Jumaat, April 03, 2009

Menghargai legasi Pak Lah


Oleh ZIN MAHMUD

Ketika duduk berdepan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sementara menunggu sidang akhbarnya bermula di Jakarta sempena Forum Ekonomi Islam (WIFE) pada 3 Mac lalu, tiba-tiba perasaan penulis berasa sayu kerana menyedari bahawa beliau akan mengakhiri jawatannya sebagai Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri dalam masa tiga minggu lagi.

Pak Lah ketika itu berwajah serius merenung pemberita yang hadir dan ketika beliau melirik pada penulis, terdetik dalam benak betapa pada tahun 2004, Perdana Menteri inilah yang memperoleh sokongan terbesar rakyat Malaysia dalam sejarah dengan harapan tinggi supaya membawa negara mencapai cemerlang, gemilang dan terbilang.

Walaupun ketika slogan 'Cemerlang, Gemilang dan Terbilang' diisytiharkan menjelang pilihan raya ke-11, penulis berasa gementar di hati betapa perkataan-perkataan ini terlalu besar untuk digunakan sebagai laungan perjuangan dan bimbang akhirnya ia akan mengecewakan orang ramai.

Tentunya sebagai wartawan Utusan Malaysia, penulis turut terlibat dengan kempen pilihan raya umum itu selaku Pengarang Rencana untuk membantu kemenangan BN pimpinan Pak Lah.

Kejatuhan kerajaan Pas Terengganu serta juga hampir tumbangnya kerajaan Pas Kelantan Baru, dan lebih penting lagi melumpuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hingga membawa perpecahan dalaman parti itu adalah ekoran pilihan raya 2004.

Tetapi bukan itu saja, penulis juga mempertahankan dan berusaha untuk meyakinkan rakyat terhadap polisi-polisi kerajaan BN dari tahun 1999 hingga 2007. iaitu satu tempoh di mana Pak Lah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

Walaupun dari tahun 1999 hingga 2003, Malaysia masih berada dalam era Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi ia merupakan tahun-tahun akhir pentadbirannya dan dari sisi lain, ia merupakan tempoh persediaan bagi Malaysia untuk memasuki era pasca-Mahathir di bawah kepimpinan Pak lah.

Sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, penulis percaya tidak ada sesiapa pun di kalangan penganalisis politik yang meramalkan bahawa Abdullah Ahmad Badawi akan menjadi Perdana Menteri kelima, dan bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi begitu juga, selepas lima tahun memegang jawatan paling berkuasa di Malaysia, adalah juga tidak disangka beliau akan mengakhiri kerjaya politiknya yang menjangkau 30 tahun. Kerjaya politik beliau bermula pada tahun 1977 apabila beliau mengetuai Bahagian UMNO Kepala batas dan Seberang Perai menggantikan bapanya, Ahmad Badawi yang meninggal dunia.

Pertama kali penulis berjumpa dengan Pak Lah ialah pada tahun 1981, ketika itu beliau adalah Timbalan Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan. Sebagai aktivis Angkatan Mahasiswa Dinamik (AMD) berpeluang menghadiri satu majlis berbuka puasa dan dialog dengan Dr Mahathir di kediamannya, ketika itu masih Timbalan Perdana Menteri. Selain Pak Lah, yang turut hadir ialah Datuk Seri Sanusi Junid.

Ia merupakan zaman di mana Dr. Mahathir bersama pasukannya yang terdiri daripada Tun Musa Hitam, Pak Lah dan Sanusi sedang bersiap sedia untuk mentadbir negara bagi menggantikan generasi Tun Hussein Onn.

Selepas daripada itu, perjumpaan dengan Pak Lah berlaku lagi tetapi melalui kursus Biro Tata Negara (BTN) dan beliau menyemai fahaman dan kesedaran berhubung perjuangan membela nasib bangsa dan peranan anak-anak Melayu untuk berjaya dalam bidang pendidikan, kerjaya dan politik.

Maka selepas menjadi pemberita Utusan Malaysia bermula tahun 1982, lebih keraplah penulis dapat bertemu Pak Lah yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran. Dalam siding-sidang akhbarnya tumpuan beliau adalah kepada soal pendidikan dalam bentuk nasional, lebih-lebih lagi ketika itu isu Universiti Merdeka sedang hangat dibincangkan dengan tuntutan untuk membina institusi pengajian tinggi swasta berbahasa Mandarin. Sikap Pak Lah dalam isu ini adalah tegas mempertahankan aspirasi pendidikan nasional.

Seperkara lagi, apa yang penulis ingat semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran ialah perasmian Pesta Buku yang pertama diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya dan selanjutnya penggubalan Dasar Buku Negara.

Ketika Dr. Mahathir berdepan dengan cabaran Tengku Razaleigh dalam politik, pasukan beliau adalah jelas, Musa, Sanusi dan Pak Lah adalah sealiran. Tetapi perpecahan pasukan ini mula kelihatan apabila Musa meletakkan jawatan dan munculnya apa yang disebut sebagai 'orang Mahathir' dan 'orang Musa'. Pak Lah didapati berada di pihak 'orang Musa'.

Maka ketika berlaku kemelut ini, sememangnya Pak Lah juga menjadi tumpuan para pemberita untuk mendapatkan komennya mengenai politik UMNO. Ketika masih menjadi Menteri Pelajaran, beliau bagaimanapun mengelak sebarang komen politik. Katanya kepada pemberita, beliau mahu tumpukan perhatian kepada soal pendidikan dan tidak mahu isu politik parti mengganggu perhatiannya.

Pak Lah kemudian ditukarkan ke Kementerian Pertahanan dengan hanya setahun memegang portfolio itu iaitu dari tahun 1986 hingga 1987. Beliau terus menjalankan tugas seperti biasa. Tetapi tempoh beliau sebagai Menteri Pertahanan adalah lagi pendek, tidak sampai setahun. Pada satu hari ketika penulis diminta menemuinya di pejabatnya di Mindef, Jalan Padang Tembak, setelah menunggu beberapa jam, penulis diminta pulang saja kerana rupa-rupanya pada hari itu beliau digugurkan daripada Kabinet.

Selama tiga tahun beliau tidak memegang jawatan Kabinet. Namun penulis dapat tahu di luar terdapat penyokong-penyokongnya. Antaranya ada yang bersuaha untuk menerbitkan akhbar bagi menampung suara Pak lah. Antaranya Mingguan Nasional yang hanya dapat terbit untuk beberapa bulan. Begitu juga dengan Mingguan Ekspres, untuk beberapa minggu. Tetapi yang agak lama ialah Harian Watan yang pada awalnya diterbitkan semula dengan wajah baru dikatakan bertujuan untuk menyokong Pak Lah.

Usaha penyokong-penyokong Pak Lah itu gagal apabila beliau kalah untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1993.

Namun begitu, Dr. Mahathir tetap melantik beliau sebagai Menteri Luar yang dipegang sejak tahun 1990 ekoran kemenangannya sebagai Naib Presiden. Beliau menjadi Menteri Luar selama sembilan tahun dengan berjaya kembali memperoleh jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1996.

Maka ketika berlaku krisis Dr. Mahathir dan Anwar, Pak Lah sudah bersedia untuk dipilih oleh Perdana Menteri bagi menjadi timbalannya. Sebagai timbalan, beliau berperanan setia dan baik hinggakan peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir ke Pak Lah bukan saja berjalan lancar tetapi disambut baik oleh rakyat.

Ini terbukti dengan kemenangan besar BN pada tahun 2004 dan antara gambar yang dijadikan bahan publisit di papan tanda ialah penyerahan jawatan oleh Dr. Mahathir kepada Pak Lah.

Tetapi permulaan pentadbiran Pak lah pula ditandai dengan usaha perpaduan di kalangan kumpulan-kumpulan dalam UMNO. Melihat Kabinet besar Pak Lah, dapat disaksikan betapa beliau berusaha untuk mengajak lebih banyak aliran menyertai dan mendokong pentadbirannya.

''Mari bekerja bersama saya," adalah laungan yang bijaksana. Bukan saja gaya kepimpinannya berbeza daripada Dr. Mahathir, tetapi pendekatannya merupakan satu pembaharuan, ia bersifat terbuka, kesepakatan dan tidak konfrontasional.

Falsafah hidupnya boleh dirumuskan kepada puisi ''Mencari Damai Abadi'', maknanya kepentingannya hanya terletak pada sesuatu jauh lebih tinggi daripada soal kebendaan atau kemasyhuran peribadi.

Sememangnya itu yang diharapkan banyak orang selepas melalui zaman yang penuh bergelora selama 22 tahun pentadbiran Dr. Mahathir.

Namun begitu, dari segi legasi Pak Lah, ada empat perkara yang wajar dihargai dan telah memberi isi kepada Malaysia pasca Mahathir.

Pertama, proses pembaharuan politik; Kedua, Islam Hadhari: Ketiga, pertanian berteknologi dan keempat, koridor pembangunan. Banyak pihak yang mengulas sinis terhadap legasi ini, baik di kalangan pembangkang mahupun penyokong kerajaan yang tidak menyukai Pak Lah.

Keterbukaan politik yang diperkenalkan oleh Pak Lah ini dapat disaksikan melalui pembaharuan yang dilakukan baik terhadap badan kehakiman, polis, keterbukaan media (dalam perkara-perkara tertentu), penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri dengan cara berbeza, walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki tetapi telah dimulakan sebagai perintis.

Maka Pak Lah sudah merintis jalan ke arah pembaharuan politik yang pasti terus bergerak pada masa-masa depan. Walaupun ia belum sempurna kerana tempoh pentadbiran yang singkat, tetapi ia menyediakan tapak kepada perubahan-perubahan yang akan berlaku.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.