesuatu yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang secara spesifik menetapkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular dengan agama Islam sebagai agama rasmi, kata Karpal.

- BERNAMA

Selasa, Jun 02, 2009

Semuka dengan pengundi, faktor kemenangan Pakatan Rakyat - PKR

Pendekatan turun padang bertemu pengundi sasaran secara bersemuka dan kemaufakatan kepimpinan ketiga-tiga parti membantu dari segi penerangan setiap malam akhirnya membuahkan kemenangan kata, Pengarah Pilihanraya Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Saifudin Nasution Ismail.

Beliau ketika ditemui di Yayasan Aman, Penanti menambah, bila Umno dan Barisan Nasional (BN) mengistiharkan tidak menyertai pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti semua strategi Pakatan Rakyat berubah.

"Strategi kena berubah daripada menyerang kepada penerangan. Jika BN sertai pilihanraya lain pula caranya kita berhadapan dengan parti itu. Tetapi bagaimana pun saya bersyukur dengan keakraban kerjasama yang baik telah terbukti hari ini, " ujarnya.

Dua hari sebelum mengundi tegasnya, jentera wanita KeADILan Bahagian telah berjaya bertemu 3,369 pengundi tegar dan satu lagi kumpulan diketuai oleh Wanita KeADILan Pusat bertemu 3,021 sasaran.

Ini merupakan kemantapan yang dikehendaki oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat dan pengalaman ini sambungnya akan dibawa ke Dun Manik Urai tambahan lagi Umno dan BN awal-awal lagi telah bertekad meletakan calon tentu ada strategi mereka yang baru.

"Kita kena hati-hati untuk berhadapan dengan BN kali ini dan kita akan pergunakan pengalaman kemenangan yang dilalui di setiap pilihan raya kecil lalu termasuk Penanti, " katanya.

Pihak KeADILan juga merakamkan terimakasih pada Presiden PAS, pemimpin tertinggi PAS, Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pusat dan pimpinan DAP kerana sudi datang untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Penanti.

"Selepas ini giliran KeADILan pula membantu PAS di Manek Urai. Kita akan pergi beramai-ramai, " katanya diiringan laungan 'Allahu Akbar'.

- HARAKAH DAILY

Jumaat, Mei 22, 2009

PAS jangka PRU Ke-13 awal, yakin 3 negeri lagi dikuasai Pakatan

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, beliau menjangka tiga lagi negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Melaka akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan kemenangan Pakatan pada siri pilihan raya kecil sebelum ini iaitu di Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

"Ia menandakan lonjakan dan sokongan kepada kita dan ia akan menjalar pada pilihan raya umum ke-13.

"Saya dah nampak-nampak Johor mungkin jatuh, Negeri Sembilan mungkin jatuh dan Melaka akan jatuh. Ini adalah mimpi ngeri kepada Umno dan Barisan Nasional," katanya semasa sidang media berhubung Muktamar PAS ke-55 di sini.

Muktamar Tahunan PAS ke-55 yang bakal menyaksikan pemilihan bagi kepimpinan pusat dan sayap parti akan berlangsung dari 5 hingga 7 Jun di Stadium Malawati di sini.

Hasan berkata, beliau menjangka pilihan raya umum ke-13 akan diadakan lebih awal daripada tahun 2013 atas alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pasti mahukan mandat baru daripada rakyat selepas mengambil alih kepimpinan negara April lalu.

"Kita menjangka pilihan raya umum ke-13 akan diadakan lebih awal sebab saya rasa Perdana Menteri baru mahukan mandat baru kerana kalau beliau jadi Perdana Menteri dengan mandat Datuk Abdullah, saya rasa tidak mantap.

"Beliau perlu dapat mandat sendiri daripada rakyat tentang kepimpinannya," katanya.

Hasan berkata, isu pilihan raya umum ke-13 akan disentuh dalam perdebatan pada Muktamar bulan depan termasuk persediaan dan strategi yang akan dilakukan PAS sama ada dalam parti serta kerjasama dengan dua lagi parti sekutu dalam Pakatan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Selain itu katanya, antara isu lain yang mungkin akan diperdebatkan adalah pencapaian ahli-ahli PAS yang diberi tanggungjawab dalam pentadbiran terutama di lima negeri yang dikuasai Pakatan iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

- MSTAR

Selasa, April 28, 2009

Pakatan mahu pulau sidang DUN Perak 7 Mei

Pakatan Rakyat sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk memulau sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 7 Mei ini sebagai tanda protes, kata Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming.

Jelas beliau, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sedang mendengar kes bagi menentukan siapa yang merupakan Menteri Besar sah bagi Perak iaitu sama ada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan ataupun Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional (BN).

Kes membabitkan Nizar dan Zambry yang kini merupakan Menteri Besar telah ditetapkan untuk didengar pada 5 dan 6 Mei ini.

"Pakatan akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan perkara ini (sama ada memulau sidang 7 Mei)," kata beliau pada sidang media hari ini.

Sambil menggesa kerajaan negeri pimpinan BN supaya menangguhkan sidang DUN sementara menunggu keputusan kes, Nga berkata, langkah mengadakan sidang akhbar adalah perbuatan tidak menghormati sistem kehakiman.

Nga yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri berkata, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri masih belum menerima agenda sidang minggu depan itu.

"Di bawah suasana normal, agenda perlu diedarkan kepada kami dalam tempoh dua minggu sebelum sidang," katanya sambil menambah, beliau ada dimaklumkan bahawa BN akan mengemukakan usul untuk menggugurkan Speaker V. Sivakumar.

Selain itu, Nga berkata, keputusan BN memanggil sidang DUN juga bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pada 1 Mac bahawa sidang tidak seharusnya diadakan sehingga mahkamah memutuskan status kerajaan negeri.

Najib yang juga Perdana Menteri mesti menjelaskan pendiriannya memandangkan orang bawahnya bertindak bertentangan dengan kenyataan beliau, kata Nga.

- MSTAR

Khamis, April 02, 2009

Pakatan boleh menang besar jika kerja kuat


Oleh ABDUL SHUKUR HARUN

Untuk mencapai kemenangan 3-0 dalam pilihan raya kecol di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, Sarawak, seluruh petugas Pakatan Rakyat mesti bekerja keras siang dan malam.

"Sokongan rakyat kepada calon Pakatan Rakyat di tiga tempat itu memang memberansangkan," kata Encik Khalid Ahmad, seorang pemerhati politik yang ditemui di Bukit Selambau, Kedah dua hari lalu dan menambah,"sokongan rakyat kepada PR saja tidak cukup, malah perlu seiring dengan kekuatan jentera PR sendiri."

Beliau adalah seorang pengkaji sains politik di Kuala Lumpur yang telah menunjau lebih seminggu di Bukit Gantang dan Bukit Gantang.

Menurut beliau, BN namaknya bekerja keras dan menjaja perubahan kepimpinan Umno selepas Perhimpunan Agung mereka baru-baru ini.

"Petugas BN masih kuat berkempen, lebih-lebih lagi BN banyak duit, faham-fahamlah,"katanya.

Namun menurut Khalid, jika Pakatan Rakyat mengatur strategi dengan bijak, kempen bersungguh-sungguh siang dan malam, mengatur pertemuan sebanyak mungkin dengan para pengundi hingga jauh di pedalaman, harapan PR untuk menang sangat cerah.

Beliau belum sempat ke Sarawak, tetapi laporan yang diterimanya dari sana menunjukkan sambutan terhadap calon PKR di Batang Ai sungguh memberansangkan.

Sementara itu, di Bukit Selambau, para petugas PAS, PKR dan DAP kelihatan berhempas pulas berkempen untuk memenangkan calon Pakatan Rakyat, Manikumar Subramaniam.

Seorang petugas PAS di Unit Peti Undi Bukit Selambau, Ahmad Sobri bin Ayub berkata, kempen PR berjalan lancar. Malah, katanya, muslimat sudah menggerakkan jenteranya sejak seminggu yang lalu.

Menurut beliau lagi, kerjasama antara petugas DAP, PAS dan PKR sangat lancar. Justeru itu, katanya, kempen mereka di kawasan estet begitu lancar.

Pekerja estet, kata beliau lagi, berjanji untuk memberikan sokongan kepada calon PKR. Malah di kawasan ramai pengundi Melayu sambutan terhadap calon PKR yang mengunjungi pelbagai tempat di sana juga sangat baik.

Petugas PAS dari seluruh Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang ditempatkan di Bukit Selambau ini kelihatannya begitu rancak. Menurut seorang petugas PAS di sini, isu perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak parti lawan sama sekali tidak berkesan.

Malah ribuan orang Melayu turut mendengar ceramah Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Exco Kerajaan Kedah, Ir. Amirudin Hamzah serta calon PKR.

Malah kempen muslimat PAS dan PKR serta DAP dari rumah ke rumah orang Melayu dan Cina serta India mendapat sambuitan baik.

Seorang petugas PAS Kedah di sini berkata, isu perkauiman hampir-hampir berkubur. Katanya, semakin ramai pengundi di Bukit Selambau percaya isu perkauman tidak laku di sini.

Orang Melayu dan Cina di sini, kata beliau lagi, dapat menerima Manikumar sebagai calon.:Mereka tidak melihat Manikumar dari segi sebagai calon India, tetapi melihatnya sebagai calon terbaik dari Pajatan Rakyat.

Di Bukit Gantang, ada pihak yang mengatakan kononnya pengundi Melayu sukar memberikan sokongan kepada Nizar justeru kerana fitnah parti lawan yang mengasak iu perkauman, tetapi andaan ini segera dinafikan oleh pemerhati politik di ini.

Menurut pemerhati itu, pemikiran pengundi Melayu sudah jauh berubah dari pemikiran lama.

Nizar punya ciri intelektual pro rakyat

"Mereka melihat Nizar mempunyai kewibawaan sebagai seorang intelektual pro rakyat, pemimpin berwibawa dan mempunyai imej kontemporari," kata pemerhati itu.

Ketiga-tiga persepsi ini, kata pemerhati itu, sangat menolong Nizar.

"Saya tidak kata Nizar akan menang mudah, tetapi tinjauan yang dibuat menunjukkan simpati rakyat tiga kaum di Perak ini terhadap Nizar adaah menyeluruh."

Tinjauan mendapati di mana-mana saja Nizar dan rombongannya pergi baik di Dun Kuaa Sepetang, Changkat Jering mahupun Dun Trong, sambutan luar biasa dari rakyat berbilang kaum.

Ramai orang Cina dan India sendiri berebut-rebut untuk mendapatkan bendera dan lencana PAS sehingga PAS Bukit Gantang. Sementara itu, blog dan web-site Pakatan Rakyat ternyata jauh mengatasi web-site dan blog dari Umno/BN. Kemudahan komunikasi ini benar-benar menolong Pakatan Rakyat yang menerima tekanan begitu hebat dari parti yang memerintah.

Akhbar Makkal Kural, Suara Rasmi Partai Keadilan Rakyat edisi Tamil sangat diminati di dua Dun ini. Akhbar tersebut memuatkan pandangan kritikal terhadap Umno sendiri oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr. Mahathir, pandangan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Sivarasa Rasiah, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Tian Chua.

Semakin hampir hari mengundi (7 April ini), Bukit Gantang semakin padat. Gerai-gerai makan di dirikan si sana sini, sementara para petugas Pakatan dari luar Bukit Gantang sudah datang dan bertugas sepenuhnya, Markas besar PAS di Air Kuning demikian sibuk, sementara kawalan keselamtan dari petugas Pakatan Rakyat telah diperketat di seluruh UPU Pakatan Rakyat di tiga Dun.

Walaupun hujan sentiasa turun tetapi tidak menghalang petugas PAS melaksanakan tugas mereka dan yang menarik penduduk Cina dan India tidak putus-putus meminta bendera PAS untuk dikibarkan di rumah dan kereta mereka.

Boleh dirumuskan di di sini, calon Pakatan Rakyat di tiga tempat ini boleh menang jika para petugas bekerja kuat, trategi yang tepat dan berkempen secara bijaksana.

- HARAKAH DAILY

Bkt Selambau: Calon PKR lancar manifesto pilhanraya

Calon PKR dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau, S Manikumar akan melancarkan manifesto pilihanraya.

Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution berkata, tumpuan diberikan kepada usaha mengurangkan kadar jenayah dan memperbaiki infrastruktur di kawasan tersebut.

Menurutnya, kajiselidik yang dijalankan oleh PKR terhadap sentimen pengundi di situ, menunjukkan 20 peratus pengundi lebih khuatir terhadap kadar jenayah.

Manakala 12 peratus pengundi lagi prihatin terhadap kekurangan infrastruktur di Bukit Selambau.

Saifuddin juga berkata, pilihanraya kecil tersebut merupakan satu referendum terhadap populariti bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MIC, Datuk S Samy Vellu.

"Populariti Najib juga kurang. Sokongan di kalangan orang Cina tidak sampai 20 peratus.

"Oleh itu, pilihanraya kecil ini juga merupakan satu referendum terhadap moral dan masa depan politik Najib," tambahnya.

Sebaliknya, kata Saifuddin, kaji selidik PKR mendapati Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara konsisten, mendapat 38 peratus sokongan pengundi Melayu.

- MALAYSIAKINI

Selasa, Mac 31, 2009

PRK Bukit Gantang: Media konvensional BN lwn media baru Pakatan

Kempen pilihan raya kecil di dua bukit di Semenanjung dan Dun Batang Ai (Air), Sarawak sedang berlangsung.

Bermula dengan hari penamaan calon 29 Mac lalu, kempen-kempen 20 calon yang bertanding - tiga di Parlimen Bukit Gantang, lima belas di Dun Bukit Selambau dan dua di Dun Batang Ai akan berlangsung hingga menjelang tengah malam 7 April akan datang.

Pastinya antara yang mencuri perhatian para pemerhati dan pengkaji politik adalah kaedah berkempen parti-parti atau calon-calon yang bertanding.

Salah satu kaedah kempen politik BN adalah melalui media-media arus perdana yang dikuasainya. Tatkala kerajaan BN bertindak menggantung permit akhbar rasmi PAS dan KeADILan selama tiga bulan (sehingga 22 Jun 2009), BN terus menggunakan media massa arus perdana untuk mewar-warkan kempennya di tiga kawasan pilihan raya kecil itu.

Sejauh mana keberkesanan kempen BN melalui media massa ini menjadi sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Ini kerana 'media konvensional' yang digunakan BN sudah kian hilang kredibiliti dan kepercayaan umum, berbanding 'media baru' yang digunakan Pakatan Rakyat.

Komen-komen para perwakilan Umno dalam mesyuarat agung parti itu 24 higga 28 Mac lalu tentang kegagalan BN dalam menyampaikan 'mesej dan maklumat yang benar' kepada rakyat pada kempen PRU12 tahun lalu secara tidak langsung lebih merujuk kepada kegagalan fungsi media arus perdana untuk bertindak sebagai 'jurucakap BN dan Umno'.

Sebenarnya kegagalan BN dalam menguruskan penyaluran maklumatnya kepada rakyat bukan sangat berpunca daripada kegagalan fungsi media arus perdana. Media arus perdana terus kekal berfungsi sebagai saluran kempen BN paling efektif kerana akhbar, TV dan radio masuk ke dalam hampir semua rumah kediaman rakyat. Apa yang tiada pada media massa utama ini adalah kebenaran dan keadilan.

Tanpa dua aspek penting itu (kebenaran dan keadilan), kehebatan liputan dan kecanggihan teknologi tidak dapat menawan hati dan pemikiran rakyat. Apatah lagi ketika berhadapan media baru yang lebih dekat dengan hati rakyat khususnya golongan muda.

Perlu disedari bahawa strategi berbohong dan memanipulasi fakta hanya berkesan dilakukan arus media perdana di saat ketiadaan media baru seperti internet (khususnya blog) dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Media baru juga semakin berkembang seiring dengan perkembangan teknologi. Penghantaran SMS kini diperluaskan kepada penghantaran audio dan visual melalui telefon bimbit yang lebih efisien berbanding siaran TV dan radio.

Untuk memahami senario ini, diperturunkan dua contoh penulisan yang disiarkan oleh media konvensional dan media baru bagi penilaian pembaca. Dua penulisan ini merujuk kepada insiden yang berlaku di Masjid Simpang dalam kawasan PRK Parlimen Bukit Gantang, 29 Mac lalu.

Berita di bawah dipetik daripada mStar online yang dimiliki MCA. Insiden ini juga dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia milik Umno bertarikh 30 Mac 2009:

Nizar 'rampas' acara BN di masjid Bukit Gantang

Oleh G. MANIMARAN

TAIPING: Bekas Menteri Besar Perak yang juga calon PAS bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin 'bertembung' dengan rombongan Barisan Nasional (BN) di Masjid Simpang malam tadi - mencetuskan sedikit kekecohan.

Semalam (29 Mac) merupakan hari pertama kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Nizar yang dikatakan hadir tanpa undangan ke majlis bacaan Yassin dan solat hajat anjuran BN telah mencuba untuk mengimamkan solat Maghrib.

Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Hussin ketika dihubungi mStar Online berkata, Nizar bersama beberapa penyokongnya memasuki masjid dan terus mengimamkan solat Maghrib.

Isu tersebut dengan pantas disebarkan menerusi SMS, menjadi bahan kempen dalam beberapa ceramah anjuran BN di bahagian Bukit Gantang.

"Orang-orang dia (Nizar) minta mikrofon untuk Nizar berucap selepas Maghrib tetapi tidak diberikan, telah dihalang oleh Pengerusi Masjid (Yahaya Sulaiman).

"Kami berikan beliau peluang sertai majlis ini, anjuran BN tetapi beliau datang untuk buat kacau," kata beliau ketika dihubungi.

Rosli yang turut hadir ketika kejadian berkata, tidak berlaku apa-apa kekecohan besar dan kumpulan Nizar telah meninggalkan majlis selepas itu.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir pada majlis tersebut.

Mengulas isu yang sama, Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Nizar bertindak keterlaluan apabila cuba mengambil alih jemaah dengan meminta mikrofon daripada imam dan cuba mengadakan ceramah sebelum menunggu Isyak.

Ketika bercakap dengan pemberita selepas memperkenalkan calon BN, Ismail Saffian di Tokong Nyee Wong Kong di sini malam tadi, Zambry berkata, tindakan itu telah dirancang oleh PAS dan sanggup menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik.

Demikian berita yang dinukilkan oleh media massa pro-BN. Cuba kita lihat pula tulisan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga calon PAS bagi PRK Parlimen Bukit Gantang dalam blog popular beliau, Kamparinn.blogspot.com :

Saya telah mengimamkan Solat Maghrib

Terlebih dahulu beribu maaf kerana lama sangat tidak update blog saya kerana maklumlah mengirakan kerenah pindah randah dan naik turun mahkamah Tinggi KL dan Persekutuan, Putrajaya. Pohon sembah derhaka!

Hari penamaan calon PRK P059 Bkt Gantang bejalan lancar dengan sedikit huru-hara sewaktu saya dan isteri bersama-sama pemimpin PAS lain memasuki pintu pagar Dewan Perbandaran Taiping jam 8.45 pagi (29 Mac).

Namun sewaktu pergi menunaikan solat maghrib di Masjid Simpang, saya diminta oleh imam Tuan Haji Hisham untuk mengimamkan solat tersebut dan saya bersetuju.

Sewaktu masuk ke masjid saya diberitahu Tan Sri Muhyidin Yasin, Timb Presiden Umno; Dato' Zambry Kader; calon (BN) Ismail Saffian dan ramai lagi pemimpin Umno Pusat dan negeri juga ada bersama. Pimpinan Umno berada di saf pertama.

Pada rakaat pertama saya telah membaca ayat "wa'tasimu bihablillahi jamii'an, walaa tafarraqu..." dan rakaat kedua surah al-Kaafirun.

Selepas solat saya membaca doa termasuk doa Qunut Nazilah yang turut diaminkan oleh semua ma'mum termasuk pemimpin tinggi Umno.

Umno menganjurkan solat hajat dipimpin oleh seorang imam import, Haji Jama'iy namanya. Habis solat, imam Haji Hashim bangun dan berucap di hadapan dengan menyebut nama pimpinan UMNO Tan Sri Muhyiddin dan Dato' Zambry. Nama saya juga disebut dan diraikan.

Imam telah mengundang saya menyampaikan tazkirah dengan memberi tafsir ayat al-Quran yang saya baca pada rakaat pertama solat maghrib sebentar tadi.

Namun beberapa pimpinan Umno setempat telah memprotes termasuk penasihat masjid (pakai songkok tinggi) yang menghalang dan mengarah supaya terus diadakan majlis bacaan Yaasin. Berlaku sedikit komosi (commotion). Saya mengelak bagi memelihara suasana.

Habis baca Yaasin saya pergi bersalam dengan Dato Zambry dan dia nampak berang dan menyatakan kepada saya, kenapa menggunakan masjid berpolitik dan tak sepatut saya jadi imam tadi.

Katanya lagi dengan nada kuat dan marah: "Jika mahu jadi imam saya boleh jadi imam, jika nak tafsir saya boleh tafsir". Saya tersenyum dan relaks sahaja dan terus meninggalkan majlis untuk acara lain.

Hujan sungguh lebat ketika itu. Semua makmum melihat dan menyaksikan adegan kelakar dan 'ajaib' tersebut dan ramai makmum mengiringi saya sewaktu meninggalkan masjid.

Sekadar makluman! Doakan PR menang besar di P059 Bkt Gantang.

Merujuk kepada berita yang disiarkan media BN, pastinya kita dapat melihat bagaimana insiden tersebut diputarbelitkan BN bagi kepentingan politik mereka. Jelas watak imam masjid yang bertanggung jawab menjemput Nizar untuk mengimamkan solat dan menyampaikan tazkirah tidak dilaporkan.

Malah sikap kasar Zambry (yang disifatkan Adun Sungkai, N Sivanesan sebagai 'kekanda saya') tidak pula dilaporkan media pro-BN.

Tuduhan bahawa Nizar menyalahgunakan masjid untuk kepentingan politik juga meleset kerana BNlah sebenarnya yang bertindak sedemikian kerana mengadakan majlis membaca Yaasin sempena kempen pilihan raya di masjid.

Apapun terpulanglah kepada pembaca untuk menilai kebenaran dua sumber penulisan di atas. Tetapi apa yang ingin ditegaskan sekali lagi, strategi berbohong dan memutarbelitkan fakta oleh media arus perdana tidak lagi berkesan di era kewujudan dan percambahan media baru seperti blog.

Apa yang lebih utama dalam kempen-kempen politik adalah kebenaran, ketelusan, intergriti dan kredibiliti sumber maklumat. Tanpa ciri-ciri itu usaha mempengaruhi atau meyakinkan rakyat umpama mencurah air di daun keladi.

Cuma satu yang ingin diulas... Zambry ketika memarahi Nizar mendakwa kononnya beliau juga mampu mengimamkan solat dan menyampaikan kuliah tafsir.

Soalnya, dengan kecenderungan beliau untuk berbohong dan bercakap kasar, adakah manusia yang sudi berimamkan beliau?

- HARAKAH DAILY

Blogger tersohor beri sokongan pada Nizar

Beberapa orang penulis blog tersohor turut berada di Bukit Gantang bagi membantu memastikan calon PAS, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin memperolehi kemenangan dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang.

Mereka berada di sini sejak hari Sabtu dan turut sama menyertai perarakan ke pusat penamaan calon bersama penyokong-penyokong Pakatan Rakyat semalam.

Penulis blog yang juga seorang peguam terkemuka, Harris Ibrahim memberitahu Harakahdaily kehadiran mereka semua sebagai tanda sokongan terhadap Nizar yang akan bertanding di Bukit Gantang.

"Kami semua akan membantu dengan apa cara sekalipun bagi memastikan kemenangan Nizar dalam pilihanraya kecil ini.

"Kami sepakat untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat kerana telah muak dengan politik kuno yang masih menjadi amalan Umno dan Barisan Nasional" tegas Harris.

Beliau juga menegaskan penulis-penulis blog yang bersama beliau akan memastikan segala maklumat akan dapat disampaikan kepada pengundi-pengundi di Parlimen Bukit Gantang.

Selain itu tegas Harris, jika memerlukan mereka berkempen untuk pihak Nizar, mereka semua tidak akan teragak-agak untuk melaksanakannya.

Menjelang hari Jumaat lebih ramai penulis blog yang akan berada di Bukit Gantang untuk sama-sama membantu dan menyatakan sokongan kepada calon PAS.

Pagi tadi mereka semua mengikuti rombongan Dato' Seri Mohd Nizar melawat pekan Kuala Sepetang dan beramah mesra dengan peniaga dan penduduk setempat.

Selain Harris, penulis blog lain turut kelihatan antaranya Zorro Unmasked,Del Capo, Shah OBE dan beberapa nama lain.

- HARAKAH DAILY

Khamis, Mac 26, 2009

Pakatan Rakyat serah memorandum bantah gantung Harakah dan Suara Keadilan


Pakatan Rakyat hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung penggantungan permit Harakah dan Suara Keadilan.

Ketia-tiga parti gabungan Pakatan Rakyat diwakili oleh Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Mahfuz Omar, Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua dan Timbalan Setiausaha Publisiti Nasional DAP Teo Nie Ching.

Mahfuz dalam ucapan ringkasnya mendesak agar dihapuskan kuasa Menteri Dalam Negeri menggantung atau menarik balik permit sesebuah akhbar.

"Sudah tiba masanya kuasa memberi dan menarik permit sesebuah penerbitan bercetak diserahkan kepada mahkamah bukan kepada menteri.

"Jika kuasa masih berada di tangan menteri, apa yang berlaku hari ini akan berulang lagi di mana tindakan menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan yang jelas bermotif

Beliau juga menegaskan Malaysia perlu mencontohi negara-negara maju yang lain di mana sesiapa saja atau mana-mana pertubuhan boleh menerbitkan akhbar dengan syarat perlu sanggup menghadapi risiko diheret ke mahkamah.

Jika situasi itu dibenarkan di negara ini tegas Mahfuz, perkembangan informasi dan sebahagian dari kedaulatan demokrasi dapat ditegakkan.

Sementara itu, Tian Chua pula menegaskan tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri ini dibuat ekoran daripada piliharaya kecil yang bakal diadakan di tiga tempat.

Tegas beliau, KDN hingga hari ini masih gagal membuktikan dimanakah kewajaran tindakan tersebut dibuat dan tidak dapat membuktikan berita atau rencana yang mana yang berunsur fitnah.

"KDN telah bertindak tanpa mempedulikan hasrat rakyat yang mahu merayakan informasi dengan sebebas-bebasnya," tegas beliau.

Manakala Nie Ching pula mendesak agar KDN tidak lagi bertindak seperti hakim yang menghukum mana-mana akhbar yang tidak sehaluan dengan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan untuk menjaga kebebasan media.

"Tindakan KDN ini juga telah menyekat parti-parti pembangkang daripada menyalurkan informasi kepada ahli-ahlinya," tegas beliau.

Harakah dan Suara Keadilan merupakan lidah rasmi PAS dan KeADILan yang digantung permitnya selama tiga bulan bermula 23 Mac lalu manakala DAP yang memiliki akhbar Roket pula tidak disambung permit penerbitan hingga ke hari ini.

Memorandum bantahan Pakatan Rakyat itu diterima oleh Setiausaha Suhakam, Hashimah Nik Jaffar.

Turut hadir Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob, Setiausaha Agung PAS Pusat Dato' Kamaruddin Jaffar, Bendahari PAS Dr Hatta Ramli, Timbalan Ketua Angkatan Muda KeADILan Fariz Musa, Ahli Pimpinan Tertinggi KeADILan Badrul Hisham Shahrain dan beberapa pimpinan lain.

- HARAKAH DAILY

Isnin, Mac 23, 2009

'Kekalkan Kemenangan Untuk Rakyat' di Bukit Gantang

Kekalkan Kemenangan Untuk Rakyat' merupakan tema kempen PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, bagi merealisasikan kemenangan tersebut tiga pendekatan akan digunapakai oleh PAS dalam usaha mencapai kemenangan, sekaligus mempertahan kerusi Parlimen Bukit Gantang di tangan Pakatan Rakyat.

"Kita gunakan kaedah 3M, iaitu menerang, mendamping dan menawan,"

Demikian dijelaskan oleh Pengarah Operasi Jentera Pilihan raya PAS Parlimen Bukit Gantang, yang juga Pengerusi Jabatan Pilihan raya PAS Negeri Perak, Asmuni Awi dalam sidang media di Markaz PAS Negeri di Air Kuning, Taiping semalam.

Menurutnya melalui kaedah ini PAS akan menerangkan pelbagai isu termasuk isu yang diputarbelitkan BN disamping mendampingi pengundi-pengundi dengan bijaksana, sekaligus menawan hati para pengundi di kawasan ini untuk memilih calon PAS.

Beliau percaya kaedah yang akan digunakan itu mampu merealisasikan harapan Pakatan Rakyat untuk mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang di tangan PAS.

Beliau turut mengumumkan pengisyitiraan calon akan dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang pada hari isnin ini (23 Mac) dalam satu ceramah perdana yang akan diadakan di Padang Taman Kota Jaya.

"PAS telahpun mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Taiping untuk menggunakan tempat berkenaan, dan kita sedang memohon permit daripada pihak polis," ujarnya.

PAS Perak kanya, akan menerima siapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 7 April ini.

"Sentimen anak tempatan tidak menjadi isu kerana PAS percaya pengundi kini telah matang untuk memilih calon anggota Parlimen berdasarkan kepada kemampuan dan kebolehan bekerja, " katanya.

"Anak tempatan bukan menjadi faktor kerana para pengundi kini sudah matang," katanya ketika ditanya sama ada PAS akan mengutamakan anak tempatan sebagai calon.

Barisan Nasional (BN) telah menamakan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang, Ismail Saffian sebagai calon anak tempatan selepas mendapati faktor calon luar pada pilihan raya umum lepas menjadi antara punca kekalahan.

PAS akan mensasarkan sokongan daripada pengundi semua kaum sejajar dengan tema PAS bagi menghadapi pilihan raya kecil berkenaan iaitu " kekalkan kemenangan untuk rakyat".

Di sidang media itu juga beliau memnberitahu PAS telah membuat sebanyak 10 aduan polis sejak 13 Mac lepas berkaitan perbuatan merosakkan dan membakar bendera dan poster parti itu serta penyebaran risalah berbau perkauman dan berunsur sabotaj.

Antara risalah yang diedarkan oleh pihak tertentu yang dipercayai bertujuan mensabotaj PAS ialah risalah bergambar karikatur Sultan Perak dan Mufti Perak serta risalah yang mendakwa Pakatan Rakyat berhasrat membuat persempadanan semula bagi memastikan kerusi majoriti Cina sama banyak dengan Melayu.

"Kita telah membuat laporan dan meminta polis membuat siasatan.kita kesal dengan taktik seperti ini malah PAS turut digambarkan sebagai zionis," katanya.

Penamaan calon akan diadakan pada 29 Mac ini dan pengundian pada 7 April bagi mengisi kekosongan kerusi berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 8 Februari lalu.

Roslan mengalahkan Bendahari Umno, Dato' Seri Abdul Azim Zabidi dengan majoriti 1,566 pada pilihan raya umum tahun lalu.

Seorang lagi calon bebas M. Mogan hilang wang pertaruhan dengan hanya 882 undi.t Gantang, katanya.

- HARAKAH DAILY