Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya Batang Ai. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya Batang Ai. Papar semua catatan

Rabu, April 08, 2009

Bukan Melayu undi Pakatan Rakyat

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN

Pengundi sudah pun membuat pilihan. Walaupun sukar untuk diterima oleh pihak yang kalah tetapi itulah keputusannya.

Calon anak tempatan yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian gagal menyaingi populariti calon Pas, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin - yang menjadi Menteri Besar Perak selama 11 bulan.

Taktik pembangkang melepaskan peluru penabur di saat-saat akhir dengan mensasarkan serangan peribadi kepada Ismail pada malam sebelum pengundian - sehingga tidak memberi peluang kepada beliau untuk membela diri - sedikit-sebanyak memberi kesan kepada pengundi Melayu atas pagar di kawasan Parlimen ini.

Dan seperti disebut-sebut sepanjang kempen pilihan raya kecil ini, pengundi Cina menjadi penentu apabila mereka beramai-ramai keluar mengundi untuk memberi sokongan kepada Mohammad Nizar yang menjadi calon pilihan DAP sejak awal-awal lagi.

Ternyata pendekatan populis yang diambil oleh Mohammad Nizar sepanjang menerajui kerajaan negeri mendapat sokongan pengundi Cina yang meliputi 27 peratus daripada keseluruhan 56,462 pemilih berdaftar.

Walaupun perkembangan dua tiga hari sebelum tarikh pengundian menunjukkan seolah-olah angin perubahan telah melanda kem BN khususnya kalangan masyarakat Cina tetapi realitinya tidak begitu.

Disangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di Taiping. Bandar warisan tempat penjumlahan undi bagi pilihan raya kecil P059 ini memang hujan setiap hari.

Sambutan hangat kepada program yang dihadiri Pengarah Pilihan Raya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Sepetang, tidak diterjemahkan dalam bentuk undi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang yang mempunyai 6,276 orang atau 31.8 peratus pemilih berdaftar kaum Cina mencatatkan jumlah keluar mengundi tertinggi semalam iaitu sebanyak 15,411 pengundi atau 78.14 peratus. Dan di situ sahaja, BN kalah dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Ini bermakna BN mengalami majoriti kekalahan lebih 100 peratus berbanding majoriti kemenangan pembangkang di DUN itu pada pilihan raya umum lalu yang hanya 564 undi.

BN juga kalah dalam DUN Changkat Jering yang mencatat peratusan keluar mengundi 73.79 peratus atau 18,418 pengundi.

BN hanya menang di DUN Trong - daerah terbesar dengan jumlah pengundi terkecil iaitu 10,796 orang. Itupun dengan majoriti tidak sampai 1,000 undi daripada 7,928 orang atau 73.8 peratus yang keluar mengundi.

Keseluruhannya 41,757 orang atau 75.34 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil ini, pertambahan 2.69 peratus berbanding 72.65 peratus atau 40,299 orang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Dan seperti yang sudah diketahui umum, calon Pas yang mendapat sokongan 100 peratus daripada parti pakatan pembangkang DAP dan PKR, menang dengan majoriti 2,789 undi iaitu pertambahan 1,223 undi berbanding pilihan raya umum tahun lalu.

Pada PRU-12, calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi kalah majoriti 1,566 undi kepada calon Pas, Roslan Shaharum yang memperoleh 20,015 undi. Calon Bebas, Morgan mendapat 872 undi.

Analisis daripada kekalahan BN di Bukit Gantang, satu faktor patut menjadi renungan BN khususnya parti-parti komponen - MCA dan Gerakan - bahawa majoriti pengundi Cina tidak memihak kepada mereka lagi.

Namun tentulah tidak adil untuk meletakkan kesalahan 100 peratus kepada kedua-dua parti itu sahaja. Hanya persoalannya, ke mana undi para penyokong BN yang kecewa dengan fenomena pada 2008 dan dikatakan sudah kembali menyokong BN.

Keputusan BN untuk melantik badan bebas melakukan bedah siasat punca kekalahan parti itu adalah langkah yang tepat.

"Walaupun kita bekerja keras dengan turun ke bawah memberi penjelasan kepada pengundi tetapi tidak berjaya meyakinkan mereka untuk menerima kita," katanya sebagai reaksi terhadap kekalahan BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Mungkin BN memerlukan badan bebas untuk memberikan jawapan lebih telus tanpa berselindung tentang sebab-sebab kekalahan parti itu. Apakah isu yang sebenarnya sehingga BN tidak mendapat sokongan pengundi malah dengan kadar yang merosot daripada pilihan raya umum lalu? Dan apa lagi yang dimahukan oleh pengundi bukan Melayu daripada BN?

Bagaimanapun seperti yang dipersetujui sendiri oleh Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya Pas Perak, Asmuni Awi pada sidang akhbar harian di markas parti itu pada awal-awal kempen, keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang bukan satu referendum rakyat.

Ia tidak boleh dijadikan cerminan pendirian seluruh rakyat Perak terhadap kerajaan negeri BN, apatah lagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru berusia lima hari.

Seperti kata Muhyiddin, gagasan yang dibawa oleh Najib masih terlalu baru untuk diserap oleh rakyat di negeri ini. Tambahan pula rakyat Perak masih keliru dengan krisis kerajaan negeri yang berlarutan sejak hujung tahun lalu.

Menjadi adat bertanding. Ada menang dan ada yang kalah. Tetapi yang menang tidaklah boleh mendabik dada bahawa mereka menang kesemuanya.

Bagi BN yang kalah, masih ada harapan untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada parti tersebut. Pilihan raya adalah satu proses demokrasi.

PRU Ke-13 masih jauh lagi. Najib bersama saf kepimpinan baru yang bakal diumumkan nanti mempunyai masa untuk meyakinkan rakyat agar mempercayai konsep 'parti, rakyat, kerajaan' serta gagasan 'Satu Malaysia' yang menjanjikan kestabilan dan kemakmuran kepada negara.

- UTUSAN

Selasa, April 07, 2009

BN menang di Batang Air dengan majoriti 1,854 undi


Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan selesa dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, apabila calonnya, Malcom Mussen Lamoh, 49, menang dengan majoriti 1,854 undi.

Jumlah majoriti yang diperolehi itu juga lebih sekali ganda meningkat berbanding majoriti 806 undi yang diperolehi BN dalam pilihan raya umum negeri bagi kerusi berkenaan pada 2006.

Mussen yang memperoleh 3,907 undi mengalahkan pencabar tunggalnya, Jawah Gerang, 55, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya mendapat 2,053 undi.

Keputusan rasmi bagi pilihan raya kecil itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Batang Air, Nelson Mujah Girie tepat jam 7.45 malam tadi.

Keputusan itu juga satu kejutan buat PKR yang begitu yakin akan dapat memenangi pilihan raya kecil berkenaan, apa lagi Jawah yang dijadikan 'ayam sabung' PKR dalam pilihan raya kecil itu adalah bekas Ahli Parlimen Lubok Antu selama lima penggal.

Malah kemenangan BN lebih bermakna apabila ia berjaya menawan lima daripada sembilan kawasan hitam yang menjadi kubu kuat Jawah, selain meningkatkan sokongan di empat lagi daerah mengundi yang menyaksikan PKR mendahului.

Kawasan hitam yang berjaya ditawan BN ialah Engkari, Delok, Beretik, Kachong, Bilararap dan Spaya.

Hanya empat daripada 24 daerah mengundi menyaksikan kemenangan PKR iaitu di Sayat, Jela, Sempang dan Gugu, namun BN turut berjaya menambah jumlah undi di kawasan itu.

Hanya calon BN berada di pusat penjumlahan undi ketika pengiraan undi dibuat dan apabila keputusan diumumkan.

Mussen yang tiba di kompleks berkenaan pada jam 6.30 petang, meraikan kemenangan bersama Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Jemut Masing; Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Openg dan Naib Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta pemimpin BN yang lain yang turut berada di pusat pejumlahan undi.


DUN Batang Air mempunyai 8,006 pengundi berdaftar dengan 7,963 adalah pemilih biasa dan 95 peratus daripada pengundi di situ adalah pengundi Iban.

Cuaca yang baik juga membolehkan ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab, dengan peratusan pengundi yang keluar mengundi semalam meningkat kepada 75.32 peratus berbanding 73 peratus pada 2006.

Pengarah Pilihan Raya Negeri, Takun Sunggah, turut berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya kecil berkenaan yang berjalan lancar, tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, peti undi pertama tiba di pusat penjumlahan undi pada jam 12 tengahari, manakala yang terakhir tiba pada jam 7.25 malam tadi.

Sebanyak 26 pusat mengundi dibuka di 24 daerah mengundi dengan tempat mengundi ditutup seawal jam 11 pagi kerana kedudukan jauh dihulu dan jumlah pengundi yang sedikit.

- BERITA HARIAN

Perkembangan Pilihanraya Kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau & Batang Ai


5.00pm Proses pengundian dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai ditutup tepat jam 5 petang ini.

Bagaimanapun beberapa pusat pengundian di Batang Ai ditutup lebih awal kerana jumlah pengundinya tidak ramai.

Sehingga jam 4 petang tadi, jumlah pengundian di DUN Bukit Selambau ialah 67 peratus.

4.50pm Calon bebas, Venason membuat laporan polis keduanya di balai polis Kuala Muda, terhadap pegawai SPR yang didakwanya tidak mahu bekerjasama dan bersikap biadap terhadapnya apabila beliau membuat aduan berhubung pemasangan label yang salah pada kotak undi.

Manakala seorang pemimpin AMK, Rozan Azen membuat lapora polis berhubung isu pengundi hantu di balai polis yang sama.

4.30pm Timbalan Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata BN mendapat sambutan cukup baik daripada pengundi Cina di Simpang dan Kuala Sepetang dalam parlimen Bukit Gantang.

Sambil mengucapkan terima kepada mereka, beliau menambah, BN dapat menembusi kawasan hitam di Changkat Ibol.

4.15pm Pemantau pilihanraya Mafrel melaporkan berlaku kekecohan di SJKC Chung Hwa di DUN Bukit Selambau, kira-kira setengah jam lalu apabila Karpal Singh dan Menteri Besar Kedah, Datuk Azizan Abdul Razak - yang melewati sekolah tersebut - dibaling dengan botol air oleh oleh penyokong MIC.

Orang ramai yang lalu di situ juga terkena botol yang dibaling itu dan menimbulkan kemarahan mereka.

3.40pm SPR mengumumkan, jumlah keluar mengundi di DUN Bukit Selambau meningkat kepada 61 peratus setakat jam 3 petang.

Jumlah ini dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang penutupan pusat-pusat pengundian pada jam 5 petang nanti.

3.25pm Penulis blog Anil Netto memuatkan klip video yang menunjukkan kumpulan penyokong PAS mengalami keperitan sewaktu terkena gas pemedih mata yang dilepaskan di luar pusat mengundi SMK Pengkalan Aur di Bukit Gantang pagi tadi.

3.20pm Angkatan Muda PKR akan membuat aduan polis terhadap seorang ketua tempat mengundi di SM Sains Sultan Muhammad Jiwa yang didakwa enggan menandatangani borang bantahan ejen tempat mengundi calon PKR di DUN Bukit Selambau.

Laporan polis itu akan dibuat oleh ketua AMK Batu, Rozan Azen.

3.05pm Dua penyokong BN ditegur oleh anggota polis apabila mereka menunjukkan isyarat lucah terhadap penyokong PAS di luar SK Panglima Bukit Gantang di parlimen Bukit Gantang.

3.00pm Sehingga jam 2 petang ini, seramai 55 peratus pemilih keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau.

2.40pm Sehingga jam 2 petang tadi, seramai 58.11 peratus pemilih keluar mengundi dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang.

2.00pm Sebahagian besar pusat mengundi di Batang Ai telah ditutup, dan jumlah yang keluar mengundi adalah tinggi.

Contohnya, di tiga daerah yang ramai pengundi - Sebangki, Mepi dan Batu Kaya - mereka keluar mengundi sejak awal pagi tadi dan dua jam sebelum pusat itu ditutup, jumlahnya mencecah lebih 70 peratus.

Ia dipercayai berkaitan dengan minat pengundi terhadap beberapa faktor termasuk pentingnya pilihanraya kecil DUN Batang Ai kepada PKR dan BN di Sarawak serta banyak isu-isu tempatan termasuk isu tanah adat.

Pemimpin PKR dan BN masing-masing menyuarakan keyakinan akan menang.

Laman web Mafrel mendakwa pemerhatinya, di sebuah sekolah, ternampak seorang wanita menukar pakaian untuk masuk semula membuang undi beberapa kali ke pusat tersebut di Para Petani, Bukit Gantang.

1.45pm Pemantau pilihanraya Mafrel melaporkan, sebuah bas yang disyaki pembawa pengundi hantu menimbulkan suasana kecoh di luar SK Panglima Bukit Gantang kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi.

Polis sedang mengawal keadaan di pusat pembuangan undi itu bagi parlimen Bukit Gantang. Hujan mula berhenti di banyak tempat dan jalan di sekitar Simpang mulai lengang.

Sementara itu, SPR menyatakan, kira-kira 50 peratus pengundi di Bukit Selambau telah memangkah calon masing-masing sehingga 1 tengah hari tadi.

1.17pm ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu mendakwa beliau mendapat ejekan daripada penyokong PAS dengan gelaran "pengkhianat" dan "lompat" apabila bekas wakil rakyat PKR itu tiba untuk membuang undi di SK Changkat Jering jam 10 pagi tadi.

Bekas exco kerajaan Perak yang kini ADUN bebas bawah parlimen Bukit Gantang memberitahu Malaysiakini, bagaimanapun penyokong PKR hanya diam sahaja.

Beliau keluar dari tempat pengundian kira-kira jam 12. Tiada kekasaran fizikal dilakukan terhadapnya.

1.02pm Kesesakan teruk di jalan-jalan utama yang menempatkan pusat-pusat pembuangan undi di parlimen Bukit Gantang.

Hujan yang mulai turun dijangka menambahkan lagi kesulitan orang ramai yang ingin keluar membuang undi.

12.40pm Sumber-sumber PAS dan PKR mendakwa gas pemedih mata dilepaskan di SMK Pengkalan Aur dalam DUN Changkat Jering, Bukit Gantang susulan kekecohan antara penyokong BN dengan pembangkang.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan ini, setakat ini.

Ketua polis daerah Taiping, Raja Musa Razak berkata beliau tidak mendapat maklumat itu dan akan menyemak perkembangan tersebut.

Tambahnya, semua pusat pembuangan undi berjalan lancar kecuali kesesakan lalulintas di banyak kawasan.

12.08pm Walaupun tiada sebarang kekecohan di SMK Aman Jaya di di Bukit Selambau, kira-kira 30 anggota polis termasuk 10 anggota unit pencegah rusuhan mengawal keadaan.

Sementara di pusat pembuangan undi di SMK Pengkalan Aur dalam parlimen Bukit Gantang, lebih 35 peratus telah memilih calon masing-masing. Seramai 2,305 pemilih berdaftar di situ.

12.05pm Di DUN Bukit Selambau: Cif Inspektor Mohammad Shofee Tayib dari ibu pejabat polis daerah Kuala Muda mengesahkan bahawa sebuah bas yang disyaki membawa "pengundi hantu" telah ditahan oleh penyokong pembangkang di Gurun, kira-kira 20 km dari Sungai Petani.

Katanya, bas tersebut ditahan pada kira-kira jam 10 pagi dan kini berada di balai polis Gurun. Bagaimanapun, tambahnya, pihak polis tidak pasti sama ada penumpang bas itu penyokong atau pengundi.

Pihak polis sedang menyemak status mereka dengan senarai pengundi.

11.50am Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata 40 peratus telah keluar mengundi di Bukit Selambau dan angka itu dijangka mencecah 50 peratus pada jam 1 tengahari.

11.46am Batang Ai Penulis blog Lina Soo melaporkan SPR memutuskan untuk membawa 14 daripada 26 peti undi melalui udara dan sungai ke pusat penjumlahan undi.

Ejen tempat mengundi calon-calon yang bertanding tidak dibenarkan mengawasi peti-peti undi ini sewaktu ia diangkut.

Pemantau pilihanraya Mafrel berkata tindakan ini boleh membuka peluang berlakunya penyelewengan, sama ada peti undi hilang atau ditukarkan.

11.45am Cuaca di DUN Batang Ai terang. Di pusat pembuangan undi Mepi, dekat kawasan penempatan semula di empangan Batang Ai, kira-kira 290 daripada 437 pengundi (66 peratus) telah membuang undi jam 11 pagi.

Pusat ini akan ditutup jam 2 petang.

11.42am Menurut perangkaan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga jam 10 pagi tadi, 17.7 peratus atau 9,849 pengundi di Bukit Gantang telah keluar membuat pilihan.

Sementara 21.92 peratus (7,700) pengundi DUN Bukit Selambau dan 32.41 peratus (2,581 orang) di DUN Batang Ai telah membuang undi.

Setakat jam 11 pagi, 32 peratus pengundi DUN Bukit Selambau telah berbuat demikian. Tiada maklumat terbaru di dua kawasan pilihanraya lain.

Masih ramai pengundi muda di DUN Bukit Selambau belum keluar membuang undi. Setakat ini, hanya 20 peratus berbuat demikian setakat jam 11 pagi, kata seorang ADUN PKR Sim Tze Tzin.

Wakil rakyat Pantai Jerejak, yang kini berada di kawasan pilihanraya tersebut, berkata PKR akan cuba mengajak lebih ramai pengundi muda - dipercayai cenderung menyokong parti itu - sewaktu makan tengah hari ini.

11.20am Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kata jumlah pengundi yang keluar mengundi di pusat pengundian SJKC Simpang di Bukit Gantang mencecahkan 50 peratus selepas dua jam setengah pengundian berjalan.

Di SMK Taman Ria Jaya, Bukit Selambau, 32 peratus daripada 5,122 pengundi sudah keluar mengundi sehingga jam 11 pagi tadi, kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

11.00am Penyokong BN dan PAS hampir bergaduh jika anggota polis pencegah rusuhan FRU lambat bertindak di luar SK Ayer Putih di Bukit Gantang.

Penyokong BN didakwa menggoncangkan dan menendang kenderaan calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ingin melawat pusat pembuangan undi tersebut kira-kira jam 10 pagi tadi sehingga menghalangnya turun di situ.

Rasa tidak puas hati penyokong PAS mendorong mereka marah pada penyokong BN sehingga mencetuskan suasana tegang.

Beberapa puluh anggota FRU berjaya menyelamatkan keadaan dengan memisahkan dua kumpulan penyokong parti-parti tersebut.

10.22am Penyokong BN dan PKR bertengkar di luar SJK (Tamil) Palanisamy Kumaran di DUN Bukit Selambau.

Menurut pemantau pilihanraya Mafrel, mereka tidak puas hati kerana lokasi khemah BN terletak di atas jalan tar manakala kemah PKR diletakkan di jalan yang kotor.

Beberapa anggota PKR masuk ke kemah BN dan bertengkar dengan anggota BN di situ. Polis cuba meleraikan mereka dan mengawasi keadaan.

10.18am Pemantau bebas pilihanraya Mafrel melaporkan, tiada garisan kuning Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menandakan kawasan larangan 50 meter di luar SMK Aman Jaya, dalam DUN Bukit Selambau.

Calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meninggalkan SK Changkat Jering di Bukit Gantang bersama beberapa penyokong untuk merayu undi dan bertemu petugas di tempat-tempat pembuangan undi yang lain.

Penyokongnya melaungkan "Hidup Nizar, Hancur Umno", sementara penyokong BN menjerit "penderhaka" sewaktu bekas menteri besar itu berjalan ke keretanya.

Menyifatkan peluangnya "cerah", Mohammad Nizar memberitahu Malaysiakini, "alhamdulillah, ada harapan besar."

10.01am Calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tiba di SK Changkat Jering di Bukit Gantang untuk merayu undi dan bertemu petugas parti. Beliau disambut dengan jeritan "boo" daripada penyokong BN.

10.01am Pemantau bebas pilihanraya Mafrel mendakwa kertas undi yang besar dalam DUN Bukit Selambau melambatkan proses membuang undi di SK Sungai Lalang (foto bawah, kanan).

Kertas itu dibuat bagi menampung kesemua 15 calon - termasuk 13 bebas - di kawasan pilihanraya kecil itu yang mencipta rekod calon teramai dalam sejarah Malaysia.

9.48am Kumpulan penyokong PAS di luar SK Changkat Jering, Bukit Gantang "Altantuya, Mongolia", penyokong BN diam.

Pondok PAS kedua-dua parti menarik jumlah pengundi yang sama besar.

9.35am Seorang penyokong PAS - yang memakai topeng mangsa bunuh Altantuya Shaariibuu - dikejar polis dekat SK Changkat Jering, Bukit Gantang. Lelaki itu melarikan diri dan gagal ditahan polis.

Kira-kira 300 penyokong PAS dan 100 BN saling jerit-menjerit melaungkan slogan. Kumpulan PAS melaungkan "Hancur BN, Hancur", manakala BN pula "PAS munafik."

Cuaca di DUN Bukit Selambau baik, sementara di parlimen Bukit Gantang, mulai terang selepas hujan sebentar pagi ini.

9.15am Calon BN Ismail Saffian di Bukit Gantang menyifatkan pertandingan hari ini dengan calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin " persaingan sengit" tetapi yakin akan dapat mengalahkan bekas menteri besar itu dengan majoriti tipis.

Kemenangannya, kata Ismail, satu tanda sokongan terhadap kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak yang dilantik perdana menteri 3 April lalu.

Sementara para penyokong kedua-dua pihak terus melaungkan sokongan kepada calon dan parti masing-masing bagi merayu pengundi di saat-saat akhir.

9.05am Calon parlimen BN Ismail Saffian selesai membuang undi SK Datuk Panglima Gantang. Beliau disambut laungan "Hidup BN" sewaktu tiba di pusat pembuangan undi itu jam 8.55am.

Calon PKR, S Manikumar membuang undi di SMK Taman Ria Jaya, Bukit Selambau. Beliau tiba di pusat pengundian pada jam 8.05 pagi.

Dengan menyifatkan pengundian itu "hari bersejarah", Manikumar yakin menang dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Kelihatan kira-kira 100 beratur untuk mengundi di sekolah yang sama.

8.15am Pusat pengundian bagi pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai dibuka serentak jam 8 pagi ini.

Pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau menyaksikan pertembungan 15 calon - 13 calon bebas dengan calon BN, Datuk S Ganesan dan S Manikumar dari PKR.

Di Bukit Gantang, pertandingan tiga penjuru antara calon BN Ismail Saffian, calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan calon bebas Kamarul Ramizu Idris.

Batang Ai pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon-calon BN Malcom Mussen Lamoh dan PKR Jawah Gerang.

Seramai 55,562 pemilih layak mengundi dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang, Bukit Selambau (35,140 pengundi) dan Batang Ai (8,009 pengundi).

Pengundi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau merupakan merupakan pengundi Melayu, diikuti India dan Cina.

Kebanyakan pusat pengundian dijadual ditutup jam 5 petang, dan keputusan pilihanraya dijangka diketahui seawal jam 9 malam.

- MALAYSIAKINI

Kos tiga pilihan raya kecil RM1.5j

Kos bagi mengadakan tiga pilihan raya kecil membabitkan kawasan Bukit Gantang di Perak, Bukit Selambau di Kedah serta Batang Ai di Sarawak ialah RM1.5 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata kos terbabit adalah yang dibelanjakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tidak termasuk yang dibelanjakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain.

"Pecahan mengikut bahagian pilihan raya pula ialah bagi Bukit Gantang sebanyak RM700,000, Bukit Selambau dan dan Batang Air, masing-masing RM400,000.

"Perbezaan perbelanjaan ini disebabkan Bukit Gantang ialah bagi kerusi Parlimen, manakala Bukit Selambau dan Batang Air membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya di Dewan Negara, semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang ingin tahu peruntukan yang dibelanjakan kerajaan dalam menghadapi ketiga-tiga pilihan raya terbabit.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, kerajaan tidak bercadang membuat pendaftaran pemilih secara automatik, iaitu dengan menggunakan kad pengenalan.

"Kita adalah negara demokratik yang mengamalkan demokrasi. Untuk mengadakan pendaftaran secara automatik sebenarnya adalah paksaan kepada pengundi. Pilihan untuk mendaftar dan mengundi adalah hak mutlak setiap warga negara.

"Adalah menjadi pilihan seseorang itu sama ada mahu mendaftar atau tidak. Dalam hal ini tiada paksaan boleh dibuat kerana mungkin bukan saja mereka tidak mahu mendaftar, malah tidak mahu mengundi," katanya.

- BERITA HARIAN

Selasa, Mac 31, 2009

PRK Bukit Gantang: Media konvensional BN lwn media baru Pakatan

Kempen pilihan raya kecil di dua bukit di Semenanjung dan Dun Batang Ai (Air), Sarawak sedang berlangsung.

Bermula dengan hari penamaan calon 29 Mac lalu, kempen-kempen 20 calon yang bertanding - tiga di Parlimen Bukit Gantang, lima belas di Dun Bukit Selambau dan dua di Dun Batang Ai akan berlangsung hingga menjelang tengah malam 7 April akan datang.

Pastinya antara yang mencuri perhatian para pemerhati dan pengkaji politik adalah kaedah berkempen parti-parti atau calon-calon yang bertanding.

Salah satu kaedah kempen politik BN adalah melalui media-media arus perdana yang dikuasainya. Tatkala kerajaan BN bertindak menggantung permit akhbar rasmi PAS dan KeADILan selama tiga bulan (sehingga 22 Jun 2009), BN terus menggunakan media massa arus perdana untuk mewar-warkan kempennya di tiga kawasan pilihan raya kecil itu.

Sejauh mana keberkesanan kempen BN melalui media massa ini menjadi sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Ini kerana 'media konvensional' yang digunakan BN sudah kian hilang kredibiliti dan kepercayaan umum, berbanding 'media baru' yang digunakan Pakatan Rakyat.

Komen-komen para perwakilan Umno dalam mesyuarat agung parti itu 24 higga 28 Mac lalu tentang kegagalan BN dalam menyampaikan 'mesej dan maklumat yang benar' kepada rakyat pada kempen PRU12 tahun lalu secara tidak langsung lebih merujuk kepada kegagalan fungsi media arus perdana untuk bertindak sebagai 'jurucakap BN dan Umno'.

Sebenarnya kegagalan BN dalam menguruskan penyaluran maklumatnya kepada rakyat bukan sangat berpunca daripada kegagalan fungsi media arus perdana. Media arus perdana terus kekal berfungsi sebagai saluran kempen BN paling efektif kerana akhbar, TV dan radio masuk ke dalam hampir semua rumah kediaman rakyat. Apa yang tiada pada media massa utama ini adalah kebenaran dan keadilan.

Tanpa dua aspek penting itu (kebenaran dan keadilan), kehebatan liputan dan kecanggihan teknologi tidak dapat menawan hati dan pemikiran rakyat. Apatah lagi ketika berhadapan media baru yang lebih dekat dengan hati rakyat khususnya golongan muda.

Perlu disedari bahawa strategi berbohong dan memanipulasi fakta hanya berkesan dilakukan arus media perdana di saat ketiadaan media baru seperti internet (khususnya blog) dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Media baru juga semakin berkembang seiring dengan perkembangan teknologi. Penghantaran SMS kini diperluaskan kepada penghantaran audio dan visual melalui telefon bimbit yang lebih efisien berbanding siaran TV dan radio.

Untuk memahami senario ini, diperturunkan dua contoh penulisan yang disiarkan oleh media konvensional dan media baru bagi penilaian pembaca. Dua penulisan ini merujuk kepada insiden yang berlaku di Masjid Simpang dalam kawasan PRK Parlimen Bukit Gantang, 29 Mac lalu.

Berita di bawah dipetik daripada mStar online yang dimiliki MCA. Insiden ini juga dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia milik Umno bertarikh 30 Mac 2009:

Nizar 'rampas' acara BN di masjid Bukit Gantang

Oleh G. MANIMARAN

TAIPING: Bekas Menteri Besar Perak yang juga calon PAS bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin 'bertembung' dengan rombongan Barisan Nasional (BN) di Masjid Simpang malam tadi - mencetuskan sedikit kekecohan.

Semalam (29 Mac) merupakan hari pertama kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Nizar yang dikatakan hadir tanpa undangan ke majlis bacaan Yassin dan solat hajat anjuran BN telah mencuba untuk mengimamkan solat Maghrib.

Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Hussin ketika dihubungi mStar Online berkata, Nizar bersama beberapa penyokongnya memasuki masjid dan terus mengimamkan solat Maghrib.

Isu tersebut dengan pantas disebarkan menerusi SMS, menjadi bahan kempen dalam beberapa ceramah anjuran BN di bahagian Bukit Gantang.

"Orang-orang dia (Nizar) minta mikrofon untuk Nizar berucap selepas Maghrib tetapi tidak diberikan, telah dihalang oleh Pengerusi Masjid (Yahaya Sulaiman).

"Kami berikan beliau peluang sertai majlis ini, anjuran BN tetapi beliau datang untuk buat kacau," kata beliau ketika dihubungi.

Rosli yang turut hadir ketika kejadian berkata, tidak berlaku apa-apa kekecohan besar dan kumpulan Nizar telah meninggalkan majlis selepas itu.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir pada majlis tersebut.

Mengulas isu yang sama, Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Nizar bertindak keterlaluan apabila cuba mengambil alih jemaah dengan meminta mikrofon daripada imam dan cuba mengadakan ceramah sebelum menunggu Isyak.

Ketika bercakap dengan pemberita selepas memperkenalkan calon BN, Ismail Saffian di Tokong Nyee Wong Kong di sini malam tadi, Zambry berkata, tindakan itu telah dirancang oleh PAS dan sanggup menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik.

Demikian berita yang dinukilkan oleh media massa pro-BN. Cuba kita lihat pula tulisan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga calon PAS bagi PRK Parlimen Bukit Gantang dalam blog popular beliau, Kamparinn.blogspot.com :

Saya telah mengimamkan Solat Maghrib

Terlebih dahulu beribu maaf kerana lama sangat tidak update blog saya kerana maklumlah mengirakan kerenah pindah randah dan naik turun mahkamah Tinggi KL dan Persekutuan, Putrajaya. Pohon sembah derhaka!

Hari penamaan calon PRK P059 Bkt Gantang bejalan lancar dengan sedikit huru-hara sewaktu saya dan isteri bersama-sama pemimpin PAS lain memasuki pintu pagar Dewan Perbandaran Taiping jam 8.45 pagi (29 Mac).

Namun sewaktu pergi menunaikan solat maghrib di Masjid Simpang, saya diminta oleh imam Tuan Haji Hisham untuk mengimamkan solat tersebut dan saya bersetuju.

Sewaktu masuk ke masjid saya diberitahu Tan Sri Muhyidin Yasin, Timb Presiden Umno; Dato' Zambry Kader; calon (BN) Ismail Saffian dan ramai lagi pemimpin Umno Pusat dan negeri juga ada bersama. Pimpinan Umno berada di saf pertama.

Pada rakaat pertama saya telah membaca ayat "wa'tasimu bihablillahi jamii'an, walaa tafarraqu..." dan rakaat kedua surah al-Kaafirun.

Selepas solat saya membaca doa termasuk doa Qunut Nazilah yang turut diaminkan oleh semua ma'mum termasuk pemimpin tinggi Umno.

Umno menganjurkan solat hajat dipimpin oleh seorang imam import, Haji Jama'iy namanya. Habis solat, imam Haji Hashim bangun dan berucap di hadapan dengan menyebut nama pimpinan UMNO Tan Sri Muhyiddin dan Dato' Zambry. Nama saya juga disebut dan diraikan.

Imam telah mengundang saya menyampaikan tazkirah dengan memberi tafsir ayat al-Quran yang saya baca pada rakaat pertama solat maghrib sebentar tadi.

Namun beberapa pimpinan Umno setempat telah memprotes termasuk penasihat masjid (pakai songkok tinggi) yang menghalang dan mengarah supaya terus diadakan majlis bacaan Yaasin. Berlaku sedikit komosi (commotion). Saya mengelak bagi memelihara suasana.

Habis baca Yaasin saya pergi bersalam dengan Dato Zambry dan dia nampak berang dan menyatakan kepada saya, kenapa menggunakan masjid berpolitik dan tak sepatut saya jadi imam tadi.

Katanya lagi dengan nada kuat dan marah: "Jika mahu jadi imam saya boleh jadi imam, jika nak tafsir saya boleh tafsir". Saya tersenyum dan relaks sahaja dan terus meninggalkan majlis untuk acara lain.

Hujan sungguh lebat ketika itu. Semua makmum melihat dan menyaksikan adegan kelakar dan 'ajaib' tersebut dan ramai makmum mengiringi saya sewaktu meninggalkan masjid.

Sekadar makluman! Doakan PR menang besar di P059 Bkt Gantang.

Merujuk kepada berita yang disiarkan media BN, pastinya kita dapat melihat bagaimana insiden tersebut diputarbelitkan BN bagi kepentingan politik mereka. Jelas watak imam masjid yang bertanggung jawab menjemput Nizar untuk mengimamkan solat dan menyampaikan tazkirah tidak dilaporkan.

Malah sikap kasar Zambry (yang disifatkan Adun Sungkai, N Sivanesan sebagai 'kekanda saya') tidak pula dilaporkan media pro-BN.

Tuduhan bahawa Nizar menyalahgunakan masjid untuk kepentingan politik juga meleset kerana BNlah sebenarnya yang bertindak sedemikian kerana mengadakan majlis membaca Yaasin sempena kempen pilihan raya di masjid.

Apapun terpulanglah kepada pembaca untuk menilai kebenaran dua sumber penulisan di atas. Tetapi apa yang ingin ditegaskan sekali lagi, strategi berbohong dan memutarbelitkan fakta oleh media arus perdana tidak lagi berkesan di era kewujudan dan percambahan media baru seperti blog.

Apa yang lebih utama dalam kempen-kempen politik adalah kebenaran, ketelusan, intergriti dan kredibiliti sumber maklumat. Tanpa ciri-ciri itu usaha mempengaruhi atau meyakinkan rakyat umpama mencurah air di daun keladi.

Cuma satu yang ingin diulas... Zambry ketika memarahi Nizar mendakwa kononnya beliau juga mampu mengimamkan solat dan menyampaikan kuliah tafsir.

Soalnya, dengan kecenderungan beliau untuk berbohong dan bercakap kasar, adakah manusia yang sudi berimamkan beliau?

- HARAKAH DAILY

Ahad, Mac 29, 2009

Sejarah: 15 calon rebut Bukit Selambau!


Tiga pilihanraya kecil berjalan serentak hari ini bagi kawasan-kawasan parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak.

Penamaan calon yang bermula jam 9 pagi tadi telah disahkan selepas lima bantahan ditolak di ketiga-tiga kawasan tersebut.

Di Bukit Gantang, calon BN Ismail Safian (Umno) berdepan dengan calon PAS Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan calon bebas Kamarul Ramizu Idris.

Seramai 55,562 pemilih akan menentukan pertarungan sengit antara BN dan PAS - yang dianggap "pungutan suara" terhadap kepemimpinan baru kerajaan bawah Datuk Seri Najib Razak, yang terlibat dalam rampasan kuasa kontroversi di Perak sewaktu Mohamad Nizar mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat.

Kekosongan kerusi PAS ini akibat kematian wakil rakyatnya Roslan Shaharum tidak lama selepas kemuncak krisis politik tersebut awal bulan lalu.

Di Batang Ai, calon BN Malcolm Mussen Lamoh (PRS) dicabar calon PKR Jawah Gerang.

Calon bebas Johnny Chuat menarik diri daripada penamaan calon dan didakwa menyokong calon PKR.

Seramai 8,006 pemilih akan menentukan nasib kedua-dua calon ini. Kerusi Batang Ai dikuasai BN sebelum penyandangnya Datuk Dublin Unting meninggal dunia.

Di Bukit Selambau, calon-calon BN Datuk S Ganesan (MIC) dan PKR S Manikumar dihimpit 13 calon bebas yang telah menyerahkan borang pencalonan.

Calon-calon bebas: L Sarala, T Chandrarajan, R Loganathan, A Jayagopal, S Moganakumar, Vaneson Michael, Tan Hock Huat, Mohd Fazil Abdul Wahab, Anuar Abdul Hamid, Husaini Yaacob, Abdul Rahim Abu, Radzi Md Lazim dan Khamis Awang.

Kerusi DUN ini kosong susulan peletakan jawatan wakil rakyat PKR V Arumugam, yang juga exco kerajaan Kedah.

Arumugam asalnya menang atas tiket bebas tetapi kemudian memilih parti itu sebelum dilantik menyertai majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Tempoh penyerahan borang selama sejam tamat jam 10 pagi dan tempoh bantahan tamat sejam kemudian.

Tiada bantahan dibuat di pusat penamaan calon Bukit Selambau di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani - menjadikan 15 calon semuanya cuba memenangi hati lebih 35,000 pengundi DUN tersebut.

Naib Presiden PKR Azmin Ali yakin kehadiran begitu ramai calon bebas tidak akan menggugat partinya dalam usaha mempertahankan kerusi tersebut.

Ketiga-tiga pilihanraya ini diadakan serentak pada 7 April ini.

- MALAYSIAKINI

Selasa, Mac 17, 2009

Mafrel pantau PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai

Malaysian For Free and Fair Election (Mafrel) akan memantau pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai yang telah diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diadakan serentak pada 7 April ini.

Ketiga tiga pilihan raya kecil itu dilihat kritikal dan unik oleh Mafrel yang boleh membawa kesan kepada senario politik negara ini, kerana itu sudah tentulah parti-parti yang bertanding bekerja bersungguh sungguh bagi mempastikan kemenangan.

"Pilihan raya kecil Bukit Gantang disebut-sebut sebagai pilihan raya yang bakal menyaksikan sentimnen pemilih Perak terhadap krisis Perlembagaan dan kemelut politik di negeri itu ditafsirkan dalam bentuk undi."

Demikian dinyatakan oleh Penyelaras Mafrel Negeri Perak, Megat Shariffudin Ibrahim dalam sidang medianya di sini semalam.

"Dalam pemantau Mafrel baru-baru ini di kawasan Bukit Gantang 'demam' pilihan raya sudah dirasai walaupun tempoh rasmi berkempen belum bermula, ini dapat dilihat dengan kibaran bendera dan logo parti di merata tempat," jelasnya.

Pilihan raya kecil Bukit Selambau di Kedah pula dianggap sebagai ujian terhadap populariti BN, khususnya MIC serta rekod mereka berkaitan hubungan etnik terutama di kalangan kaum India, manakala di Batang Ai pula walaupun di kawasan pendalaman tetapi ia tetap penting kerana ia bakal mencorakkan perubahan politik di negeri itu, katanya.

Sehubungan itu Mafrel akan melaksanakan pemerhatian terhadap keseluruhan proses pilihan raya bermula hari penamaan calon, hari mengundi dan pasca pilihan raya dengan memberi tumpuan kepada senarai pendaftar pemilih, usaha-usaha atau menawarkan rasuah kepada pengundi, penyalahgunaan kemudahan dan jentera kerajaan serta sumnber awam, perbuatan atau tindakan ganas dan merbahaya semasa proses pemilihan, tahap serta jentera keselamatan, khususnya pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan liputan media, katanya.

"Mafrel merakamkan penghargaan kepada SPR kerana telah mengiktiral Mafrel menjadi pemerhati rasmi dalam pusat-pusat mengundi di ketiga-tiga pilihan raya kecil tersebut," katanya.

Di samping itu Mafrel berharap kerjasama penuh akan dapat diberikan dalam memproses Pas Pemerhati termasuk memberikan kebenaran untuk memerhati proses pengundian dan pengiraan dalam tempat atau saluran mengundi.

Pengiktirafan tersebut katanya, bagi membolehkan pemerhatian di kawasan-kawasan terhad sebagaimana ditetapkan oleh Peraturan Pilihan raya.

Memandangkan ketiga tiga pilihan raya kecil tersebut disifatkan berprofil tinggi, Mafrel sekali lagi menegaskan pendiriannya menggesa SPR untuk kembali kepada persetujuan asal menggunakan dakwat kekal di hari mengundi.

"Mafrel menegaskan hanya menggunakan dakwat kekal sahaja dapat SPR membendung dan menghapuskan penipuan dan pengundi hantu," jelasnya.

Menurutnya, Mafrel menggagaskan pilihan raya yang berwubawa, aman, bebas dan adil, adalah berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi dan demokrasi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, perjanjian dan protokol antarabangsa.

Atas dasar ini Mafrel menggesa parti-parti lawan dan penyokong memainkan peranan melindungi hak-hak pemilih dengan membenarkan mereka merumus dan memutuskan undi mereka secara bebas tanpa melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan pilihan raya kerana itu kebebasan kemahuan dan pilihan pemilih mesti dihormati, tegas beliau.

Mafrel turut menggesa SPR dan polis supaya mengamalkan keadilan dan keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang proses pilihan raya dengan mengambil kira kepentingan pemilih.

- HARAKAH
www.harakahdaily.net

Recent Posts