Khamis, Jun 18, 2009

DAP, PKR perlu sertai perbincangan kerajaan perpaduan - PAS

Pas sedia berbincang dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan dengan syarat rakan Pakatan Rakyat yang lain, iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut dibawa menyertai rundingan itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, berkata memandangkan parti itu kini bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu menerima penyertaan dua parti itu jika ingin membincangkan mengenai pembentukan kerajaan perpaduan.

"Jika Perdana Menteri tidak bersedia untuk berbincang dengan DAP dan PKR, ini bermakna Pas juga tidak bersedia untuk berbincang dengan Umno atau BN," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kelmarin, Najib berkata, beliau percaya Pas ikhlas untuk berbincang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetuskan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, turut menyatakan keterbukaannya dan tidak menolak sebarang kerjasama dengan Pas.

Mustafa berkata, perbincangan antara Pas dengan Umno dan BN mengenai cadangan pembentukan kerajaan perpaduan sebenarnya sudah lama berakhir dan beliau menegaskan parti itu tidak akan mengkhianati rakan dalam Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa, selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengadakan pertemuan dengan Pas bagi membincangkan kerajaan perpaduan demi kepentingan masyarakat Melayu.

Katanya, pada pertemuan itu Pas diwakili beliau sendiri, Timbalan Presiden parti, Nasharuddin Mat Isa dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, bertemu Abdullah serta bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Pada pertemuan itu jika Pas bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan, wakil Pas akan diberi jawatan Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Perak serta beberapa jawatan lain dalam kerajaan, tetapi kami menolak cadangan itu," katanya. "Selepas daripada itu tiada lagi sebarang perbincangan dengan Umno dan BN diadakan. Soal Pas dengan Umno mengenai kerajaan perpaduan tidak timbul lagi," katanya.

Namun Mustafa berkata, pintu perbincangan dengan Umno dan BN tidak tertutup dan parti itu sentiasa sedia berbincang dengan Umno dan BN jika diperlukan dalam hal yang berkaitan kepentingan negara serta rakyat.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts